Setelah
masyarakat Islam di Madinah makin stabil, Rasulullah Saw ingin memulakan jihad
dengan Kafir Quraisy. Rasulullah Saw mahu menyekat kekuatan ekonomi kafir dan
dengan itu melemahkan kedudukan mereka yang sangat memusuhi dakwah ini. Melalui
operasi-operasi ini Rasulullah Saw ingin menyampaikan kepada Kafir Quraisy
bahawa Kafir Quraisy mesti berlembut dengan orang Islam dan memberi peluang
kepada Umat Islam menyampaikan dakwah dengan bebas kepada orang ramai, membenarkan
orang Islam masuk Mekah untuk beribadah. Kalau tidak kepentingan perniagaan
mereka akan tergugat. Pasukan-pasukan ini juga mengambil peluang menyampaikan
Islam kepada kabilah-kabilah yang mereka lalui. Ketika itu Rasulullah Saw dapat
berita ada kafilah dagangan Kafir Quraisy yang dipimpin oleh Abu Jahal pulang
dari Syam yang dikawal oleh 300 orang lelaki. Jadi Sariah (pasukan tentera yang
bukan dipimpin oleh Rasulullah Saw) pertama yang dibentuk oleh Rasulullah Saw
ialah seramai 30 orang yang dipimpin oleh Saidina Hamzah. Mereka terus bergerak
ke arah perjalanan kafilah ini. Ketika itu kafilah Abu Jahal berada di kawasan
Bani Dhamrah. Ketua Bani Dhamrah Mujdeyy bin A'mr menyekat pasukan Saidina
Hamzah dari kafilah Abu Jahal. Dengan itu kafilah dapat melepaskan diri
sedangkan Saidina Hamzah pula hanya diperintahkan untuk menyekat kafilah bukan
memerangi Bani Dhamrah. Peristiwa ini berlaku pada bulan Ramadhan tahun pertama
Hijrah.
Bulan
depannya, bulan Syawal, Rasulullah Saw mempersiapkan satu lagi Sariah, kali ini
dipimpin oleh Saidina Ubaidah bin Harist bin Abdul Mutalib bersama 60 orang
Sahabat semuanya daripada muhajirin Kafir Quraisy. Ini kerana Rasulullah Saw
ingin fahamkan kepada masyarakat bahawa ini bukan kabilah lawan kabilah, tapi
ini urusan agama. Rasulullah Saw juga ingin memelihara baia'h Ansar. Semua
tempat Sariah ini bergerak adalah di luar Madinah sedangkan Nasar telah
berbaia'h mempertahankan Rasulullah Saw di Madinah. Begitulah kehalusan
Rasulullah Saw dalam memipin manusia. Kafilah Kafir Quraisy kali ini seramai
200 orang dipimpin oleh Abu Sufyan berjaya melepaskan diri mereka dari tentera
Islam bilamana Abu Sufyan memerintahkan orang-orangnya memanah tentera Islam
supaya mereka tidak boleh mara dan kafilah sempat melepaskan diri.
Dipenghujung
bulan ini juga Rasulullah Saw mempersiapkan satu Sariah lagi seramai 20 orang
dibawah pimpinan Saidina Saad bin Abi Waqas yang juga sepupu Rasulullah Saw
dari sebelah ibunya. Begitulah Umat Islam terus berjuang tanpa rehat. Kali ini
mereka berjalan kaki untuk menyekat kafilah Kafir Quraisy di luar Madinah. Kali
ini bila-bila mereka sampai dikawasan laluan kafilah, kafilah sudah mendahului
mereka. Dalam tempoh ini juga datang berita kematian Al walid bin Mughirah
salah seorang pemimpin Kafir Quraisy yang sangat memusuhi Rasulullah Saw dan
orang Islam. Selepas itu Rasulullah Saw sendiri memimpin Ghazwah Abwa', Ghazwah
pertama yang dipimpin oleh Rasulullah Saw. Peristiwa ini pada bulan Safar tahun
kedua hijrah. Iaitu selepas selesai 4 bulan Haram, Zulqaedah, Zulhijjah,
Muharram, Rejab. Kali ini Rasulullah Saw bertemu dengan kafilah Kafir Quraisy
juga di Bani Dhamrah. Ketua mereka datang
Berjumpa Rasulullah Saw meminta jangan berlaku peperangan dikawasan
mereka. Mereka juga minta perjanjian keamanan daripada Rasulullah Saw dan
orang-orang Islam. Berlakulah perjanjian keamanan diantara Rasulullah Saw dan
Bani Dhamrah. Inilah perjanjian keamanan pertama yang berlaku dalam sejarah
Islam.
Pada
bulan Rabiul Awal, sekali lagi Rasulullah Saw sendiri keluar memimpin tentera
Islam dalam Ghazwah Buwwaq bersama 200 orang tentera Islam untuk menyekat satu
kafilah Kafir Quraisy yang besar terdiri dari 2500 ekor unta yang penuh dengan
muatan, dikawal oleh 100 orang pahlawan Kafir Quraisy. Kafilah ini dipimpin oleh
Umayyah bin Khalaf, tuan Saidina Bilal sebelum dia dibebaskan, yang telah
mengazab Saidina Bilal. Kafilah ini juga sempat melepaskan diri melalui jalan
jauh.
Dua
bulan selepas itu iaitu dalam bulan Jamadil Awal, Rasulullah Saw keluar lagi
memimpin tentera Islam dalam Ghazwah Al A'syirah juga untuk menyekat kafilah
dagang Kafir Quraisy dari Syam. Bila tentera Islam sampai di Bani Madleej.
Mereka pula menghalang tentera Islam dari kafilah, mereka juga minta perjanjian
keamanan dari Rasulullah Saw. Rasulullah Saw tinggal di kawasan kabilah ini
selama sebulan untuk mengukuhkan lagi kekuatan dan Izaah Umat Islam ketika itu.
Jadi dengan itu Rasulullah Saw telah mengepung dan menguasai semua laluan
kafilah berdagang diantara Mekah dan Syam. Orang Kafir Quraisy makin sulit
untuk melalui jalan itu.
Selepas
10 hari Rasulullah Saw pulang dari Bani Madleej. Kabilah Fihr datang menyerang
ujung Madinah, mereka mencuri buah-buahan Madinah dan membunuh seorang peladang
dari Ansar diladangnya. Rasulullah Saw mendengar jeritan orang jadi Rasulullah
Saw terus berkejar ketempat suara, para Sahabat mengikut dari belakang. Bani Fihr
ini terpaksa melepaskan buah-buahan yang mereka curi dan juga bekalan yang
mereka bawa untuk melepaskan diri dari tentera Islam.
Sebelum
peperangan Badar, Rasulullah Saw mengahantar satu Sariah dibawah pimpinan
Saidina Abdullah bin Jahash. Pasukan ini seramai 8 orang tentera Islam.
Diantara 8 orang ini ada Saidina Saad bin Abi Waqas. Ditengah jalan, unta
tunggangan Saidina Saad terlepas dan lari, jadi Saidina Saad dan sorang lagi
Sahabat yang berkongsi kenderaan dengannya terpaksa keluar mencari unta mereka.
Ketika itu sampai kafilah Kafir Quraisy. Ketika itu hari terakhir bulan Rejab,
bulan Haram. Saidina Abdullah sangka dah masuk 1 Syaaban. Jadi mereka serang
kafilah ini, ada yang sempat lari, tentera Islam membunuh Amru bin Hadrami.
Inilah Kafir Quraisy pertama yang dibunuh oleh orang Islam, mereka menawan 2
orang lagi dan membawa balik semua kafilah dagangan ini. 2 orang tawanan ini
juga merupakan tawanan pertama dalam Islam iaitu Al Hakam bin Kaisan dan Othman
bin Abdullah. Kafilah ini merupakan harta ghanimah yang pertama dalam Islam.
