*271*
Apabila kerosakan sesuatu bangsa itu menyeluruh, orang jahat mengambil peluang menangguk di air keruh hingga pemimpin tidak boleh tidur, orang kaya di dalam ketakutan, ahli ilmu tidak dihormati orang, orang awam di dalam kebimbangan, fakir miskin bertambah terhina.
Di waktu itu, semua golongan itu mencari jalan keluar daripada malapetaka itu.
Yang malangnya, secara majoritinya tidak mahu juga bertaubat secara serius agar kembali menerima pimpinan Allah dan Rasul serta meninggalkan penzaliman yang telah dilakukan. Bagaimana Allah mahu menolong?
*272*
Allah berfirman melalui Al Quran yang bermaksud, lahirlah kerosakan di lautan dan di daratan disebabkan apa yang telah diusahakan oleh tangan-tangan mereka sendiri agar mereka merasa menderita di dunia lagi.
Oleh itu, kalau berlaku kerosakan yang merata pada sesuatu bangsa itu hingga menyusahkan mereka, patutnya para ulama dan pemimpin mengajak orang ramai bertaubat, menangis memohon ampun kepada Allah dan ajak manusia kembali mentaati Allah dan Rasul.
Orang yang terzalim hendaklah dilepaskan.
Pelanggaran hukum Allah hendaklah dihentikan.
Inilah hakikat sebenar, bukan sibuk membahas dan membincangkan di sudut teknikal saja.
*273*
Apabila sesuatu bangsa itu Allah anugerahkan kemajuan dan pembangunan yang pesat secara istidraj; bukan atas rahmat-Nya; pasti akan berlaku kerosakan di sudut lain terutama sudut akhlak hingga kemajuan dan tamadun fizikal itu sudah tidak ada nilai.
*274*
Cuba gambarkan kalau sesuatu bangsa lumrah berlaku seperti berikut:
* ahli politik menerima rasuah, berlaku politik wang, ada klik-klik sesama sendiri, yang bukan klik ditindas atau dibiarkan.
* Ahli perniagaan memberi rasuah, menjadi lintah darat kepada masyarakat.
* Ahli-ahli ilmu sombong, mengguna ilmu untuk kekayaan.
* Guru-guru bekerja untuk duit, murid-murid belajar untuk masa depan dunia, bukan untuk masa depan akhirat.
* Pihak keselamatan ibarat pagar makan padi, orang ramai tidak boleh didisiplinkan.
*Kaum ibu lebih seronok di luar rumah daripada dalam rumah.
* Para-para artisnya mempamerkan budaya kuning.
Di manakah keindahan hidup?
Di manakah ketenangan?
*275*
Kalaulah gejala masyarakat yang kronik berlaku pada sesuatu bangsa, kemudian tidak tahu puncanya secara tepat, tidak tahu pula kaedah yang mana hendak dilaksanakan untuk membaikinya, kemudian tidak ada golongan yang mampu menanganinya serta menjadi contoh yang baik untuk diteladani,
dalam pada itu timbul tuduh-menuduh satu sama lain dan wujud pula golongan yang mengambil kesempatan untuk menjadi wira masyarakat walaupun tidak faham menanganinya, sama-samalah kita lihat kehancuran bangsa itu.
No comments:
Post a Comment