TUJUAN BERDOA


Tujuan orang mukmin memohon doa kepada Allah SWT adalah untuk:

1. Mendapatkan rahmat dan rezeki daripada Allah ‘Azza wa Jalla.
2. Memastikan permintaan yang dihajati itu mendapat restu dari-Nya.
3. Mendekatkan diri kepada Illahi dengan menginsafi bahawa dirinya adalah ciptaan Allah Yang Maha Khaliq.

SYARAT DOA

Syarat-syarat berdoa bagi memastikan permohonannya diterima oleh Allah SWT adalah:

Berdoa perlu penuh dengan keyakinan dan harapan.

Doa mesti disertai dengan konsentrasi dan hati khusyuk.

Gunakan bahasa yang mudah dan suara lunak.

Berasa rendah dan hina diri, serta hadir di hati.

Tidak berdoa untuk perkara maksiat.

Tidak berdoa memutuskan silaturahim.

Jangan berdoa untuk perkara-perkara mustahil atau ditegah.

Jangan berdoa untuk keburukan diri sendiri atau orang lain.

Yakin doa itu didengar dan diperkenankan.

Doa hendaklah disertakan dengan kesabaran.

Tidak gopoh. Jangan mengharap pengabulan serta-merta.

Tidak menyalahkan Allah atau orang lain sekiranya doa masih tidak terkabul atau lambat dikabulkan.

DIPERKENANKAN DOA

Jangan cepat salahkan Allah jika doa tidak termakbul. Doa-doa atau ayat al-Quran yang dibaca bukanlah faktor utama kesembuhan atau kemakbulan doa, ia hanya merupakan kaedah-kaedah sebagai ikhtiar dengan tujuan untuk mendapatkan kemakbulan daripada Allah.

Sekiranya doa tersebut dikabulkan Allah dengan kadar segera, maka kita hendaklah bersyukur. Sebaliknya, hendaklah bersabar sekiranya doa yang dipohon lambat dikabulkan atau tidak dikabulkan sama sekali kerana Allah Maha Mengetahui rahsia terhadap qadak dan qadar ketentuan-Nya.

Doa yang dipohon ada kalanya diperkenankan ketika seseorang itu masih hidup dan ada doa yang diperkenankan, tetapi ditangguhkan di akhirat kelak.

Allah memperkenankan doa dalam tiga bentuk:

1.     Diperkenankan doa itu ketika di dunia, dengan diberikan apa sahaja yang dihajatkan.

2.     Doanya diperkenankan, tetapi hajat itu disimpan dan akan diberikan pada hari akhirat.

3.     Doa diperkenankan, tetapi bukan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan daripada keburukan dan bala bencana.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seseorang yang berdoa dengan sesuatu doa melainkan dikabulkan baginya, sama ada disegerakan baginya di dunia, dan ada kalanya ditangguhkan baginya di akhirat, dan ada kalanya baginya akan dihapus dosa-dosanya dengan kadar apa yang dia berdoa, selagi dia tidak berdoa dengan sesuatu dosa atau memutus hubungan keluarga atau tergesa-gesa seraya mengatakan: Aku berdoa wahai Tuhanku, maka bagaimana Dikau tidak mengabulkan kepadaku.”   (HR Ahmad dan Hakim)

HIKMAH BERDOA

Beristiqamah dalam berdoa dapat membentuk peribadi mulia.

Doa akan diterima jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka ini akan membentuk sifat sabar, jujur dan ikhlas hati.

Sebaik-baik hamba itu ialah mereka yang sentiasa melakukan sesuatu amalan terus-menerus, sentiasa ingat kepada Allah ketika senang dan susah, bukan hanya ketika susah dan melupakan-Nya ketika senang.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah