Pengumpat Tidak Tahan Diumpat! Right?


Orang yang selalu mengata orang
biasanya dia tidak tahan dikata orang
Orang yang selalu mengumpat orang
biasanya tidak suka diumpat orang
Walaupun dia selalu mengata dan mengumpat orang
dia tidak tahan diumpat dan dikata, jiwanya menderita
Jiwanya sangat gelisah jika dia dikata dan diumpat
Biasa juga orang yang tidak suka mengata dan mengumpat,
dia tidak begitu sedih dan tidak susah hati
jika dia dikata dan diumpat
Orang yang tidak suka mengata dan mengumpat
biasanya dia terlalu memikirkan dirinya sendiri
Dia merasakan dirinya juga
sering membuat kesalahan dan kesilapan
Kerana itulah dia tidak minat
hendak mengata dan mengumpat orang


Kalau dia dikata dan diumpat orang,
dia tidak begitu terasa apa-apa
Bahkan mungkin hati kecilnya berkata
patut dia dikata,
kerana dia manusia yang lemah juga
Dengan umpatan orang itu
dia bertambah lagi membaiki diri
Lantaran itulah dia tidak bertindakbalas
di atas kejahatan orang itu
Begitulah seterusnya orang yang sombong,
pantang orang lain sombong dengannya
Kesombongan orang lain terhadap dirinya,
dia tidak sanggup menerima cabaran
Di sini baru kita faham,
orang yang nampaknya macam berani dan garang,
selalu sahaja mengumpat orang
dan sombong dengan orang
Sebenarnya jiwanya tidak kuat,
tidak mampu kena cabar
Di sebalik nampaknya garang
tersembunyi sifat penakut dan pengecut
Tapi orang yang tenang,
tidak nampaknya riuh-rendah
sebenarnya jiwanya kuat
Di sebalik ketenangannya tersembunyi keberanian
dan ketahanan jiwanya
Kerana itulah orang seumpama ini sabarnya luar biasa
Mampu menerima berbagai-bagai ujian dan kesabaran.

Belajar Melalui Rasa Hati


Kalau jiwa manusia itu sentiasa hidup
Dan hati manusia itu sentiasa jaga
Manusia boleh belajar dengan rasa hati
Itulah yang dikatakan fitrah semula jadi
Cuma Islam itu menguatkannya sahaja
Saya bawa beberapa contoh:
Setiap jiwa manusia ingin disayangi
Kalau begitu dia tentulah akan menyayangi
manusia lain
Kerana kemahuan manusia itu sama
Setiap insan suka kalau orang pemurah dengannya
Itukan menyedarkan kita bahawa kita juga
patut pemurah dengan manusia
Kemahuan manusia itu serupa
Manusia itu suka ia ditolong terutama di masa susah
Perasaan itu sebenarnya mengajar kita,
kita juga patut menolong orang lain
Kerana kehidupan manusia itu sama sahaja
Setiap jiwa suka kalau dia diberi kemaafan
Itu memberitahu kita, sepatutnya kita juga
memberi kemaafan kepada orang lain
Kerana perasaan manusia itu adalah sama


Setiap insan suka kalau dia diberi keadilan
Ia menyedarkan bahawa setiap orang
patut menegakkan keadilan kepada manusia
Setiap orang tidak suka kalau dia difitnah,
dizalimi dan disusahkannya
Kalau begitu setiap manusia tidak akan memfitnah,
menzalimi dan menyusahkan orang lain
Tapi realiti di dalam kehidupan manusia tidak jadi begitu
Kerana hidup manusia itu sama
Setiap orang itu hanya suka kalau dia
diberi kasih sayang dan diberi perhatian
Dia suka dibantu, ditolong, diberi keadilan
Tapi dia sendiri tidak mahu melakukannya
Dia suka tidak diganggu, difitnah,
dizalimi dan disusahkan
Tapi dia suka menimpakan kesusahan
kepada orang lain
Mengapa terjadi begitu?
Kerana jiwa manusia sudah buta
dan terlalu mementingkan diri

BAGAIMANA MENDIDIK MANUSIA AGAR SUBUR FITRAHNYA?



Assalam... Manusia yang sudah lupa atau telah lalai dengan peringatan-peringatan itu sama ada peringatan semula jadi mahupun peringatan dari Islam, mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Jangan dibiarkan manusia menderita dengan sifat-sifat atau tabiat jahat yang menguasai diri dan kehidupan. Di sinilah kewajipan para pemimpin, guru-guru, ibu bapa serta pejuang dan pendakwah agar tampil mendidik manusia.



