Apa yang kita lihat, di mana sahaja berlaku krisis dan pergaduhan antara orang Islam dan orang bukan Islam, orang Islamnya jelas tidak mengamalkan syariat. Syariat mereka longgar. Malahan ramai yang langsung telah meninggalkan syariat.
Di kalangan orang agamanya pula seperti imam-imam, tok-tok guru dan pemimpin-pemimpin agama,cepat melenting dan marah. Mereka bertindak bukan atas dasar iman dan ilmu tetapi atas dasar perasaan, emosi dan semangat. Mereka lebih cenderung menghukum dan membalas dendam dari mendidik dan menyelamatkan akidah dan jiwa manusia. Disebabkan itu, mereka menjadi tidak berdisiplin, jahat dan liar. Mereka tidak tahu berkasih-sayang, tidak tahu bertolak-ansur dan berlapang dada. Tidak hairanlah mengapa pergaduhan, krisis dan pembunuhan mudah berlaku.
Sebenarnya, yang tidak sama di antara orang Islam dan orang bukan Islam itu hanyalah tentang akidah sahaja.Di dalam Islam, tidak ada paksaan di dalam soal akidah. Islam tidak ada memaksa sesiapa pun yang bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Soal akidah soal dalaman. la tidak menyentuh orang lain. Selain daripada itu, tuntutan syariat Islam sama ada syariat lahir mahupun syariat batin, merupakan keperluan bersama tidak kira bagi orang Islam mahupun yang bukan Islam. Ini kerana syariat Islam itu menyentuh soal kehidupan dan sesuai dengan fitrah manusia. Malahan ia memenuhi tuntutan fitrah semula jadi manusia. Kerana fitrah semula jadi manusia itu sama tidak kira apa keturunan dan agamanya.
Oleh itu, kalau umat Islam betul-betul mengamalkan syariat, semua manusia pasti akan suka dan pasti akan senang hati kecuali kalau mereka itu kafir harbi yang sentiasa memusuhi dan hendak merosakkan umat Islam atau kalau fitrah mereka sudah rosak. Orang yang sudah rosak fitrahnya tidak boleh diambil kira sebab penilaiannya adalah semata-mata mengikut nafsu. Dia suka apa yang orang benci dan dia benci apa yang orang suka.
oleh itu, tidak ada salahnya jika Islam dijadikan asas dalam sesebuah negara itu walaupun terdapat perbezaan agama kerana kebaikan yang timbul hasil daripada mengamalkan syariat Islam akan dirasa bersama oleh semua manusia dalam masyarakat sama ada yang Islam mahupun yang bukan Islam.
No comments:
Post a Comment