Assalam. Apa khabar? Kali ini perkongsian agak panjang. Selamat membaca:)
Apabila menyebut kekayaan atau kaya, yang cepat menangkap pada
fikiran umum atau apa yang cepat teringat oleh kebanyakan orang ialah kekayaan
harta dan wang ringgit. Kebanyakan orang tidak terfikir bahawa ada
kekayaan-kekayaan yang lain. Kalaupun ada yang terfikir bahawa kekayaan itu bukan
harta dan wang ringgit sahaja atau bukan semata-mata wang ringgit dan harta,
tapi kekayaan bentuk lain itu kurang diminati atau kurang sangat diperkatakan
dan dibualkan orang.
Ini menunjukkan di antara fitrah semula jadi manusia ialah ingin
kaya atau kekayaan. Yang sangat menjadi tarikan dan minat ialah kekayaan harta
dan wang ringgit. Ini menunjukkan kekayaan wang ringgit dan harta atau kekayaan
mata benda dunia sangat mempengaruhi jiwa dan fikiran manusia.
Justeru itulah kita lihat di dalam pengalaman hidup manusia bahawa
manusia itu bertungkus-lumus pagi dan petang, siang dan malam bekerja keras
mencari kekayaan harta dan wang ringgit, bahkan mereka mencari ilmu, berkawan,
bahkan adakalanya berkahwin pun adalah kerana dengan tujuan untuk mencari
kekayaan harta dan wang ringgit. Begitulah pengaruh kekayaan wang ringgit dan
harta kepada kebanyakan manusia.
BAHAGIAN KEKAYAAN
Yang sebenarnya kekayaan di dalam kehidupan manusia di dunia
ini bukan kekayaan harta dan wang ringgit sahaja. Banyak lagi kekayaan lain
yang jarang diperkatakan oleh manusia. Bahkan ada kekayaan yang lebih baik
daripada wang ringgit dan harta. Di bawah ini kita akan senaraikan
bahagian-bahagian kekayaan di dalam kehidupan manusia di dunia ini:
1. Kaya dengan wang ringgit dan harta
2. Kaya ilmu dan pengalaman
3. Kaya dengan anak-anak
4. Kaya dengan pengikut
5. Kaya jiwa
6. Kaya budi bahasa
7. Kaya dengan kawan dan kenalan
KEKAYAAN WANG RINGGIT DAN HARTA
Salah satu tarikan kepada manusia ialah kekayaan harta dan wang
ringgit. Di sini ada dua golongan manusia; satu golongan mencari harta dengan
yang halal semata-mata dan satu golongan lagi mencari harta tidak kira halal
dan haram semuanya disapu belaka. Apa sahaja yang boleh mendatangkan kekayaan,
dia buat sama ada dengan judi, tipu, menjual arak, rasuah, membuka rumah
pelacuran, disko dan sebagainya.
Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan kerana ia sesuai
dengan fitrah manusia itu tapi dengan beberapa syarat iaitu:
1. Hendaklah mencari kekayaan dengan cara halal.
2. Apabila kaya, cukup haul, hendaklah membayar zakat.
3. Hendaklah menjadi orang pemurah.
4. Hendaklah digunakan kekayaan itu kepada jalan Allah seperti
membantu fakir miskin, membangunkan rumah ibadah atau tempat pendidikan,
membantu orang berdakwah dan lain-lain lagi.
5. Jangan ada pembaziran dan membuang-buang harta tidak menentu.
6. Jangan digunakan untuk maksiat dan menderhakai Allah Taala.
7. Jangan mencari harta hingga meninggalkan perkara-perkara yang
asas di dalam Islam seperti mengabaikan fardhu ain, jangan meninggalkan
sembahyang, puasa, sampai masa hendaklah naik haji.
8. Kena tunaikan wajib yang aradhi seperti pada satu masa masyarakat
Islam perlukan satu bangunan untuk pendidikan, masyarakat umum di kalangan umat
Islam sudah tidak mampu lagi memberi derma kerana susahnya, maka orang yang
kaya pada mereka adalah wajib aradhi membiayai bangunan itu kerana dia mampu.
9. Orang kaya mesti sanggup jadi bank kepada masyarakatnya. Hayati
cerita di bawah:
Ummul Mukminin Aisyah r.a berkata bahawa dia pernah mendengar
Rasulullah SAW bersabda, “Kulihat Abdul Rahman bin Auf masuk Syurga dengan
merangkak.”
Sebahagian Sahabat menyampaikan cerita Aisyah itu kepada Abdul
Rahman, lalu dia pun menemui Aisyah dan berkata: “Engkau telah memperingatkan
aku suatu Hadis yang tak pernah kulupa akannya. Dengan ini saksikanlah bahawa
seluruh kafilah ini dengan muatannya kupersembahkan untuk fisabilillah.”
Dia juga pernah berkata, “Sungguh kulihat diriku, seandainya aku
mengangkat batu nescaya kutemukan di bawahnya emas dan perak.”
Dia sering menangis dan berkata, “Sesungguhnya aku khuatir dipisahkan
dari sahabat-sahabatku kerana kekayaanku yang melimpah.”
Justeru itu segala kekayaan yang ada dilaburkannya di jalan Allah.
Sehingga pernah dikata orang: “Seluruh penduduk Madinah berserikat dengan Abdul
Rahman bin Auf pada hartanya. Sepertiga dipinjamkan kepada mereka, sepertiga
lagi dipergunakannya untuk membayar hutang-hutang mereka dan sepertiga sisanya
diberikan dan dibahagikan kepada mereka.”
Dalam Al Quran ada menyebut:
Maksudnya: “Umpama orang yang menafkahkan hartanya kerana
mengkehendaki keredhaan Allah dan menetapkan (keimanan) hatinya.” (Al Baqarah:
265)
KELAZIMAN SIKAP ORANG KAYA
Selalunya orang kaya Islam majoritinya apa yang berlaku di dalam
sejarah, tidak bersyukur kepada Allah Taala dengan membuat perkara-perkara
seperti di bawah ini:
1. Selalunya mendapatkan kekayaan tidak kira halal haram.
2. Sombong dengan manusia dan sombong juga dengan Tuhan.
3. Menjadi orang yang bakhil dan kedekut. Padahal Tuhan
berfirman:
Maksudnya: “Hai orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian
rezeki yang Kami anugerahkan kepadamu sebelum tiba hari yang tidak ada jual
beli pada hari itu, tidak ada persahabatan dan tidak ada pertolongan (yakni
hari Kiamat). Dan orang-orang kafir itu adalah orang-orang yang aniaya.” (Al
Baqarah: 254)
4. Menjadi orang yang tamak iaitu rasa tidak cukup. Firman Allah:
Maksudnya: “Orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak
membelanjakan kepada jalan Allah maka mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.”
(At Taubah: 14)
5. Lalai dengan Allah Taala serta cuai dengan syariat-Nya.
6. Tidak mahu mengeluarkan zakat.
7. Menyalahgunakan kekayaan dengan memberi rasuah kepada ahli
politik yang berkuasa kerana hendakkan tender dan hendakkan projek-projek.
8. Apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada keperluan-keperluan
masyarakat yang aradhi sudah tentu tidak berlaku. Kalaupun ada bantuan dari
mereka, ada udang di sebalik batu.
Sejarah menceritakan kisah Sa’labah bin Hatib yang asalnya miskin
telah menjadi kaya raya setelah didoakan oleh Rasulullah SAW. Semasa dia
miskin, setiap waktu Sa’labah bersembahyang jemaah dengan Rasulullah. Selesai
sembahyang, Sa’labah bergegas pulang ke rumah kerana isterinya pula hendak
sembahyang. Rupanya dia menanti pakaian yang dipakai oleh Sa’labah itu untuk
dia memakainya pula. Begitulah miskinnya hidup mereka.
Sa’labah berkata kepada Rasulullah SAW, “Doakanlah kepada Allah kiranya Dia memberikan aku rezeki
harta. Jika aku mendapat kekayaan nescaya akan aku korbankan ke jalan Allah.”
Rasulullah SAW menjawab, “Harta sedikit yang engkau syukuri
lebih baik daripada banyak harta tetapi engkau tidak mensyukurinya.”
Sa’labah rupanya tidak menerima nasihat Rasulullah yang nampak
sifat tamak dan cinta dunia dalam hatinya itu. Sebab itulah Rasulullah
menasihatinya bahawa hidup miskin itu lebih baik baginya. Tapi setelah
berkali-kali Sa’labah meminta baginda mendoakannya, Rasulullah pun menunaikan
permintaannya. Akhirnya Sa’labah menjadi kaya raya yang mana kambing-kambingnya
berkembang biak memenuhi lembah antara dua buah bukit. Setelah kaya Sa’labah
bukan saja mencuaikan sembahyang berjemaah dengan Rasulullah bahkan dia menjadi
tamak dan kedekut. Janjinya kepada Rasulullah untuk mengorbankan hartanya tidak
ditunaikan dan apabila turun perintah zakat, Sa’labah enggan membayarnya.
Begitu juga kisah Qarun yang semasa hidupnya miskin dia taat
beribadah kepada Tuhan. Setelah dianugerahkan kepadanya ilmu membuat emas oleh
Nabi Musa a.s., akhirnya Qarun menjadi kaya raya. Malangnya setelah kaya, Qarun
menjadi sombong dan lupa asal usulnya. Dia tidak mahu mengeluarkan hartanya
untuk kepentingan fakir miskin, tidak mahu membayar zakat dan lain-lain bahkan
berfoya-foya dengan kekayaannya itu. Akhirnya Tuhan membenamkan Qarun berserta
seluruh hartanya ke dalam bumi. Alangkah ruginya nasib orang yang terpesona dengan
harta dunia yang sedikit hingga sanggup menempa azab yang maha pedih di
Akhirat.
KEKAYAAN ILMU DAN PENGALAMAN
Ajaran Islam sangat menggalakkan kepada penganutnya menuntut ilmu
sama ada ilmu dunia mahupun ilmu Akhirat.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Allah yang menciptakan tujuh langit dan tujuh bumi, seperti langit,
turun berkali-kali perintah Allah antara langit dan bumi supaya engkau
memperoleh ilmu, supaya kamu sekalian mempunyai ilmu, bahawa Allah itu kuasa
atas segala sesuatu dan bahawa Allah sudah berilmu, sudah mengetahui segala
sesuatu yang meliputi ilmu itu untuk segala sesuatu.” (At Talaq: 12)
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas
seorang yang banyak ibadahnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah
orang dari golongan Sahabatku.”
Mengapa Allah Taala menggalakkan umat Islam menguasai ilmu sama
ada ilmu dunia dan Akhirat. Di antara hikmahnya ialah:
1. Agar mengenal Allah Taala dan boleh menyembah-Nya serta
takut dengan-Nya kerana Dia berkuasa di atas kita.
2. Supaya umat Islam tidak buta ilmu agar dari ilmu berbagai-bagai
maklumat boleh diketahui.
3. Agar umat Islam terpimpin dengan syariat-Nya di dalam seluruh
kehidupannya dan berakhlak mulia.
4. Agar dengan ilmu dan pengalaman manusia boleh maju di dalam
seluruh aspek kehidupan.
5. Agar umat Islam cinta dengan Akhirat dan mengutamakannya daripada
dunia.
6. Agar umat Islam dengan ilmunya mudah menarik dan mempengaruhi
orang yang bukan Islam masuk Islam.
7. Agar umat Islam dengan ilmu dan pengalamannya pandai
mengendalikan urusan kehidupan hingga mudah dan senang menguruskannya.
8. Agar layak menjadi khalifah Allah Taala di bumi.
9. Agar dapat memimpin manusia ke jalan yang benar.
LUMRAH AHLI-AHLI ILMU
Allah Taala menginginkan kepada ahli ilmu agar menjadi seperti yang
telah kita sebut di atas tadi. Tapi lumrah berlaku dalam sepanjang sejarah
manusia, ahli-ahli ilmu adalah seperti berikut:
1. Sombong apabila menjadi ahli ilmu. Dengan ilmu bukan hendak
merendah diri dengan Tuhan dan dengan manusia.
2. Menggunakan ilmu sebagai mencari kekayaan dunia atau pangkat
untuk kepentingan diri sendiri.
3. Tidak pun rasa takut dengan Allah Taala, itulah secara
majoritinya kecuali sedikit.
4. Ilmu yang dimiliki tidak pun dijadikan panduan hidup kecuali
di aspek-aspek tertentu.
5. Dengan ilmu yang banyak tidak pun menarik orang yang bukan
Islam masuk Islam kecuali sedikit sangat. Oleh kerana itulah masyarakat manusia
cepat menjadi jahat kerana cendiakawannya jahat.
6. Ahli-ahli ilmu tidak pun menjadikan ilmu obor dalam
kehidupan manusia. Sebab itulah masyarakat manusia cepat menjadi jahat.
KAYA DENGAN ANAK-ANAK
Islam menggalakkan penganut-penganutnya berkahwin, bahkan lelaki
dibolehkan berkahwin sehingga empat isteri agar mendapat zuriat yang banyak.
Rasulullah SAW berbangga dengan umatnya yang ramai. Kaya dengan anak ini dengan
tujuan seperti berikut:
1. Untuk menghibur Rasulullah SAW, kerana Rasulullah SAW berbangga
dengan umat atau pengikut yang ramai.
2. Agar zuriat yang ramai itu dapat dididik secara Islam, dengan
itu wujudlah suatu masyarakat Islam yang kecil yang akan menjadi tapak kepada
masyarakat Islam yang lebih besar.
3. Anak-anak yang ramai yang terdidik dengan Islam adalah menjadi
aset dan tenaga pelapis menyambung perjuangan ibu dan bapa untuk mengembangkan
ajaran Islam.
4. Agar dengan ramainya anak-anak, terdidik pula dengan ajaran
Islam, akan memberi pahala yang banyak kepada dua ibu bapanya, bahkan
berkekalan selepas wafat ibu bapanya.
5. Agar kita bersyukur kepada Allah Taala kerana anak-anak itu
adalah cahaya mata yang merupakan nikmat daripada Allah Taala, dengan itu kita
dapat pahala syukur.
6. Agar dengan anak-anak yang banyak terasa kebesaran dan kekuasaan
Allah Taala, ia merupakan ayatullah.
Biasanya apa yang terjadi pada orang banyak anak:
1. Secara umum umat Islam sudah tidak mendidik anak-anaknya dengan
didikan Islam. Oleh itu lahirlah anggota masyarakat yang menyusahkan ibu bapa
dan menjadi perosak kepada agama, bangsa dan negara.
2. Ibu bapa menjadikan anak-anak aset untuk mendapatkan kekayaan
dunia semata-mata.
3. Berbangga dan sombong dengan anak-anak yang banyak dan
berjaya mendapat pangkat dan kekayaan dunia.
4. Tidak ada pun menjadi cita-cita ibu bapanya bahawa anak-anak
yang ramai hendak dijadikan tenaga penyambung memperjuangkan Islam.
5. Tidak ada cita-cita hendak menjadikan anak-anak atau
keluarga sebagai tapak masyarakat Islam.
KAYA DENGAN PENGIKUT
Bagi umat Islam yang ada ilmu, ada karisma memimpin akan terjadi
nanti ada pengikut-pengikut atau orang ramai cenderung kepadanya. Maka jadilah
ia pemimpin secara fitrah semula jadi dengan tujuan:
1. Boleh mempersatukan umat Islam dengan daya dan karisma pemimpin
itu.
2. Agar mereka dapat dididik secara Islam supaya kelak akan menjadi
masyarakat contoh untuk memudahkan orang lain mengikut.
3. Supaya mereka dapat dijadikan tenaga untuk memperjuangkan syariat
Islam agar Islam bertambah luas dan dapat menegakkan Islam secara global.
4. Agar dengan tenaga pengikut itu dapat diasuh supaya dapat bertolong
bantu, dapat menegakkan amal makruf nahi mungkar.
Biasanya terjadi kepada pemimpin terhadap pengikutnya yang ramai:
1. Pemimpin biasanya berbangga-bangga dan sombong dengan
banyaknya pengikut.
2. Pengikut tidak diasuh dan dididik secara Islam bahkan
dididik secara dunia atau sekular semata-mata.
3. Para pemimpin menggunakan tenaga pengikut yang ramai untuk
kepentingan diri.
4. Tidak diajak mereka berjuang untuk mengembangkan ajaran Islam
serta menegakkan Islam secara syumul di dalam kehidupan.
5. Bahkan terdapat pemimpin menggunakan tenaga pengikut menentang
para pejuang menegakkan Islam di dalam kehidupan.
KAYA JIWA
Orang yang kaya jiwa ialah orang yang kuat imannya, kental keyakinannya.
Akhirat menjadi matlamat bahkan memang sentiasa ditunggu-tunggu. Terhadap dunia
- ada dengan tiada, sama sahaja. Ada pun tidak menggugat jiwanya, tiada pun
tidak menggugat jiwanya. Berasa puas apa yang ada. Banyak atau sedikit serupa
sahaja. Dia rasa kaya dengan Tuhan. Harta kalau tidak ada, tidak menyusahkan
jiwanya. Kalau ada pula, terhibur dengan memberi. Tidak memberi lebih susah
hatinya, apabila memberi lapang hatinya. Tenang hatinya dengan ujian dan kesusahan,
kecuali sedikit mengikut fitrah semula jadi.
Orang yang kaya hati atau jiwa itu orang yang tidak dapat digugat
oleh dunianya, sama ada kesusahan yang menimpa mahupun kesenangan yang
mendatang, kecuali yang bersifat fitrah semula jadi yang tidak mencacatkan.
Dunianya di tangan bukan di hati. Orang yang kaya jiwa ini, dunianya tidak
dapat melalaikannya. Bahkan kalau dunia ada di tangan, terhibur hatinya jika
memberi, susah hati jika tidak memberi.
Orang yang kaya jiwa ini Allah Taala berfirman:
Maksudnya: “Tidak merasa takut dan tidak berdukacita.” (Yunus:
62)
Maksudnya: “Orang-orang Tuhan, dengan sebab mereka itulah
manusia diberi bantuan, diberi rezeki, dijauhi daripada bala bencana.”
Orang yang kaya jiwa tidak rasa inferiority complex dengan
orang kaya, raja, cerdik pandai, orang yang berkuasa dan lain-lain lagi.
Orang-orang Tuhan ini, awas, jangan susahkan dia, Allah Taala akan turunkan
bala. Kalau tidak jangka pendek, akan berlaku jangka panjang. Kalau mereka
disusahkan, ya, mereka hamba Allah, mungkin mereka susah, untuk meninggikan
darjat mereka di Akhirat. Tapi Allah Taala akan susahkan manusia yang menyusahkannya
di dunia lagi. Contohnya para nabi dan rasul, kalau mereka disusahkan, memang
mereka pun mendapat kesusahan seperti dibunuh, dipenjara, disingkir daripada
negaranya, difitnah, diberi malu. Tetapi apa yang Allah telah lakukan kepada manusia
yang menyusahkannya? Tidak perlu saya sebutkan di sini, bacalah sejarah mereka.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Ulama itu racun, sesiapa yang memakannya, dia
binasa.”
Orang yang kaya jiwa ini dengan dunia mudah sahaja. Kalau ada,
mereka rasa tanggungjawab mereka kepada agama dan masyarakat amat berat kerana
itulah mereka susah hati kalau mendapat kekayaan dunia. Ditakuti tidak boleh
bertanggungjawab kepada masyarakat. Kalau dunia tiada di tangan, senang hati
mereka kerana ringan tanggungjawab mereka di dunia ini. Orang yang kaya jiwa
ini, kalau mereka kaya harta, ramai boleh menumpang sama kerana dia tidak
terpengaruh dengan harta kekayaan yang dimilikinya. Fakir miskin terbela, orang
susah dibantu, yang memerlukan diberi, yang meminta dikasihi, orang yang
berhutang diselesaikan hutangnya.
Orang yang kaya jiwa kalau dia kaya, dia menjadi bank kepada
masyarakatnya. Kalau ada orang lain yang mendapat kesenangan, dia dapat
bersekutu bersama rasa senang itu. Kalau dia mendapat kesusahan, hatinya tidak
pula susah kecuali sekadar fitrah semula jadi.
KAYA DENGAN BUDI BAHASA
Orang ini adalah kerana didorong oleh iman, maka akhlaknya mulia,
lapang dada dengan kerenah manusia, mesra dengan orang, tetamu dimuliakan,
kawan dijaga, pemurah dengan tenaga, harta, ilmu dan dengan senyuman, lemah
lembut, pemaaf, mudah minta maaf, pemalu, bahasanya dijaga, sekali keluar bak
mutiara penuh dengan ilmu dan penuh dengan hikmah. Dia senang dengan orang,
orang senang dengan dia.
Jika ada orang yang hasad dengki atau menyusahkannya, dia
mendoakannya dengan kebaikan. Dia tidak pernah gelisah dengan kejahatan orang.
Orang yang menyusahkannya pula yang susah dan gelisah. Orang yang berbuat jahat
dengannya pula yang tidak tenang. Orang yang menyusahkannya rasa gelisah di
hadapannya, orang yang disusahkan tenang sahaja. Sebab itulah orang yang kaya
dengan budi bahasa, ini kalau ada orang membuat salah kepadanya, orang itulah
yang sangat terseksa kalau orang itu bertemu dengannya. Kalau boleh hendak dielak-elakkan
daripada bertemu.
Orang yang kaya dengan budi bahasa itu tidak suka menyusahkan orang
bahkan suka menghiburkan dengan bantuan dan pertolongan, suka menziarahi orang
khususnya kawan-kawannya. Orang terhibur dengan keberadaannya walaupun orang malu
dengannya. Suka memberi hadiah kepada orang terutama kawan-kawannya, sangat
mengenang jasa orang, budi orang dibalas. Orang datang berziarah, dia senang
menerimanya.
Orang yang kaya dengan budi bahasa ini senang berbincang dengannya,
mudah berkira, boleh berlebih kurang, mudah berkawan, tidak pernah tidak
menunaikan hajat orang. Kalau hajat orang tidak boleh ditunaikan, susah
hatinya, mudah menolong orang, hutang orang kepadanya tidak pernah dimintanya.
KAYA DENGAN KAWAN DAN KENALAN
Biasanya orang ini suka bergaul dengan orang, jauh
perjalanannya dan suka merantau. Maka terjadilah banyak kawan dan kenalan dan
banyak juga pengalaman. Tujuan banyak kawan dan kenalan itu agar dapat belajar
dengan pengalaman, yang baik diambil, yang buruk ditinggalkan. Yang baik dijadikan
pengajaran, yang jahat dijadikan sempadan. Allah Taala ada berfirman:
Maksudnya: “Berjalanlah di atas muka bumi ini maka lihatlah
bagaimana kesudahan orang yang berdusta.” (Ali Imran: 137)
Orang yang banyak kawan dan kenalan kenalah tunaikan hak-haknya.
Apabila bertemu beri salam. Apabila diberi salam jawablah salamnya. Apabila dia
susah, kenalah tolong. Apabila dijemput ke rumahnya kenalah pergi tunaikan
jemputannya, kecuali kalau jemputan itu ada maksiat dan kemungkaran. Di waktu-waktu
tertentu kenalah memberi hadiah. Di waktu kawan mendapat kesenangan,
lahirkanlah sama rasa kegembiraan dan kesenangan itu.
Di waktu kawan mendapat kemalangan dan kesusahan, lahirkanlah
rasa kesusahannya. Ertinya rasa kesusahan dan kesenangan bagi orang mukmin
hendaklah dikongsi bersama. Berkirim-kirim salamlah dengan kawan-kawan. Di
waktu agak sudah lama tidak bertemu, ziarahilah ke rumahnya dan bawalah buah
tangan. Tujuannya ialah untuk mengekalkan kasih sayang. Di waktu kematiannya
atau keluarganya, ziarahilah sebagai mengucapkan takziah.
Tapi apa yang biasanya berlaku, orang yang kaya kawan dan kenalan
itu tidak mengikut syariat Islam. Dengan ramainya kawan dan kenalan, dia
mengambil peluang meminta tolong selalu suka berhutang dengan kawan, ziarah
kawan dengan tujuan menyusahkan kawan, tidak ada pun hendak bawa buah tangan, ziarah-menziarahi
sudah tidak berlaku. Kebaikan kawan tidak ditiru dan kejahatannya dijaja
merata-rata. Berkirim-kirim salam sudah tidak berlaku. Kesusahan kawan tidak
pun ingin membantu.
Dia berfikiran biarlah kawan memikirkan kesusahannya. Bukannya
dia hendak memikirkan kesusahan kawannya. Begitulah di akhir zaman ini berkawan
tidak setia, berkenalan tidak jujur bahkan berkawan itu hanya sementara waktu,
di waktu susah, di waktu berdagang, kerana berkawan di waktu itu amat perlukan
bantuan. Selepas itu berkawan sudah tidak berlaku lagi.
Sebagai penutupnya, jarang umat Islam itu yang mendapat kekayaan
di semua perkara, iaitu kaya harta, kaya ilmu, kaya anak, kaya pengikut, kaya
jiwa, kaya budi bahasa, kaya kawan dan kenalan. Kalau ada orang yang mendapat
semua kekayaan ini, dia adalah manusia luar biasa. Setengah orang itu kaya satu-satu
perkara atau dua perkara atau tiga perkara, tidak lebih daripada itu. Kalau
kita tidak boleh kaya di dalam semua perkara, carilah kekayaan ilmu dan
pengalaman, kekayaan jiwa dan kekayaan budi bahasa. Ini sudah cukup untuk
menjadi manusia yang berguna di dunia dan Akhirat.
MENCARI KEKAYAAN DUNIA BOLEH TIMBUL PERMUSUHAN
Perlu diingat bahawa mencari kekayaan harta dan wang ringgit selalunya
terpaksa melalui pertarungan yang sengit. Selalu sahaja ada saingan, musuhnya
banyak, selalu sahaja iri hati, hasad dengki, akhirnya membawa kepada
permusuhan dan perkelahian. Bahkan bangsa-bangsa di dunia ingin menguasai
politik dan ingin menguasai sesebuah negara dan sesuatu bangsa itu.
Dengan kata-kata yang lain, lahirnya penjajahan di antara satu
bangsa ke atas bangsa yang lain atau penjajahan negara ke atas sesebuah negara
yang lain, tujuannya tidak lain, melainkan kerana hendak merebut harta dan
kekayaan atau menguasai ekonomi. Timbullah peperangan, penzaliman,
diskriminasi, kelas-kelas masyarakat di kalangan manusia. Berlaku peperangan dunia
yang pertama dan peperangan dunia kedua, hakikatnya kerana hendak berebut atau
memonopoli kekayaan dunia.
Lalu lahirlah mala petaka besar kepada bangsa-bangsa di dunia,
berlakulah kerosakan di atas muka bumi, terjadilah yang menjajah menjadi kaya,
bangsa yang kena jajah, jatuh miskin. Kemudian akhirnya bangsa yang kena jajah
bangun berjuang membebaskan tanahair masing-masing, pun secara umum ingin menguasai
kekayaan negaranya supaya jangan selama-lamanya dikaut oleh penjajah.
Selama bangsa-bangsa di dunia berebut-rebut kekayaan harta dan
wang ringgit menjadi matlamat, maka selama itulah dunia tidak akan aman.
Bangsa-bangsa di dunia akan sentiasa bermusuhan di antara satu sama lain.
Peperangan tidak akan habis-habis dan berkesudahan.
PERJUANGAN YANG PALING SELAMAT
Perjuangan yang paling selamat ialah memperjuangkan kekayaan ilmu,
kekayaan budi bahasa dan kekayaan jiwa. Memperjuangkan kekayaan-kekayaan yang
kita sebut itu membawa kepada keamanan, kasih sayang dan keharmonian. Memperjuangkan
kekayaan ilmu, kekayaan budi bahasa dan kekayaan jiwa, semua manusia selamat.
Berebutkan kekayaan ini tidak ada pertarungan, tidak ada jatuh-menjatuhkan,
tidak ada peperangan. Ia berjalan dengan aman, kasih sayang, banyak kawan,
bertolong bantu dan keharmonian.
Kalau bangsa-bangsa di dunia ini, kekayaan yang tiga itulah menjadi
matlamat hidup dan lantas memperjuangkannya, alangkah indahnya dunia ini dan
alangkah bahagianya manusia dan akan jadilah manusia laksana satu keluarga. Tidak
ada agama di dunia ini dan juga tidak ada sebarang ideologi di dunia ini yang
mengambil serta memperjuangkan kekayaan tiga perkara ini melainkan agama Islam
sahaja. Tapi oleh kerana umat Islam jiwanya telah rosak, mereka mendapat didikan
dari orang kafir khususnya bangsa-bangsa Barat, maka di waktu itu umat Islam
tidak lagi menjadi matlamat memperjuangkan tiga kekayaan itu. Bahkan apa yang
diperjuangkan oleh umat Islam hari ini ialah kekayaan harta dan wang ringgit.
Maka sudah tidak ada lagi bezanya orang yang bukan Islam dengan orang Islam
kecuali golongan yang sedikit.
Oleh itu tidak hairanlah masyarakat umat Islam tidak jauh beza
dengan masyarakat orang bukan Islam. Apa sahaja gejala masyarakat atau penyakit
masyarakat wujud di dalam masyarakat orang yang bukan Islam, itulah juga yang
wujud di dalam masyarakat umat Islam. Kita hendak betulkan semula amat susah
dan payah sekali kerana rintangan dan halangan itu datang daripada umat Islam
sendiri. Wallahua'lam.