BAGAIMANA MENDIDIK MANUSIA?

Mendidik manusia tidak cukup setakat menjaga fizikalnya sahaja dengan diberi makan minum yang cukup serta menjaga kesihatan yang rapi. Begitu juga tidak cukup diberi kenyang akal fikiran dengan ilmu pengetahuan, nanti kejahatan manusia lebih hebat dan pesat lagi dengan dibantu oleh ilmu itu. Apa yang lebih penting daripada segala-galanya itu ialah mendidik semula fitrah manusia.

BAGAIMANA MENDIDIK FITRAH MANUSIA?

Jiwa manusia hendaklah dibangunkan semula secara serius iaitu suburkan kembali dengan iman, dengan takutkan Allah yang Maha Agung, tanamkan semula rasa kebesaran Allah di dalam hati manusia. Semarakkan semula sifat-sifat baik yang sedia ada dalam diri manusia.

Bangunkan jiwa itu rasa benci dengan kekufuran dan kejahatan serta kezaliman. Suburkan semula sifat-sifat terpuji (mahmudah) yang Allah Taala telah bekalkan itu. Juga bangkitkan semula rasa benci dengan sifat-sifat yang hina (mazmumah) yang juga Allah Taala telah bekalkan di dalam diri manusia.

Suburkan rasa tauhid atau rasa bertuhan di dalam hati atau jiwa manusia agar secara automatik rasa kehambaan itu akan subur di dalam jiwa manusia. Maka akan tumbuh subur rasa merendah diri, bersemarak semula rasa cinta kepada Tuhan dan sesama manusia. Dan juga sifat-sifat yang terpuji akan bertapak semula di dalam jiwa manusia.

Apabila hati atau jiwa atau hati nurani manusia telah terdidik iaitu kembali kepada fitrah semula jadinya ertinya raja di dalam diri manusia telah terdidik menjadi baik. Apabila raja di dalam diri manusia menjadi baik, maka ilmu pengetahuan yang memenuhi akal akan ditundukkan kepada kebaikan dan segala anggota lahir (jawarih) akan dikerahkan kepada mentaati Tuhan dan membuat baik kepada seluruh manusia.

Tapi apa yang akan terjadi apabila raja di dalam diri tidak terdidik, yakni raja di dalam diri manusia menjadi jahat? Apabila raja di dalam diri manusia menjadi jahat maka raja diri yang jahat akan menggunakan kekuatan ilmu dan mengarahkan anggota lahir (jawarih) mencetuskan berbagai bentuk kejahatan.

Itulah yang terjadi pada hari ini, manusia di dunia ini telah melakukan kejahatan menggunakan teknologi tinggi, mencuri duit bank menggunakan komputer, menyebarkan bahan-bahan lucah menggunakan internet dan lain-lain lagi. Wallahua'lam.

SUDAH ADA ASAS-ASAS PERINGATAN DALAM DIRI KAMU!



Assalam... Antara keistimewaan manusia yang Allah Taala bekalkan semula jadinya ialah di dalam diri manusia itu sudah tersedia asas-asas peringatan. Sama ada peringatan-peringatan yang positif mahupun yang negatif.

Yang dimaksudkan peringatan-peringatan itu di antaranya yang positif ialah:
1. Manusia suka dikasihi atau dicintai.
2. Suka diberi pertolongan.
3. Suka diberi simpati.
4. Suka diziarahi.
5. Suka diberi ilmu.
6. Suka diberitahu.
7. Suka dijamu.
8. Suka diberi hadiah.
9. Suka diberi maaf.
10. Suka tidak diganggu dan lain-lain lagi.

Antara yang negatif ialah:


1. Tidak suka dibenci.
2. Tidak suka dicaci.
3. Tidak suka diganggu.
4. Tidak suka dimarahi.
5. Tidak suka diberi malu.
6. Tidak suka disusahi.
7. Tidak suka dibiarkan susah.
8. Tidak suka tidak dipeduli.
9. Tidak suka tidak ditolong.
10. Tidak suka orang sombong kepadanya.
11. Tidak suka barangan dirampas atau dicuri.
12. Tidak suka dizalimi.