Tetapi yang menjadi masalah hal ini berlaku dalam bulan haram iaitu bulan
Rejab.
Ketika
itu kafir Quraisy dah sebarkan pada seluruh Arab bahwa orang Islam telah
menghalalkan bulan Haram sedangkan hal itu merupakan dosa dan kesalahan besar
bagi orang Arab. Kemudian Kafir Quraisy menghantar wakil ke Madinah untuk
membawa balik 2 orang tawanan mereka. Rasulullah Saw menerangkan kepada mereka
bahawa Umat Islam juga mengharamkan peperangan dibulan Haram tetapi hal yang
berlaku ini dipenghujung bulan Haram yang mana Saidina Abdullah ini menyangka
sudah masuk bulan Syaaban. Bukan kerana orang Islam sengaja tidak menghormati
bulan Haram. Rasulullah Saw tidak melepaskan tawanan sehingga Saidina Saad dan
Saidina Utbah bin Ghazwa pulang kerana Rasulullah Saw takut mereka ditawan oleh
Kafir Quraisy. Al Hakam bin Kaisan, setelah dibebaskan memilih untuk terus
tinggal di Madinah dan masuk Islam. Seorang lagi pulang ke Mekah dan meninggal
dunia selepas itu.
Dengan
peristiwa ini turun ayat Allah menjawab tuduhan Kafir Quraisy yang menuduh Umat
Islam menghalalkan perang dibulan Haram.
Yang sebenarnya Kafir Quraisylah yang tidak menghormati bulan haram kerana
mereka telah mengeluarkan orang Islam dari tanah Haram dan melakukan fitnah
kepada mereka di tanah haram dan dibulan Haram. Ini lebih besar dosanya disisi
Allah.
Kemudian
kita masuk kepada sejarah perubahan qiblat dari Masjidil Aqsa kepada Masjidil
Haram. Hati Rasulullah Saw dah lama ingin mengadap ke Masjidil Haram. Sewaktu
di Mekah Rasulullah Saw sembahyang mengadap Baitul maqdis tetapi Rasulullah Saw
menjadikan Ka'bah berada didepannya. Jadi Rasulullah Saw mengadap kaabah dan
Baitul maqdis. Tapi bila hijrah ke Madinah. Madinah di Utara, baitul maqdis
juga di Utara Mekah, jadi kaabah sudah berada dibelakang. Jadi Rasulullah Saw
sentiasa menunggu-nunggu bilakah Allah akan ubah Kiblat dari Masjidil Aqsa
kepada Masjidil Haram. Maka Allah kabulkan keinginan hati Rasulullah Saw ini.
Orang
orang Yahudi mengambil peluang ini untuk menimbulkan fitnah lagi, kata mereka,
apakah ini satu agama, sekejap mengadap Baitul Maqdis sekarang dah berubah
mengadap Kaabah pula. Allah terus jawab tuduhan ini dalam firmannya.
Allah
juga jadikan peristiwa ini sebagai ujian untuk menguji keyakinan umat Islam.
Setiap masa ada saja ujian yang Allah datangkan untuk mengukuhkan lagi Iman
orang orang Islam.
Pada
bulan Syaaban tahun kedua Hijrah turun perintah berpuasa Ramadhan. Ramadhan
pertama para sahabat berpuasa ialah Ramadhan pada tahun kedua selepas Hijrah.
Bila masuk bulan Ramadhan Rasulullah Saw berpuasa dan semua masyarakat Islam
berpuasa dengan Rasulullah Saw. Maka dalam bulan Ramadhan yang mulia inilah
berlaku peperangan Badar yang merupakan peperangan paling agung dalam sejarah
Islam. Ketika itu sampai berita ada kafilah Kafir Quraisy yang besar pulang
dari Syam. Kafilah yang besar ini 1000 ekor unta hanya dikawal oleh 40 orang
lelaki yang diketuai oleh Abu Sufyan. Allah jadikan kafilah ini istimewa dari
kafilah-kafilah lain kerana semua peniaga Kafir Quraisy menghantar barang
dagangan mereka melalui kafilah ini. Jadi ini kafilah dagangan bersama diantara
semua pedagang-pedagang Kafir Quraisy. Kafilah ini menjadi perhatian semua
orang. Jadi Rasulullah Saw memberi tahu masyarakat Islam bahawa baginda akan
memimpin sendiri tentera Islam kali ini. Allahlah yang menyusun segala-galanya.
Rasulullah
Saw membuka peluang kepada siapa yang nak menyertai pasukan ini. Tidak ada
perintah pada waktu itu. Para Sahabat semua buat persiapan. Jumlah yang keluar
bersama dengan Rasulullah Saw 313 orang lelaki. Rasulullah Saw dan 313 tentera
Islam ini bergerak ke tempat laluan kafilah.
Dalam
masa yang sama ada satu peristiwa berlaku di Mekah iaitu Atikah binti Abdul
mutalib ibu saudara Rasulullah Saw yang masih berada di Mekah ketika itu melihat
dalam mimpinya seorang lelaki berdiri di Abtoh dan menjerit menyeru : Wahai
orang khianat kepada Islam, bersiaplah untuk kematian kamu 3 hari dari
sekarang. Kemudian lelaki itu datang ke Ka'bah dan menyeru dengan seruan yang
sama : wahai orang yang khianat dengan Islam tunggulah kematian kamu 3 hari
lagi. Kemudian lelaki ini naik ketas Jabal Qubais ditepi Ka'bah dan dia seru lagi
dan kemudian dia ambil seketul batu dan dia melontarkannya ke arah rumah-rumah
penduduk Mekah. Batu itu pecah berkecai, serpihannya masuk ke dalam rumah
setiap penduduk Mekah. Sayyidah Atikah menceritakan mimpi ini kepada saudaranya
Saidina Abbas bin Abdul Mutalib, dia minta Saidina Abas jangan beritahu
sesiapapun. Saidina Abas yang berSahabat baik dengan walid bin Utbah, menceritakan
mimpi ini kepada Walid bin Utbah, Walid cerita pada ayahnya Utbah dan tersebar
cerita itu di Mekah dalam keadaan Saidina Abas tidak tahu hal ini, dia sangka
hanya setakat Walid sahaja.
Besoknya
selepas Saidina Abas tawaf di Ka'bah, Abu Jahal panggil dia, ajak duduk sekali
dengan pembesar-pembesar Kafir Quraisy yang lain. Abu Jahal kata pada Saidina
Abbas, wahai Abbas, aku tengok kamu Bani Abdul Mutalib ini, makin bertambah
Nabi dikalangan kamu. Apa maksud kamu Abu Jahal? Tanya Saidina Abas. Kata Abu
Jahal, sebelum ini ada lelaki dari kalangan kamu yang mengaku jadi Nabi dan
sekarang ada perempuan pulak yang nak jadi Nabi. Saidina Abas yang tak tahu
cerita mimpi itu dah tersebar, merasa pelik dengan kata-kata Abu Jahal. Dia
Tanya lagi Abu Jahal, apa yang dah berlaku sebenarnya? Abu Jahal terus terang,
mimpi Atikah! Mimpi apa? Tanya Saidina Abas. Kali ini Saidina Abas terpaksa
menafikan mimpi itu, dia takut apa yang Sayyidah Atikah mimpi itu tak berlaku.
Ketika itu Abu Jahal mencabar Bani Abdul Mutalib, kata Abu Jahal, kalau tidak
berlaku apa-apa dalam masa tiga hari ini, kami akan buat kenyataan bertulis
bahawa Bani Abdul Mutalib adalah Bani yang paling penipu dikalangan Arab. Bila
cerita ini sampai pada keluarga Saidina Abas yang lain, mereka semua marah
kenapa Saidina Abas membiarkan Abu Jahal mempersendakan Bani Abdul Mutalib.
Ketika itu Saidina Abas berazam, lepas tiga hari ini kalau Abu Jahal nak
perlecehkan lagi Bani Abdul Mutalib, dia akan pukul Abu Jahal.
Kita
kembali kepada kisah kafilah Kafir Quraisy. Abu Sufyan yang memimpin kafilah
ini juga sangat berhati-hati, dia siap hantar perisik, memastikan kalau ada apa
halangan dalam perjalanan. Rasulullah Saw juga menghantar perisik untuk
memastikan perjalanan kafilah ini. Rasulullah Saw hantar dua orang Sahabat,
mereka pergi sampai dekat perigi Badar, disitu mereka nampak ada seorang lelaki
duduk disitu dan dua orang Jariah sedang ambil air. Daripada perbualan dua
orang jariah ini mereka dapat tahu bahwa kafilah Abu Sufyan dah dekat. Terus
mereka pulang memberitahu Rasulullah Saw. Ketika itu juga Abu Sufyan keluar
sendiri untuk memastikan perjalanan kafilahnya selamat. Akhirnya dia juga
sampai ke perigi Badar ini. Dia Tanya dekat lelaki yang duduk disitu, apakah
dia ada melihat sesiapa disitu. Kata lelaki itu, aku ada nampak dua orang
lelaki datang tak jauh dari sini tapi mereka tak datang ke perigi, lepas itu mereka beredar. Abu
Sufyan pergi ketempat dua lelaki itu berhenti, dia dapat kesan tapak kaki unta
dan biji tamar dalam najis unta disitu. Dari situ Abu Sufyan tahu itu unta
orang Madinah, kerana hanya orang Madinah bagi unta makan tamar kerana mereka
banyak tamar. Jadi Abu Sufyan tahu kafilahnya dalam bahaya. Abu Sufyan terus
hantar wakil ke Mekah minta orang Mekah hantar tentera untuk selamatkan kafilah
mereka. Abu Sufyan rasa tak mungkin dia terlepas kali ini dari Rasulullah Saw
dan tentera Islam.
Untuk
itu Abu Sufyan pilih Dham Dham bin Amr, seorang pakar propaganda dikalangan
orang orang Abu Sufyan. Dham Dham segera memecut untanya ke Mekah. Bila sampai
dekat Mekah, dia koyakkan pakaiannya dan dipakai semula dalam keadaan terbalik
dan terkoyak-koyak. Kemudian dia cederakan untanya diambil darah dan disapu
kemuka, badan dan pakaiannya. Keadaannya memang menakutkan dan seolah-olah
sudah berlaku perang. Bila dia sampai di Abtoh, dia menjerit, tolong-tolong,
ada malapetaka. Orang Mekah berkejaran ketempatnya, bila orang Tanya apa yang
berlaku dia tak jawab. Tapi dia terus menjerit, tolong-tolong ada malapetaka
besar. Orang Tanya dia tak jawab dan dia terus bergerak menuju ke Ka'bah, jadi
orang ramai ikut dibelakangnya. Jadi satu perarakan tergempar. Sampai di Ka'bah
dia menjerit lagi dan akhirnya dia naik ke Jabal Qubais. Ketika itu orang Mekah
semua keluar ke Ka'bah ditepi jabal Qubais. Dari atas bukit dia menjerit lagi,
tolong-tolong, ada malapetaka besar.!! Bila dia melihat orang dah ramai
berkumpul, baru dia ceritakan apa yang berlaku. Dengan itu orang Mekah terus
bersiap untuk keluar mempertahankan kafilah mereka.
Mari
kita dengar pula cerita dari Saidina Abas, kata Saidina Abas, sebelum Dham Dham
sampai, dia keluar Tawaf di kaabah, hari itu hari ketiga selepas mimpi Sayyidah
Atikah. Dia dah berazam akan pukul Abu Jahal kalau Abu Jahal berani cakap yang
bukan-bukan lagi. Kata Saidina Abas,
semasa Aku tawaf aku nampak Abu Jahal datang bergegas-gegas tapi tak ada
bercakap apa-apa pada aku. Kata Saidina Abas dalam hati, takkan sampai begini
Abu Jahal takut dengan aku. Ketika itu baru Saidina Abbas mendengar jeritan
Dham Dham.
Jadi
semua orang sibuk bersiap, semua pembesar-pembesar Kafir Quraisy bersiap
kecuali dua orang. Abu Lahab bapa saudara Rasulullah Saw, dia upah seorang
pemuka Kafir Quraisy yang lain yang ada hutang dengannya mengantikan tempatnya
dalam tentera Kafir Quraisy. Dengan itu Abu Lahab langsaikan semua hutang-hutangnya.
Seorang lagi yang tak mahu keluar ialah Umayyah bin Khalaf, dia tak berani
keluar sebab pernah satu ketika dia mencaci Saidina Saad bin Muaz salah seorang
ketua Ansar yang tawaf di Ka'bah. Kata Saidina Muaz kepada Umayyah, engkau caci
aku sekarang tak apa, tapi Rasulullah Saw telah memberitahu kami, kami akan
bunuh kamu. Umayyah Tanya, di Mekah atau di luar Mekah orang Islam akan bunuh
aku? Kata Saidina Saad, Rasulullah Saw tak beritahu tempatnya. Jadi dengan
sebab itu dia takut nak keluar perang kali ini. Dia takut dengan kata-kata
Rasulullah Saw ini.
Sedang
dia duduk di Ka'bah dengan orang-orangnya, datang Uqbah bin Muayyeth, dia bawa
perasap wangian dan diletakkan didepan Umayyah. Kata Uqbah kepada Umayyah,
wahai Umayyah, berasaplah dan berwangi-wangilah, kamu ini perempuan, orang
semua sibuk bersiap untuk perang kamu masih duduk-duduk disini. Marah Umayyah,
tercabar dia, terus dia bangun dan bersiap untuk keluar perang. Ketika sibuk-sibuk
bersiap itu, Kafir Quraisy teringat pula pergaduhan antara mereka dengan Bani
Kinanah. Mereka mula teragak-agak nak keluar perang, takut Bani Kinanah ambil
peluang ini untuk menyerang Mekah. Kata Rasulullah Saw, Iblis bila tengok Kafir
Quraisy teragak-agak, dia nak peringat Kafir Quraisy supaya jadi keluar
memerangi Rasulullah Saw, supaya habislah Rasulullah Saw dan para Sahabat kali
ini. Jadi, Iblis ini datang dalam wajah Suraqah bin Malik salah seorang
pembesar Bani Kinanah, dia memberi jaminan pada Kafir Quraisy bahawa Kinanah
tidak akan menyerang Mekah. Allah cerita hal ini yang direkodkan dalam Quran.
Berita
kedatangan tentera Kafir Quraisy ini belum sampai lagi kepada Rasulullah Saw.
Rasulullah Saw dan para Sahabat terus memburu kafilah Abu Sufyan. Sementara itu
Kafir Quraisy telah berjaya menghantar 950 lelaki yang lengkap dengan persiapan
perang sedang kan Rasulullah Saw dan para Sahabat bukan datang untuk berperang
tapi sekadar nak sekat kafilah Abu sufyan saja. Sebab itu dari 313 itu hanya
ada 70 ekor unta, tentera Islam berganti-ganti naik unta dan hanya ada 2 ekor
kuda, Ada yang jalan kaki.
