kerugian seorang ayah


Ketika perbualan saya dengan teman merangkap Guru saya dalam Hafalan, beliau menggingatkan saya suatu perkara penting dalam pendidikan anak-anak.


Ujar beliau, satu kerugian besar sekiranya seorang ayah dia mampu untuk mengajarkan hal ini tetapi menyerahkan kepada orang lain sedangkan anaknya akan menggunakan ilmu tersebut sehingga akhir hayatnya.


Saya mula menunjukkan minat, telinga cuba memfokus akan apa yang cuba disampaikan.


Sambung beliau, ayah yang tahu membacakan surah Al-Fatihah tetapi tidak mengajarkan anaknya malah diserahkan kepada ustaz atau ustazah lain untuk mengajarnya itu satu kerugian.


Tambah yang lebih teruk, sudah lah tidak diajar sedangkan dia tahu malah membiarkan anaknya membesar tanpa mendapat pendidikan untuk mengetahui bacaan serta hafazan surah Al-Fatihah. Itu rugi yang merugikan.


ADA APA DENGAN AL-FATIHAH


Kenapa ia satu kerugian, apa yang specialnya dengan Al-Fatihah.??


1. Surah wajib dan rukun dalam solat yang perlu dibaca


Hadis Nabi SAW: “Tiada solat tanpa bacaan Al-Fatihah”.  Maka seorang anak muslim yang melaksanakan solatnya tanpa culas akan membacakan surah ini pada setiap solat fardhu, berapa banyak pahala si guru akan peroleh hasil daripada mengajarkan bacaan Al-Fatihah ini.


Andainya guru tersebut adalah ayahnya berapa saham pahala yang bakal ia perolehi. Tambah, pendidikan agama adalah di pundak bahu ayah. Alangkah ruginya sekiranya si ayah tiada saham langsung daripada pendidikan surah Al-Fatihah ini.


2. Surah Al-Fatihah dibaca pada setiap rakaat solat


Surah ini mempunyai kelebihan tersendiri, berbanding surah lain, jumhur ulamak selain mazhab Hanafi menyatakan bahawa surah ini wajib dibaca pada setiap rakaat sekiranya tidak solatnya akan terbatal dan dia perlu mengulanginya. Baik solat fardhu mahu pun solat sunnat.


Subhanallah berapa banyak pahala orang yang mengajarkan apabila setiap kali anak ini membacanya.


3. Surah Al-Fatihah ini adalah intisari asas pedoman bagi setiap orang mukmin


Para ulamak tafsir ketika membincangkan ayat ini menerangkan bahawa surah ini ada beberapa isu pokok yang menggambarkan keseluruhan islam dalamnya iaitu ada ayat berkaitan penegasan hal tauhid, penghambaan kepada Allah melalui perlaksanaan ibadat serta konsep tawakal dan doa dalamnya.


Tidak cukup seorang ayah mengajarkan bacaan malah mengajarkan kehidupan yang sepatutnya yang dapat disimpulkan daripada 7 ayat daripada surah pendek ini.


Ayah, Rebutlah!!


Wahai ayah yang sedang mendidik anak, seandainya engkau tahu membaca Al-Fatihah, rebutlah untuk dikau jadi yang pertama dalam mendidiknya membaca surah ini.


Bayangkan sekiranya anak anda seorang yang taat dalam beragama, sehari 17 kali surah ini dibaca dalam solat wajibnya hasil dari pengajaranmu, sudah pasti ada bekalan pahala untuk dibawa pulang. Itu baru solat fardhu kalau solat sunat? MasyaAllah terlalu banyak.


Ingatlah pesan Nabi SAW: “Apabila mati anak adam maka terputuslah seluruh amalnya kecuali 3; anak yang soleh yang mendoakannya, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat”.


Lihatlah walaupun si ayah sudah meninggal dunia, ilmu yang diajarkan berkaitan surah Al-Fatihah kepada anaknya masih mempunyai saham baginya, bagaimana pula seandainya anaknya pula mengajar pada cucu pasti pahalanya masih berjalan.


Wahai Ayah, jangan serah pada orang lain sedang kamu mampu mendidiknya!


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah