Ada manusia yang dalam hidupnya, dia tidak mahu berusaha.Segala modal dan aset yang ada pada dirinya dibiar dan tidak digunakan. Baik ilmu dan pemikirannya, kemahirannya, tenaganya, masanya ataupun wang ringgitnya, tanah dan hartanya. Manusia seperti ini sangat rugi. Ada pula manusia yang dalam hidupnya sangat berusaha. Digunakan segala kepunyaannya dan segala apa yang ada pada dirinya. Tetapi usahanya itu tidak membawa natijah kerana usahanya itu tidak dihalakan kepada sesuatu arah yang tertentu atau kepada matlamat yang betul. Orang berusaha maka dia pun berusaha. Dia tengok orang sibuk, dia pun sibuk. Apa tujuan dia tidak tahu. Oleh itu, usahanya tinggal usaha tanpa ada apa-apa hasil yang bermanfaat. Orang seperti ini, dia dua kali rugi. Sudahlah tidak dapat apa-apa macam orang yang tidak berusaha tadi, ditambah dia dapat letih dan penat serta modalnya habis begitu sahaja. Orang yang langsung tidak berusaha, setidak-tidaknya dia tidak letih dan modalnya tidak habis.
Kalau orang ada sebidang tanah tetapi tidak diusahakan tanah itu hingga tumbuh semak dan lalang, ini orang yang malas dan tidak pandai memanfaatkan tanahnya. Tetapi orang yang ada sebidang tanah, dibajak dan ditraktor tanah itu, digemburkan, dibuat batas dan dibubuh baja dan kemudian dibiarkan hingga tumbuh semak dan lalang, apakah pula istilah yang hendak kita gunakan terhadap orang yang seperti ini.
Begitulah umumnya sifat, watak dan perangai umat Islam masa kini di seluruh dunia. Sama ada mereka malas berusaha atau mereka berusaha tetapi tidak ada natijahnya dan hasilnya tidak ke mana. Sudahlah amal ibadah mereka kurang, disempitkan pula hanya kepada ibadah yang berbentuk khususiah semata-mata. Fekah diamal tanpa tauhid dan tasawuf. Kadang-kadang, tasawuf diamalkan tetapi rosak feqah dan tauhidnya. Kadang-kadang tauhidnya terus rosak. Jadi kalau beramal pun, tidak ada apa-apa makna.
Umat Islam hari ini beramal tidak tahu untuk dapat apa. Untuk dapat pujian? Untuk dihormati? Untuk disokong dan diberi undi? Supaya tidak disisih atau dipulaukan oleh masyarakat atau supaya tidak dihukum kerana tidak bersyariat? Kalau ditanya, paling baik mereka kata kerana mahu mengumpul pahala dan fadhilat. Seolah-olah Syurga itu ada maharnya dan boleh dibeli. Ada kos dan nilainya. Macamlah nikmat di dunia, semuanya boleh dibeli. Kalau tidak dengan duit, dengan pahala dan fadhilat.
Amal ibadah itu, sama ada yang lahir mahupun yang batin adalah syariat. Tujuan kita bersyariat tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membesarkan Allah. Syariat itu tidak besar. Yang besar ialah Allah. Kita beramal dan bersyariat untuk mendapat Allah SWT. Untuk mendapat redha, kasih sayang dan keampunan Allah. Untuk mendapat pemeliharaan, perlindungan dan keselamatan dari Allah. Atau dengan kata-kata yang lain, untuk mendapat taqwa. Segala amalan itu untuk menambah taqwa. Kerana Allah hanya menerima ibadah dari orang-orang yang bertaqwa. Allah hanya membela, membantu dan melindungi orang-orang yang bertaqwa. Hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat di sisi Allah Taala.
Berapa ramai umat Islam yang benar-benar berusaha dan beramal khusus untuk mendapat taqwa? Tidak mungkin ramai bilangannya kerana tidak ramai yang faham apa sebenarnya maksud taqwa. Lebih-lebih lagi tidak ramai yang faham bagaimana jalan untuk mencapai taqwa. Ilmu ini sudah tidak diajar. Ilmu ini sudah hilang semenjak jatuhnya empayar Islam 700 tahun dahulu. Lagi pun tidak ramai orang yang mampu mengajarnya di waktu ini.
Taqwa bukan bererti takut. Taqwa bukan setakat membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Itu baru taat dan patuh tetapi belum tentu taqwa. Taqwa adalah intipati ibadah. Ia roh dan jiwa ibadah. Tanpa roh, sesuatu amalan tidak menambah taqwa. Amalan taqwa sahajalah yang dipertimbangkan di Akhirat kelak sebagai amalan kebajikan. Bahkan taqwa adalah buah dari beragama.
Begitu pentingnya taqwa kepada kehidupan umat Islam. Tidak ada taqwa, tidak dapat Tuhan. Tidak ada taqwa bererti tidak ada kebahagiaan di dunia dan di Akhirat. Tetapi inilah yang tidak ada pada umat Islam hari ini. Selagi kita tidak faham apa sebenarnya erti taqwa, tidak tahu hakikat dan jalan untuk mencapai taqwa dan tidak berusaha ke arah taqwa, selagi itulah kita belum berada di atas landasan yang betul dalam beragama.
No comments:
Post a Comment