Menuju Daulah?


Tahun 2000 mencetuskan berbagai inspirasi dari berbagai golongan. Ahli sosiologi mengandaikan tahun 2000 bermulanya suasana kehidupan manusia yang lebih baik, adil dan sejahtera. Pakar ekonomi meramalkan bertambah selesanya pertumbuhan ekonomi dunia biarpun berkembang secara sederhana. Ahli teknologi beranggapan tahun 2000 bakal meningkatnya kecanggihan sekaligus semakin kurang memberi kesan kepada kemusnahan manusia dan alam sekitar.

Para pemimpin politik pula berharap akan wujudnya suasana lebih damai, kurangnya krisis, penindasan dan penzaliman. Mereka impikan dunia lebih tenteram dari kuasa-kuasa besar agar mengurangkan politiking. Ahli-ahli agama dari berbagai agama pula berharap serta yakin bakal muncul tokoh yang mencatur dan mengatur dunia dari kalangan agama mereka.

Sama ada ianya satu inspirasi, atau ramalan atau tanggapan atau harapan atau rasa hati atau juga ilham, semuanya menjurus kepada situasi yang lebih baik. Manakala agak berbeza pula dengan keyakinan ahli agama. Masing-masing yakin akan muncul satu figure yang bakal membawa kesejahteraan menyeluruh kepada kehidupan manusia. Figure tersebut diyakini bakal muncul daripada kalangan agama masing-masing.

Namun melihat kepada berbagai faktor yang telah dan sedang berlaku, diperkukuhkan lagi oleh isyarat daripada Sadiqul Masduq Rasulullah SAW, bahawa awal kurun ini adalah giliran kegemilangan Islam. Anak kunci memahaminya adalah terletak kepada tahun 2000 itu sendiri iaitu merupakan alaf baru, dan lebih-lebih lagi faktor bahawa kita masih berada di awal kurun Hijrah. Setiap awal kurun Hijrah muncul seorang mujadid yang dijanjikan oleh Allah SWT pembawa kebenaran dan kesejahteraan, mengembalikan ciri-ciri beragama seperti asal di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Khabar gembira bagi umat Islam di rantau Timur pula ialah kerana tapak kegemilangan Islam itu adalah Malaysia dan bangsa itu adalah Melayu. Khabar gembira itu sepatut dan sewajarnya disambut dengan kesyukuran oleh umat Islam di tanah air tercinta ini kerana sudah hampir tiba saat dan ketikanya. Dan kita pula ditakdirkan oleh Allah SWT hidup di zaman dan di bumi yang dijanjikan itu, Insya Allah dapat melihat dan mengecapi keindahan hidup dalam suasana yang diredhai oleh Allah SWT.

Tanda kesyukuran terhadap bakal terjadinya janji Allah SWT itu ialah dengan bersungguh-sungguh melayakkan diri sebagai di antara penyumbang dan pendokong utama kepada keagungan Islam itu sendiri. Ini bolehlah diibaratkan kegembiraan menjelang hari raya. Tentulah akan lebih bermakna apabila kita mempersiapkan segala keperluan yang berkaitan hari raya.

Begitu juga umpama seorang yang gembira menempuh gerbang perkahwinan. Tentulah kegembiraannya itu disertakan dengan segala persiapan yang sempurna tanpa sebarang cacat cela. Cacat cela itu umpamanya tidak mahu berlaku sama ada pada diri dan majlis perkahwinan. Begitu juga umpama keseronokan melancong. Tentulah perasaan seronok itu akan mengalami anti climax apabila sampai di sempadan, tiba-tiba disedari syarat kemasukan tidak cukup seperti ketiadaan pasport atau tidak cukup duit.

Oleh kerana keagungan dan kegemilangan kali kedua hampir-hampir menyamai kegemilangan kali pertama(zaman salafussoleh), maka proses persediaan, persiapan dan kelengkapannya juga adalah menepati ciri-ciri zaman ummah pertama itu. Kerana hukum sebab akibat atau sunnatullah tidak berubah. Artikel ini menghidangkan kepada umat Islam rahsia keagungan sebagai panduan untuk umat Islam berusaha melayakkan diri sebagai pendokong utama kepada kebangkitan Islam. Tidak kira di mana sahaja berada, apabila rahsia ini dapat dihayati, secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak, sebenarnya secara automatik telah layak bersama sebagai pendokong dan penggerak utama kepada keagungan Islam di akhir zaman ini.

Tanpa adanya rahsia ini, kalaupun boleh juga mencapai kemenangan mungkin kerana pandai, pintar, ada kekuatan, strategi pula mengena, musuh lemah dan terperangkap, namun itu belum tentu diiktiraf sebagai kemenangan yang hakiki.

Jarang sekali umat Islam melihat bahawa kemenangan adalah faktor bantuan Allah SWT. Bahkan ada di kalangan umat Islam yang terus menolak atau menafikannya. Lantaran itulah maka berkecamuk pemikiran umat Islam ini dengan berbagai idea dan tanggapan mengenai faktor kemenangan. Sejuta umat Islam akan membuahkan sejuta pula faktor yang kadang-kadang terdapat percanggahan. Lebih parah lagi adanya idea yang bukan sahaja boleh meruntuhkan umat Islam malah membuka ruang kepada kejayaan musuh. Tidak hairanlah banyak kedapatan kelompok pejuang Islam yang turut didalangi oleh musuh Islam sendiri.

Faktor kepimpinan tidak termasuk ke dalam faktor yang mesti dimiliki oleh semua umat Islam. Kepimpinan sebenarnya termasuk salah satu rahsia kemenangan kerana dengan adanya pemimpinlah maka faktor-faktor lain itu dapat dicapai. Kerana pemimpinlah yang memberi ilmu mengenai keTuhanan. Mendidik umat mengenal, yakin dan mentaati Allah SWT. Pemimpin juga yang mendidik umat kepada iman, taqwa dan perpaduan. Dan lebih-lebih lagi, pemimpin juga yang paling utama sebagai saluran bergabungnya kerajaan ghaib dalam memenangkan pejuang kebenaran dan menumpaskan musuh. Pemimpin juga sebagai saluran barakah dan karamah.

Artikel ini tidak mempelawa atau membuka sebarang ruang polimik kerana penulis berpendapat umat Islam telah terlalu lama dibuai oleh lamunan angan-angan kosong perbahasan, perbincangan, mesyuarat, saranan, idea, pandangan, resolusi dan bermacam-macam lagi yang entah apa-apa nama dan istilah. Realitinya umat Islam semakin tidak kenal Allah SWT, derhaka, zalim, ganas, jatuh-menjatuh, tindas-menindas dan bergelumang dengan berbagai gejala negatif seolah-olah sebagai manusia tanpa agama. Sedangkan semua itu berlaku dalam keadaan agama diperkatakan di mana-mana.

Super zalim bukan lagi warisan kuffar tetapi wujud juga di kalangan umat Islam. Zalim tidak akan musnah dengan kezaliman kecuali dengan kesolehan. Maka Super Zalim mestilah dihadapi dengan Super Soleh agar Allah SWT benar-benar membantu dan memberi pertolongan. Kehadiran Super Soleh dengan sendirinya Super Zalim akan lenyap dan musnah. Dilenyapkan dan ditumpaskan oleh tentera Allah SWT. Umpama saat kelahiran Rasulullah SAW dengan tiba-tiba terpadamnya api sembahan Majusi di Farsi.

Moga-moga tidak ada lagi alasan bagi umat Islam ini untuk menebus maruah dan mengangkat martabat umat, kerana rahsianya sudah dihidangkan ke pangkuan umat. Janji Allah SWT pasti tiba, pasti berlaku dan saatnya sudah sangat dekat.

Dalam keadaan syukur dan gembira, patut juga terselit rasa ngeri dan cemas. Takut dan bimbang kerana orang lain sedang belayar dengan selamat menuju destinasi ‘Mardhatillah’, terdapat pula golongan yang terkapai-kapai hanyut dan ditelan oleh gelombang lautan maksiat, mungkar, gila dunia, tamak, rakus, sombong, ego dan lain-lain kederhakaan lagi. Janganlah hendaknya ada yang melupai Allah SWT dan menemuiNya dalam keadaan derhaka dan sebagai calon ke neraka, Wal’iyya zubillah.

2 comments:

Anonymous said...

zalim vs. salim..
kesejahteraan, ketenangan yg dicari..
melalui kesolehan hamba pada Penciptanya..
wallahu'alam..

Afzainizam said...

★°°•.★°°•.★°°•.★°°•.★°°•.★
buat pembaca blog kami
http://firestartingautomobil.blogspot.com
http://bukandoktorveterinar.blogspot.com
★°°•.★°°•.★°°•.★°°•.★°°•.★

Salam kunjungan salam ziarah…. Thanks kerana berkongsi story pada kami. Salam sebuah persahabatan salam satu perkenalan dari blog kami... Moga kami mendapat maklum balas dan respont yang baik dari blog anda...

moga Allah lindungi kita semua.... carilah ketenangan dalam diri sendiri ....

Bumi Tuhan... Bersaksilah