Selain itu yang paling asas ialah rasa bertuhan sudah sedia ada di dalam hati manusia. Cuma Tuhan itu bagaimana, itu sahaja yang mereka tidak tahu. Apa yang disebutkan di atas, itulah dia fitrah semula jadi manusia atau gharizah atau naluri semula jadi. Ia dibekalkan oleh Allah bersama tubuh lahirnya. Inilah yang kita maksudkan peringatan Allah Taala yang telah dibekalkan di dalam diri manusia.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Ar Rum: 30)

PERINGATAN ITU MANUSIA TIDAK JADIKAN PERINGATAN

Sepatutnya manusia menjadikan asas-asas peringatan itu sebagai peringatan di dalam kehidupan mereka kerana fitrah semula jadi manusia itu sama saja. Yakni apa yang disukai oleh seseorang, itu jugalah yang disukai oleh orang lain. Apa yang tidak disukai seseorang itu, itulah juga yang tidak disukai oleh orang lain. Ertinya asas-asas agama Islam itu sudah Allah Taala bekalkan di dalam diri manusia iaitu rasa bertuhan, apa-apa yang disukai dan apa-apa yang tidak disukai. Apa yang dilarang dan apa yang tidak dilarang. Apa yang digemari dan apa yang tidak digemari. Semuanya sudah sedia ada.

Maksudnya: “Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, tidaklah mereka menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.” (Al Furqan: 73)

Maksudnya: “Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri.” (At Taubah: 36)

Maksudnya: “(Yakni) akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari Kiamat dengan kekal dalam azab itu dalam keadaan terhina.” (Al Furqan: 69)

Maksudnya: “Kecuali mereka yang bertaubat beriman dan mengerjakan amalan soleh, kejahatan mereka Allah gantikan dengan kebajikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Furqan: 70)

Oleh kerana fitrah semula jadi manusia itu Allah Taala telah bekalkan rasa bertuhan, apa yang disukai dan apa yang dibenci, maka lantaran itulah agama Islam itu dikatakan agama fitrah.

Yakni, apa yang diperintahkan oleh Islam dan apa yang dilarang dan apa yang disukai serta apa yang dibenci oleh Islam, ia sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Sama ada yang lahir mahupun yang batin. Kehendak-kehendak Islam itu tidak bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia.

Islam datang hanya memperluas, memantapkan dan memberitahu cara-cara membuat baik dan cara-cara jangan membuat jahat, mengesahkannya serta memperkatakan ada setengah-setengah hal dari perkara-perkara yang tidak boleh dijangkau oleh akal seperti hal-hal kerohanian dan alam ghaib serta mengenai Tuhan dan ketuhanan.

Berdasarkan fitrah semula jadi ini sepatutnya manusia mengambil ingatan bahawa apa yang dia suka, sepatutnya itu jugalah yang diberi kesukaan kepada orang lain. Apa yang dia tidak suka, itu juga yang sepatutnya dia tidak lakukan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi datang Islam mendorong, menyuburkan, mengingatkan serta menguatkan lagi dengan busyra dengan Syurga dan tanzir dengan Neraka. Ini supaya mengingatkan lagi kepada manusia agar apa yang dia suka, dia mesti lakukan kepada manusia lain. Apa yang dia tidak suka dia tidak akan lakukan kepada manusia lain agar manusia hidup aman damai dan harmoni.

Tetapi apa yang berlaku kepada umum manusia atau secara majoritinya, apa yang dia suka maka dia suka kalau orang boleh lakukan padanya, tetapi dia tidak suka lakukan kepada orang lain. Begitu juga sebaliknya apa yang dia tidak suka, dia tidak suka kalau orang lain melakukan kepadanya, tapi apa yang dia tidak suka itu, dia suka pula menimpakannya kepada orang lain.

Maka justeru itulah timbul perselisihan, perbalahan, permusuhan dan peperangan di kalangan manusia. Akibatnya tiada siapa yang susah melainkan manusia itu sendiri yang mendapat kesusahan.

MENGAPA TIDAK MENGAMBIL PERINGATAN?

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah memudahkan untukmu apa yang di langit dan di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-nikmat-Nya lahir dan batin.” (Luqman: 20)

Mengapa manusia tidak mahu mengambil peringatan? Padahal manusia mendapat dua peringatan, iaitu pertamanya peringatan yang semula jadi. Yang kedua pula, kedatangan ajaran Islam.

Ini menunjukkan bahawa nafsu manusia itu di antara sifatnya sangat mementingkan diri, didorong pula oleh syaitan yang sentiasa menghasut manusia agar manusia lupa dengan peringatan sama ada peringatan semula jadi mahupun peringatan daripada Allah Taala.

