KESILAPAN UMAT ISLAM KINI


Kenyataan yang berlaku pada umat Islam hari ini, dari hidup sampai mati, ke mana pun dia pergi, dia hanya membawa benih taqwa sahaja. Benih pun tidak ditanam. Dia hanya membawa rukun Iman, rukun Islam dan Ihsan. Tetapi itu semua tidak pernah diamalkannya betul-betul atas dorongan cinta dan takutkan Tuhan. Setiap hari ada peluang melakukannya. Peluang yang Tuhan bagi untuk beramal selalu diabaikan dan disia-siakan. Adakah ini boleh menjamin keselamatan di Akhirat. Adakah kita rasa bila berjumpa Tuhan nanti kita akan selamat? Sedangkan yang kita bawa hanya benih yang belum ditanam dan belum menghasilkan buah. Apakah Tuhan akan terima?

Di sinilah orang yang beribadah tertipu dan orang yang mengaji dan belajar pun tertipu. Dari hidup sampai mati, ke mana mereka pergi, mereka membawa benih sahaja. Sebab itu keindahan Islam tidak nampak dalam kehidupan kerana tidak ada pokoknya, tidak ada batang, dahan,ranting, daun, bunga dan buahnya. Yang ada hanya benihnya sahaja yang belum pun ditanam.Kalaupun ada yang menanam benih taqwa ini, ditanam pula ditempat yang salah. Maka benih itu tidak tumbuh. Kalau tumbuh pun ia terbantut dan lama-lama mati. Tidak tumbuh juga pokok taqwa.

Itulah silapnya. Kita sudah diajar bahawa agama itu di surau dan di masjid sahaja. Kita telah diajar hendak dapat taqwa di surau dan di masjid sahaja. Kita telah diajar bahawa taqwa itu hanya sembahyang, puasa, zakat, haji, baca Quran, wirid, zikir, doa dan iktikaf di masjid sahaja. Ini adalah salah. Ini ajaran dan fahaman yang sempit. Ini sudah memisahkan agama dari kehidupan. Walhal bukankah agama itu Addeen atau cara hidup ( way of life ). Cara hidup tidak terhenti setakat di surau dan di masjid sahaja.

Taqwa itu boleh didapati di mana-mana. Taqwa itu boleh didapati di dalam kehidupan. Taqwa itu ibarat intan berlian yang Tuhan taburkan dan campakkan ke dalam kehidupan. Taqwa itu merata-rata. Terpulanglah kepada kita untuk mencari dan mengutipnya. Hanya sama ada kita mahu atau tidak mahu sahaja. Kenapa kita hanya mahu mengutip intan berlian di surau dan di masjid sahaja? Bukankah surau dan masjid itu tempat yang kecil dan terhad? Padahal banyak lagi intan berlian yang bertaburan di dalam kehidupan di luar surau dan masjid. Ini kita tidak kutip. Bukankah ini membazir dan merugikan namanya?

Pemimpin dan ulama menyarankan supaya umat Islam jadi kuat. Kita kena faham, kuatnya umat Islam itu mesti dengan taqwa.

Umat Islam tidak boleh jadi kuat dengan quwwah( kekuatan lahir) semata-mata sama ada kekuatan yang berbentuk ilmu, ekonomi, teknologi dan lain-lain. Taqwalah sumber kekuatan umat Islam yang sebenarnya. Umat Islam akan kuat apabila mereka kuat dengan Tuhan. Macam mana umat Islam hendak jadi kuat sedangkan pemimpin, ulama dan seluruh umat Islam dari atas hingga ke bawah tidak faham apa erti taqwa, tidak faham apa itu hakikat taqwa, tidak tahu kelebihan dan peranan taqwa dan tidak tahu bagaimana hendak mencapai dan mendapat taqwa.

Sebenarnya, benih taqwa boleh tumbuh dalam kehidupan seharian, di pasar, di gerai, di kedai, di jalanan, di pekabat, di sekolah, waktu bertemu kawan, dengan jiran, dengan madu malahan di mana dan dengan sesiapa sahaja.

Dalam melaksanakan tugas rasmi dan tanggungjawab kita boleh dapat taqwa. dalam membuat kerja tidak rasmi pun kita boleh dapat taqwa.

Dalam kita menegakkan hablumminallah ,iaitu sembahyang, puasa,baca Quran, wirid dan zikir, kita boleh dapat taqwa.

Dalam kita menegakkan hablumminannas seperti berniaga, bermasyarakat, berjiran dan bekerja, kita pun boleh dapat taqwa.

Malahan peluang untuk mendapat taqwa di bidang hablumminannas lebih luas dan lebih banyak dan ia berlaku sepanjang masa dari sekecil-kecil amalan hinggalah kepada yang sebesar-besarnya.

Yang penting kita berbuat sebanyak mungkin amalan makruf dengan kesedaran bahawa Allah melihat dan memerhati kita dan keredhaan-Nyalah yang kita harapkan. Besar atau kecil amalan tidak menjadi persoalan. Keikhlasan dan penghayatan itulah yang menjadi pokok.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah