Menuju Daulah?  


Tahun 2000 mencetuskan berbagai inspirasi dari berbagai golongan. Ahli sosiologi mengandaikan tahun 2000 bermulanya suasana kehidupan manusia yang lebih baik, adil dan sejahtera. Pakar ekonomi meramalkan bertambah selesanya pertumbuhan ekonomi dunia biarpun berkembang secara sederhana. Ahli teknologi beranggapan tahun 2000 bakal meningkatnya kecanggihan sekaligus semakin kurang memberi kesan kepada kemusnahan manusia dan alam sekitar.

Para pemimpin politik pula berharap akan wujudnya suasana lebih damai, kurangnya krisis, penindasan dan penzaliman. Mereka impikan dunia lebih tenteram dari kuasa-kuasa besar agar mengurangkan politiking. Ahli-ahli agama dari berbagai agama pula berharap serta yakin bakal muncul tokoh yang mencatur dan mengatur dunia dari kalangan agama mereka.

Sama ada ianya satu inspirasi, atau ramalan atau tanggapan atau harapan atau rasa hati atau juga ilham, semuanya menjurus kepada situasi yang lebih baik. Manakala agak berbeza pula dengan keyakinan ahli agama. Masing-masing yakin akan muncul satu figure yang bakal membawa kesejahteraan menyeluruh kepada kehidupan manusia. Figure tersebut diyakini bakal muncul daripada kalangan agama masing-masing.

Namun melihat kepada berbagai faktor yang telah dan sedang berlaku, diperkukuhkan lagi oleh isyarat daripada Sadiqul Masduq Rasulullah SAW, bahawa awal kurun ini adalah giliran kegemilangan Islam. Anak kunci memahaminya adalah terletak kepada tahun 2000 itu sendiri iaitu merupakan alaf baru, dan lebih-lebih lagi faktor bahawa kita masih berada di awal kurun Hijrah. Setiap awal kurun Hijrah muncul seorang mujadid yang dijanjikan oleh Allah SWT pembawa kebenaran dan kesejahteraan, mengembalikan ciri-ciri beragama seperti asal di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Khabar gembira bagi umat Islam di rantau Timur pula ialah kerana tapak kegemilangan Islam itu adalah Malaysia dan bangsa itu adalah Melayu. Khabar gembira itu sepatut dan sewajarnya disambut dengan kesyukuran oleh umat Islam di tanah air tercinta ini kerana sudah hampir tiba saat dan ketikanya. Dan kita pula ditakdirkan oleh Allah SWT hidup di zaman dan di bumi yang dijanjikan itu, Insya Allah dapat melihat dan mengecapi keindahan hidup dalam suasana yang diredhai oleh Allah SWT.

Tanda kesyukuran terhadap bakal terjadinya janji Allah SWT itu ialah dengan bersungguh-sungguh melayakkan diri sebagai di antara penyumbang dan pendokong utama kepada keagungan Islam itu sendiri. Ini bolehlah diibaratkan kegembiraan menjelang hari raya. Tentulah akan lebih bermakna apabila kita mempersiapkan segala keperluan yang berkaitan hari raya.

Begitu juga umpama seorang yang gembira menempuh gerbang perkahwinan. Tentulah kegembiraannya itu disertakan dengan segala persiapan yang sempurna tanpa sebarang cacat cela. Cacat cela itu umpamanya tidak mahu berlaku sama ada pada diri dan majlis perkahwinan. Begitu juga umpama keseronokan melancong. Tentulah perasaan seronok itu akan mengalami anti climax apabila sampai di sempadan, tiba-tiba disedari syarat kemasukan tidak cukup seperti ketiadaan pasport atau tidak cukup duit.

Oleh kerana keagungan dan kegemilangan kali kedua hampir-hampir menyamai kegemilangan kali pertama(zaman salafussoleh), maka proses persediaan, persiapan dan kelengkapannya juga adalah menepati ciri-ciri zaman ummah pertama itu. Kerana hukum sebab akibat atau sunnatullah tidak berubah. Artikel ini menghidangkan kepada umat Islam rahsia keagungan sebagai panduan untuk umat Islam berusaha melayakkan diri sebagai pendokong utama kepada kebangkitan Islam. Tidak kira di mana sahaja berada, apabila rahsia ini dapat dihayati, secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak, sebenarnya secara automatik telah layak bersama sebagai pendokong dan penggerak utama kepada keagungan Islam di akhir zaman ini.

Tanpa adanya rahsia ini, kalaupun boleh juga mencapai kemenangan mungkin kerana pandai, pintar, ada kekuatan, strategi pula mengena, musuh lemah dan terperangkap, namun itu belum tentu diiktiraf sebagai kemenangan yang hakiki.

Jarang sekali umat Islam melihat bahawa kemenangan adalah faktor bantuan Allah SWT. Bahkan ada di kalangan umat Islam yang terus menolak atau menafikannya. Lantaran itulah maka berkecamuk pemikiran umat Islam ini dengan berbagai idea dan tanggapan mengenai faktor kemenangan. Sejuta umat Islam akan membuahkan sejuta pula faktor yang kadang-kadang terdapat percanggahan. Lebih parah lagi adanya idea yang bukan sahaja boleh meruntuhkan umat Islam malah membuka ruang kepada kejayaan musuh. Tidak hairanlah banyak kedapatan kelompok pejuang Islam yang turut didalangi oleh musuh Islam sendiri.

Faktor kepimpinan tidak termasuk ke dalam faktor yang mesti dimiliki oleh semua umat Islam. Kepimpinan sebenarnya termasuk salah satu rahsia kemenangan kerana dengan adanya pemimpinlah maka faktor-faktor lain itu dapat dicapai. Kerana pemimpinlah yang memberi ilmu mengenai keTuhanan. Mendidik umat mengenal, yakin dan mentaati Allah SWT. Pemimpin juga yang mendidik umat kepada iman, taqwa dan perpaduan. Dan lebih-lebih lagi, pemimpin juga yang paling utama sebagai saluran bergabungnya kerajaan ghaib dalam memenangkan pejuang kebenaran dan menumpaskan musuh. Pemimpin juga sebagai saluran barakah dan karamah.

Artikel ini tidak mempelawa atau membuka sebarang ruang polimik kerana penulis berpendapat umat Islam telah terlalu lama dibuai oleh lamunan angan-angan kosong perbahasan, perbincangan, mesyuarat, saranan, idea, pandangan, resolusi dan bermacam-macam lagi yang entah apa-apa nama dan istilah. Realitinya umat Islam semakin tidak kenal Allah SWT, derhaka, zalim, ganas, jatuh-menjatuh, tindas-menindas dan bergelumang dengan berbagai gejala negatif seolah-olah sebagai manusia tanpa agama. Sedangkan semua itu berlaku dalam keadaan agama diperkatakan di mana-mana.

Super zalim bukan lagi warisan kuffar tetapi wujud juga di kalangan umat Islam. Zalim tidak akan musnah dengan kezaliman kecuali dengan kesolehan. Maka Super Zalim mestilah dihadapi dengan Super Soleh agar Allah SWT benar-benar membantu dan memberi pertolongan. Kehadiran Super Soleh dengan sendirinya Super Zalim akan lenyap dan musnah. Dilenyapkan dan ditumpaskan oleh tentera Allah SWT. Umpama saat kelahiran Rasulullah SAW dengan tiba-tiba terpadamnya api sembahan Majusi di Farsi.

Moga-moga tidak ada lagi alasan bagi umat Islam ini untuk menebus maruah dan mengangkat martabat umat, kerana rahsianya sudah dihidangkan ke pangkuan umat. Janji Allah SWT pasti tiba, pasti berlaku dan saatnya sudah sangat dekat.

Dalam keadaan syukur dan gembira, patut juga terselit rasa ngeri dan cemas. Takut dan bimbang kerana orang lain sedang belayar dengan selamat menuju destinasi ‘Mardhatillah’, terdapat pula golongan yang terkapai-kapai hanyut dan ditelan oleh gelombang lautan maksiat, mungkar, gila dunia, tamak, rakus, sombong, ego dan lain-lain kederhakaan lagi. Janganlah hendaknya ada yang melupai Allah SWT dan menemuiNya dalam keadaan derhaka dan sebagai calon ke neraka, Wal’iyya zubillah.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


TAQWA ADALAH PERKARA YANG DIWASIATKAN  

Taqwa adalah wasiat Allah kepada umat terdahulu dan umat terkemudian. Firman Allah SWT:


Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah berwasiat (memerintahkan) kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan juga kepada kamu, bertaqwalah kepada Allah.” (An Nisa: 131)


Taqwa juga adalah wasiat Rasulullah SAW kepada umatnya. Baginda bersabda:


Maksudnya: “Aku berwasiat kepada Engkau semua supaya bertaqwa kepada Allah, serta dengar dan patuh kepada pemimpin walaupun dia seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku kelak, dia akan melihat pelbagai perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk selepasku.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Termizi dan Majah)


Sabda Baginda lagi:


Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa di mana sahaja kamu berada. Ikutilah setiap kejahatan (yang kamu lakukan) dengan kebaikan, moga-moga kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat At Termizi dan Ahmad)


Sabda Baginda:


Maksudnya: “Bertaqwalah terhadap perkara-perkara yang diharamkan, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kuat ibadah; redhakanlah dengan apa yang diberi oleh Allah kepadamu, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya; buatlah kebaikan kepada jiran kamu, nescaya kamu akan dapat keamanan, kasihilah manusia sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri, nescaya kamu akan selamat; jangan banyakkan ketawa kerana memperbanyakkan ketawa itu mematikan hati-hati.”

(Riwayat At Termizi, Ibnu Majah dan Ahmad)


Sabda Baginda lagi:


Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah, tunaikanlah sembahyang lima waktu, berpuasalah pada bulan Ramadhan, keluarkanlah zakat harta kamu, patuhi orang yang menjaga hal ehwal kamu, nescaya kamu akan masuk Syurga Tuhan kamu.” (Riwayat At Termizi, Ahmad dan Hakim)


Taqwa adalah wasiat para salafussoleh. Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a. pernah berkhutbah:


“… maka sesungguhnya aku berpesan kepada kamu semua supaya bertaqwa kepada Allah, supaya kamu sentiasa memuji Allah dengan pujian yang patut kamu memuji- Nya dan kamu campurkan harap dan cemas serta kamu gabungkan bersungguh-sungguh meminta dengan permohonan.”


Sayidina Umar Al Khattab r.a. pernah menulis surat kepada anaknya Abdullah yang berbunyi:


“Amma ba’du, sesungguhnya aku berpesan kepada engkau supaya kamu bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya siapa yang bertaqwa kepada-Nya, nescaya Dia akan memeliharanya. Sesiapa yang memberi pinjaman kepada Allah (menafkahkan hartanya), nescaya Dia akan membalasnya. Sesiapa yang mensyukuri nikmat-Nya, nescaya Dia akan menambahkannya lagi. Jadikanlah taqwa tertegak di kedua matamu dan memenangi hatimu.”


Umar bin Abdul Aziz r.a. pernah menulis sepucuk surat kepada seorang lelaki. Surat itu berbunyi:


“Aku berwasiat kepadamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza wa Jalla yang mana Dia tidak akan menerima selainnya (taqwa) dan Dia tidak menurunkan rahmat melainkan kepada orang yang bertaqwa dan Dia tidak akan memberi pahala melainkan ke atas taqwa.”


Begitu juga, taqwa adalah wasiat sekalian para rasul a.s. seperti yang diceritakan dalam Al Quranul Karim:


Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu menyeru Musa (dengan firman-Nya). Datangilah kaum yang zalim itu (iaitu) kaum Firaun: Mengapa mereka tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 10-11)


Maksudnya: “Kaum Nabi Nuh telah mendustakan para Rasul. Ketika saudara mereka, Nuh berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 105-106)


Maksudnya: “Kaum Aad telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka, Hud berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 123-124)


Maksudnya: “Kaum Tsamud telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka, Saleh berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 141-142)


Maksudnya: “Kaum Lut telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka, Lut berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 160-161)


Maksudnya: “Penduduk Aikah telah mendustakan para rasul. Ketika Syuaib berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa?” (As Syu’ara: 176-177)


Demikianlah pentingnya taqwa dalam kehidupan manusia. Para rasul diutuskan untuk menyampaikannya kepada umat manusia di dunia ini. Orang yang tidak bertaqwa dikatakan zalim dan mendustakan para rasul. Ia menjadi sebab kaum Nabi Nuh, kaum Aad, kaum Tsamud dan kaum Nabi Lut dihancurkan dan dimusnahkan oleh Allah SWT.


Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Taqwa  



Ada manusia yang dalam hidupnya, dia tidak mahu berusaha.Segala modal dan aset yang ada pada dirinya dibiar dan tidak digunakan. Baik ilmu dan pemikirannya, kemahirannya, tenaganya, masanya ataupun wang ringgitnya, tanah dan hartanya. Manusia seperti ini sangat rugi. Ada pula manusia yang dalam hidupnya sangat berusaha. Digunakan segala kepunyaannya dan segala apa yang ada pada dirinya. Tetapi usahanya itu tidak membawa natijah kerana usahanya itu tidak dihalakan kepada sesuatu arah yang tertentu atau kepada matlamat yang betul. Orang berusaha maka dia pun berusaha. Dia tengok orang sibuk, dia pun sibuk. Apa tujuan dia tidak tahu. Oleh itu, usahanya tinggal usaha tanpa ada apa-apa hasil yang bermanfaat. Orang seperti ini, dia dua kali rugi. Sudahlah tidak dapat apa-apa macam orang yang tidak berusaha tadi, ditambah dia dapat letih dan penat serta modalnya habis begitu sahaja. Orang yang langsung tidak berusaha, setidak-tidaknya dia tidak letih dan modalnya tidak habis.


Kalau orang ada sebidang tanah tetapi tidak diusahakan tanah itu hingga tumbuh semak dan lalang, ini orang yang malas dan tidak pandai memanfaatkan tanahnya. Tetapi orang yang ada sebidang tanah, dibajak dan ditraktor tanah itu, digemburkan, dibuat batas dan dibubuh baja dan kemudian dibiarkan hingga tumbuh semak dan lalang, apakah pula istilah yang hendak kita gunakan terhadap orang yang seperti ini.


Begitulah umumnya sifat, watak dan perangai umat Islam masa kini di seluruh dunia. Sama ada mereka malas berusaha atau mereka berusaha tetapi tidak ada natijahnya dan hasilnya tidak ke mana. Sudahlah amal ibadah mereka kurang, disempitkan pula hanya kepada ibadah yang berbentuk khususiah semata-mata. Fekah diamal tanpa tauhid dan tasawuf. Kadang-kadang, tasawuf diamalkan tetapi rosak feqah dan tauhidnya. Kadang-kadang tauhidnya terus rosak. Jadi kalau beramal pun, tidak ada apa-apa makna.


Umat Islam hari ini beramal tidak tahu untuk dapat apa. Untuk dapat pujian? Untuk dihormati? Untuk disokong dan diberi undi? Supaya tidak disisih atau dipulaukan oleh masyarakat atau supaya tidak dihukum kerana tidak bersyariat? Kalau ditanya, paling baik mereka kata kerana mahu mengumpul pahala dan fadhilat. Seolah-olah Syurga itu ada maharnya dan boleh dibeli. Ada kos dan nilainya. Macamlah nikmat di dunia, semuanya boleh dibeli. Kalau tidak dengan duit, dengan pahala dan fadhilat.


Amal ibadah itu, sama ada yang lahir mahupun yang batin adalah syariat. Tujuan kita bersyariat tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membesarkan Allah. Syariat itu tidak besar. Yang besar ialah Allah. Kita beramal dan bersyariat untuk mendapat Allah SWT. Untuk mendapat redha, kasih sayang dan keampunan Allah. Untuk mendapat pemeliharaan, perlindungan dan keselamatan dari Allah. Atau dengan kata-kata yang lain, untuk mendapat taqwa. Segala amalan itu untuk menambah taqwa. Kerana Allah hanya menerima ibadah dari orang-orang yang bertaqwa. Allah hanya membela, membantu dan melindungi orang-orang yang bertaqwa. Hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat di sisi Allah Taala.


Berapa ramai umat Islam yang benar-benar berusaha dan beramal khusus untuk mendapat taqwa? Tidak mungkin ramai bilangannya kerana tidak ramai yang faham apa sebenarnya maksud taqwa. Lebih-lebih lagi tidak ramai yang faham bagaimana jalan untuk mencapai taqwa. Ilmu ini sudah tidak diajar. Ilmu ini sudah hilang semenjak jatuhnya empayar Islam 700 tahun dahulu. Lagi pun tidak ramai orang yang mampu mengajarnya di waktu ini.


Taqwa bukan bererti takut. Taqwa bukan setakat membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Itu baru taat dan patuh tetapi belum tentu taqwa. Taqwa adalah intipati ibadah. Ia roh dan jiwa ibadah. Tanpa roh, sesuatu amalan tidak menambah taqwa. Amalan taqwa sahajalah yang dipertimbangkan di Akhirat kelak sebagai amalan kebajikan. Bahkan taqwa adalah buah dari beragama.


Begitu pentingnya taqwa kepada kehidupan umat Islam. Tidak ada taqwa, tidak dapat Tuhan. Tidak ada taqwa bererti tidak ada kebahagiaan di dunia dan di Akhirat. Tetapi inilah yang tidak ada pada umat Islam hari ini. Selagi kita tidak faham apa sebenarnya erti taqwa, tidak tahu hakikat dan jalan untuk mencapai taqwa dan tidak berusaha ke arah taqwa, selagi itulah kita belum berada di atas landasan yang betul dalam beragama.


Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Related Posts with Thumbnails

Bumi Tuhan... Bersaksilah

 

Design by Amanda @ Blogger Buster