CARILAH RAHMAT DAN KASIH SAYANG TUHAN

Manusia dimasukkan ke dalam Neraka kerana keadilan Allah. Tidak ada siapa pun yang dilemparkan ke dalam Neraka kerana terzalim. Mereka yang dilemparkan ke Neraka juga tidak terasa dizalimi. Penghuni Neraka itu sendiri akan merasakan patut dan layak mereka itu dicampakkan ke dalam Neraka dan semua mereka sedar akan punca dan sebab-sebabnya.

Namun demikian, keadaan ini tidak sama dengan Syurga. Hakikatnya adalah tidak adil kalau manusia itu dimasukkan ke Syurga. Tidak ada manusia yang layak untuk ke Syurga. Tidak ada kebaikan atau amalan soleh yang dibuat oleh manusia yang dengannya ia dapat membeli nikmat Syurga. Walau bagaimana banyak dan hebatnya amalan soleh seseorang manusia itu, ia tidak akan dapat menebus walaupun nikmat sebelah mata. Ini belum lagi nikmat-nikmat yang lain. Jauh sekalilah untuk membeli Syurga.

Allah SWT memasukkan manusia ke dalam Syurga hanya kerana kasih sayang dan rahmat-Nya. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Manusia tidak dimasukkan ke dalam Syurga kerana amalannya.” Maka Sahabat bertanya: “Tidakkah juga engkau ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Ya, tidak juga aku. Aku dimasukkan ke Syurga kerana rahmat Allah.”

Kalaulah kasih sayang dan rahmat Allah menjadi sebab kita ke Syurga, maka itulah perkaranya yang patut kita usahakan. Apa pun yang kita buat atau yang kita amalkan mestilah untuk menagih dan mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk beramal dan berjuang mestilah juga untuk mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk menjauhkan maksiat dan kemungkaran mestilah kerana takut tersisih dan terlepas dari kasih sayang dan rahmat Allah dan takut Allah akan murka kepada kita.

Justeru itu, hendaklah kita banyak usahakan perkara-perkara yang boleh mendatangkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Di antaranya ialah:

* Banyak menyebut nama-nama orang soleh. Menyebut-nyebut nama orang-orang soleh itu rahmat.
* Makan bersama orang soleh kerana itu rahmat.
* Menerima tetamu. Kerana datangnya tetamu itu membawa rahmat dan perginya menghapuskan dosa.
* Banyakkan amalan-amalan sunat. Allah ada berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: “Hendaklah kamu lakukan sebanyak-banyaknya amalan-amalan yang sunat sehingga Aku jatuh cinta dan sayang kepadamu.”

Di dalam konteks yang sama, beramal untuk mendapatkan sebanyak-banyak pahala dan fadhilat dari ibadah tidak ada erti apa-apa. Pahala dan fadhilat bukan menjadi sebab manusia
dimasukkan ke Syurga. Ia bukan matawang untuk kita beli Syurga. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan pahala dan fadhilat.

Mereka yang beramal untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat demi untuk mendapatkan Syurga seolah-olah telah mengkesampingkan Tuhan. Seolah-olah mereka telah menggantikan peranan Tuhan itu dengan pahala dan fadhilat dan seolah-olah pahala dan fadhilat itu menjadi penentu mereka dapat masuk ke Syurga. Mereka merasakan seolah-olah dengan memiliki banyak pahala itu akan terjamin kasih sayang Tuhan dan terjamin Allah tidak akan murka pada mereka.

Yang lebih berbahaya lagi ialah apabila pahala dan fadhilat menjadi matlamat amalan mereka dan bukan lagi Tuhan. Walaupun mulut mereka berkata: “Sahaja aku solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya kerana Allah”, tetapi hati mereka mentasdikkan untuk mendapat pahala dan fadhilat. Pahala dan fadhilat hanyalah apa yang Allah janjikan di atas amalan soleh yang kita buat dan ia adalah urusan Tuhan. Bukan kerananya kita beramal.

Mereka yang beramal untuk pahala dan fadhilat juga telah terjebak dengan cara dunia dan sekularisma. Kalau di dunia mereka mengumpulkan wang untuk membeli kesenangan maka mereka terbawa-bawa untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat guna untuk membeli kesenangan di Akhirat.

Pahala dan fadhilat itu sebenarnya ibarat hadiah dari Tuhan. Adakah patut kita berlumba-lumba untuk mendapat dan mengumpulkan hadiah tetapi tidak mengendahkan dan tidak mempedulikan Tuhan yang memberikan hadiah itu. Apa dan siapa sebenarnya yang harus kita sanjung dan perbesarkan, hadiah atau yang memberi hadiah?

Kalaupun kita dapat mengumpulkan sebanyak-banyak pahala, apalah ertinya kalau kita tidak mendapat kasih sayang dan rahmat Tuhan. Tetapi kalau kita mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan, ertinya kita sebenarnya telah mendapat segala-galanya. Tidak ada apa lagi yang kita perlukan kalau kita sudah mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah