TEGAS DALAM BERPRINSIP (GISB)
Dalam Al Quran, antara watak para Sahabat itu ada yang disebut: asy syidda`u `alal kuffar, bererti tegas dengan orang kafir.
Apa yang dimaksudkan tegas di sini? Bagaimana sikap tegas Rasulullah dan para Sahabat berhadapan dengan orang kafir?
Maksud tegas di sini ialah walau di mana kita berada, dalam bergaul dengan orang kafir, kita tetap tegas dengan prinsip. Contohnya kalau tiba waktu sembahyang, kita sembahyang, yang patut jaga aurat, kena jaga aurat, yang perlu jaga akhlak, kena jaga akhlak, walau dalam suasana apa sekalipun. Tegas itu bermaksud berpegang teguh dengan syariat Islam walau di mana sekalipun. Tegas itu bukannya bererti keras, kasar, demonstrasi, bergaduh, maki hamun dan lain-lain.
Contoh-contoh perlakuan Rasulullah terhadap orang kafir:
1. Pada suatu hari Rasulullah didatangi oleh wakil Yahudi dan Kristian.Rasullullah mempersilakan mereka duduk di sebelahnya malah Rasulullah telah membentangkan kain rida`nya untuk mereka duduk. Apabila ketua-ketua kaum di kalangan orang kafir datang ke rumahnya, Rasulullah melupakan sekejap Sahabat dan memberi layanan dan tumpuan yang lebih kepada tetamunya. Rasulullah tidak menunjukkan sikap yang keras tetapi menawan mereka melalui kelembutan dan kehalusan budi dan akhlaknya.
2. Di dalam sebuah peperangan sewaktu Da`tsur mengangkat pedang di atas kepala Rasulullah, Da`tsur bertanya, "Sekarang siapa yang akan menyelamatkan engkau wahai Muhammad?"Rasulullah dengan spontan menjawab, "Allah!"Entah macam mana gegarannya sampai terjatuh pedang dari tangan Da`tsur lalu diambil oleh Rasulullah.Lalu Rasulullah bertanya kepada Da`tsur, "Sekarang siapa yang boleh menyelamatkan engkau?"Da`tsur berkata, "Tiada siapa yang boleh aku aku harapkan."Rasulullah mengambil sikap memaafkannya, walaupun Rasulullah berhak untuk membunuhnya serta tidak salah jika Rasulullah berbuat demikian. Tapi setelah Rasulullah memaafkannya Da`tsur terus masuk Islam.
3. Sewaktu Rasulullah bersama Sayidina Abu Bakar r.a. dalam perjalanan berhijrah ke Madinah, mereka dikejar oleh Suraqah yang hendak membunuh Rasulullah. Apabila sudah hampir dengan Rasulullah, Allah buatkan kaki kudanya terjerlus ke dalam tanah. Di waktu itu Rasulullah ada peluang untuk membunuhnya tetapi Rasulullah tinggalkan dan terus pergi.Suraqah kejar lagi dan sekali lagi kaki kudanya terjerlus, tetapi Rasulullah tetap biarkan sampailah tiga kali. Walaupun Rasulullah tahu orang itu berniat untuk membunuhnya dan Rasulullah juga berpeluang untuk berbuat demikian sebanyak tiga kali, tetapi baginda mengambil sikap memaafkan sahaja.Ini menunjukkan tegas dengan orang kafir itu bererti tegas dengan prinsip.
Ertinya, suka memaafkan itu merupakan prinsip Rasulullah. Di mana dan di dalam suasana apa pun, dia memaafkan kerana memaafkan itu prinsip. Dia boleh pertahankan prinsipnya dalam suasana apa sekalipun.Sedangkan kalau kitalah, jangankan orang telah mengangkat pedang mahu membunuh kita, baru orang mengata pun kita susah hendak memaafkan. Sedangkan Rasulullah ini pemaafnya mengatasi segala-galanya. Begitulah tegasnya Rasulullah dengan prinsip.
4. Cuba kita lihat kisah Salehuddin Al Ayubi sewaktu sedang bertarung dengan Richard The Lion Heart.Apabila pedang Richard jatuh; walaupun dalam Islam, di waktu peperangan dibolehkan membunuh, tetapi Salehuddin tidak membunuhnya.Apabila Richard bertanya mengapa engkau tidak membunuh aku? JawabSalehuddin, "Prinsip saya adalah saya tidak membunuh musuh yang di tangannya tidak ada pedang."Di waktu itu Richard sungguh malu, dia dikalahkan bukan dengan pedang Salehuddin tetapi oleh akhlaknya.
Berdasarkan kisah-kisah di atas barulah kita faham bahawa yang dikatakan tegas dengan orang kafir itu bukannya bererti mencari gaduh dengan mereka tetapi berusaha mendakwah mereka dengan akhlak. Jadi yang dimaksudkan asy syidaa-`u-`alal-kuffar itu bererti orang yang sangat tegas menjalankan hukum-hukum Tuhan sama ada dari sudut akhlak, ibadah dan syariatnya, dalam apa jua suasana sekalipun.
Sepanjang sejarah peperangan yang disertai Rasulullah, sekalipun baginda tidak membunuh musuh walaupun dibolehkan.
Rasulullah membuktikan bahawa lebih ramai musuh yang masuk Islam kerana tertawan dengan akhlak baginda bukan kerana pedangnya. Begitu juga apabila Rasulullah menghantar para Sahabat berdakwah ke serata dunia, senjata utama mereka adalah akhlak. Abdullah Al Bahili r.a. apabila dihantar ke negeri China, dalam keadaan dia tidak memahami dalam bahasanya, tetapi cukup dengan akhlaknya membuatkan bangsa Cina memeluk agama Islam.Cuba kita kaji perjuangan kita hari ini. Selama kita berdakwah, berapa ramai yang telah masuk Islam`di tangan kita. Jika makin lama kita berjuang dan berdakwah makin ramai yang bermusuh dengan Islam dan benci dengan sikap para pejuang Islam, maka kita kena kaji semula uslub perjuangan kita. Mungkin ada yang tidak kena. Takut-takut sudah tidak selari dengan prinsip perjuangan Rasulullah. Janganlah sampai kita yang menjadi pejuang dan pendakwah yang tertipu dan menipu.
Marilah kita kembalikan kegemilangan perjuangan Rasulullah dan para Sahabat agar ramai yang tunduk dan tertawan dengan akhlak para pendakwah bukannya makin benci dan lari dari Islam melihat kelakuan pendakwahnya!
No comments:
Post a Comment