Oleh kerana sifatnya yang sangat mementingkan diri itu, setiap orang suka kalau kebaikan dan kesenangan itu berlonggok dan bertompok pada dirinya sahaja, tapi kepada orang lain biarlah berlonggok dan bertompok pula berbagai-bagai macam kesusahan dan masalah.

Padahal apabila kita mementingkan diri sendiri dan menimpakan berbagai-bagai kesusahan dan masalah kepada orang lain atau membiarkan berbagai-bagai masalah berlaku kepada orang lain, orang lain akan membenci, marah dan bertindak kepada orang lain. Akhirnya apa yang akan terjadi ialah orang yang susah menimpakan kesusahan kepada orang lain kerana sakit hati, maka orang yang senang tadi mendapat kesusahan pula.

Akibatnya orang yang senang tadi akhirnya senasib dengan orang yang susah. Mereka mendapat kesusahan juga. Cuma kesusahan itu bentuk dan sifatnya sahaja tidak sama. Namun sama-sama mendapat kesusahan kerana tidak mengambil peringatan tadi. Sama ada peringatan semula jadi mahupun peringatan dari Allah Taala. Wallahua'lam.

Taqwa Aset Dunia Akhirat



Taqwa adalah aset bagi dunia dan Akhirat
Sumber bantuan, sumber rezeki,
sumber kemenangan
Kalau ingin musuh dikalahkan,
baikilah diri untuk mendapat ketaqwaan
Taqwa lebih tajam dari pedang
Membaiki diri lebih canggih dari senjata moden
Di dalam perjuangan,
bukan senjata persiapan utama
Walaupun senjata disuruh mengadakannya
Membaiki diri lebih utama melakukannya
Di dalam berhadapan dengan musuh,
ia adalah senjata ghaib
yang tidak nampak dipandang

Ia lebih berkesan daripada senjata lahir yang tajam
Tapi umat Islam di dalam perjuangan
sudah ramai yang melupakannya
Di dalam berjuang, dosa juga dilakukannya
Jika dosa telah berlaku di dalam perjuangan,
ternafilah ketaqwaannya
Tuhan pun berlepas diri,
hadapilah musuh dengan sendiri
Biasanya musuh, senjata lahirnya lebih baik
dan canggih dari umat Islam
Bagaimanalah hendak mendapat kemenangan
di dalam perjuangan
Kedua-dua senjata tidak dimiliki
sama ada senjata rohani mahupun senjata lahir
 Begitu juga doa-doa adalah senjata orang mukmin
Lebih-lebih lagi di masa berjuang
Ia bukan menjadi senjata umat Islam
Orang mukmin dengan orang Islam
jauh sangat bezanya
Orang mukmin rasa bertuhan menghayati jiwanya
Oleh itu usahakan ketaqwaan
terutama di dalam perjuangan
Ia adalah senjata yang paling ampuh dan tajam
Awasilah di dalam perjuangan
membuat dosa dan kesilapan
Kerana ia lah nanti bantuan Tuhan tidak datang
Kita akan kecundang
dan menerima nasib yang malang

ROH DAN PERANANNYA ::: SUMBER PEMBANGUNAN AKHLAK


Assalam... Untuk membangunkan satu kehidupan agar selamat di dunia dan selamat di Akhirat, agar masyarakat makmur dapat pula keampunan Tuhan, kemajuan dan tamadun tercapai, akhlak yang mulia juga wujud dan jadi budaya di dalam kehidupan, ia bak bunga yang kembang di taman yang indah yang sangat menarik pandangan dan tempat jatuhnya hati manusia, kekayaan dan makan minum mewah, budi juga mewah dan terserlah, kemudahan-kemudahan hidup cukup, tapi disiplin dan tatasusila manusia juga tinggi, tamadun tinggi tapi manusianya merendah diri, maka roh atau hati atau jiwa manusia hendaklah dibangunkan.

Dari pembangunan jiwa, lahir tamadun kerohanian atau akhlak yang mulia atau terbangun insaniah manusia yang dikatakan oleh kita selalu iaitu jati diri. Di dalam diri manusia, roh adalah sebagai raja, akal sebagai penasihat, nafsu adalah musuhnya manakala anggota lahir (jawarih) adalah rakyat di dalam diri. Kalau raja di dalam diri baik, seluruh anggota (rakyat di dalam diri) menjadi baik. Samalah seperti di dalam sebuah negara, ada keterangan di dalam kitab mengatakan:

Maksudnya: “Manusia itu mengikut agama pemerintahnya.”

Ertinya bagaimana sikap pemerintah begitulah sikap rakyatnya. Begitulah pemerintah di dalam diri (hati atau roh). Bagaimana keadaannya begitulah anggota lahirnya sebagai rakyat di dalam diri. Kalau hati baik (raja di dalam diri baik), maka baiklah anggota lahir manusia (rakyat di dalam diri). Kalau hati jahat maka jahatlah seluruh anggota lahir manusia.



Ia memang telah ditegaskan oleh Hadis Nabi:

Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh badan, apabila dia rosak, rosaklah seluruh badan. Ketahui olehmu itulah dia hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru itu hati (roh) wajib dibangunkan dengan cara dididik dan diasuh. Ini kerana dari pembangunan jiwa, lahirlah kebudayaan, tamadun kerohanian dan akhlak mulia yang sangat penting. Ia tempat pandangan Allah dan tempat jatuh hati manusia. Dan kerana itulah para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam diutus oleh Allah SWT demi untuk pembangunan insaniah tersebut. Mereka tidak diutus kerana pembangunan material dan fizikal. Pembangunan material, tanpa rasul dan nabi pun manusia boleh membangunnya. Itu memang telah dibuktikan oleh sejarah, manusia membangun tidak perlu adanya orang kerohanian seperti rasul dan nabi atau ulama ul amilin.

Contohnya bangsa Rom, Yunani, Farsi, bangsa-bangsa yang disebut di dalam Al Quran seperti kaum ‘Aad, kaum Tsamud, kaum Saba’ dan bangsa Babil atau Babylon. Mereka membangun dan menegakkan tamadun tanpa orang-orang kerohanian bahkan mereka menolak para rasul dan menentangnya. Lantaran itulah juga Rasulullah SAW pernah bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Malik)

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat At Tabrani)

Perlu diingatkan bahawa membangunkan insaniah untuk melahirkan akhlak yang mulia pada seorang manusia, tidak semudah yang kita sangka. Betapalah kalau satu keluarga, sebuah sekolah, satu kampung, satu mukim, sebuah daerah, satu negeri, lebih-lebih lagilah satu negara. Membangunkan material seperti membangun sebuah bangunan 100 tingkat mungkin lebih mudah daripada membangunkan insaniah seorang manusia.

Membangunkan pencakar langit setinggi 100 tingkat mungkin boleh siap dengab memakan masa tiga tahun, tapi hendak membangunkan insaniah seseorang manusia, mungkin memakan masa 30 tahun, itu pun belum tentu berjaya. Lantaran itulah untuk pembangunan insan ini Allah datangkan orang-orang-Nya iaitu para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam. Selepas itu mereka yang tunduk kepada ajarannya seperti para auliya, kemudian para ulama ul amilin, paling tidak orang yang soleh.

Apabila disebut akhlak, akhlak yang utama terbahagi kepada dua iaitu:

Pertama: akhlak kepada Allah.

Kedua: akhlak kepada manusia.

Akhlak kepada Allah, di antaranya yang paling besar selepas beriman kepada-Nya ialah menyembah-Nya (sembahyang), ikhlas, rasa bertuhan, ertinya hati sentiasa merasa di mana sahaja kita berada, Allah sentiasa mengawasi, melihat dan mendengar terhadap kita, rasa malu, rasa takut, rasa kasih, sabar, redha, tawakal, khusyuk, khuduk.

Akhlak kepada manusia di antaranya kasih sayang, pemurah, mesra, adil, amanah, menunai janji, bercakap benar, merendah diri, bertolak ansur, ziarah-menziarahi, berlemah-lembut, bertolong bantu, baik sangka.

Selain dua bahagian akhlak yang utama ini ada lagi akhlak dengan haiwan dan jamadat seperti pokok, batu dan lain-lain lagi. Kita tidak boleh menyeksa binatang sesuka hati. Kalau kita memeliharanya seperti kambing, disediakan kandangnya, makan minumnya, sakit diubati, jika disembelih gunakan pisau yang tajam. Begitu juga dengan jamadat seperti pokok, kita tidak boleh menebang pokok sesuka hati, mesti ada maksud dan tujuan yang memberi manfaat.

Begitu sekali luas akhlak di dalam ajaran Islam dan begitu indah sekali akhlak yang dianjurkan oleh agama akhir zaman ini. Ia bersifat sejagat, ia disukai oleh semua manusia sekalipun orang bukan Islam. Justeru itulah kalau umat Islam kembali berakhlak seperti zaman tiga kurun selepas Rasulullah SAW, umat Islam akan dihormati semula oleh dunia kerana dengan akhlak yang mulia terlalu sedikit orang hasad dengki. Kerana akhlak bersifat sejagat laksana bunga yang indah, tidak ada orang yang tidak suka dan tertarik.

Hati Sebagai Wadah


Tuhan menganugerahkan kepada engkau hati
atau jiwa sebagai wadah
Ia adalah anggota yang paling penting
di dalam diri manusia
Tapi malang, atau sungguh sayang
Engkau tidak jadikan wadah menerima hidayah
Wadah engkau tidak pun engkau isi
dengan kasih sayang
Hati sebagai wadah, engkau tidak isi rasa bertuhan
Jiwa engkau sebagai wadah,
tidak engkau isi rasa kehambaan
Wadah engkau, engkau kosongkan daripada timbangrasa
dan perikemanusiaan
Engkau kosongkan wadah engkau
daripada perasaan-perasaan yang mulia
Tapi apa yang engkau isikan?


Engkau isikan dengan racun-racun mazmumah
yang merosakkan manusia
Bahkan yang menghancurkan dunia
Hati engkau tidak engkau jadikan cermin
melihat kebenaran
Engkau butakan hati engkau
Hingga tidak ada lagi rasa bertuhan
Setidak-tidaknya engkau merabunkan
Hingga engkau ragu dengan kebenaran
Sayang, hati atau jiwa yang paling berharga
Yang menentukan engkau manusia
yang ada kemanusiaan
Tapi engkau abaikan
Tapi yang engkau urus sangat dan engkau belai
Anggota lahir engkau, jawarih engkau
Anggota yang akan dimakan ulat dan binasa
Anggota yang kekal abadi yang akan dipersoalkan,
engkau abai dan biarkan
Padahal hati tempat pandangan Tuhan

Mengenal Hati dan Keajaibannya


Hati daging adalah sarang atau rumah
bagi hati nurani
Hati nurani boleh juga dipanggil hati batin
Hati daging adalah bersifat lahir
Ia merupakan kajian para doktor perubatan
Hati nurani yang boleh juga dipanggil roh
Ia adalah merupakan bahan kajian
para doktor kerohanian
Seperti para rasul, nabi-nabi, para wali
dan ulama-ulama sufi
Perbahasan kita di sini adalah hati nurani atau roh
Kerana ia menjadi pandangan Tuhan
Apakah seseorang itu taat atau derhaka
Ia merupakan penentu
Apakah seseorang itu ke Syurga atau ke Neraka


Ia dianggap raja di dalam diri manusia
Baik raja diri maka baiklah seluruh anggota
Jika raja itu jahat maka jahatlah seluruh anggota
Kalau ia bersih daripada segala godaan mazmumah
Mendapat kemenanganlah manusia
Sekiranya ia digoda oleh mazmumah
Gagal dan kecewalah yang empunya diri
Sungguh ajaib hati di segi sifatnya
dan rohaninya serta peranannya
Penuh rahsia, penuh misteri,
jarang manusia dapat menyelaminya
Ia merupakan khazanah ilmu dan hikmah yang tersimpan
Yang datang daripada saluran-saluran jawarih insan
Seperti mata, telinga, tangan dan lain-lain anggota badan
Marilah seterusnya kita mengenal hati nurani
Dengan cara kita membuat perumpamaan-perumpamaan
dan ibarat-ibarat
Sebagai pendekatan-pendekatan untuk mudah kita faham
Hati ibarat perigi atau kolam yang amat jernih
Dia akan terus jernih jika dijaga
Bahkan akan bertambah jernih
jika dimasukkan tawas di dalamnya
Badan menjadi sihat dan segar
jika diminum dan dibuat mandi
Tapi ia akan menjadi kotor atau keruh
kalau dibiarkan masuk benda-benda
yang mengotorkannya
Akan mendatangkan penyakit jika digunakan
Hati ibarat tanah yang subur,
jika digemburkan bertambah subur
Boleh menumbuhkan berbagai-bagai jenis tanaman
yang memberi faedah
Jika ia menjadi kemarau dan gersang
Tiada kehidupan yang boleh hidup
Yang tiada memberi apa-apa faedah
kepada makhluk Tuhan

Bumi Tuhan... Bersaksilah