Sedarlah

Berhati-hatilah, bahawa bumi yang engkau pijak, Allah yang punya,
Hendaklah merendah diri dan sedarlah diri

Makanan dan minuman setiap hari yang engkau makan dan minum, nikmat dan pemberianNya,
Malulah kepadaNya, syukurilah Dia

Setiap pakaian buat menutup badanmu dan perhiasan dirimu, anugerahNya,
Jangan engkau hairankan dirimu

Setiap ilmu dan maklumat yang memandaikan akalmu, kurniaan-Nya,
Jangan pula engkau angkuh dan sombong,
Merasa manusia luar biasa, memandang orang menghina

Ingatlah, setiap kekayaan yang engkau miliki,
Adalah sedikit daripada kekayaan Tuhan yang diberikan kepadamu,
Dia boleh mengambil semula bila-bila masa

Janganlah engkau terpesona dengan kekuasaanmu,
Kemudian dengan kuasa melakukan sewenangnya,
Allah sedang melihat dan memerhati,
Bila-bila Dia boleh bertindak,
Engkau akan jatuh terhina dan di Akhirat pula, neraka

Ingatlah, nyawamu di antara nafas turun naik sahaja,
Bila naik tidak turun, matilah kamu,
Jika turun tidak naik lagi, pun matilah kamu,
Tapi ini mudah sahaja,
Takutilah Allah, agar di waktu mati di dalam keredhaanNya

*_Hidup Bertuhan~_*

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah