1
menuju ke Baitullah
menemukan titik misykat
2
menuju ke Arafah
setelah titik adalah fana
3
menuju Mudzalifah
mengutip tujuh biji batu
mengenal diri kita yang tujuh sifatnya
hayat, kudrat, iradat, sama’, basar, ilmu dan kalam
4
menuju ke Mina
melontar jamrah Aqabah
mengembalikan tujuh sifat
yang diamanahkan Allah kepada manusia
laa haiyun
laa qadiirun
laa muriidun
laa samii’un
laa basiirun
laa aalimun
laa mutakallimun
5
berada di Mina pada tiga hari tasyrik
melontar tiga jamrah
menyelesaikan lontaran sebanyak tujuhpuluh biji batu
mengapa tiga hari?
tiga hari adalah menyingkap tiga alam
nasut, malakut dan jabarut
tujuh biji batu laksana tujuhpuluhribu hijab
antara insan dan Allah
Ahadiyah
Wahdah
Wahidiyah
6
tawaf Haji
kembali ke titik
setelah menanggalkan tujuh sifat atau keakuan insan
kini insan itu pada hakikatnya tiada
ke mana pun kamu mengadap, di situlah Wajah Allah
7
sa’i
berjalan ulang-alik tujuh kali antara Safa dan Marwah
mikraj ke tujuh langit
mencari dan menemui Allah
tahallul
bebas dari wujud
insan mengenal dirinya
Lamaujuda bi Haqqi illallaah
wa Dzohiri
wa Bathinu
wa Awwalu
wa Akhiru
8
Wuquf
huuuuuuuu...
Kugulung alam ini
dalam NafasKu
*MAKSUD MENUNAIKAN HAJ-I DARI PERSPEKTIF SPIRITUAL*
Perkatakan HAJ adalah perkatakan Arab yang bermaksud PERGI.
Huruf "I" adalah metafora atau simbolik yang merujuk kepada AKU YANG SATU.
Makanya HAJ-I dari perspektif spirituality bermaksud : PERGI KEPADA AKU YANG SATU.
Dalam Syariat Islam, HAJ bermaksud Pergi ke Baitullah di Mekah bagi menunaikan salah satu dari rukun Islam.
Perkataan Baitullah atau Bayit-al-Lah merujuk kepada :
Bayit : Rumah
Al-Lah : Hakikat Pencipta yang bergelar Allah.
Perlu diingat bahawa perkataan Arab berakar umbi dari perkataan Hebrew makanya perkataan Bayit di dalam Hebrew dan Al- Bait di dalam Arab adalah membawa maksud yang sama iaitu RUMAH.
APAKAH ALLAH ITU BERUMAH ?
Perkataan Baitullah atau Rumah Allah itu bukan bermaksud Allah itu ada rumah. Rumah Allah yang dimaksudkan itu adalah sekadar METAFORA atau KIASAN atau SIMBOLIK sahaja. Allah itu Maha Suci dari segala sesuatu. Allah itu Maha Besar , Maha Sempurna yang tidak memerlukan segala sesuatu termasuklah tidak memerlukan rumah sebagaimana manu-sia memerlukan rumah sebagai tempat tinggal.
Golongan Syariat berkias Baitullah itu di Mekah. Sebahagian golongan makrifah berkias Baitullah itu di Qalbu Mukminin (dalam Hati orang Mukmin).
Realitinya Allah itu tidak berumah di Mekah dan Allah itu juga bukan bertempat di dalam Hati orang Mukmin. Itu hanyalah perkataan KIASAN atau SIMBOLIK semata-mata. Mustahil Allah itu memerlukan rumah di Mekah seperti manu-sia memerlukan rumah. Mustahil juga Allah itu hanya ada di "dada para mukmin" (Yang Benar) sahaja dan tiada di "dada bukan mukmin"(Yang Salah) sedangkan Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih, Maha Penyayang yang menciptakan makhlukNya yang terdiri dari orang-orang ber-Agama Islam dan orang-orang yang bukan ber-Agama Islam. Allah yang sama juga menciptakan orang-orang Kafir/Tidak MempercayaiNya (al-kafirun), orang-orang Musyrik (Yang MempersekutuNya dengan Tuhan lain), orang-orang Fasik (buruk kelakuannya) dan orang-orang Munafik (hipokrit).
Allah itu Omnipresent atau Wujud. Allah itu Wujud pada sekalian yang Ada dan pada sekalian yang Tiada. Allah wujud pada orang-orang Yang Benar (al-mukminun) dan al Kafirun. Allah itu wujud dalam Islam dan di luar Islam. Allah wujud pada orang-orang yang mempercayaiNya dan wujud pada orang-orang yang tidak mempercayaiNya.
Wujud Allah itu meliputi pada setiap ruang yang bertempat dan pada setiap ruang yang tidak bertempat. Dia wujud pada setiap ruang waktu dan setiap ruang yang tidak berwaktu. Itu tandanya Allah itu Maha sempurna yang tidak memerlukan rumah sebagaimana manu-sia memerlukan rumah, termasuklah tidak memerlukan rumah di Mekah dan tidak memerlukan rumah di dalam hati orang-orang mukmin.
Itu tandanya Allah itu Omnipotent atau Al-Qudrat ( Maha Berkuasa lagi Maha Kuat ), yang tidak memerlukan segala apapun.
Itu tandanya Allah itu Omniscient atau Al-Ilmun ( Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana), yang pengetahuanNya meliputi pada orang Islam, pada orang bukan Islam, pada orang Mukmin dan pada orang Musyrikin.
KESIMPULAN
Menunaikan HAJ-I ke BAITULLAH itu bermaksud :
PERGI KEPADA AKU YANG SATU YANG BERUMAH DI DALAM SETIAP DIRI YANG SEDAR !
Perkataan ini juga adalah METAFORA atau KIASAN.
Namun.....
Jika engkau SEDAR makanya, engkaulah Si Mukminun itu !
Jika engkau LALAI, makanya engkau adalah ibarat KELDAI yang hanya sekadar mengangkut kitab-kitab di belakangmu dan membawanya ke hulu ke hilir.
Ketahuilah.......
Di dalam Masjidil Haram itu ada Baitullah yang disebut Kaabah. Ada ramai orang yang sedang beribadah dan bertawaf mengelilingi Kaabah demi mengagungkan Allah. Siapakah Masjidil Haram itu? Siapakah Kaabah itu? Siapakah orang-orang yang beribadah dan bertawaf itu? Dan siapakah Allah itu?
Adakah Masjidil Haram itu lain dari Allah? Adakah Kaabah itu lain dari Allah? Adakah orang-orang yang beribadah dan bertawaf itu lain dari Allah?
Setiap orang yang beriman ada maqam dan jalannya masing-masing.
Ada orang yang menempuh jalannya:
La ilaha illallah – Tidak ada tuhan yang kusembah melainkan ALLAH
Ada orang yang menempuh jalannya:
La ilaha illa huwa – Tidak ada tuhan selain DIA
Ada orang yang menempuh jalannya:
La ilaha illa anta – Tidak ada tuhan selain Engkau
Ada orang yang menempuh jalannya
La ilaha illa ana – Tidak ada tuhan selain AKU
Namun bagi ahli sufi syuhudiyah tiada jarak dan jalan:
“Tidak ada apa-apa di setiap penjuru alam semesta, di dalam atau di luar alam semesta kecuali hanya DIA. Tidak ada Tuhan. Tidak ada AKU. Tidak ada DIA kecuali cuma DIA sahaja. Tiada yang ada selain DIA. Maka semuanya adalah DIA YANG MAHA ESA DAN MELIPUTI KEADAAN ZATNYA!”
DI setiap penjuru Masjidil Haram ada empat pintu utama. Satu pintu lagi di dalam Masjidil Haram iaitu di Kaabah. Pernah ditanya oleh pengunjung, mengapakah Kaabah mempunyai pintu dan mengapa pula pintunya sentiasa tertutup? Sedangkan pintu-pintu utama Masjidil Haram tidak pernah ditutup sepanjang masa atas sebab di dalam Masjidil Haram adanya kiblat iaitu Kaabah.
Bagi sesetengah orang yang masih awam pemikirannya, menyangkakan bahwa Kaabah itulah tempat kediaman Allah. Allah itu tinggal di dalam Kaabah. Tanggapan mereka ini ditertawakan oleh golongan berilmu. Kata mereka yang berilmu, mana mungkin Allah itu bertempat? Allah tidak tertakluk oleh ruang dan waktu. Kaabah itu hanya simbol arah kiblat sahaja. Namun bagi sesetengah kaum sufi yang mabuk cinta Ilahiyah mengatakan, jika kamu tidak menemukan Allah di dalam Kaabah, bererti Allah ada di luar Kaabah, dan jika kamu tidak menemukan Allah di luar Kaabah, bererti Allah ada di dalam Kaabah. Dan bagi sesetengah ahli hakikat yang sedar dalam ahwalnya mengatakan pula, Allah tidak di dalam Kaabah dan tidak di luar Kaabah, namun Kaabah itu tidak pula berpisah dengan Allah. Itulah satu-satunya ‘Rumah’ yang mempunyai hubungan dengan Allah, tidak seperti rumah-rumah kebiasaan di dunia ini. Jika tanpa Kaabah, bagaimanakah sholat kepadaNya itu hendak dihadapkan atau ditujukan? Jelasnya, bukan Allah tinggal di dalam Kaabah. Bukan juga Kaabah itu sebagai tempat atau benda untuk disembah menggantikan Allah. Bukan! Kaabah itu hanyalah buatan dan binaan manusia di bumi ini. Kaabah itu sekadar menjadi kiblat untuk kita menghadapkan diri kepada Allah.
Ketika Rasulullah s.a.w. memasuki dalam Kaabah setelah menawan Kota Mekah, di dalam Kaabah terdapat banyak sekali berhala-berhala sembahan yang ditinggalkan oleh kaum musyrikin jahiliyah sebelumnya serta lukisan-lukisan kepercayaan kaum nasrani yang masih terlekat di dalam dinding Kaabah itu, di antaranya menggambarkan Nabi Isa a.s. sedang didukung oleh ibunya Siti Mariam sebagai anak kelahiran tuhan. Berhala-berhala dan lukisan-lukisan itu segera dicampak keluar dari Kaabah serta dihapuskan samasekali. Setelah itu Baginda s.a.w. pun mengarahkan kepada sahabat-sahabat yang turut berada di dalam Kaabah itu supaya menutup pintu Kaabah.
Pintu Kaabah ditutup. Di dalam sebuah hadis, Al-Hakim Ya’ala bin Syidad meriwayatkan; “Ketika aku berada di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba beliau bersabda, “Apakah ada sesiapa lagi di antara kamu yang hadir di sini?” Kami menjawab; “Tidak ada, ya Rasulullah!” Lalu Rasulullah s.a.w. pun bersabda, “Tutuplah pintunya!”
Di dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Hati orang mukmin itu lebih utama dari Kaabah.”
Walaupun jika seseorang itu pernah melihat Kaabah dengan mata kepalanya sendiri di bumi Mekah, namun belum tentu dikatakan ia telah menerima secukupnya hidayat Allah dan terlepas dari segala belenggu kejahilan sebagaimana Abu Lahab dan Abu Jahal telah sering melihatnya.
Kaabah di Mekah ialah yang majazi dan dibangunkan oleh manusia atas perintah Allah sebagai tempat untuk mengingat Allah di Alam Nasut ini, sedangkan Kaabah Allah yang haqiqi adalah di dalam relung matahati mukmin yang terdalam dan Allah sendirilah sebagai penciptaNya tanpa ada campur-tangan makhluk. Kaabah inilah dikatakan sebagai Alam Malakut, Alam Jabarut dan Alam Lahut yang tidak boleh ditelusi dengan diri jasad yang kasar kecuali dengan diri bernama ruh.
Menurut pandangan ahli sufi yang mencapai mukasyafah bahwa di matahati terdalam manusia itu terdapat ‘sirr’ laksana cermin dimana melalui dalam diri manusia itu sahajalah Allah telah mengungkapkan tabir DiriNya dengan sempurna dan bukan di dalam DiriNya sendiri. Jika Dia hanya berada di dalam tanzihnya, maka tiada makhluk yang dapat mengenalNya. Justeru itulah Dia hanya boleh dikenali melalui tasybih dan pada manusia itulah tasybih yang sempurna untuk mengenalNya dengan sebenar-benarnya kenal. Dengan ertikata lain, syuhud musyahadah (penyaksian) itu hanyalah sempurna setelah Allah mentajallikan DiriNya kepada manusia yang kamil, kerana manusia itu ibarat cermin yang memiliki dua permukaan; satu di sisi yang gelap dan satu lagi di sisi yang cerah. Ke manakah lagi cahaya itu wajar disorotkan jika tidak kepada sudut yang gelap?
Ada suatu golongan menegaskan Allah tidak bertempat dan amat salah sekali jika mengatakan Allah itu bertempat kerana Allah sememangnya tidak memerlukan tempat, Allah lebih dahulu ada sebelum adanya tempat. Pendapat sedemikian memang benar, akan tetapi apakah mustahil jika Allah ingin memperlihatkan DiriNya pada tempat sebagaimana dijanjikan untuk melihat ZatNya di syurga, atau seperti Rasulullah s.a.w. melihat ZatNya di Sidratul Muntaha, atau seperti firmanNya bahwa Dia bersemayam di atas singgahsanaNya yang bernama Arasy?
Sesungguhnya apa yang dikatakan tempat adalah juga apa yang telah diciptakan Allah dan Allah jua yang membuat dan menentukan pilihanNya tanpa ada yang boleh mempersoalkan dan menghalangi keinginanNya untuk perbuatanNya itu. Sesungguhnya Allah maha berkuasa atas segala sesuatu. Misalnya Dia telah memperlihatkan unggun api di dalam hutan kepada Nabi Musa a.s. sebagai menghadirkan DiriNya berkata-kata secara langsung kepada Nabi Musa a.s. Di sini bukan bermakna ketuhanan itu telah bertukar atau menjelma sebagai api atau api menjadi ketuhanan. Tetapi melalui api itulah tabirNya telah tersingkap kerana api itu sendiri tidak memiliki wujud dan sebab penampakan adanya api itu ialah bersandarkan semata-mata kepada wujud ketuhanan.
Dia yang menamakan diriNya Al-Lathif (Yang Maha Halus serta Yang Maha Lembut), justeru itu bukankah Dia yang sebenarnya telah melembutkan dan mendinginkan api tatkala Nabi Ibrahim Khalilullah a.s. dihumbankan ke dalam api yang pada fikiran orang awam bahwa api itulah yang berkuasa untuk menghangatkan dan membakarkan? Padahal api itu hanyalah sekadar asbab yang tertakluk pada hukum akal, hanyalah sekadar misal atau gambaran yang tidak ada wujud dan sesungguhnya Dialah yang menampakkan rupa api itu serta memberikan sifat yang panas atau dingin menurut kehendakNya. Jika Dia telah melembutkan api itu agar kekasihnya Nabi Ibrahim a.s. tidak terbakar, maka apakah Dia juga tidak boleh melembutkan ‘tempat’ agar Dia dapat dilihat oleh makhlukNya iaitu manusia?
Diceritakan dalam Suluk Wujil , ketika Sunan Kalijaga berada di negeri Melaka, tiba-tiba beliau berhasrat pergi ke tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Namun hasratnya itu ditahan dahulu oleh Sunan Maulana Maghribi dan memohon agar beliau pulang ke tanah Jawa. Alasan yang diberikan oleh Maulana Maghribi ialah jika Sunan Kalijaga meninggalkan tanah Jawa pada masa itu, maka orang-orang Jawa yang sebelumnya beragama Hindu dan baru saja memeluk Islam akan menjadi murtad dan terus meninggalkan agama Islam.
Diceritakan juga di dalam riwayat Suluk Linglung , sebaik saja Sunan Kalijaga sudah pun bersiap-siap dan tetap hendak menuju ke Mekah, tiba-tiba di tengah perjalanan itu beliau terserempak dengan Nabi Khidir a.s. Nasihat Nabi Khidir a.s. kepada beliau, supaya tidak meneruskan perjalanannya itu jika beliau sendiri pun belum memahami maksud apa yang mahu dituju itu. Kemudian, melalui pengajaran yang didapati daripada Maulana Maghribi, barulah Sunan Kalijaga mengerti bahwa Mekah yang ada di Jazirah Arab itu hanyalah apa yang ada di atas muka bumi ini yang tak kekal dan akan fana, sedangkan Mekah yang haqiqi atau sejati itu sebenarnya ada di dalam dirinya sendiri.
Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. hanya merupakan khazanah batu-batu asas peninggalan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya Nabi Ismail a.s. Kaabah yang ada di Mekah itu, jika dilihat dari bawah, tampak langit di atas, jika dilihat dari atas, tampak langit di bawah. Jika dilihat dari arah timur, tampak barat. Jika dilihat dari arah barat, tampak timur. Penglihatan itu boleh berbalik-balik ke arah mana pun kita memandang.
Di penjuru tenggara Kaabah itu ada “ceruk”. Di dalam “ceruk” itu adanya Hajar Aswad, batu hitam yang diturunkan dari Syurga dan sunnat dikuncup oleh jemaah haji. “Ceruk” itu ada juga disebutkan di dalam Al-Qur’an Surah An-Nur: 35 yang dinamakan “Misykat”, yakni sebuah ceruk yang di dalamnya ada pelita besar. Seperti dinyatakan di dalam hadis, hati mukmin itu adalah Baitullah. Lantaran itu hati mukmin adalah Kaabah yang haqiqi, tidak di timur dan tidak pula di barat, tidak berada di atas tidak pula di bawah, ianya bertempat di dalam atau di tengah-tengah jasad manusia. Di dalam hati mukmin yang bernama “Ceruk” itu ada pula matahati yang lebih terdalam iaitu Cahaya di atas Cahaya.