Jadi
persiapan tentera Islam bukan untuk berperang sedangkan tentera Kafir Quraisy
terdiri dari 950 orang lelaki, 200 ekor kuda dan yang lain semua menunggang
unta, ini tak termasuk unta yang dibawa untuk disembelih untuk makanan.
Perempuan Kafir Quraisy pun keluar sekali, memberi semangat dan menyanyi untuk
tentera. Kemudian wahyu kepada Rasulullah Saw tentang tentera Kafir Quraisy yang
sedang bergerak. Ketika itu Rasulullah Saw mengumpulkan para Sahabat.
Rasulullah Saw menyebut pada mereka bahawa kita keluar dengan tujuan menyekat
kafilah Abu Sufyan dan telah datang wahyu memberitahu Kafir Quraisy menghantar
tentera, apa pandangan para Sahabat dalam hal ini. Bangun Saidina Abu Bakar
berbaiah kepada Rasulullah Saw dan meminta Rasulullah Saw meneruskan perjuangan.
Rasululah tanya lagi apa pandangan para Sahabat? Bangun pula Saidina Umar
berbaiah dan meminta Rasulullah Saw meneruskan perjuangan dan menghadapi
tentera Kafir Quraisy. Rasulullah Saw Tanya lagi soalan yang sama, bangun
Saidina Miqdad bin Amr. Dia berkata kepada Rasulullah Saw, wahai Rasulullah
teruskan apa yang Allah perintahkan kepada Rasulullah Saw, demi Allah kami
tidak akan berkata kepada Rasulullah Saw sepertImana Bani Israil berkata
kepada Nabi Musa :
Pergilah
kamu dengan Tuhan kamu berperang kami hanya duduk disini
Tapi
kami akan berkata :
Pergilah
kamu dan Tuhan kami. Kami akan bersama Allah dan Rasulnya berjuang. Demi Allah
wahai Rasulullah Saw, kalau Rasulullah Saw bawa kami berperang sampai Birakil
Rimad kami akan terus bersama Rasulullah Saw, tak akan ada seorang pun
dikalangan kami yang tarik diri.
Untuk
dapat kita merasai bagaImana persediaan dan penyerahan Saidina Miqdad dan para
Sahabat kepada Rasulullah Saw, Birakil Rimad ini di Yaman. Diantara Madinah dan
Birakil Rimad ada 14 kabilah yang memusuhi Islam. Maksud kata-kata Saidina
Miqdad ini, bukan satu peperangan saja wahai Rasulullah Saw bahkan kami
bersedia menghadapi 14 peperangan dengan 14 kabilah ini merentas perjalanan
sejauh itu. Rasulullah Saw sangat gembira dengan baiah dan ucapan Miqdad ini.
Bahkan semua Sahabat turut gembira dengan ucapan Saidina Miqdad ini kerana itulah
juga apa yang ada dalam hati mereka. Selepas Miqdad duduk, Rasulullah Saw Tanya
lagi :
Apa
pandangan kamu wahai para Sahabat
Ketika
itu bangun Saidina Saad bin Muaz salah seorang ketua Ansar, katanya, wahai
Rasulullah Saw, mungkin kamu maksudkan kami dari kalangan Ansar wahai
Rasulullah Saw. Ya benar, kata Rasulullah Saw. Kata Saidina Saad, wahai
Rasulullah Saw, demi Allah kalau Rasulullah Saw bawa kami mengaharungi laut
kami akan mengikut Rasulullah Saw dalam satu ucapan yang agak panjang. Saidina
Saad berbaiah kepada Rasulullah Saw bagi pihak Ansar bahawa Ansar sepertilah
Muhajirin bersedia untuk berjuang bersama Rasulullah Saw. Ketika itu berseri-seri
wajah Rasulullah Saw dan Rasulullah Saw bersabda :
Bergembiralah,
sesungguhnya Allah telah menjanjikan aku antara dua kemenangan samada kita
memperolihi kafilah atau dapat mengalahkan tentera Kafir Quraisy.
No comments:
Post a Comment