UBAT UNTUK SEGALA PENYAKIT


Daripada Ibnu Umar r.a, dia berkata bahawa Rasulullah SAW menghadap kepadanya dan para sahabat, kemudian beliau bersabda: "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara andainya kamu ketepikan maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT semoga kamu tidak menemui saat itu. Tidak terserlah zina pada suatu kaum sehingga mereka melakukan terang-terangan kecuali mereka akan ditimpa taun yang cepat merebak di kalangan mereka dan mereka dimusnahkan oleh penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat terdahulu. Dan tiada mereka mengurangi sukatan dari timbangan kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan berlaku zalim daripada kalangan pemimpin mereka. Dan tiada mengeluarkan akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka hujan dari langit. Jika tiada binatang, tentu mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT. Dan tiada mereka mungkir janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. Dan apabila pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan di saat itu Allah jadikan peperangan sesama mereka."



Penyakit-penyakit merebak khususnya taun berpunca kerana perzinaan sangat berleluasa dan terang-terangan. Terang-terangan berlakunya ini bukan bermaksud boleh dilihat dengan mata kepala. Tetapi banyaknya rumah pelacuran, sarang maksiat serta meningkatnya kes buang bayi, itulah tandanya manusia sudah berani mendedahkan pelakuan zina.

Banyak pula kedapatan penyakit yang tidak ada sebelumnya terutamanya Aids. Penyakit ini juga merebak dengan cepat melalui berbagai-bagai cara yang semuanya hasil perbuatan tangan manusia. Umpamanya, Aids hinggap kepada orang lain melalui perkongsian jarum suntikan. Ada juga melalui cara semulajadi seperti penyusuan bayi.

Semua penyakit ini menyusahkan kehidupan manusia. Jiwa turut tidak tenteram dan sentiasa tertekan kerana bimbang akan jangkitannya. Pihak yang mengalaminya sudah pasti menanggung derita yang berpanjangan. Manakala pihak lain turut terbeban dari aspek berbeza. Umpamanya sebuah keluarga kehilangan ahli keluarganya. Kadang-kadang terpaksa menanggung kos rawatan seumur hidup. Pihak kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan kewangan yang tinggi untuk rawatan, perubatan, kajian dan pencegahan.

Dari tahun ke tahun kosnya bukan semakin susut malah semakin meningkat berikutan pertambahan mereka yang terlibat. Kerajaan turut mengalami kerugian dari sudut kehilangan tenaga manusia.

Perniagaan sering dikaitkan dengan keuntungan. Selain dari itu, perniagaan sebenarnya merupakan tanggungjawab sosial yang sangat penting. Berlaku hubungan timbal balik yang akrab antara peniaga dan pengguna. Dan juga merupakan medan pertemuan tidak rasmi antara sesama pengguna. Di sini juga berlangsungnya pertukaran maklumat dan khabar berita bagi masyarakat setempat. Contoh paling mudah, cuba bayangkan di sebuah kampung yang ketiadaan kedai runcit. Tentulah banyak kesulitan bagi penduduk kampung tersebut untuk berulang alik ke pekan dan bandar bagi mendapatkan keperluan harian.

Namun itu bukan bererti peniaga di kampung tersebut boleh menangguk di air keruh. Tidak wajar mengambil keuntungan berlebihan. Dan tidak wajar menipu dalam timbangan dan sukatan. Apabila penipuan dalam timbangan dan sukatan (penipuan dalam perniagaan) berlaku berleluasa maka Allah SWT timpakan bala atau kesusahan dalam bentuk kemarau.

Kemarau pula selalunya dikaitkan dengan kesusahan memperolehi rezeki. Lihat saja negara yang sering kemarau, bumi yang subur menjadi merekah dan gersang. Tanaman tidak hidup subur atau buahnya tidak menjadi. Ramai rakyat yang kebuluran. Apabila sumber makanan terlalu sedikit, harga akan menjadi mahal berikutan permintaan yang tinggi. Diikuti pula dengan inflasi.

Satu lagi bala ialah meningkatnya kezaliman dan penindasan dari kalangan pemimpin. Lantaran masing-masing inginkan kemewahan, maka mereka yang berkuasa menyalahgunakan kekuasaan yang ada untuk mencapai kepentingan masing-masing menurut tingkat kedudukan mereka. Pada keadaan demikian sangat kurang para pemimpin memikirkan nasib rakyat terbanyak yang memang telah ,sedia susah.

Allah SWT wajibkan berzakat bagi umatnya yang dikurniakan kelebihan rezeki berupa harta benda. Ini juga memperlihatkan betapa Allah SWT mahu umat memandang berat mengenai hubungan sesama manusia. Bagi mereka yang memiliki kekayaan perlu ingat bahawa seluruh alam semesta ini adalah milik Allah SWT. Bukan saja harta benda atau wang ringgit malah diri kita ini pun milik Allah SWT.

Tidak wajar atau tidak timbul sama sekali hujah mengatakan harta itu milik mutlak, yang mana orang lain tidak berhak ke atasnya. Peratus tertentu dalam ketetapan zakat itulah sebenarnya hak orang lain yang ditentukan oleh Allah SWT.

Bagaimana seseorang itu memperolehi kekayaan? Sama ada secara langsung atau tidak, sama ada disedari atau tidak, seluruh manusia ini hidup saling sandar menyandar dan saling perlu memerlukan. Seorang ahli perniagaan yang berjaya tidak terkecuali dari sumbangan serta peranan buruh, kuli, pekerja bawahan yang memperolehi gaji kecil. Makan minum yang lazat dan mewah golongan berada merupakan tumpahan keringat petani dan nelayan. Andainya orang kaya berhujah dengan mengatakan segala itu telah dibayar dengan duit, katakan kita banyak duit dan bersedia untuk membeli, bagaimana andainya nelayan tidak turun ke laut?

Berpegang kepada konsep bahawa hidup ini merupakan ujian dari Allah SWT, maka harta yang diamanahkan itu Allah SWT mahu melihat bagaimana cara memperolehinya dan bagaimana pula cara penggunaannya. Allah SWT beri kelebihan kepada orang tertentu dengan kepandaian, kepintaran dan berilmu pengetahuan. Dengan itu pula Allah SWT salurkan kelebihan rezeki, yang mana sebahagian dari rezeki itu sebenarnya ada hak orang lain yang Allah SWT salurkan melalui orang tertentu. Apabila hujan tidak turun, itu tandanya rezeki berkurangan dan puncanya kerana zakat diabaikan oleh mereka yang sepatutnya berzakat.

Allah SWT yang bersifat pemurah, diturunkan juga hujan kerana untuk memberi kelangsungan hidup kepada haiwan.

Sabda Nabi SAW: Maksudnya: "...kalaulah bukan kerana bayi-bayi yang menyusu, orang-orang tua yang membungkuk dan haiwan ternak yang merumput, mungkin azab Tuhan akan melimpah ruah kepada kamu! "

Musuh-musuh berkuasa ke atas umat Islam dan merampas sebahagian apa yang ada ditangan umat Islam, bukanlah semata-mata dirujuk kepada kes penguasaan Yahudi (Israel) ke atas Palestin.

Penguasaan musuh-musuh ini telah berlaku lebih awal lagi semenjak bermulanya zaman penjajahan. Banyak negara Islam telah dijajah. Bukan saja harta benda dan kekayaan hasil bumi yang mereka kuasai, malah yang lebih penting iman, taqwa dan kehidupan beragama turut terhakis. Keadaan tersebut itu berlaku apabila umat Islam sudah mengabaikan janji terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Apabila umat ini lupa kepada Allah SWT maka Allah SWT melupai mereka. Apabila umat ini tidak bertaqwa kepada Allah SWT, maka Allah SWT tidak lagi membela mereka. Apabila umat Islam lalai, leka, derhaka dan banyak berbuat mungkar maka Allah SWT turunkan berbagai bala dan musibah. Termasuk hilangnya kekuatan untuk melawan musuh-musuh. Sementara itu azab neraka pula sedang rnenunggu mereka yang ingkar ini.

Pertumpahan darah di kalangan sesama Islam adalah kemuncak kepada sifat rakus dan cinta dunia. Juga kerana kebencian dan dendam yang meluap sesama sendiri. Telah berlaku banyak peristiwa seumpama itu. Ramai pemimpin Islam sendiri terkorban angkara perbuatan tangan saudara sesama Islam. Ini semua merupakan bala dari Allah SWT kerana membelakangkan Al Quran. Kalaupun tidak berlaku perang saudara seagama, namun perpecahan, perbalahan, pertelingkahan, kebencian, hilang kasih sayang dan permusuhan sesama sendiri tetap berlaku. Malah ada kalanya sama-sama satu kelompok dalam satu parti atau pertubuhan atau dalam satu kelabpun berlaku yang demikian itu.

Berpegang kepada ajaran Al Quran erti seolah-olah berpegang kepada satu tali yang sama-sama mengikat diri dengan tali tersebut. Itulah tali Allah SWT yang menjamin keutuhan kesatuan ummah. Masing-masing akan terikat hatinya kepada iman yang satu dan syariat yang satu. Kuat dan mendalam kasih sayang serta perpaduan. Perselisihan yang kecil tidak diperbesarkan. Perbezaan pendapat dalam hal yang dibolehkan sangat dihormati. Pengkritik tidak dianggap penentang. Penyokong tidak semuanya atau tidak selalu betul. Prinsip-prinsip ini boleh menghindari perpecahan ummah, jauh sekali dari pertumpahan darah dan peperangan.

Tidak salah kita berusaha untuk membebaskan diri dari bala sama ada penyakit berjangkit, kemarau, kesempitan rezeki, penguasaan musuh dan perang saudara. Malah syariat memang menyuruh kita berbuat demikian. Ertinya tidak boleh berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa. Namun adalah lebih berkesan sekiranya usaha kita itu benar-benar tepat kepada sasarannya. Iaitu kembali kepada Allah SWT. Yakni usaha lahiriah itu hendaklah disertakan dengan sandaran kepada Allah SWT. Kerana hadis Rasulullah SAW itu menyebut dengan jelas punca segala angkara yang berlaku .

Ambil AIDS sebagai contoh. Secara lahiriahnya is berpunca dari virus HIV. Andainya kita lihat selapis lagi mari kita bertanya dari mana datangnya HIV itu? Dan mengapa HIV itu hanya ditemui akhir-akhir ini apabila seks rambang berlaku di mana-mana? Di situ baru kita dapat lihat betapa di atas kesalahan manusia itu maka Allah SWT datangkan bala tersebut.

Usaha penyelesaian mestilah berlaku serentak iaitu melalui kaedah lahiriah yang saintifik serta kembali kepada mentaati Allah SWT dan menjauhi larangannya. Di sinilah pentingnya para pemikir dan pencinta masyarakat bertindak menjurus ke arah tersebut.

Supaya seribu penyakit boleh disembuhkan oleh satu ubat dan bukan sebaliknya satu penyakit dirawat dengan seribu ubat yang belum tentu kesembuhannya.


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah