MARUAH MELAYU - BERSATU SYARIAT

1. Bersatu syariat itu ialah bersatu dalam menerima lima hukum Allah, iaitu:

• Wajib

• Sunat

• Haram

• Makruh

• Harus

Dalam kegiatan hidup kita sehari-hari, kita tidak dapat melepaskan diri dari salah satu dari 5 hukum tersebut di dalam kerja apa pun yang kita buat samada yang kecil maupun kerja yang besar.

Adapun takrif hukum-hukum tersebut adalah seperti berikut:

i) Wajib: Perkara yang bila dibuat mendapat pahala dan jika ditinggalkan berdosa, maka kedudukannya mesti dibuat. Seperti sembahyang fardhu, puasa di bulan Ramadhan, belajar Fardhu Ain, menepati janji, berkata benar, amanah dll.

ii) Sunat: Perkara yang apabila dibuat diberi pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa, maka kedudukannya elok dibuat. Bukan mesti. Elok. Seperti sembahyang sunat, puasa sunat, ziarah orang sakit, berwirid zikir, berselawat dll.

iii) Haram: Perkara yang bila dibuat berdosa, kalau ditinggalkan mendapat pahala, maka kedudukannya mesti ditinggalkan. Seperti minum arak, berzina, berbohong, khianat, membazir dll.

iv) Makruh: Sesuatu perkara yang jika dibuat tidak berdosa (tapi Allah benci) kalau ditinggalkan mendapat pahala, maka kedudukannya elok ditinggalkan. Bukan mesti. Seperti memakan makanan yang busuk baunya dll.

v) Harus: Suatu perkara yang kalau dibuat tidak berpahala jika ditinggalkan tidak berdosa kedudukannya, tepuk dada tanya selera. Nak buat sila, nak tinggalkan pun tak apa. Tetapi kalau dibuat cukup 5 syarat-syaratnya boleh jadi ibadah kepada Allah dan mendapat pahala. 5 syarat tersebut ialah:

a. Niat kena betul iaitu buat suatu perkara itu kerana Allah Taala.

b. Perlaksanaannya mengikut syariat.

c. Perkara yang dilaksanakan itu dibolehkan oleh syariat (tidak bertentangan dengan syariat),

d. Natijahnya (hasilnya) mesti betul.

e. Tidak meninggalkan atau mengabaikan perkara yang asas iaitu semua rukun Iman dan Islam.

2. Semua ahli parti Melayu atau parti Islam atau apa-apa organisasi kena bersatu menerima sembahyang fardhu itu sebagai wajib dan semua ahli kena pastikan mendirikannya. Adakah ia berlaku? Jangan malam dengar ceramah politik atau pasang bendera parti, subuh esoknya ‘ke laut.’ Orang kata ‘Subuh Gajah’. Begitu juga puasa Ramadhan, zakat dan haji. Jangan London, Paris, Los Angeles pergi saban tahun, Mekah Madinah dilangkah je. Ini tak bersatu dalam bersyariat namanya.

3. Mendirikan perusahaan makanan Islam yang halalan toiyiban seperti mi kuning, tauhu, kicap, sos cili dan tomato, fish ball, fish cake, sosej, ais krim, roti, coklat, biskut dll hukumnya wajib. Wajib Fardhu Kifayah. Kalau di buat oleh sebahagian umat Islam dalam lingkungan 2 marhalah, gugur dosa yang lain. Kalau tak diusahakan, semuanya berdosa. Kalau Allah tak ampunkan, semua Umat Islam di kawasan itu akan masuk neraka.

4. Adakah parti-parti Melayu Islam ini, sejak merdeka hingga sekarang yakini perkara ini wajib dan usaha bangunkan kilang-kilang ini? Sejak lebih 60 tahun, berapa kilang yang telah kita bangunkan? Dah selamatkah Umat Islam khasnya Bani Melayu dari menyuap mulut mereka dan anak isteri mereka dengan makanan yang benar-benar suci kerana ia membina hati dan peribadi mereka. Apa yang kita perhatikan di media social, perangai mencarut, maki hamun, membawang, bermegah-megah, mendedahkan perkara-perkara sulit sudah menjadi kebiasaan. Selain dari didikan dan persekitaran, apa yang kita makan itulah yang membentuk perangai dan sikap kita.

5. Kalau hendak melepasi bersatu dari sudut syariat ini, kena pastikan semua ahli parti, persatuan, malah semua Umat Islam menerima hukum haram itu sebagai haram dan meninggalkannya. Adakah ia berlaku? Rasuah itu haram, riba itu haram, membazir itu haram, judi itu haram, khianat itu haram, berbohong itu haram, tak tunaikan janji itu haram, tak tutup aurat itu haram, bergaul bebas lelaki perempuan bukan mahram itu haram, memaki hamun itu haram, memfitnah itu haram, mencarut itu haram, zina itu haram, minum arak itu haram dll. Adakah kita semua meyakini semua perkara ini sebagai haram dan meninggalkannya 100%? Kalau belum berlaku, terimalah hakikat kita belum bersatu. Maruah kita masih rendah.

Artikel penuh ; https://www.anjangmuor.com/2019/10/08/maruah-melayu-siri-ii-bersatu-syariat/

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah