KAEDAH MENGHADAPI REMAJA BERMASALAH (4)

KAEDAH TRANSIT


7. Didik mereka dengan kesusahan



Banyak remaja bermasalah yang lahir dari kemewahan. Didikan dalam bentuk kesusahan akan memberikan kesan yang cukup mendalam. Bukanlah satu kebetulan bila Allah menyusah-nyusahkan orang-orang Tuhan dimasa kecilnya untuk kemudian menjadi orang besar Tuhan.

Walaupun keadaan di tempat kita tidaklah susah, namun pendidikan dengan kesusahan dapat tetap dijalankan dengan kaedah sebagai berikut:




* Kita dapat membawa pelajar ke tempat orang-orang yang susah. Bila kembali dari tempat tersebut, kemudian kita ulas.

Bila melihat rumah yang buruk-buruk di jalan, kita dapat sampaikan kepada anak didik kita:

“Tengoklah orang ini. Agamanya tidak ada, rumahnya buruk, makannya susah. jauhnya nasib dia dengan nasib kita. Seolah-olah dibandingkan hidup kita dengan hidup mereka, macam hidup seorang raja dengan hidup seorang rakyat. Sedangkan mereka itu hamba Tuhan juga, mengapa Tuhan buat mereka begitu. Tuhan boleh buat begitu pada kita juga. Siapa hendak tinggal di rumah itu sehari dua? Jangan sampai nikmat itu tidak disyukuri hingga jadi macam orang Iraq sekarang yang setiap hari hidup berdepan dengan peluru.”

Nanti mereka akan insaf bahwa selama ini tidaklah tepat bila mereka rasa tidak berguna, mereka susah, tidak dapat kasih sayang rupa-rupanya hidup mereka lebih istimewa.

* Bawa anak didik ke gunung, atau pantai, ajar mereka masak dengan cara tradisional, agar mereka sedar bahwa kehidupan kita jauh lebih mudah dibanding dengan cara-cara orang kampung dahulu. Dengan demikian semoga mereka lebih bersyukur atas apa yang Allah beri.

* Ceritakan pada mereka tentang tak berharganya dunia dan tentang keutamaan orang miskin disisi Tuhan. Hingga Rasul SAW pun berdoa pada Tuhan untuk hidup miskin dan dikumpulkan dengan orang-orang miskin. Contoh cerita yang dapat disampaikan misalnya:


A. Hari Jumaat disebut ibu hari atau sayidul ayyam atau penghulu hari untuk semua hari. Bagi orang biasa, maka di hari itu Tuhan berikan pahala penghulu hari. Namun bagi orang miskin yang bertaqwa, di hari itu dia mendapat pahala yang nilainya seperti naik haji. Begitulah Tuhan muliakan orang miskin. Tidak sama orang miskin yang bertaqwa dengan orang kaya yang bertaqwa. Katalah ada orang bertaqwa, hidup selesa, maka dia dapat pahala penghulu hari saja, ada pahala yang dilebihkan Allah , tapi tidak dapat pahala haji. Tapi kalau orang miskin bertaqwa setiap hari Jumaat naik haji. Itulah rahmat Tuhan. Khatib sering sebut bahwa Jumaat adalah penghulu hari tetapi tak faham tentang rahmat Tuhan yang berkait dengan orang miskin ini.

B. Rasul saw pernah bersabda:

Maksudnya :" 2 rakaat solat sunat orang miskin tidak sama dengan 100 rakaat orang kaya"

8. Beri latihan berdikari dan berekonomi




Anak yang biasa dimanjakan kelak mereka tidak akan mampu untuk mujahadah. Jiwanya tidak pernah dibiarkan lasak sendiri. Pada usia dimana mereka sebetulnya boleh dilatih memasak, ibu yang memanjakan anaknya akan berkata biarlah ibu yang memasak. Padahal dengan melatih mereka memasak, ada didikan disebaliknya. Dengan latihan memasak, mereka akan tahu bagaimana menyalakan api, bagaimana menunggu nasi masak. Anak yang biasa dimanjakan, tidak akan tahu bertanggung jawab. Kelak, bila berhadapan dengan ujian dalam hidupnya, dia rempuh saja: ”malaslah aku, tak larat lah aku.”

Mujahadah tak ada dalam kamus hidupnya. Contoh, di usia remaja, bila dia suka dengan seorang perempuan, kerana dah biasa bermujahadah, dia akan mengatakan itu tidak baik. Dia akan coba untuk mengontrol dirinya. Tapi bila dari kecil tak biasa begitu, maka dia akan merempuh, tidak pandnag halal atau haram, ambil saja perempuan itu.

Latihan lain adalah kemas bilik, asrama dan persekitarannya. Begitu juga dengan membasuh pakaian, menghidang makanan dan kemas-kemas selepas makan.

Selain dengan memasak dan tugas-tugas persekitaran rumah, latihan berdikari juga dapat dilakukan dengan mengajar mereka untuk membuat projek ekonomi, dimulai dengan projek ekonomi skala kecil, misal makanan harian.


...akan bersambung...

KAEDAH MENGHADAPI REMAJA BERMASALAH (3)

KAEDAH TRANSIT

6. Ilmu akan lebih menarik bila diberikan dalam bentuk cerita-cerita

Untuk mewujudkan hal ini, seorang guru perlukan ilmu yang banyak. Perlu diingat, kalau seorang guru itu kurang ilmu dan kurang pengalaman, maka ilmu ‘lahir’ yang guru ketahui, tidak akan bersifat mendidik. Kalau ilmu-ilmu lain selain ilmu lahir tersebut guru tidak faham, maka ilmu tersebut hanya jadi ilmu semata-mata. Sebab itu guru jangan hanya fokus pada satu subjek yang dia hendak ajar. Jika demikian, ia akan jadi ilmu semata-mata sedangkan kita hendak mendidik akal dan roh orang. Seorang guru tidak boleh cakap, “Ini khusus bidang saya sahaja. Saya tidak tahu bidang lain.” Walaupun dia mengajar satu subjek tetapi dia kena tahu subjek lain seperti psikologi, ilmu masyarakat, perkembangan semasa, politik dan lain-lain. Sebab dalam mendidik manusia, ilmu itu berkait-kait.



Contohnya, oleh kerana ilmu Islam sendiri sudah dibahagi-bahagikan menjadi ilmu syariat sahaja, tasauf sahaja, tafsir sahaja, hadis sahaja, sejarah sahaja dan ini bahasa arab sahaja, maka kalau guru-guru yang mengajar di sekolah, dia tahu syariat sahaja, dapat BA syariat, kerajaan terima dia jadi guru. Sedangkan kadang-kadang kerajaan, bila ia sudah terima seorang guru itu, subjek yang hendak diajar guru itu tidak dipadankan dengan kelulusan guru itu. Ia fikir bila sudah jadi guru, mengajarlah apa sahaja. Tiba-tiba guru itu kena ajar ilmu tasauf sedangkan dia lulusan ilmu syariat. Apa akan jadi? Atau pun dia lulusan syariah, dia mengajar syariat tetapi tidak tahu ilmu tasauf sebab itu bukan kelulusannya.
Tidak malangkah, orang mengajar Islam tetapi mengajar syariat yang setakat rangka. Tidak ada roh kerana tidak ada tasauf dengan alasan “ Aku memang tidak belajar tasauf.”




Maka terjadilah orang sembahyang tidak ada penghayatan sebab penghayatan itu mesti ada ilmu tasauf. Belajar sembahyang hanya bacaan-bacaan sahaja. Belajar Haji tidak dimasukkan ilmu tasauf di dalamnya maka orang yang pergi buat Haji itu hanya buat rangka-rangka sahaja. Tuhan sebenarnya bukan pandang mereka berlari-lari itu, pusing Kaabah itu tetapi Tuhan pandang rohnya. Kalau melakukan semua itu tidak memasukkan unsur tasauf, maka pergi haji hanya rangka sahaja. Kalau haji diibaratkan seorang manusia, maka ibadahnya bagaikan bangkai. Jauh sekali dari ibadah yang membangunkan jiwa atau insan.

Begitulah patutnya guru hendaknya mempunyai kefahaman yang luas. Jangan sekali-kali berkata “Saya hanya mengajar subjek ini dan tidak ada kena mengena dengan subjek lain.” Itu sangat bahaya. Guru hendaknya mencari atau mengambil pengalaman yang banyak dan kena banyak membaca. Jika tidak, maka guru akan mengajar Islam yang rangka sahaja. Sebab itulah umat Islam sembahyang beratus tahun tetapi tidak berkesan.

Sebagai contoh, ‘Tauhid’ dalam Islam ini, kalau boleh disampaikan dengan baik, akan cepatlah anak didik cinta Tuhan dan merasa Tuhan cinta dia. Apa yang menjadi masalah, kaedah ilmu tauhid hari ini tidak pernah berubah semenjak Imam Abu Hassan Ashaari, mujadid ketiga yang muncul di kurun ketiga selepas Rasul SAW. Ertinya sejak 1200 tahun yang lalu. Ilmu itulah yang dibawa hingga sekarang. Ilmu tersebut memang diperlukan namun hanya cukup sebagai asas sahaja untuk mengesahkan akidah. Tapi untuk membuat orang cinta dan takutkan Tuhan, tidak cukup ilmu itu sahaja. Patutnya ia dicampurkan dengan tauhid Imam Ghazali yang praktikal.

Kaedah Imam Ghazali cukup praktikal. Contoh, kalau ia ajak anak-anak makan, ia akan cakap, “Baiknya Allah. Kalau Dia tidak beri rezeki ini, kita tidak dapat makan.”.

Begitu juga bila membawa anak berjalan-jalan, kita amati apa yang dilihat dan apa yang berlaku, kemudian ulas dengan mengkaitkan pada Tuhan. Dengan cara ini maka anak didik akan terproses dengan cepat. Walaupun Tuhan tidak dapat dilihat, namun dia akan rasa bahwa Tuhan sayang padanya. Tetapi perlu juga diingat, bila untuk tauhid kita hanya menggunakan pendekatan Imam Ghazali saja tanpa pendekatan Imam Abu Hassan Ashaari, nanti anak didik cinta Tuhan, takut Tuhan, terasa Tuhan sayang tetapi akidah tidak betul. Sebab dia tidak belajar sifat 20 jadi dia tidak tahu konsep ilmu Tuhan, bagaimana berkuasanya Tuhan, dll. Nanti jadi tidak jauh beza dengan orang yang mengamalkan ilmu agama Hindu atau Buddha. Secara praktikal, apa yang dilihat secara lahir begitu baik. Tapi Tuhan mereka bukan Tuhan yang sebenar iaitu Allah SWT. Jadi dia dekat dengan Tuhan tetapi sesat.

Tetapi hal ini tidak pernah ulama fikirkan. Hari ini di sekolah rendah anak-anak diajar tauhid Imam Abu Hassan Ashaari sahaja. Akhirnya pelajaran tauhid menjemukan. Padahal kalau kena caranya, pelajaran tauhid ini menarik, sedap, menghiburkan. Sebab kita berkenalan dengan Zat yang Maha Agung.


Begitulah perlunya guru mempunyai ilmu dan pengalaman yang banyak untuk dapat menyajikan ilmu Islam dengan cara yang menarik dan indah.

...akan bersambung...

KAEDAH MENGHADAPI REMAJA BERMASALAH (2)


KAEDAH TRANSIT


4. Beri mereka hiburan yang ‘harus’

Kerana mereka suka berhibur, maka perlulah mereka diberi hiburan yang hukumnya ‘harus’ sebagai alternatif. Misal mandi pantai, makan di restoran, tunggang kuda, dll. Kebiasaan lepak mereka boleh diganti dengan cara ‘lepak’ yang menghasilkan. Misal dengan menjala ikan, yang boleh menghasilkan ikan, berkebun, dll.




Dengan hiburan ini pula menjadi sebab guru dapat bertambah kenal anak muridnya , yang baik adalah untuk dapat disuburkan, apa-apa yang buruk adalah untuk dibaiki dan diganti dengan sifat-sifat dan perangai yang baik. Sayangnya, kebanyakan guru bila mengajak anak-anak rehlah, guru berfikir, dengan jalan-jalan ini mudah-mudahan mereka terhibur dan lepas itu lebih mudah dididik. Itu guru yang tak bijak. Patutnya dengan ajak mereka keluar ini kita boleh lihat bagaimana peribadi mereka, mana yang tamak, apa perbualan mereka, dll. Kalau di kelas, kita tak nampak perangai sebenar dari pelajar, tak nampak baik buruknya, sebab diikat dengan disiplin. Tapi bila bergaul, waktu makan, maka terlihatlah sikap-sikapnya. Contohnya, sifat kepimpinan tidak dapat diukur dari nilai akademik yang tinggi di kelas, atau taat guru di kelas, sebab walaupun demikian belum tentu dia yang berpengaruh di kelas.

5. Sibukkan mereka dengan berbagai program

Guru yang baik mesti banyak idea untuk dapat mengisi waktu pelajar hingga mereka tak sempat berfikir perkara-perkara yang salah yang selama ini mereka ‘khusyu’ dengannya. Program hendaknya diatur untuk mengisi masa 24 jam. Guru yang bertanggung jawab, tidak akan melepaskan anak didik di kawasan transit ini dari pandangannya. Guru akan merancnag program mereka sehinggalah anak didik tidur.

Misalnya. Melatih mereka dalam bidang kebudayaan : persembahan nasyid, lakonan, deklamasi sajak, pengacara, pembaca berita.

Dalam nak mempersiapkan persembahan ini, guru-guru hendaknya faham bahawa dengan aktiviti ini guru bukan saja hendak mencungkil bakat pelajar, tapi juga sebagai cara agar guru dapat lebih kenal pelajar : mana yang masih ada sombong, mana yang nak tonjol diri, dll.

Sebagai contoh, bila kita tengok anak-anak yang berani ke depan, kena tengok juga apakah ada unsur sombong, megah. Bila ada unsur megah, maka kita tarik sedikit ke belakang. Sebaliknya, anak didik yang ada bakat tapi pemalu, guru hendaknya memberikan dorongan dengan melatih-latih anak didik tersebut untuk ke depan. Yang seringkali berlaku, biasanya anak yang cenderung hendak ke depan, dia saja yang kita suruh. Pelajar yang pemalu tapi ada bakat, tak disuruh ke depan. Akhirnya keduanya rosak. Ini bukan satu kerja mudah, oleh kerananya jika guru mahu mereka manjadi betul, maka guru hendaklah bertungkus lumus betulkan dirinya, dan perlu perbanyakkan pengalamannya.
Melatih mereka untuk membuat berbagai persembahan budaya ini, memberikan sekurangnya 2 faedah penting:

1. Mencungkil bakat pelajar

Umat Islam mesti mempersiapkan ramai orang untuk melakukan peperangan budaya dengan budaya yang sudah rosak di dunia sekarang ini. Umat Islam mesti bersungguh sungguh membuat filem, drama, persembahan nasyid dan bentuk persembahan lainnya sebagai alat untuk mengajak masyarakat pada Tuhan. Dengan melatih anak didik di bidang-bidang ini, guru dapat melihat bakat-bakat yang ada, untuk kemudian dipupuk, disiapkan hingga siap.



2. Terkandung berbagai unsur didikan

Selama ini, mereka sangat menghayati perkara-perkara perkara yang jahat, hingga menjadi kebiasaan hidupnya. Di sisi lain, mereka suka akan hiburan. Oleh itu, guru hendaknya memandu mereka untuk membuat hiburan yang dapat menambah penghayatan mereka pada Tuhan, pada sembahyang.
Misalnya
* Guru sepatutnya membantu mereka untuk memilih skrip lakonan, dimana di dalamnya tidak ada lakonan tentang orang-orang jahat. Pilih skrip yang hanya ada lakonan orang-orang baik saja. Sehingga dengan latihan dalam lakonan, akan membantu mereka untuk dapat penghayatan pada Tuhan, pada kebaikan. Penghayatan pada yang baik secara perlahan akan menghapus penghayatan pada yang jahat.

* Guru mesti kreatif untuk memilih dan memandu mereka dalam membuat skrip yang menarik, Hingga mereka kata:”Bodohnya aku, dulu aku hayati yang jahat, tapi hiburan disinilah lebih baik.” Kalau diibaratkan benda, yang akan disembahkan kena lebih baik dari yang jahat. Kalau selama ini mereka seronok dengan yang jahat, bagaikan ‘emas’, maka kita kena tawarkan ‘berlian’. Kalau benda baik disembahkan dengan cara yang tidak kreatif, misal ceramah yang membosankan saja, maka yang baik tersebut bukan disembahkan dalam bentuk ‘berlian’ tapi bagai ‘batu akik’. Tentu mereka tak akan tertarik dengan hiburan yang baik tapi tak kreatif ini.

* Guru sepatutnya monitor hingga lakonan pun dapat mendidik atau memupuk kebaikan anak didik.Guru-guru mesti hayati anak didik, hingga guru dapat memilih peranan yang tepat untuk setiap anak. Bila tidak menghayati anak didik, maka akan berlakulah pemilihan pelakon dan anak didik yang tidak tepat. Patut pelajar A jadi pelakon ‘X’, pelajar B jadi pelakon ‘Y’, tapi yang terjadi sebaliknya. A jadi ‘Y’, B jadi ‘X’. Misal pelajar A, yang mesti diasah kematangan, kepimpinan, usiapun dah tingkatan university, patutnya sudah macam ulama, doronglah ke arah itu. Pelajar B pula, jauh lebih muda, belum lagi terlalu terserlah bakat di bidang nasyid. Satu kesilapan bila dalam lakonan ada ulama & penasyid, kita pilih A jadi penasyid saja, sedangkan dia sudah dikenali sebagai penasyid, sedang pelajar B mengambil pelakon ulama. Patutnya, A jadi ulama, untuk menajamkan lagi bakat kepimpinan dan kebolehannya bersyarah.



Dasar penilaian yang utama dalam menilai hasil persembahan pelajar adalah sejauh mana persembahan tersebut dapat menyentuh perasaan penonton untuk dibawa pada Tuhan. Jika dalam satu persembahan, walau kreatif sekalipun tapi ‘message’ nya kurang, bahkan di dalamnya ada unsur-unsur pelakon jahat atau ’samseng’, maka hiburan tersebut sebetulnya belum lagi mencapai matlamat.Bahkan dianggap satu persembahan yang gagal.

Bidang-bidang lain yang boleh dilatih pada mereka:

1.Melukis, misalnya dengan diawali melukis dengan pensil, dengan pewarna atau dengan menggambar di komputer. Untuk menambah kasih sayang diantara pelajar dan guru, boleh juga di peringkat awal anak-anak diberi tugas untuk melukis wajah gurunya. Walaupun sekiranya hasil lukisan sangat jauh dari wajah sebenarnya, tetapi yang guru nilai adalah usaha mereka.

2. Menulis, di awali dengan menulis perkara-perkara yang ringan misalnya menulis kesan-kesan mereka setelah rehlah ke pantai, atau menulis tentang diri mereka ,kaligrafi, melaungkan azan,
melagukan pembacaan Qur’an, dll

....akan bersambung...

KAEDAH MENGHADAPI REMAJA BERMASALAH (1)


Berhadapan dengan remaja yang sudah rosak tidak sama dengan remaja yang belum rosak. Kalau remaja sudah rosak, daripada jahat, hendak jadi baik, tidak dapat dilakukan secara mendadak. Menghadapi hal ini kita perlukan 2 langkah pemulihan :

1. Pendekatan awal, di kawasan transit

2. Pendidikan untuk dibawa ke satu keadaan cinta Tuhan dan takut Tuhan, langkah kedua ini dilakukan apabila remaja tadi sudah cukup stabil keadaannya.


Pendidikan langkah kedua adalah pendidikan dalam kes umum, dan tidak akan dibahas disini, sila rujuk buku Pendidikan Rasulullah karya ASIAMAT,

Kaedah Transit, Kaedah Peralihan



Budak yang sudah rosak, yang bermasalah, bila kita terapkan terus disiplin yang ketat, tidak akan berkesan. Mereka tak akan sanggup berlama-lama belajar secara formal di kelas. Mereka lebih suka sembang-sembang dan lepak-lepak. Sebahagiannya bahkan sudah tidak boleh diajak berfikir. Waktu jiwa sudah rosak, otak tidak boleh dipakai lagi. Kita kena tawan jiwanya dahulu. Kuliah hanya dibuat sebelah pagi sahaja. Remaja seperti ini, bila dengar ada peraturan, mereka sanggup lari. Kalau kita cakap undang-undang, itu cukup menyakitkan mereka. Undang-undang, hukuman yang tegas akan membuat mereka bertambah liar. Segala kaedah yang tegas akan membuat mereka bertindak balas lebih ganas.

Remaja yang sudah rosak, senang dengan hiburan rosak, mereka tidak akan sanggup untuk berubah secara mendadak dari rosak terus ke baik sangat. Oleh itu, pada peringkat awal, hendak mengalihkan mereka dari kiri ke kanan, kita bawa mereka dari rosak, kepada keadaan transit. Keadaan atau kawasan transit, atau kawasan neutral ini ialah dimana kita berikan mereka didikan dengan menggunakan perkara-perkara yang harus. Misal, mereka suka pada hiburan, maka di kawasan transit ini kita berikan mereka hiburan-hiburan yang diharuskan dalam Islam yakni tidaklah salah dan tidaklah baik tetapi ‘harus’. Kita beri mereka barang atau perkara yang harus, dimana perkara yang harus ini, orang yang jahat dan yang baik boleh terima. Misalnya : belanja makan, tidur di hotel dengan diawasi, ke pantai, jala ikan,dll. Bila mereka sudah stabil, barulah mereka ditingkatkan kepada yang baik.

Perlu diingat bahwa kita tidak boleh confident melulu, sebab yang kita hadapi ialah perasaan-perasaan mereka, keinginan-keinginan mereka sedangkan kita sendiri sedang berdepan dengan masalah keinginan-keinginan kita yang kadang-kadang kita tidak mampu kawal. Ini adalah cabaran yang sungguh besar. Kita berada satu seberang sungai manakala mereka di satu seberang lagi. Kawasan transition itu adalah air yang sangat merbahaya. Kalau kita tidak pandai kemudi, kita akan hanyut. Lebih-lebih lagi bila kita berhadapan dengan kes-kes dadah, bohsia, bohjan, HIV, dll. Oleh itu marilah kita menambahkan takut kepada Allah kerana atas takut itulah Allah berjanji untuk mengajar kita untuk selesaikan masalah ini. Marilah kita usahakan untuk dapat taqwa, untuk sembahyang kusyuk, untuk berzikir, mudah-mudahan Tuhan membantu usaha kita



Beberapa perkara yang perlu dilakukan dalam melaksanakan kaedah transit ini adalah sebagai berikut :

1. Kasih sayang adalah pengisiannya

Kawasan transit adalah kawasan di mana kita hendak menarik anak-anak kita dari kawasan gelap ke kawasan terang. Dalam tempoh transit ini, kasih sayang adalah pengisiannya. Maka kita perlu berikan kasih sayang yang murni dan global walaupun mereka bukan darah daging kita. Sebagai manusia yang bertanggung jawab pada Tuhan, patut kita merasa sedih bila remaja tidak mengenal Tuhan, jauh dari kehidupan seperti yang Tuhan kehendaki. Kalaulah kita dapat bayangkan, bagaiman perasaan ibu ayah mereka yang mungkin menangisi anak-anak mereka setiap malam. Marilah kita hayati, untuk kita merampas mereka semula dari satu kawasan rohaniah yang sangat jauh dari kita.

Kasih sayang yang diberikan secara tidak tepat juga akan menimbulkan masalah baru. Oleh itu setiap orang tua, pendidik, pemimpin memerlukan ilmu yang tepat tentang kasih sayang yang berlandaskan Tuhan dan syariatNya. Panduan tentang cara memberi kasih sayang yang tepat dapat dirujuk pada bab yang awal dalam buku ‘Berilah mereka kasih sayang dengan cara yang tepat’.

2. Kenalkan Tuhan sebelum syariatNya

Dalam kuliah-kuliah rasmi dan tidak rasmi banyakkan cerita tentang Tuhan. Jangan beratkan soal ibadah sunat. Selesaikan ibadah asas tapi banyakkan cerita tentang Tuhan. Sebaiknya huraikan apa yang mereka amalkan seharian. Huraikan apa itu azan? Apa pentingnya azan? Ajak mereka memahami bahawa azan itu besar. Selama ini bila azan dia boring sebab dia tidak faham. Ceritakan tentang kebesaran Allah melalui lafaz Allahu Akbar.

Program ibadah, digilir-gilirkan Imamnya kemudian bacalah doa dengan suara yang kuat. Kadang-kadang dalam bentuk arahan, arah mereka hafal doa umpamanya, mereka tidak akan ikut. Bila dibuat bukan dalam bentuk arahan, mereka akan buat.

3. Jangan mengherdik, jangan menghina

Dalam menghadapi pelajar, approach mesti tepat, dimana kata-kata guru mesti dituju pada hati mereka. Hindari dari mengherdik, menghina, sebab selama ini mereka sudah rasa terhina. Walau mereka melakukan kejahatan, namun fitrah mereka sangat merasa terhina bila disebut orang jahat. Stail mengarah-mengarah, mengugut-ngugut, bahkan kalau kita mengherdik, misal kita kata: ‘tak sedar diri’, kita tengok nanti dia akan bertindak balas.

Walaupun tujuan guru baik, tapi bila cara menyampaikannya salah, prejudis dengan murid, maka hasilnya akan jadi lain. Contoh, untuk memberikan kesedaran pada murid yang memang kuat merokok, tentang bahaya merokok, seorang guru meminta pelajarnya membaca sebuah tulisan dalam akbar bertajuk ‘rokok dapat mendorong seorang untuk merogol’. Walaupun niatnya baik, apabila guru meminta pelajar tersebut membacanya sambil berkata : ‘ini ada kaitan dengan kamu. Sekarang rokok, nanti rogol.’ Tentu akan marahlah pelajar tersebut. Oleh itu Cara guru bercakap kenalah tepat. Orang sakit kalau ditikam lagi bertambah sakitnya. Teknik pendekatan perlu dibetulkan.

Apabila diminta membacakan berita-berita yang menakutkan dalam akhbar, guru perlu betul cara pendekatannya kepada anak murid supaya anak-anak murid faham. Contohnya terhadap kes rogol di atas, guru boleh kata:

“Masyarakat kita telah rosak semuanya. Termasuk umat Islam. Kitalah yang bertanggungjawab untuk membaikinya. Sama-samalah berusaha membaikinya. Tidak ada orang lain lagi yang hendak bertanggungjawab. Cikgu cakap ini supaya kamu ada rasa hendak membela. Hendak menyelamatkan.”

Mendengar perkataan guru seperti itu, tentu sejuklah hati anak didik. Dengan sangka baik dandorongan dari guru, akan bertambahlah kekuatannya untuk segera berubah menjadi anak yang baik.

....akan bersambung...

CINTAKAN AKHIRAT FORMULA KECEMERLANGAN


Rasulullah saw pernah bercerita bahawa di akhir zaman nanti, orang Islam itu lemah, mundur, tidak membangun, tidak maju, pecah belah, hina dan sebagainya. Kalau nak dihurai lebih kurang begitulah maksudnya.

Ada sahabat yang bertanya, apakah kejadian itu disebabkan mereka itu sikit?
Rasulullah menjawab tidak, masa itu mereka ramai, tapi ramainya macam buih di laut.

Sebab di waktu itu umat Islam di timpa dua penyakit iaitu cinta dunia dan takutkan mati . Rupanya Rasulullah memberi panduan bahawa umat Islam menjadi lemah bagaikan buih di lautan bukan kerana tidak cukup subsidi, tidak dapat tender, tak dapat projek atau tidak dapat AP dan macam-macam lagi tetapi kerana 2 penyakit yang sudah menjadi wabak dan berakar umbi iaitu cinta dunia dan takut mati.

Kalau begitu beerti untuk keluar daripada kehinaan , kelemahan, kemunduran umat Islam kena tukar strategy iaitu cinta akhirat dan sukakan kematian . Kita kena ingat bahawa syarat ini ialah untuk umat Islam, kerana Tuhan hendakkan umat Islam membangun dan selamat di dunia dan akhirat dengan menggunakan formula Tuhan.
Sedangkan orang cina tidak perlukan Tuhan dan Rasul untuk membangun kerana mereka tidak dijanjikan keselamatan di akhirat . Walau setinggi manapun kemajuan dan kecemerlangan yang mereka perolehi di dunia tetapi ia tidak berkekalan. Di akhirat nanti akan menemui kegagalan abadi selamanya. Apakah kita ingin senasib begitu?

Apa yang dimaksudkan di sini ialah umat Islam hari ini nak kuat, nak maju, nak membangun tamadun, nak cemerlang, gemilang dan terbilang tapi tidak bermula dengan cintakan akhirat, padahal cintakan akhirat itulah yang akan membawa kemajuan. Beerti side effect kepada cintakan akhirat ialah kemajuan. Bagaimana hal ini relevan untuk berlaku?

Sebenarnya apabila umat Islam sudah cintakan akhirat, cintakan mati, nak mendapat tempat isimewa di akhirat, tentulah melalui agama. Tapi untuk mendapatkannya mestilah diberi ilmu, di beri minda supaya faham. Kalau tidak, orang yang mendapat kesedaran beragama akan beranggapan untuk cintakan akhirat kena solat banyak, wirid banyak, zikir banyak, baca Quran banyak, umrah banyak, akhirnya umat jadi beku dan jumud pula.

Jangan fikir cinta akhirat itu ialah banyak ibadah. Itu hanya habluminallah (hubungan dengan Allah) sedangkan agama ada 2 aspek, iaitu habluminalah (hubungan dengan Tuhan) dan habluminannas (hubungan dengan manusia) .

Hubungan dengan Tuhan hanyalah satu sedangkan kalau habluminannas (hubungan sesama manusia) itu banyak. Beerti kalau diusahakan banyak hubungan dengan manusia beerti kemajuan dengan sendirinya akan terbangun.

Bagaimana ia berlaku? Menegakkan agama melalui hablumminannas beerti menggalakkan manusia berkorban, kerjasama, bersatupadu, berkasih sayang, bertolak ansur dan sebagainya. Kalau berlaku begitu maju atau tidak umat ini?

Yang menjadi masalah sekarang ialah umat Islam nak maju termasuk orang Melayu tetapi tidak mahu dikaitkan dengan akhirat. Bila tidak dikaitkan dengan Tuhan, kemajuan itu merangsang tamak, sakit hati, jatuh menjatuhkan. Ini yang silap. Umat Islam nak maju dan membangun tapi tidak dikaitkan dengan Tuhan. Akhirnya orang fikir kemajuan tapi akhirnya membawa ke diri.

Kita berslogan mari membangun, mari berkorban tapi untuk diri. Sebab itu kita tidak boleh maju. Kita sebenarnya berjuang untuk kepentingan diri belum lagi untuk bangsa, negara dan agama. Sebenarnya agama itu kalau di fahami, tidak payah sebut maju, maju itu akan datang sendiri. Hasil daripada cintakan akhirat maka side effectnya ialah kemajuan.

Akibat nakkan kemajuan untuk diri, maka akan timbullah tamak haloba, gila pangkat dan kuasa akhirnya berlakulah jatuh menjatuhkan, fitnah memfitnah, rasuah, politik wang dan sebagainya. Kalau begitu jangan mimpilah nak ajak berkorban, bekerjasama demi untuk membangun dan berkemajuan. Sebenarnya kemajuan itu ialah side effect daripada orang yang beragama. Tetapi sekarang kita nak ajak orang Melayu maju tapi tidak guna agama, akhirnya bila dapat kemajuan pula jadi sombong , mula nak jatuh menjatuhkan satu sama lain pula.

Jadi sebenarnya kita tidak payah sebut maju, hakikatnya bila beragama betul-betul maka akan lahirlah kemajuan . Tapi kalau tiap-tiap hari sebut maju cemerlang, gemilang terbilang tapi tidak dikaitkan dengan Tuhan kesan daripada kemajuan itu sangat rosak dan merosakkan. Bila kita dapat projek orang tidak senang, orang dapat kita tidak senang pula. Formula nak maju begini tidak betul, nak maju itu kena cintakan akhirat, kena berkorban, jadi majulah.Tak perlu sebut maju. Bangunkan habluminallah dan habluminannas maka akan lahirlah kemajuan. Macamlah orang yang nak anak tapi dia tidak mahu kahwin boleh ke?

Begitulah kemajuan, fahamkan agama dengan betul, bila di amalkan maka anak daripada hasil agama ialah kemajuan. Hari ini bila pemimpin dah jahil, dah tidak faham, bersidanglah lima hari lima malam pun, hasilnya orang Melayu tak ke mana, nak maju tapi hanya untuk diri. Cara itu hanyalah untuk diri sendiri bukannya untuk bangsa, sebab ia tidak di kaitkan dengan agama.

Kalau tidak masakan Rasulullah berkata orang yang paling bijak ialah yang banyak mengingati mati . Kalau begitu marilah kita lancarkan satu resolusi baru, yakni Dasar Cintakan Akhirat. Maka bijaklah umat ini apabila telah kembali ke landasan sebenar menjadikan Tuhan dan Rasul sebagai rujukan utama dalam memperkasakan ummah. Maka side effect daripadanya akan terbangunlah kemajuan yang selamat lagi menyelamatkan.

KESILAPAN UMAT ISLAM KINI


Kenyataan yang berlaku pada umat Islam hari ini, dari hidup sampai mati, ke mana pun dia pergi, dia hanya membawa benih taqwa sahaja. Benih pun tidak ditanam. Dia hanya membawa rukun Iman, rukun Islam dan Ihsan. Tetapi itu semua tidak pernah diamalkannya betul-betul atas dorongan cinta dan takutkan Tuhan. Setiap hari ada peluang melakukannya. Peluang yang Tuhan bagi untuk beramal selalu diabaikan dan disia-siakan. Adakah ini boleh menjamin keselamatan di Akhirat. Adakah kita rasa bila berjumpa Tuhan nanti kita akan selamat? Sedangkan yang kita bawa hanya benih yang belum ditanam dan belum menghasilkan buah. Apakah Tuhan akan terima?

Di sinilah orang yang beribadah tertipu dan orang yang mengaji dan belajar pun tertipu. Dari hidup sampai mati, ke mana mereka pergi, mereka membawa benih sahaja. Sebab itu keindahan Islam tidak nampak dalam kehidupan kerana tidak ada pokoknya, tidak ada batang, dahan,ranting, daun, bunga dan buahnya. Yang ada hanya benihnya sahaja yang belum pun ditanam.Kalaupun ada yang menanam benih taqwa ini, ditanam pula ditempat yang salah. Maka benih itu tidak tumbuh. Kalau tumbuh pun ia terbantut dan lama-lama mati. Tidak tumbuh juga pokok taqwa.

Itulah silapnya. Kita sudah diajar bahawa agama itu di surau dan di masjid sahaja. Kita telah diajar hendak dapat taqwa di surau dan di masjid sahaja. Kita telah diajar bahawa taqwa itu hanya sembahyang, puasa, zakat, haji, baca Quran, wirid, zikir, doa dan iktikaf di masjid sahaja. Ini adalah salah. Ini ajaran dan fahaman yang sempit. Ini sudah memisahkan agama dari kehidupan. Walhal bukankah agama itu Addeen atau cara hidup ( way of life ). Cara hidup tidak terhenti setakat di surau dan di masjid sahaja.

Taqwa itu boleh didapati di mana-mana. Taqwa itu boleh didapati di dalam kehidupan. Taqwa itu ibarat intan berlian yang Tuhan taburkan dan campakkan ke dalam kehidupan. Taqwa itu merata-rata. Terpulanglah kepada kita untuk mencari dan mengutipnya. Hanya sama ada kita mahu atau tidak mahu sahaja. Kenapa kita hanya mahu mengutip intan berlian di surau dan di masjid sahaja? Bukankah surau dan masjid itu tempat yang kecil dan terhad? Padahal banyak lagi intan berlian yang bertaburan di dalam kehidupan di luar surau dan masjid. Ini kita tidak kutip. Bukankah ini membazir dan merugikan namanya?

Pemimpin dan ulama menyarankan supaya umat Islam jadi kuat. Kita kena faham, kuatnya umat Islam itu mesti dengan taqwa.

Umat Islam tidak boleh jadi kuat dengan quwwah( kekuatan lahir) semata-mata sama ada kekuatan yang berbentuk ilmu, ekonomi, teknologi dan lain-lain. Taqwalah sumber kekuatan umat Islam yang sebenarnya. Umat Islam akan kuat apabila mereka kuat dengan Tuhan. Macam mana umat Islam hendak jadi kuat sedangkan pemimpin, ulama dan seluruh umat Islam dari atas hingga ke bawah tidak faham apa erti taqwa, tidak faham apa itu hakikat taqwa, tidak tahu kelebihan dan peranan taqwa dan tidak tahu bagaimana hendak mencapai dan mendapat taqwa.

Sebenarnya, benih taqwa boleh tumbuh dalam kehidupan seharian, di pasar, di gerai, di kedai, di jalanan, di pekabat, di sekolah, waktu bertemu kawan, dengan jiran, dengan madu malahan di mana dan dengan sesiapa sahaja.

Dalam melaksanakan tugas rasmi dan tanggungjawab kita boleh dapat taqwa. dalam membuat kerja tidak rasmi pun kita boleh dapat taqwa.

Dalam kita menegakkan hablumminallah ,iaitu sembahyang, puasa,baca Quran, wirid dan zikir, kita boleh dapat taqwa.

Dalam kita menegakkan hablumminannas seperti berniaga, bermasyarakat, berjiran dan bekerja, kita pun boleh dapat taqwa.

Malahan peluang untuk mendapat taqwa di bidang hablumminannas lebih luas dan lebih banyak dan ia berlaku sepanjang masa dari sekecil-kecil amalan hinggalah kepada yang sebesar-besarnya.

Yang penting kita berbuat sebanyak mungkin amalan makruf dengan kesedaran bahawa Allah melihat dan memerhati kita dan keredhaan-Nyalah yang kita harapkan. Besar atau kecil amalan tidak menjadi persoalan. Keikhlasan dan penghayatan itulah yang menjadi pokok.

Rasulullah secara lahiriah...

Nabi Muhammad saw meskipun sama kejadiannya dengan kita, namun bentuk lahiriah dan rohaniahnya
tidak sama.

Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya
bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang
disampaikan oleh Baginda.

Diantara kata-kata appresiasi para sahabat ialah:

· Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah. Aku melihat cahaya memancar dari
lidahnya. Seandainya kamu melihat Rasulullah, kamu akan merasa seolah-olah sedang melihat
matahari terbit.
· Aku pernah melihat Rasulullah saw di bawah sinaran bulan. Aku bandingkan wajahnya dengan
bulan, akhirnya aku sedari bahawa Rasulullah saw jauh lebih cantik daripada sinaran bulan
· Rasulullah saw seumpama matahari yang bersinar. Aku belum pernah melihat lelaki setampan
Rasulullah saw.
· Apabila Rasulullah saw berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama dan dari
situ kami mengetahui yang baginda sedang gembira.
· Kali pertama memandangnya, sudah tentu kamu akan terpesona
· Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat
· Wajahnya seperti bulan purnama
· Dahi Baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya. Urat darah kelihatan
di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
· Mata Baginda hitam dengan bulu mata yang panjang
· Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian
sudut.
· Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali
melihatnya.
· Mulut baginda sederhana luas dan cantik
· Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
· Apabila berkata-kata cahaya kelihatan memancar dari giginya
· Janggutnya penuh dan tebal menawan
· Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih
seperti perak sangat indah.
· Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya
· Rambutnya sedikit ikal
· Rambutnya tebal kadang-kadang menyentuh pangkal telinga dan kadang-kadang mencecah bahu
tapi disisir rapi
· Rambutnya terbelah di tengah
· Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat
· Dadanya bidang dan selaras dengan perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada
biasa
· Seimbang antara kedua bahunya
· Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya , jarinya juga besar dan tersusun
dengan cantik
· Aku tidak pernah menyentuh sebarang sutera yang tipis mahupun tebal yang lebih lembut
daripada tapak tangan Rasulullah saw.
· Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik. kakinya berisi, di tapak kakinya terlalu
licin sehingga tidak melekat air. Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
· Warna kulitnya tidak putih seperti kapur atau coklat tapi campuran antara coklat dan
putih. Warna putihnya lebih banyak.
· Warna kulit Baginda putih kemerah-merahan
· Warna kulitnya putih tapi sehat
· Kulitnya putih lagi bercahaya
· Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh
· Badannya tidak gemuk
· Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak
· Perutnya tidak buncit
· Badannya cenderung kepada tinggi. Semasa berada di kalangan orang ramai, baginda
kelihatan lebih tinggi daripada mereka
· Sekalipun baginda miskin dan lapar tapi tubuhnya lebih gagah dan sihat daripada orang
yang cukup makan.Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih gagah dan berani daripada Rasulullah saw.

Begitu hebat personaliti dan ketokohan Baginda saw., makhluk terpuji dan teragung di muka bumi.
Kesimpulannya Nabi Muhammad saw. adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang
zaman.

MORAL & IKTIBAR

· Nabi Muhammad saw. adalah manusia terbaik pilihan Allah.
· Sifatnya yang terpuji merangkumi aspek fizikal dan rohani.
· Atas sifatnya yang superior inilah baginda dilantik menjadi pemimpin seluruh manusia di dunia ini.
· Baginda adalah manusia mithali yang serba lengkap dan serba kamil dan layaklah baginda tidak disentuh sebarang dosa lagi bersifat dengan maksum.
· Kepimpinan Baginda sepatutnya menjadi contoh teladan kepada semua manusia di muka bumi ini. Barangsiapa mentaati Allah tanpa mengakui kerasulan Nabi saw, nescaya Allah tidak menerima keimanannya.

Wallahuallam.

rintihanku Tuhan.. dengarlah...

Aku tidak tahu bila redhamu Tuhan kepadaku.....
Kerana itulah Aku selalu meminta tanpa jemu2....
Aku tidak tahu bila cintamu tuhan kepadaku..
Sebab itulah aku tidak jemu2 meminta selalu padamu...
Aku selalu meminta ampun kepadamu oh Tuhanku.....
Tapi aku tidak tahu bila keampunanmu kepadaku berlaku....
Sebab itulah aku tidak jemu 2 meminta selalu kepadamu......
Aku tidak berputus asa aku memohon selalu kepadamu....
Tuhan, aku membesarkanmu.....
Memuji dan mensucikanmu....
Mengharapkan keredhaanmu berlaku di dalam kehidupanku....
Aku lakukan berulang kali tanpa jemu2 .....
Untuk menagih cintamu kepadaku.....
Redhamu itu adalah mahal sekali buatku.....
Cintamu kepadaku sangat penting bagiku.....

Aku memohon selau kepadamu...
Aku meminta padamu tak jemu-jemu....
Redhamu Tuhan, cintamu Tuhan....
Kurniakanlah kepadaku.....
Tuhan janganlah hampakan aku.....
Tuhan dengarlah permintaanku....
Dengan rahmatmu.....
Janganlah dikecewakan permintaanku.....
Dengarlah permintaanku, kabulkanlah doaku....

APA ITU PERJUANGAN ?


Apabila kita mengatakan perjuangan ertinya adanya sebuah jemaah yang ada pemimpin yang ditaati, ada pengikut yang setia, ada dasar perjuangan yang berlandaskan Al Quran dan As Sunnah, yang ia ditegakkan lebih dahulu sejauh yang termungkin di dalam jemaah itu sebagai model. Ada aktiviti ke luar dan ke dalam melalui berbagai-bagai cara dan strategi untuk mencapai matlamat.

Ertinya Islam tidak berjuang secara individu atau secara berseorangan tanpa ada jemaah, pemimpin dan pengikut serta tanpa aktiviti, kerana Islam itu adalah cara hidup bernegara, berekonomi, bermasyarakat, berpendidikan, berhubung, berkebudayaan, berundang-undang, berdisiplin dan lain-lain lagi.

Oleh kerana perjuangan Islam itu adalah terpaksa sibuk, berkorban, terkorban, menghabiskan masa, berhadapan dengan kesusahan dan cabaran, terpaksa mengkesampingkan kepentingan diri, maka selepas kejatuhan empayar Islam ada beberapa golongan umat Islam dalam menghadapi perjuangan ini iaitu:

1. Golongan yang hidup matinya untuk Islam . Faham apa yang mereka perjuangkan. Bersungguh-sungguh mengamalkan di dalam diri mereka dan keluarga mereka, memberi seluruh jiwa raga, masa dan harta untuk Allah dan Rasul. Mereka sanggup berhadapan dengan sebarang risiko, bahkan mati di dalam perjuangan itu memang ditunggu-tunggu. Syahid adalah idaman mereka. Golongan ini amat sedikit dan darjatnya lebih tinggi daripada ahli ibadah.

2. Golongan yang bersungguh-sungguh berjuang seperti golongan yang pertama tadi serta faham apa yang mereka perjuangkan . Cuma lemah mujahadah melawan nafsu. Di dalam gigih berjuang itu, maksiat dibuat juga. Di dalam ada cita-cita Islam, terlibat juga dengan dosa. Ini terserahlah kepada Allah Taala, terpulanglah kepada Allah. Dia mengampunkan sesiapa yang Dia kehendaki dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki. Atau jika kebaikan yang mereka lakukan lebih banyak daripada kejahatan, maka beratlah amalan kebaikannya maka mereka tergolong dalam ashabul yamin.

3. Golongan yang berjuang secara jahil . Fardhu ain di dalam diri pun belum selesai. Mereka berjuang semata-mata kerana semangat dan fanatik sahaja. Di dalam perjuangan mereka mengganas, merosak dan menzalim sama ada di sedari atau tidak. Mereka itu kalau gigih sekalipun berjuang, namun Allah SWT tidak akan menerima perjuangan mereka. Kerana kerosakannya lebih banyak daripada kebaikannya. Golong-an ini agak ramai di zaman ini.

4. Umat Islam yang berjuang bukan kerana Allah dan Rasul atau bukan kerana hendak menegakkan Islam tapi berjuang kerana mahu merebut pangkat atau kerana sakit hati dengan musuh-musuhnya atau kerana kemegahan bangsa, negara atau kerana nama atau kerana ideologi. Islam itu hanya diselit-selitkan atau dijadikan bahan slogan untuk mempengaruhi umat Islam. Golongan ini tertolak. Sama ada jadi zalim, fasik atau kafir.

5. Golongan yang ingin berjuang tapi belum mula berjuang kerana wadah-wadah perjuangan yang wujud di negaranya atau jemaah perjuangan yang ada di negaranya tidak meyakinkan. Kerana tahu tidak ada kemampuan dan kelayakan, mereka beribadah dan membaiki diri sambil menunggu perjuangan yang sebenar. Mereka lebih banyak menyendiri. Golongan ini memang elok menyendiri.

6. Golongan yang menghabiskan masa untuk ibadah serta membaiki diri, sedangkan kemampuan ada . Walaupun ada perjuangan kebenaran di hadapan matanya namun mereka tidak mahu menggabungkan diri. Kerana tidak mahu bersusah payah atau tidak mahu menerima atau menanggung risikonya. Golongan ini dimurkai Allah SWT.

7. Golongan yang uzur, sama ada uzur disebabkan sakit atau cacat anggota atau tua atau terlalu miskin, sedangkan tanggungjawab serta ada keluarga yang hendak ditanggung. Maka mereka tidak dapat ikut serta di dalam perjuangan, hanya memberi doa semata-mata. Golongan ini dimaafkan.

8. Golongan yang memilih menghabiskan masa untuk beribadah daripada berjuang di waktu musuh belum begitu mengancam terhadap umat Islam dan negara Islam. Sedangkan sudah ada golongan lain yang berjuang dan tenaga itu sudah cukup sebagai menegakkan fardhu kifayah. Maka golongan itu diharuskan untuk bersikap demikian tapi pa-halanya rendah dibandingkan dengan golongan yang berjuang itu.

9. Golongan yang sudah tidak mempedulikan langsung terhadap Islam . Mereka ialah Islam keturunan. Ibadah untuk dirinya sahaja, tidak mahu berjuang, malah mereka tidak mahu fikir mengenainya dan hanya mahu hidup semata-mata. Memikirkan makan, minum dan seks sahaja. Islam tidak ada langsung di dalam hati mereka. Golongan ini di-sangsikan keislaman mereka.

10. Ada golongan pada mulanya menceburkan diri di dalam perjuangan. Apabila mendapat kesusahan atau tidak tahan berhadapan dengan ujian dan cabaran, akhirnya mengundurkan diri. Yang mengundurkan diri itu, ada yang menentang dan ada yang tidak menentang.

11. Ada golongan yang menggabungkan dirinya di dalam perjuangan setelah perjuangan itu telah menghasilkan buahnya , ertinya setelah perjuangan memberi kesenangan. Tapi apabila berhadapan dengan ancaman atau ujian yang berat, ia akan menentang perjuangan itu dan adakalanya terus menyebelahi musuhnya.

Begitulah secara ringkas diterangkan mengenai pelbagai golongan di dalam memperjuangkan islam. Perjuangan itu berat, hanya yang benar-benar berjiwa pejuang yang mampu istiqamah dalam perjuangan dan ia perlu seiring dan dimantapkan dengan IMAN dan TAQWA.

BUKAN SENANG MENJADI PEMIMPIN...


Kalau kita lihat sejarah para rasul, walaupun rasul-rasul itu punya kekuatan, hanya tiga orang rasul saja yang memerintah. Mereka ialah Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Rasulullah SAW. Rasul-rasul yang lain tidak memerintah.Mereka cuma memimpin tapi tidak memerintah.

Peliknya, mengapa kita berjuang, ghairah sangat hendak memerintah?Padahal para nabi yang mana nabi itu orangnya luar biasa, bukan saja memerintah,kalau dia tidak memimpin orang pun tidak menjadi satu kesalahan.Cukup dia menjaga dirinya sahaja. Maksudnya, hendak pimpin orang bukan senang. Mesti ada satu keistimewaan khususiah yang Allah bagi pada orang itu. Di sini kita hendak bawakan suatu cerita. Cerita ini semua orang tahu, iaitu cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. Tapi hikmahnya banyak orang tidak tahu. Cerita ini sama ada diceritakan dalam kitab mahupun disampaikan oleh tok-tok guru, hanya dikatakan Allah hendak beritahu pada Nabi Musa bahawa ada orang yang lebih alim dari dia.

Tapi di sini yang hendak diceritakan adalah satu tafsiran baru yang lebih penting lagi daripada tafsiran yang di atas. Allah temukan Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s., tapi Allah tukar peranan masing-masing. Seolah-olah Allah berkata, Hai Musa engkau pemimpin, sekarang Aku tukar kedudukan engkau jadi pengikut. Tiga hari saja. Nak tengok, berjaya tak jadi pengikut. Seolah-olah Allah bercakap pada Nabi Khidir, Hai Khidir, kamu bukan pemimpin, tapi aku nak lantik engkau jadi pemimpin tiga hari saja. Berjaya tak?

Jadi bila ditemukan Nabi Musa dan Nabi Khidir, Nabi Musa pun ikutlah Nabi Khidir. Nabi Khidir yang kini jadi pemimpin berkata, Kalau nak ikut aku, jangan banyak cakap, ikut saja.Kalau banyak tanya nanti berpisahlah kita.

Jadi, mereka pun mula berjalan lalu berlakulah episod pertama. Terjadilah hal yang pelik. Nabi Khidir memecahkan perahu. Nabi Musa tidak tahan, dia tidak boleh terima dan bertanya, sedangkan dia sudah berjanji tidak akan bertanya.Nabi Khidir pun mengingatkan, Bukankah aku cakap jangan tanya, nanti berpisah kita. Nabi Musa meminta maaf dan Nabi Khidir pun memberi peluang lagi kepada Nabi Musa mengikutinya.

Berjalan lagi, jumpa peristiwa pelik kedua. Nabi Khidir bunuh budak. Nampak macam melanggar syariat. Nabi Musa tidak tahan, dia bertanya lagi mempersoalkan pemimpinnya. Sekali lagi dia diingatkan oleh Nabi Khidir akan janjinya.

Kali ketiga berlaku lagi. Nabi Khidir pun memutuskan untuk berpisah. Apa yang kita faham, bila bertukar peranan, kedua-duanya gagal. Pemimpin gagal, pengikut pun gagal. Pengikut tidak sanggup taat. Yang pemimpin pula, kerana dia 10 hanya seorang nabi, Allah tidak kuatkan dia seperti rasul.Pemimpin sepatutnya bersabar dalam mendidik anak buah.Itulah keistimewaannya. Sebab itulah rasul-rasul yang dapat ulul azmi adalah mereka yang paling sabar.

Jadi apa yang kita faham, seorang itu walaupun bukan rasul, tapi dia adalah mujaddid yang ditunjuk oleh Allah, maka Allah akan bekalkan kesabaran yang luar biasa kepadanya. Orang lain tidak boleh buat dan tidak akan tahan. Begitu juga hendak jadi pengikut pada seorang pemimpin yang sebenar, bukan senang hendak taat. Nampak lain sikit, sudah mula hendak persoalkan. Ada perkara yang pelik sikit, dia rasa itu tidak betul. Seolah-olah dia lebih pandai dari pemimpin.

Antara pemimpin dengan pengikut, Allah bagi jarak ilmu yang terlalu jauh. Jadi pengikut juga perlu sabar untuk taat.Cuba tengok Nabi Khidir. Atas dasar ilmu dia layak jadi pemimpin, tapi atas dasar ketabahan hati dia tidak layak.Sebab itu, Nabi Adam waktu dia bertaubat tertungging sujud 40 tahun sampai pokok tumbuh besar di kelilingnya, pun tidak dapat gelaran Ulul Azmi. Mengapa? Dia sujud itu bukan memimpin.Dia dengan Tuhan saja. Dengan Tuhan dia rasa lazat, tapi cuba pimpin manusia dengan bermacam-macam ragam, susah dalam berhadapan dengan musuh, berhadapan dengan kerenah anak buah. Ini bukan sesuatu yang senang untuk dihadapi. Nabi Musa sampai tersesat di padang pasir 40 tahun lamanya kerana memimpin Bani Israil, barulah beliau mendapat darjat Ulul Azmi.

Jadi setiap orang kenalah redha dengan kedudukan masing-masing. Mungkin keupayaan yang dikurniakan oleh Allah itulah merupakan saluran untuk kita berbuat kebaktian. Oleh itu janganlah kecil hati dan bersyukurlah Allah tidak pilih kita jadi pemimpin kerana ditakuti tidak layak. Bila tidak layak, ia boleh menjadi punca kerosakan yang banyak kepada manusia.

BERADAB DENGAN TUHAN

Orang Mukmin kenalah beradab dengan Tuhan

Janganlah dia kurang ajar dengan Tuhan secara sedar atau tidak

Kerana syirik itu mudah sahaja terdedah kepada umat

Oleh itu berhati-hatilah berkeyakinan dan berperasaan dengan Tuhan

Jangan sampai syirik, syirik adalah dosa besar

Jangan ada orang Islam hatinya berkata:

Kalau aku tidak belajar aku tidak boleh cari makan

Rasa hati seperti ini kurang ajar dengan Tuhan

Belajar adalah satu kewajipan, jangan sandarkan dengan cari makan

Kalau aku berjuang kerana Tuhan nanti susah cari makan

Seolah-olah menuduh Tuhan, kalau berjuang Tuhan tidak beri makan

Ini termasuk kurang ajar dengan Tuhan

Berjuang adalah syariat Tuhan

Syariat kenalah ditegakkan

Mengapa dikaitkan bila berjuang ditakuti Tuhan tidak beri makan?

Padahal ramai orang tidak berjuang susah cari makan

Ramai juga orang yang memperjuangkan Tuhan senang cari makan

Begitulah juga jangan hati berkata lebih-lebih lagi lidah berkata

Mujurlah aku dapat bekerja dengan kerajaan, kalau tidak apa aku hendak makan?

Ini dia telah menuduh Tuhan bahawa kerajaan lebih mampu memberi makan

daripada Tuhan

Ini adalah aqidah yang sudah terlalu rosaknya

Orang macam ini sembahyang pun tidak ada erti apa-apa

Sembahyang adalah syariat, keyakinan tadi adalah aqidah

Mengapa orang yang bersyariat tidak beraqidah?

Aqidah lebih besar dari syariat

Aqidah rosak otomatik syariat tertolak

Kalau aqidah tidak rosak syariat tidak semestinya rosak

Aqidah rosak ertinya dia telah merobek-robek Tuhan

Syariat rosak baru merobek-robek ajaran Tuhan

Ramai zaman sekarang orang bersyariat aqidahnya rosak

Kalau aqidah sudah rosak sembahyang, ibadah tidak ada nilai lagi di sisi Tuhan

Orang yang beribadah terjun ke Neraka Tuhan

Harap diambil perhatian

Bumi Tuhan... Bersaksilah