Sebagaimana di dalam Kaabah itu kosong, begitulah seharusnya hati seorang mukmin itu kosong dari segala akwan (gambaran-gambaran duniawi) dalam kesedarannya bahwa Allah itu Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya. Hati seorang mukmin yang layak bergelar Baitullah, maka di dalamnya harus selalu adanya Allah, hidup bersama Allah, di mana sahaja pun mereka berada, mereka kekal dengan Allah tanpa mengira waktu dan tempat.
TIDAK DIJEMPUT ALLAH MENUNAIKAN HAJI KERANA KUOTA HAJI TELAH PENUH ?
Jika engkau telah mampu untuk mengerjakan HAJI namun engkau masih tidak dibenarkan untuk mengerjakannya, maka tenangkanlah jantungmu kerana jika engkau tenang, engkau akan SEDAR bahawa ada maksud yang lebih mendamaikan dan ada TUJUAN yang lebih realistik di sebalik perkataan Haji itu.
Haji itu adalah sebahagian dari hal-hal agama yang telah dipolitik dan diperdagangkan. Banyak hal-hal ibadah keagamaan termasuk Haji telah dijadikan bahan perdagangan oleh pihak pihak berkepentingan untuk mendapatkan wang.
Justeru itu engkau perlu faham 5 syarat wajib Haji sebelum engkau boleh mengerjakannya.
1. ISLAM : Engkau perlu memahamkan perkataan ISLAM supaya engkau beroleh SELAMAT sebelum dan selepas mengerjakan hal HAJI-I
2. BERAKAL : Engkau perlu BIJAK-SANA dan BIJAK-SINI dalam memahamkan maksud HAJ-I. Bijak-sana itu adalah bijak memahamkan hal di LUAR Diri engkau. Bijak-sini itu adalah bijak memahamkan hal di DALAM Diri engkau.
3. BALIGH : Engkau perlu MATANG dalam pemikiran engkau agar engkau tidak buta-buta ditipu dan tidak membuta tuli mengikut dogma dan doktrin pihak-pihak yang berkepentingan yang menggunakan haji sebagai sumber mendapatkan wang.
4. MERDEKA : Engkau perlu MEMBEBASKAN Diri engkau dari segala doktrin keagamaan yang terpesong dari kebenaran Agama. Jangan jadi lembu yang ditarik hidung, mengikut saja tanpa tahu apa yang diikut.
5. MAMPU : Engkau perlu MAMPU mengalahkan kuasa pihak-pihak yang berkepentingan. Disebabkan haji telah dikawal dan diperdagangkan oleh pihak pihak yang berkepentingan, makanya engkau harus MAMPU dan BERKUASA untuk mengatasi kuasa mereka. Kuota Haji ada di tangan Pak Arab. Kuota Haji ada di tangan Raja, di tangan Pak Menteri dan di tangan-di tangan mereka yang 'berkuasa', makanya engkau perlu MAMPU untuk mengatasi kuasa mereka jika engkau benar-benar ingin ke Mekah untuk menunaikan haji, namun engkau hanya perlu BERKUASA ke atas Diri engkau sendiri andai engkau ingin naik HAJI-I.
KESIMPULAN
Jika engkau KENAL pihak yang BERKUASA, kuota haji bukan lagi jadi isu. Engkau boleh saja pergi menunaikan haji setiap hari atau tahun jika engkau KENAL akan si Raja atau Pak Menteri yang bertanggung jawap atau KENAL dengan mana mana penguasa yang berkuasa. Segalanya tentang KENAL dan KUASA !
Jika engkau tidak KENAL si Penguasa, terpaksalah engkau ikut SISTEM yang ada. Jika engkau MATI dalam keadaan engkau telah berkemampuan, tapi masih tidak "dijemput Allah" menunaikan haji, jawap saja pada Malai-kat yang bertanya dengan mengatakan......
Bukan salah aku...
Kuota Haji Dah Penuh !
Bolehkah ?
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yg bermaksud'' Membaca Subhanallah walhamdulillah walaailahailallahu wallahu akbar 7X bersamaan mengerjakan haji di Mekah''
Renungkanlah....
#WuqufQolbi