DI AKHIR ZAMAN, "HUKUM RIMBA" MENJADI AMALAN

catatan 9 Januari 09... (GISB)

Kita sekarang sedang menyaksikan bahawa hukum Rimba sedang digunapakai di mana sahaja di dalam masyarakat dunia, iaitu yang kuat akan menindas yang lemah, yang berkuasa akan menzalimi yang tidak ada kuasa, semua ini mewujudkan satu suasana yang penuh dengan ketidakadilan, dan menyebabkan penderitaan dan kesengsaraan.

Sedangkan fitrah manusia mahu dihormati, mahu keamanan dan kedamaiannya tidak terganggu. Fitrah manusia juga bencikan kezaliman, bencikan keganasan dan bencikan penindasan. Kalau demikian sifatnya manusia mengapa pula kezaliman, penindasan dan keganasan berleluasa di mana saja. Mengapa permusuhan, peperangan dan berbunuhan berlaku di mana saja?

Malah PBB dan Amerika yang kononnya berfungsi selaku pendamai dan sangat menghormati hak asasi manusia dan selalu menonjolkan diri mereka sebagai pejuang hak asasi manusia, sebaliknya dalam waktu yang sama PBB dan Amerika memberi laluan kepada Israel itu sendiri melakukan tindakan melampaui batas kemanusiaan, dan seringkali bertindak zalim, kejam dan ganas.Mengapa di tengah-tengah suara kedamaian PBB, mereka juga yang merestui berbagai pertumpahan darah atas nama lesen ketetapan PBB. Menjadikan Amerika dan Israel sudah tidak terkira lagi ganasnya. Sehingga ada pihak yang membuat andaian bahawa tiada suatu kekacauan negara di dunia ini melainkan ada campurtangan Amerika.Namun demikian memang ada jawapan mengapa terjadi demikian.

Pertama, memang demikian sifatnya para penganut ideologi yang terpisah langsung dari Tuhan. Di zaman mana pun, semenjak dari manusia awal, dan siapa pun dan tidak kira di mana, penganut ideologilah yang paling mudah membuat tindakan ganas dan pencetus kezaliman. Ini kerana penganut ideologi tidak pernah memperhitungkan soal Tuhan dan agama dalam hidup mereka. Bagi mereka, kepentingan hidup sementara ini saja yang diperhitungkan. Untung rugi mereka adalah di dunia ini semata-mata. Tuhan dan akhirat belakang kira. Malah terputus langsung dari agama, keTuhanan, hukum hakam, syariat dan perhitungan dosa pahala, neraka dan syurga.

Kedua, apa yang mereka pertahankan sebagai maruah, penghormatan, keamanan dan ketenteraman itu adalah hak milik dirinya sendiri. Ertinya gangguan itu jangan berlaku terhadap diri mereka, keluarga mereka, dan kepentingan mereka. Kepada orang lain tidak diperhitungkan. Sebab itu Amerika dan Israel sanggup berbuat apa saja terhadap Palestin atau juga kepada mana-mana negara dunia apabila kepentingannya dirasakan tergugat. Biarpun tindak balasnya sangat-sangat melampaui batas dan keterlaluan, itu semua sudah tidak dipedulikan. Asalkan kepentingan Amerika itu sendiri terjamin. Inilah yang dinamakan `hukum rimba`, iaitu haiwan dan tumbuhan. Haiwan bersifat siapa kuat dia berkuasa, yang kecil dan lemah sentiasa menjadi mangsa. Pokok-pokok pula akan sentiasa melepaskan pucuk masing-masing untuk lebih tinggi mengatasi pokok lain.Kita semua perlu memahami keadaan ini bahawa tiada jaminan keadilan bagi mereka yang tidak mempedulikan Tuhan, agama dan akhirat. Manusia akan sentiasa terdedah kepada kezaliman dari orang yang hanya menjadikan ideologi sebagai pegangan hidup. Cuma mungkin mereka membawa mesej kedamaian dan keadilan sementara belum ada peluang menindas dan kejam. Atau mungkin belum masanya kerana kepentingan dirinya belum tergugat.Islam memang mengajar umatnya menentang dan menghapuskan sebarang bentuk kezaliman. Tidak kira sama ada zalim itu terhadap diri sendiri mahupun kepada orang lain. Tidak kira sama ada zalim itu bersifat lahiriah mahupun rohaniah. Zalim yang bersifat lahiriah memang mudah dikesan. Ini yang ditakuti dan sering diperkatakan di mana-mana malah ditentang.Kezaliman bersifat rohaniah ini sering diabaikan malah umat Islam sendiri ada yang tidak mengetahui dan tidak memahaminya. Lantas dipandang remeh dan terus tidak dipedulikan. Malah Islam lebih mengutamakan penghapusan kezaliman rohaniah ini. Kerana inilah punca berlakunya kezaliman lahiriah. Ianya ibarat seseorang yang memiliki racun berbisa. Dengan adanya racun itulah maka orang lain boleh turut terkena bisanya.

Firman Allah SWT:Maksudnya: "Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berbuat kezaliman, maka kamu akan diazab api neraka, dan tidak ada bagimu pemimpin selain Allah, kemudian kamu tidak akan ditolong." (Surah Hud: 113)

Dalam Islam, zalim mempunyai pengertian yang tersendiri. Jauh berbeza dari pengertian kezaliman yang difahami oleh manusia. Manusia pula seringkali bercanggah dan berbeza dalam memberi erti kezaliman. Zalim bagi fahaman komunis berbeza dengan yang difahami oleh sosialis dan berbeza juga dari puak demokrasi.Zalim menurut pengertian Islam ialah apabila sesuatu itu (manusia atau benda) tidak diletakkan tepat pada tempatnya. Kalau demikian maka dikira zalim juga kalau kita jadikan “steamroll” atau “bulldozer” sebagai teksi, atau dijadikan beca untuk mengangkut kayu balak, atau kasut diletakkan di atas kepala atau kopiah diletakkan di kaki atau seluar dalam dipakaikan di luar. Mengapa manusia seluruhnya memakai pakaian dan tidak bertelanjang. Paling kurang ada dua sebab iaitu tidak mahu berlaku zalim kepada tubuh badan yang tidak boleh terdedah kepada sejuk dan panas atau udara luar. Selain itu ialah untuk tidak mahu mendedahkan kemaluan yang sifatnya mesti ditutup. Dianggap zalim orang yang mendedahkan kemaluan bukan pada tempatnya.
Perbandingan itu untuk memahamkan kepada kita terhadap sesuatu yang jauh lebih utama dan perlu dielak dari berlaku zalim. Iaitu mengapa manusia dihidupkan di atas muka bumi ini. Atau mengapa manusia diciptakan oleh Allah SWT. Jawabnya yang paling tepat mestilah datangnya dari Allah SWT juga kerana Allah SWT yang mencipta manusia. Allah SWT telah tetapkan iaitu dalam firmanNya:

Maksudnya: "Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu (Allah)."(Az-Zariyat: 56)

Maka selagi manusia meletakkan sistem ideologi sebagai kaedah dalam kehidupan mereka dan membelakangkan sistem Tuhan di dalam kehidupan mereka, selagi itulah manusia di dunia ini akan tetap terperangkap dalam hukum Rimba.Oleh itu marilah kita semua meningkatkan rasa kehambaan dan rasa berTuhan di dalam hati masing-masing agar Allah beri jalan untuk lepas dari sistem ideologi yang rosak dan merosakkan ini.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah