YA RASULULLAH....SUNGGUH BESAR JASAMU

Rasulullah SAW pencetus Masyarakat Madani....
Segala puja dan puji dipanjatkan kepada Tuhan seru sekalian alam yang mengasihi hambahamba-Nya melebihi kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, nabi yang sangat banyak berkorban demi keselamatan umatnya.

Pada 12 Rabiul Awal 1430H kita menyambut hari kelahiran junjungan mulia Rasulullah SAW. Hari tersebut adalah amat bermakna bagi umat Islam seluruh dunia amnya Kelahiran seorang rasul, utusan Tuhan untuk manusia sungguh besar ertinya. la bererti lahirnya seorang penyelamat, pemimpin, pembela, penunjuk jalan yang lurus, penghubung antara manusia dengan Tuhannya dan bagaimana berhubung sesama manusia.

Beliaulah sumber ilmu, sumber kebahagiaan, sumber kasih sayang, sumber ketenangan, sumber perpaduan, menyempurnakan kehidupan manusia dalam dua negara iaitu negara yang terdekat, dunia namanya dan negara yang jauh, yang kekal abadi yakni Akhirat. Begitu penting kehadiran seorang rasul di mana kedatangan nya membawa rahmat bukan sahaja kepada manusia bahkan seluruh alam dapat merasa rahmatnya dan nikmatnya.

Kedatangan Rasul ke dunia membawa ajaran yang dapat memenuhi keperluan manusia dan menghindari daripada perkara-perkara yang tidak diingini oleh manusia sejagat. Datangnya Rasulullah SAW membawa keadilan, mengembalikan kasih sayang yang telah hilang, menghilangkan ketakutan, kegelapan dan kezaliman sesuai dengan keperluan semua manusia. Kerana itulah kedatangannya dikatakan membawa rahmat ke seluruh alam. Begitulah besarnya erti seorang rasul kepada umat manusia.

Sejarah telah memaparkan kepada kita bagaimana Rasulullah telah berjaya memimpin dan mendidik kaum Arab Badwi yang tidak tahu membaca dan menulis, hanya dalam masa 23 tahun telah terbina satu empayar Islam yang hebat dan agung. Sejarah gemilang lagi cemerlang ini memperlihatkan kepada kita kejayaan Rasulullah dan para Sahabat mencetus sebuah masyarakat madani, hingga berjaya menawan Rom dan Farsi, lalu tertegaklah di tangan mereka tamadun roh dan material.

Apakah rahsia kejayaan mereka? Apakah faktor yang menyebabkan mereka mendapat bantuan-bantuan luar biasa dari Tuhan? Rasulullah menumpukan 13 tahun yang pertama dengan memperkenalkan Tuhan. Walaupun Tuhan yang hendak diperkenalkan itu adalah satu, manakala syariat Tuhan adalah beribu, tapi tumpuan utama Rasulullah adalah memperkenalkan dan memperjuangkan Tuhan hingga manusia cinta dan takut padanya . Apabila dua rasa ini telah disemai maka barulah syariat Tuhan diperkenalkan.

Hasil daripada dua rasa inilah yang menjadi pemangkin utama serta rahsia kejayaan mereka. Rasulullah telah memperkenalkan bahawa dengan kasih sayang Tuhan, umat Islam telah dihadiahkan Tuhan satu jalan rahsia untuk memperolehi kejayaan yang mana jalan ini tidak akan dapat ditempuh oleh orang-orang kafir. Itulah dia jalan taqwa.

Mengusahakan kekuatan roh melalui jalan taqwa ini menjanjikan kekuatan 90 peratus kali ganda daripada jalan usaha lahir. Seorang bagaikan 10 orang, sehari bersamaan 10 hari dan seringgit menyamai 10 ringgit. Kejayaan secara taqwa ini tidak boleh dikongsi oleh orang kafir. Ia bermula dengan menanamkan cinta dan takutkan Tuhan, merintih terhadap dosa, usaha menebus setiap dosa, bermunajat di malam hari, bersedekah di siangnya, menjalin ukhwah sesama sendiri adalah antara syarat-syarat yang perlu ditempuhi untuk melayakkan seseorang itu dibantu di atas jalan ini.

Tetapi hari ini jalan ini sudah dilupakan. Kita masih cenderung untuk menempuh hanya jalan biasa dengan mengusahakan quwwah, sedangkan jika ada kejayaan pun yang diperolehi melalui jalan ini, ia hanyalah 10 peratus dan terpaksa pula berkongsi dengan orang kafir.

Untuk para pejuang hari ini, Rasulullah telah meninggalkan pusaka yang cukup mahal kepada kita iaitu iman dan taqwa serta jalan untuk memperolehinya, bagi melayakkan untuk mendapat bantuan dari Tuhan. Orang-orang yang memperjuangkan kebenaran layak mendapat bantuan yang merupakan kekuatan dari Tuhan. Bertepatan dengan firman Tuhan yang bermaksud: "Di atas Kami (Tuhan) untuk membantu orang Mukmin."

Menegakkan kebenaran itu sendiri adalah satu kekuatan apabila berjaya memperolehi bantuan Tuhan. Kita berdoa moga-moga dunia sedang menuju ke arah itu di bawah pimpinan wakil Tuhan yang dijanjikan, yang membawa rahmat ke seluruh alam. Ya Allah, rahmat-Mu dan nikmat-Mu yang kami harap! Kami setia menunggu kerana janji Tuhan itu pasti!

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah