TIADA MANUSIA YANG MAMPU HIDUP BERSENDIRIAN


Manusia adalah makhluk yang bermasyarakat. Itu adalah sifat yang Tuhan telah tetapkan bagi manusia. Telah menjadi fitrah semulajadi setiap manusia, tidak kira apa kaum dan bangsa, bahawa manusia itu suka dan perlu bergaul, bermasyarakat, bertemu dan berjumpa di antara satu sama lain. Di antara sebabnya banyak yang bersangkut-paut dengan ekonomi dan keperluan hidup seperti berikut:

1. Manusia hendak mendapat keperluan hidup, paling tidak yang asas seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal, tidak mungkin dapat diusahakan sendirian, kecuali ada bantuan dari orang lain sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung.

2. Manusia tidak boleh lepas daripada menerima berbagai-bagai ujian hidup seperti sakit, miskin, ditimpa bencana alam atau kematian. Oleh yang demikian, untuk mendapat bantuan dan menyelesaikan masalah itu, tidak mungkin boleh dibuat tanpa bantuan orang lain.

3. Fitrah semulajadi manusia ingin membangun dan maju. Maka lahirlah perhubungan antara buruh dengan majikan dan di antara pengusaha dan pengguna.

4. Tabiat semulajadi manusia juga inginkan ilmu dan kemahiran. Maka timbullah keperluan mencari guru. Orangorang yang mempunyai ilmu pula ingin memperpanjangkan ilmunya. Maka timbullah perlu-memerlukan di antara orang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu. Jelas dan nyata bahawa manusia itu, di dalam mengendalikan kehidupannya, sangat memerlukan satu sama lain, perlu sandar-menyandar, bertolong bantu dan bekerjasama. Kalau tidak, manusia tidak boleh hidup. Sama ada suka atau tidak, manusia terpaksa hidup begitu. Kalau fitrahnya tidak mendorong, keadaan atau realiti hidup yang sebenar akan memaksanya bersandar dan perlu-memerlu antara satu sama lain. Manusia yang suka bermasyarakat, kena bermasyarakat. Manusia yang tidak suka bermasyarakat pun kena juga bermasyarakat. Tidak ada manusia yang dapat lari dari hakikat ini.

Manusia mempunyai berbagai-bagai keperluan. Manusia tidak mampu memenuhi kesemua kehendak dan keperluannya sendiri. Ada keperluan kita yang dipenuhi oleh orang lain. Ada pula keperluan orang lain yang kita penuhkan. Keperluan manusia berbagai-bagai. Ada yang bersifat batiniah atau rohaniah dan ada yang bersifat lahiriah. Keperluan rohaniah manusia termasuklah beragama, didikan, pimpinan, ibadah, kasih sayang, beriman, hidup ‘bertuhan’ dan sebagainya. Keperluan lahiriah manusia pula merangkumi segala keperluan hidup sama ada yang berbentuk barangan ataupun khidmat. Ia melibatkan perkara-perkara yang bersifat material. Ini sangat luas skopnya. Di dalam masyarakat, kita cuba penuhkan keperluan hidup orang lain dan orang lain pula cuba penuhkan keperluan hidup kita.

Di atas kegiatan inilah tertegaknya ekonomi.Kegiatan ekonomi berlaku di semua peringkat. Di peringkat individu, keluarga, kampung, jemaah atau kumpulan, daerah, negeri, negara dan seterusnya di peringkat antarabangsa. Hanya bentuk, sifat dan besar kecilnya berbeza. Selagi ada manusia, selagi itulah ada keperluan hidup. Selagi ada keperluan hidup, selagi itulah kita boleh dan kita dituntut untuk berekonomi. Ekonomi adalah nadi kehidupan lahiriah manusia dan sesebuah masyarakat. Tanpa ekonomi, kehidupan lahiriah sesuatu masyarakat akan jadi beku dan tidak dinamik. Kehidupan lahiriah manusia akan jadi malap dan statik. Tuntutan lahiriah manusia juga tidak akan dapat disempurnakan. Hidup masyarakat akan jadi pincang kerana manusia itu ada keperluan lahirnya dan ada keperluan batinnya. Keperluan batiniah atau rohaniah manusia seperti yang disebut di atas tidak boleh dijadikan kegiatan atau sumber ekonomi. Ia adalah tanggungjawab manusia terhadap manusia lain. Manusia tidak boleh menagih untung atau berniaga di atas keperluan rohaniah manusia lain. Ini terkeluar dari bidang dan skop ekonomi. Di dalam semua interaksi antara manusia, manusia paling banyak berinteraksi dalam bidang ekonomi. Ini kerana aktiviti ekonomi tidak dapat dipisahkan dari kehidupan. Bahkan ekonomi adalah sebahagian dari kehidupan. Keperluan lahiriah manusia kebanyakannya terdiri dari barangan dan khidmat yang terhasil dari kegiatan ekonomi.

Masyarakat madani atau dinamakan juga masyarakat hadhari adalah idaman semua manusia di dunia. Tetapi tidak semua bangsa mampu atau layak mencapainya. Ia adalah kurniaan Tuhan setelah semua tuntutan Tuhan lahir dan batin disempurnakan. Masyarakat madani atau hadhari ialah masyarakat Islam yang maju atau bertamadun. Ia maju kerana rohani ahli-ahlinyadapat dibangunkan dan dimajukan berpaksikan iman atau aqidah. Akalnya dapat dibangunkan dengan bermacam-macam ilmu yang memberi manfaat sama ada ilmu Akhirat mahupun ilmu dunia yang bermacam-macam cabangnya. Akal itu pula dipenuhi dengan berbagai-bagai pengalaman. Jiwanya dibangunkan dengan rasa tauhid dan rasa bertuhan. Dihiasi hatinya dengan sifat ikhlas, kasih sayang, pemurah, berani, sabar, tawakal, lapang dada, bertolak ansur, redha, qanaah, zuhud dan sebagainya. Nafsunya dapat dibersihkan daripada nafsu amarah (yang sangat mendorong kepada kejahatan). Dinaikkan kepada peringkat lawamah, seterusnya kepada mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamilah. Paling tidak, nafsunya dapat dibangunkan hingga ke peringkat mulhamah. Peringkat ini sudah sampai ke kawasan selamat. Lebih dari itu merupakan subsidi dari Tuhan. Kemudian, fizikalnya dapat dibangunkan berpandukan ilmu dan bertunjangkan iman. Segala keperluan hidup di dunia yang bersifat material dapat dibangunkan termasuklah keperluan makan minum yang sebaik mungkin, tempat tinggal, tempat kerja seperti pejabat, industri dan lain-lain yang secanggih mungkin. Dapat dibangunkan prasarana seperti jalan raya yang baik, kenderaan yang canggih dan alat-alat senjata yang canggih untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air dari serangan musuh. Dalam sebuah masyarakat yang madani atau hadhari, hidup indah, selesa dan menyenangkan kerana di dalamnya terbina dua tuntutan manusia iaitu tuntutan rohaniah dan tuntutan lahiriah. Di sudut rohaniah berlaku ukhwah dan kasih sayang, timbang rasa, rasa bersama, bekerjasama, bersatu padu, bertolak ansur, maaf bermaafan, doa-mendoakan, bertolong bantu, pemurah, berdisiplin dan bersih daripada dosa dan noda. Di sudut lahiriahnya pula, di antaranya hidup aman dan makmur, maju, membangun, terdapat kemudahan dalamserba-serbi termasuk makan minum yang cukup, pakaian serba ada, tempat tinggal yang selesa dan perhubungan yang mudah. Wujud perniagaan dan industri, pertanian dan pendidikan. Semua orang ada kerja, tidak ada yang menganggur dan ahli masyarakat mudah mencari rezeki. Kebanyakan dari keperluan-keperluan lahiriah ini dicapai dan diperolehi melalui kegiatan ekonomi.

Sesebuah masyarakat Islam perlu maju dan membangun supaya ia jadi kuat secara lahirnya. Untuk mencapai kekuatan lahir ini bukan mudah. Ia tidak datang menggolek. Ia mesti diusahakan. Tidak seperti yang difahamkan oleh kebanyakan orang, usaha untuk mendapatkan kekuatan lahir tidak bermula dengan usaha lahir. Kekuatan lahir bermula dan bertitik tolak dari mencapai kekuatan rohani. Kekuatan umat Islam sama ada di peringkat jemaah, masyarakat atau negara, bukan terletak kepada ramai atau banyak bilangannya, kepada kepandaiannya, kepada kemajuannya, kepada kekayaannya dan lain-lain lagi. Ini semua adalah kekuatan- kekuatan tambahan yang tidak ada nilai apa-apa kalau tidak ada kekuatan-kekuatan yang asas.

Malahan tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, semua kekuatan tambahan ini bukan sahaja tidak ada apa-apa makna, bahkan ia akan menjadi punca pecah-belah, rebut-merebut, perbalahan, perkelahian dan krisis. Lagi besar dan hebat kekuatan- kekuatan tambahan ini, lagi cepat masyarakat Islam akan runtuh. Ia ibarat membina rumah di atas tanah lumpur. Tidak ada tapak atau foundation yang kuat dan kukuh. Lagi besar rumah dibina, lagi cepat dan lagi dalam ia akan tenggelam.

Tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, umat Islam akan berpecah- belah seperti firman Allah SWT:

Maksudnya: “Kamu lihat mereka itu bersatu padu, tetapi hati mereka berpecah belah.” (Al Hasyr: 14)

Tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, umat Islam akan lemah walaupun mereka ramai seperti sebuah Hadis yang bermaksud:

Sabda Rasulullah SAW: “ Akan tiba masanya bahawa kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh) sebagaimana orang menghadapi makanan dalam hidangan.”
Seorang Sahabat bertanya: “ Adakah ketika itu jumlah kami sedikit ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab: “Bahkan jumlah kamu di waktu itu ramai tetapi kamu tak ubah seperti buih di laut.”

Tanpa kekuatan-kekuatan yang asas juga, musuh tidak akan takut dan gerun terhadap umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis yang bermaksud:

Sabda Rasulullah SAW: “Allah akan mencabut rasa ketakutan dari hati musuh-musuh kamu dan sebaliknya Allah akan masukkan ke dalam hati-hati kamu penyakit ‘al wahan’.”

Seorang Sahabat bertanya: “Apakah penyakit ‘alwahan’ itu ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab: “Iaitu cinta dunia dan takut mati.”

Tiga Kekuatan Asas Masyarakat Islam Kekuatan jemaah, masyarakat atau umat Islam terletak kepada tiga perkara asas yang terpokok iaitu:

1. Iman
2. Ukhwah
3. Kesefahaman dan keselarasan


Iman
Iman yang dimaksudkan di sini ialah iman yang sempurna yang menjurus kepada taqwa. Setidak-tidaknya di tahap iman orang soleh atau iman ‘ayan’ atau iman di hati. Tidak memadai iman yang hanya di akal. Tidak memadai hanya setakat percaya dengan rukun-rukun iman tetapi ia mesti diyakini dan dijadikan pegangan dan aqidah.

Di antara sifat-sifat orang yang mempunyai iman ‘ayan’ ini ialah hatinya sentiasa mengingati Allah, sentiasa memikirkan tentang ciptaan Allah dan sentiasa merasakan bahawa dirinya diawasi oleh Allah. Cetusan dari keadaan hati yang seperti ini, dia akan sentiasa merasa malu dengan Allah, rasa tawakal kepada Allah, rasa sabar terhadap segala ujian dan mehnah dari Allah, rasa bersyukur terhadap segala nikmat Allah, rasa cinta dan takut kepada Allah dan berbagai-bagai lagi sifat mahmudah yang lain.

Dengan iman yang di tahap ini, seseorang itu akan memperolehi kekuatan dan kemerdekaan yang luar biasa yang tidak boleh dikalahkan oleh kuasa apa pun selain Allah. Dia merasa gagah dan kuat dengan Allah. Dia berani berjuang dan berkorban kerana pergantungannya yang total kepada Allah. Dia rasa cukup dengan Allah. Allah itu modal dan asetnya yang paling besar. Kekuatan seperti ini tidak dapat dibina melalui apa cara sekalipun kecuali dengan menanam iman yang sebenarnya di dalam hati-hati umat Islam. Kalau kekuatan seperti ini dapat dicapai maka sebahagian dari kejayaan sudah diperolehi. Usaha dan perjuangan yang dibangunkan oleh umat Islam yang teguh iman mereka seperti ini akan menjadi kuat dan dibantu oleh Tuhan walaupun jumlah mereka sedikit.

Sebaliknya, usaha dan perjuangan yang dibangunkan oleh umat Islam yang lemah iman mereka akan turut menjadi lemah dan tidak dibantu Tuhan walaupun jumlah mereka ramai. Lagi ramai, lagi cepat mereka jatuh, gagal dan kecundang kerana terlalu ramai yang membuat masalah dan terlibat dengan dosa dannoda yang menjadi hijab dari bantuan Tuhan. Firman Allah SWT di dalam Al Quran:
Maksudnya: “Jika ada di kalangan kamu 20 orang yang sabar, akan dapat mengalahkan 200 orang musuh.” (Al Anfal: 65)
Maksudnya: “Allah itu pembela (pembantu) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)

Ukhwah
Ukhwah dan kasih sayang sesama umat Islam tidak akan dapat dibina tanpa iman dan taqwa. Kasih sayang adalah buah dari iman. Tidak ada apa-apa erti kalau kita berslogan, berkempen dan mengajak masyarakat supaya berkasih sayang jika iman yang sebenarnya tidak ada di dalam hati. Sampai bila pun masyarakat tidak akan dapat berkasih sayang. Kasih sayang sesama manusia lebih-lebih lagi sesama umat Islam adalah cetusan dari rasa cinta kepada Tuhan. Tuhan akan campakkan ke dalam hati-hati orang yang mencintai-Nya, rasa perikemanusiaan. Dengan rasa perkemanusiaan inilah manusia akan saling mengasihi di antara satu sama lain.

Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (Al Imran: 103)

Tali-tali Allah itu dimaksudkan kepada syariat Allah. Semua umat Islam mesti sama-sama menerima dan mengamalkan syariat Tuhan. Berpegang kepada tali-tali Allah juga bermaksudsama-sama merasa cinta dan takut kepada Allah. Orang-orang yang sama-sama rasa cinta dan takut pada Allah akan diikat hati-hati mereka oleh Allah dan akan mudah berkasih sayang. Hasil dari ukhwah dan kasih sayang akan timbul tolongmenolong, bantu-membantu, bela-membela, berlapang dada, bertoleransi, suka memberi maaf, suka meminta maaf, bertimbang rasa dan sebagainya. Akan timbul rasa bersama dan bekerjasama. Ini semua akan mencetuskan perpaduan dan persaudaraan. Umat Islam akan menjadi kuat dan bersatu padu.

Kesefahaman dan keselarasan

Kesefahaman tidak akan timbul tanpa iman dan ukhwah. Iman dan ukhwah boleh menyuburkan kesefahaman. Umat Islam perlu bersatu fahaman dalam segala hal. Bersatu fahaman dalam aqidah. Bersatu fahaman dalam ibadah. Bersatu fahaman dalam akhlak. Bersatu fahaman dalam menetapkan siapa lawan dan siapa kawan. Bersatu fahaman dalam menerima hal-hal ijtihad dan mazhab dalam masalah-masalah furuk.

Bersatu fahaman dalam berjuang dan berkorban dengan minda yang satu dari pemimpin yang satu. Sekiranya kefahaman tidak sama dan tidak disatukan, maka pegangan akan berbeza. Kepercayaan akan berbeza. Keutamaan akan berbeza. Akhirnya tindak-tanduk juga akan berbeza. Jika kesefahaman tidak wujud di antara pemimpin dan pengikut, maka ketaatan sukar dicapai. Kalau pun nampak macam ada ketaatan, ia hanya ketaatan lahir. Hati tidak bersama. Ketaatan itu tidak total. Tanpa kesefaman, ukhwah dan perpaduan boleh menjadi rosak.

Manusia boleh terpisah ke dalam berbagai kumpulan, puak, parti atau klik mengikut fahaman mereka masing-masing. Rosak ukhwah dan perpaduan maka lemahlah masyarakat Islam. Tanpa kesefahaman, tidak akan lahir keselarasan, sama ada pada rasa, pemikiran dan tindak-tanduk. Ini boleh menyebabkan umat Islam menjadi kucar-kacir. Dalam bergerak danberjuang, ada yang hendak ke hulu, ada yang hendak ke hilir. Ada yang hendak ke darat, ada yang hendak ke baruh. Ada pula yang hendak duduk diam, tidak mahu pergi ke manamana. Tenaga umat Islam tidak dapat digemblingkan ke satu arah yang sama untuk kepentingan bersama. Seperti juga di dalam satu perahu, ada yang hendak berdayung ke hadapan. Ada yang hendak berdayung ke belakang. Ada yang tidak mahu berdayung langsung. Maka perahu akan berpusing-pusing di tempat yang sama. Kalau nasib tidak baik, ia boleh karam dan semua orang di dalamnya akan tenggelam. Ketiga-tiga kekuatan asas ini tidak timbul dengan sendiri.

Ia perlu kepada seorang pemimpin yang membawa minda dan yang mendidik masyarakat Islam ke arah itu. Pemimpin ini pula bukan calang-calang pemimpin. Dia mesti pemimpin yang berilmu, bertaqwa, berwibawa, yang manusia memberi hati padanya dan yang mendapat rahmat dan berkat dari Allah.

1 comment:

Anonymous said...

manusia tidak mampu hidup sendirian
minta izin share

Bumi Tuhan... Bersaksilah