******************************
KETIKA umat Islam diserang tentera Tatar, hampir seluruh Wilayah Islam dijajah. Antara yang terawal adalah Wilayah Khurasan yang berjiran dengan Mongol.
Pada satu peringkat di Khurasan, Tatar tidak berdaya menghadapi umat Islam di Kota Bukhara. Lalu pemimpinnya Genghis Khan menulis surat kepada umat Islam:
"Sesiapa yang menyerahkan senjatanya dan menyertai tentera Tatar, mereka akan selamat. Namun barangsiapa yang enggan, mereka pasti akan menerima penyesalan."
Surat tersebut menyebabkan umat Islam yang sedang terancam itu berpecah kepada dua pihak. Pihak pertama menolak keras tawaran Genghis Khan dengan berkata:
"Seandainya mereka mampu memerangi kita, tak mungkin mereka menawarkan sedemikian. Ini menandakan peluang kita cerah. Teruskan perjuangan, pasti kita akan beroleh salah satu antara dua kebaikan; menang ke atas mereka atau syahid penuh bahagia!"
Namun pihak kedua cenderung untuk menerima tawaran tersebut. Mereka berkata:
"Wajarkah kita sengaja menumpahkan darah sendiri, dalam keadaan kita tahu bahawa kita tidak akan mampu menentang mereka? Tidakkah kalian lihat bilangan dan kelengkapan mereka?"
Genghis Khan terus mengambil peluang dari pertelingkahan ini. Dia mengutus surat berikutnya khusus kepada pihak kedua yang sanggup menerima tawaran. Dalam surat tersebut, dia berjanji akan memberikan tampuk kekuasaan Bukhara kepada pihak tersebut dengan syarat mereka menumpaskan pihak pertama.
Tawaran itu menyebabkan pihak kedua rambang mata. Terus mereka menyahutnya tanpa rasa bersalah. Sanggup mereka memerangi saudara sendiri bagi pihak Tatar.
Pertempuran pun berlangsung. Akhirnya tumpaslah pihak yang teguh mempertahankan prinsip di tangan pihak yang menjual agama dengan habuan dunia.
Apa yang menyedihkan, pihak yang menerima tawaran Tatar itu tidak dianugerahkan apa yang dijanjikan. Sebaliknya senjata mereka dirampas, mereka ditangkap dan diarahkan supaya disembelih kesemuanya.
Genghis Khan mengungkap satu kata-kata yang sangat masyhur:
"Kalaulah mereka boleh dipercayai, mustahil mereka sanggup memerangi saudara sendiri demi kita. Padahal kita orang asing bagi mereka..!"
*******************************************
10 pengajaran dari cerita di atas:
1. Taktik pecah dan perintah, strategi ampuh menghadapi Islam zaman berzaman.
2. Aqidah perjuangan yang lemah punca tidak yakin dengan janji kemenangan dari tuhan.
3. Habuan takhta dan harta mudah menggugat keikhlasan perjuangan.
4. Pabila dunia menguasai diri, saudara sendiri pun sanggup dikhianati.
5. Mempercayai bulat-bulat kata-kata musuh adalah kebodohan yang membinasakan.
6. Islam tidak kalah kerana agama ini. Sebaliknya kalah kerana penyelewengan orang Islam sendiri.
7. Dedak musuh itu beracun. Dan racunnya mampu membunuh jamaah.
8. Pengkhianat tidak akan bahagia. Nikmat mereka hanya sementara.
9. Pentingnya untuk berpegang kepada prinsip. Walau menyusahkan (tampak syadid), ia perisai pertahanan yang utuh!
10. Tidak ada kerjasama dengan bukan Islam dalam menentang sesama Islam.
Tiga kata-kata hikmah yang perlu diambil iktibar:
1.
ما أشبه اليوم بالأمس
"Alangkah samanya hari ini dengan semalam."
2.
لا تقتلوا أسودكم فتأكلكم كلاب عدوكم
"Jangan kamu bunuh singa di kalanganmu, nescaya kamu akan dimakan oleh anjing di kalangan musuhmu."
3.
من لا يتعلم التاريخ يعلمه التاريخ
"Barangsiapa tidak belajar dari sejarah, maka sejarah akan mengajarkannya kembali."
Man at Work
Konigsee
151218
No comments:
Post a Comment