Engkau Hendak Berjuang?



Engkau mahu berjuang?
Bagus kalau itulah yang kamu mahu
Berjuang sasarannya adalah manusia
Engkau mesti kenal manusia lahir dan batin
Engkau tidak akan kenal manusia
sebelum engkau mengenal dirimu sendiri
Sudahkah engkau kenal dirimu sendiri?
Sejauh mana engkau kenal perjalanan fikiranmu?
Apakah fikiranmu sudah Islam?!
Sudahkah engkau kenal nafsumu?
Fahamkah engkau kehendak-kehendak nafsumu?
Ke mana dia hendak membawamu?!
Apakah kehendak Islam dengan kehendak nafsumu selari?
Lebih-lebih lagi sudahkah engkau faham jiwamu?
Jiwa ada perasaannya
Perasaannya ada yang positif dan ada yang negatif
Yang positif hendak dilepaskan
Yang negatif hendaklah ditahan
Melepaskan yang positif, menahan yang negatif
Adalah satu perjuangan
Ia lebih besar daripada perjuangan yang lahir ini
Bahkan yang lahir ini ditentukan oleh yang batin,
iaitu jiwamu


Kalau engkau berjuang tidak faham ini semua
Ertinya engkau laksana masuk ke hutan belantara
Yang tidak mempunyai pedoman
Tidak ada kompas, tidak kenal kedudukan hutan
Jangan-jangan engkau akan tersesat nanti
Marabahaya hutan akan membinasakan kamu
Bahkan rimau pun boleh membaham kamu
Kawan, perkataan berjuang mudah disebut
Tapi tidak mudah difahami
Berjuang mudah diperkatakan
Tapi tidak mudah dikotakan
Ia memerlukan ilmu yang cukup
Tidak sekadar semangat yang cukup
Ia memerlukan pemimpin yang tepat
Yang boleh memimpin dan ia ditaati
Kalau belum sampai ke taraf ini
Engkau tidak berjuang lebih selamat
daripada berjuang
Kalau engkau berjuang juga
Ingatlah kerosakan yang engkau lakukan
lebih banyak, tanpa disedari
Sekalipun niat engkau suci

MENGORBANKAN PERASAAN SATU JIHAD



Assalam. Manusia adalah jenis makhluk yang ada perasaan. Apabila kita menyebut perasaan, ia adalah rasa-rasa yang bertapak di hati nurani dan sarangnya adalah hati daging. Perasaan-perasaan itu seperti rasa kasih, rasa benci, rasa jijik, rasa simpati, rasa marah, rasa dendam, rasa rindu, rasa malu, rasa megah, rasa sombong, rasa takut, rasa serba salah, rasa berbelah bagi.

Perasaan-perasaan yang merupakan fitrah atau tabiat semula jadi manusia, bukan senang hendak diasuh, dididik, didisiplinkan, dikendalikan dan diurus kerana ia ada yang positif, ada yang negatif. Yang positif hendak dilepaskan, yang negatif hendak ditahan.

Melepaskan yang positif adalah satu pengorbanan. Menahan yang negatif adalah juga satu pengorbanan. Mengorbankan perasaan dianggap satu jihad, yakni jihad batin. Bahkan ia lebih besar lagi daripada jihad-jihad benda-benda yang lahir seperti mengorbankan tenaga, harta dan nyawa.




Jihad yang lahir tidak akan boleh berlaku kalau tidak bermula daripada jihad yang batin. Dari yang batinlah mencetuskan yang lahir. Kalau yang batin tidak mampu hendak dikorbankan sudah tentu yang lahir ikut serta, sudah tentu tidak sanggup dikorbankan. Yang sebenarnya pengorbanan yang lahir itu, ia adalah merupakan implimentasi dari pengorbanan yang batin. Dengan kata-kata yang lain, pengorbanan yang lahir itu adalah buah daripada pengorbanan yang batin iaitu pengorbanan perasaan.

Perlu diingat, untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala perlukan pengorbanan. Tidak ada pengorbanan, tidak ada keredhaan. Tidak ada pengorbanan adalah nonsence. Tidak ada pengorbanan adalah angan-angan. Tidak ada pengorbanan, tidak akan ada kejayaan untuk dunia dan Akhirat.

Mengorbankan perasaan, amat susah hendak dilakukan. Sungguh perit dan sakit. Sungguh tercabar dan menyusahkan. Saya bawa beberapa contoh:

Kita kasih dan sayang pada suami kita. Kita suka dia duduk di rumah sahaja untuk membelai kita. Apakah mudah kasih sayang kita itu hendak kita korbankan untuk membenarkan dia berjuang di luar rumah. Untuk dia menunaikan kewajipan kepada Tuhan di luar rumah hingga terpisah daripada kita beberapa ketika.

Kita sayang sangat dengan suami kita. Apakah mudah kita hendak korbankan kasih sayang kita untuk dibahagi sedikit kepada orang lain dengan membenarkan suami kita berkahwin lagi. Agar suami kita itu dapat dikongsi kasih sayangnya dengan orang lain.

Kita marah kepada seseorang. Bolehkah kita korbankan perasaan marah itu hingga kita boleh memberi maaf atau meminta maaf kepada orang itu. Sanggup memberi maaf atau meminta maaf ertinya kita sanggup mengorbankan perasaan ego atau sombong kita.

Kita sayang sangat dengan harta kita. Perasaan sayang dengan harta itu kita korbankan dengan cara harta kita itu kita infakkan kepada jalan Allah. Perasaan itu sudah tentu menyeksakan kita.

Perasaan ingin berehat. Ingin bersenang-senang dan menyenangkan badan. Tiba-tiba ada tetamu datang atau ada jiran yang memerlukan pertolongan kita. Sanggupkah kita mengorbankan perasaan dengan cara kita hormati tetamu atau kita pergi menolong jiran kita yang memerlukan pertolongan kita.

Kita diuji dengan berbagai-bagai ujian, miskin, kemalangan, bencana alam. Sudah tentulah hati kita susah. Begitulah perasaan kita di waktu itu. Kalau kita tidak boleh menahan atau mengorbankan perasaan kita, sudah tentu kita keluh-kesah, risau. Fikiran berserabut atau tidak menentu hingga memberi kesan di sudut kehidupan kita yang lain. Bahkan boleh menyusahkan orang lain. Sedangkan masalah tidak selesai juga. Bahkan boleh menambahkan masalah lagi. Tapi kalau kita sanggup mengorbankan perasaan kita itu, timbul ketenangan. Fikiran kita stabil. Membuat kerja-kerja lain tidak terganggu. Orang lain pun tidak dapat kesusahan. Bahkan dengan pengorbanan perasaan kita itu datang simpati orang atau orang pun kasihan.

Kita orang kaya atau berilmu atau berpangkat besar dan berkuasa. Sudah tentu perasaan kita berbunga. Perasaan sombong pun datang. Perasaan megah pun ikut tiba. Kalau kita tidak korbankan perasaan yang telah disebutkan tadi, berapa ramai orang yang tersinggung. Berapa banyak orang yang terzalim. Entah berapa ramai yang mendapat susah. Sudah tentu lahir side effectnya. Iaitu orang benci, masyarakat marah. Mungkin ada orang yang berdendam dan bertindak menyusahkan orang itu. Akhirnya kedua-dua pihak tidak selamat. Kedua-dua pihak mendapat kesusahan.

Tapi kalau si kaya atau yang berilmu tadi atau yang berpangkat besar dan mempunyai kuasa sanggup mengorbankan perasaan yang negatif tadi, ia mempunyai side effect yang baik. Datang orang ramai sayang, masyarakat hormat, orang memberi hati dan jiwa. Ertinya sama-sama menerima faedah. Sama-sama mendapat kasih sayang, sama-sama harmoni.

Itulah dia kelebihan mengorbankan perasaan. Oleh kerana itu, mengorbankan perasaan adalah rahsia segala kebaikan. Dari mengorbankan perasaan itu lahir kasih sayang, lahir kesabaran, lahir simpati, lahir pembelaan, lahir bertolong bantu, lahir ukhwah, lahir keredhaan. Maka kerana itu, mengorbankan perasaan itu adalah satu jihad. Kerana di sini nafsu terpaksa dilawan. Melawan nafsu lebih besar daripada jihad di medan perang.

Oleh itu mengorbankan perasaan amat perlu dilakukan. Kalau perasaan tidak sanggup dikorbankan, sifat sabar tidak akan dapat dimiliki. Apatah lagi sifat redha. Tidak sanggup mengorbankan perasaan, kita akan jadi pemarah. Tidak sanggup mengorbankan perasaan, tolak ansur tidak akan wujud. Tidak sanggup mengorbankan perasaan, bertolong bantu, simpati, ukhwah, harmoni semuanya tidak akan wujud. Ertinya mengorbankan perasaan itu sangat besar ertinya di dalam kehidupan masyarakat atau di dalam kehidupan sesama manusia. Oleh itu minta selalu kepada Tuhan hidayah dan taufik-Nya agar kita mampu mengorbankan perasaan agar segala perkara yang lahir yang kita miliki dapat kita korbankan demi keredhaan Tuhan. Wallahua'lam.

Memburu Kehidupan Jangan Sampai Kehilangan Tuhan


Tidak ada manusia yang tidak hendak hidup sempurna
Ingin kaya, ingin rumah besar, ada kereta, ada harta
Memperolehi pakaian yang cantik, pakaian mewah,
perabot rumah yang mahal
Dapat pangkat yang besar, gaji yang lumayan,
alat-alat hidup yang canggih
Ini adalah benda-benda atau perkara yang lahir
Yang bersifat maknawi dan rohani tidak kurang pula
diperlukan oleh manusia
Inginkan ilmu yang banyak, pengalaman yang luas,
jiwa yang bahagia
Tapi Tuhan tidak akan memberi manusia
serba lengkap dan sempurna
Begitulah yang terjadi di dalam kehidupan manusia
Manusia perlu ingat,
di dalam memburu kehidupan yang sempurna
jangan sampai kehilangan Tuhan
Di dalam apa keadaan pun Tuhan mesti dipertahankan
Kerana Tuhan itu adalah segala-galanya
Tidak ada erti mendapat segala-galanya
kalau kehilangan Tuhan
Biarlah segala-galanya itu di dalam kekurangan
tapi jangan kehilangan Tuhan
Tuhan adalah hidup mati kita
Yang lain adalah untuk sementara sahaja
Rugi besarlah manusia kerana inginkan kesempurnaan
dan kemewahan hidup tertinggal Tuhan
Apabila kehilangan Tuhan,
manusia tidak akan hidup bahagia
Kerana Tuhan itu adalah sumber kebahagiaan
Kehilangan Tuhan, kehilangan sumber kebahagiaan
Ini terbukti orang yang tidak mempedulikan Tuhan
walaupun serba ada tetapi tidak tenang
dan tidak bahagia

Apa Kita Hendak Jawab kepada Tuhan?


Apakah yang kita hendak jawab kepada Tuhan?!
Apakah kita boleh berdalih besok di depan Tuhan?!
Jawapan kita itu bolehkah diterima?
Kita berkata: Tuhan, susahnya beragama waktu di dunia
Harta terkorban, badan letih, orang menghina,
kehilangan kawan!
Aku tiada mampu melaksanakannya.
Kalau Tuhan bertanya begini bagaimana?
Bolehkah kita menjawab?
Mana susah, sembahyang Subuh
dengan sebelum Subuh turun ke laut menjadi nelayan?
Dilambung, dihempas oleh ombak,
adakalanya ditelan laut atau ditelan ikan?!
Berhari-hari, bermalam-malam hingga badan berbau laut?!
Orang yang buru dunia, buru nama, buru glamour,
buru pangkat bukankah lebih menderita?
Tidak terkorban harta?!
Tidak buang masa?!
Tidak orang kata?!
Orang tidak menghina?!
Bukan setakat itu
Bukankah kerana dunia ramai kena bunuh?!
Kalau yang luka, cacat, sengsara, tidak terhitung!
Manusia!
Kerana dunia, kerana nama, kerana glamour,
kerana negara, kerana bangsa lebih sengsara!
Justeru itu semua bermacam-macam usaha,
bermacam-macam cara, bermacam-macam helahnya
dibuat oleh manusia!
Cubalah sebut di sudut-sudut yang mana
amalan agama lebih menderita mengerjakannya
dari gila dunia?
Adakah lebih susah dari mendaki Gunung Everest?!
Adakah lebih payah dari naik ke angkasa?!
Bukankah urusan agama tidak sepayah itu!
Bukankah urusan agama tidak sebanyak itu terkorban masa!
Bahkan tidak sebanyak itu terkorban harta!
Memperjuangkan dunia lebih banyak terkorban nyawa!
Dibandingkan berjuang kerana agama?!
Bolehkah ditolak atau dinafikan ini semua?!
Kalau setakat itu pun pertanyaan Tuhan
sudah cukup membungkamkan mulut yang kena tanya
Kelu lidah hendak menjawab, patah lidah hendak berhujah
Terhadap agama mahu berhelah?!
Dengan agama seribu dalih?!
Apakah bila hendak mengamalkan Islam
hendak cari jalan keluar?!
Apakah bila diajak kepada Islam,
macam-macam alasan untuk meninggalkannya?!
Terhadap kepentingan dunia, masya-Allah!
Tidak ada dalih, tidak ada alasan,
tidak ada helah, semuanya o.k.
Mati pun tidak apa

MANA LEBIH MUDAH ::: BUAT KERJA AKHIRAT ATAU KERJA DUNIA?



Assalam wrt. Tidak ada manusia yang boleh menafikan bahawa hidup di dunia ini adalah sementara waktu. Di akhir zaman ini paling lama manusia boleh hidup mengikut rekod dunia ialah 150 tahun. Selepas itu semua orang percayakan mati. Selepas mati pergi ke Akhirat. Ramai orang yang percaya, sedikit sangat yang tidak percaya. Khususnya umat Islam, mereka memang percaya yang Akhirat itu wujud, tempat tinggal manusia yang kekal abadi. Di sana ada kesenangan dan ada kesusahan seperti di dunia juga. Cuma kesenangan dan kesusahan di antara dunia dengan Akhirat tidak sama. Kalau kita hendak membuat bandingan walaupun tidak tepat, untuk mudah faham, kalau kesenangan itu macam kita duduk berumah di atas pokok dengan di dalam istana, kalau azabnya pula seperti gigitan semut dengan dimakan oleh singa yang garang.

Sempadan di antara dunia dengan Akhirat ialah alam kubur atau alam Barzakh. Di sana ditahan sementara waktu. Di sana juga ada kesusahan dan ada kesenangan macam di dunia juga. Bandingannya seperti border di antara negara dengan negara. Di border, adakalanya mendapat kesenangan dan adakalanya mendapat kesusahan. Begitulah keadaan di sempadan antara dunia dengan Akhirat, iaitu alam kubur atau alam Barzakh. Walaupun umat Islam percaya negara Akhirat serta percaya alam Barzakh adalah sempadan di antara dunia dan Akhirat dan juga percaya bahawa nikmat dan azab di sana jauh bezanya dengan nikmat dan azab di dunia, namun manusia selalu melupakan Akhirat. Sekiranya Allah Taala rasakan sekarang ini perbandingan itu, nescaya manusia akan menolak dunia ini secara total dan manusia akan menumpukan seratus peratus untuk tujuan Akhirat.


Namun demikian, oleh kerana manusia itu hidup di dunia lebih dahulu iaitu hidup di negara yang dekat dan murah ini, mereka berhadapan dan merasa nikmat dan azabnya lebih dahulu. Manusia terpesona dengan kehidupan di sini. Mereka terlalai, mereka terleka, terlupa kehidupan di sana iaitu negara Akhirat.

Oleh yang demikian mereka bersungguh-sungguhlah mengejar nikmat dunia dan mengelakkan azab di dunia ini. Diperahlah otaknya, tenaganya pagi dan petang, siang dan malam, dengan tidak jemu-jemu walau susah tapi boleh dihadapi kesusahan itu. Walau menderita dari berbagai-bagai cabaran yang dihadapi tapi manusia sanggup berhadapan dengannya. Adakalanya ingin mengejar keuntungan, rugi yang dapat, inginkan kesenangan, susah yang dapat. Kebahagiaan yang dikejar, penderitaan yang datang. Kebaikan yang diburu, kemalangan yang dijumpai.


Namun manusia tidak jemu-jemu, tidak rasa kecewa dan tidak putus asa, mereka gunakan tenaga yang ada itu buru lagi dunia. Hingga ruangan untuk Akhirat tidak ada langsung atau tenaga yang sedikit-sedikit tinggal baki itulah untuk Akhirat. Itu pun mudah jemu, terasa payah, rasa susah, rasa membeban, terasa terhina, terasa malu membuatnya.

Padahal di dalam pengalaman kita, hendak mengejar Akhirat yang lebih penting dengan dunia yang tidak penting, Akhirat yang istimewa dengan dunia yang murah ini, jauh sangat beza amalan Akhirat. Walau penting, Allah Taala mudahkan. Itulah di antara rahmat-Nya agar manusia cenderung ke sana. Manakala dunia yang murah, amalannya lebih susah dan payah supaya manusia mengambil enteng dan kecil saja dunia ini. Patutnya demikian.

Tapi pada manusia rupanya tidak begitu, manusia lebih terasa susah membuat kerja-kerja Akhirat walaupun senang dibandingkan dengan kerja-kerja dunia yang susah itu. Tapi pada manusia dirasakan ringan dan mudah sahaja. Itu membuktikan tarikan dunia lebih mempengaruhi umat Islam walaupun kerja-kerjanya susah dan berat berbanding dengan tarikan Akhirat yang istimewa dan agung itu walaupun kerja-kerjanya mudah dan ringan.

Mari kita datangkan beberapa contoh-contoh menunjukkan kerja-kerja dunia itu susah dan payah, tapi ringan pada manusia membuatnya kerana tarikannya kuat. Manakala kerja-kerja Akhirat itu mudah dan ringan tapi umat Islam merasakan susah dan payah melaksanakannya kerana tarikannya dingin. Saya sebutkan beberapa perkara sebagai perbandingan seperti di bawah ini.

1. Mana lebih berat, sembahyang Subuh dua rakaat sekadar 20 minit hingga 30 minit, berbanding kerja lapan jam sehari kerana mencari duit. Adakalanya kerja buruh, betapa susah. Namun ada umat Islam tidak sanggup sembahyang Subuh sekadar 20 hingga 30 minit tapi tidak jemu-jemu bekerja satu hari lapan jam kerana mencari duit.

2. Mana lebih berat, menolong kawan kerana Allah Taala mungkin sekadar satu dua jam dibandingkan walkathon berjam-jam, kadang-kadang terpaksa naik bukit, menyeberang sungai, menurun lurah kerana nama dan glamour. Susah lagi walkathon tapi mudah sahaja manusia boleh buat. Menolong kawan amat terasa berat.

3. Mana lebih berat di antara hendak memberi maaf kepada orang yang disuruh oleh Allah Taala dengan hendak naik Gunung Kinabalu kerana nama dan glamour. Padahal tidak panjat Gunung Kinabalu bukan satu kesalahan tapi orang lebih mampu memanjat gunung daripada memberi maaf yang diperintah.

4. Pergi sembahyang berjemaah tidaklah memakan masa yang panjang pun, tidak pula terlalu jauh dan juga tidak meletihkan dibandingkan hendak pergi berkelah-kelah dan membuang-buang masa bergaul bebas di tempat yang jauh mungkin di hutan, di tepi laut, di hulu sungai, yang banyak buang duit, masa dan akan berhadapan dengan keletihan. Namun orang tidak sanggup pergi sembahyang jemaah tapi sanggup pergi berkelah. Adakalanya sampai di rumah bergaduh pula dengan isteri kerana sakit hati dengan suami.

5. Pergi belajar di Amerika kerana hendakkan ijazah agar dapat makan gaji bertahun-tahun lamanya, tinggal ibu bapa, tinggal tanah air, korban wang ringgit, adakalanya mati di sana. Mana lebih susah dengan belajar agama di masjid sekadar satu jam untuk membaiki diri, tidak terkorban masa dan wang ringgit, tidak ada tinggal ibu bapa dan tanah air. Tentulah lebih berhadapan dengan kesusahan belajar di Amerika dibandingkan belajar di masjid sekadar satu jam. Namun ke Amerika boleh, ke masjid tidak mampu pergi.

6. Mana lebih berat, hendak berkhidmat dengan ibu ayah sekadar mungkin satu dua jam kemudian ibu bapa bagi makan, pakaian dan lain-lain, dibandingkan hendak melayan dan berkhidmat dengan boyfriend atau girlfriend berjam-jam lamanya, berhari-hari, habis duit diperahnya, orang nampak malu pula. Adakalanya dia tidak jujur pula, di belakang kita ada ‘pacaran’. Tentu lebih susah berkhidmat dan melayan pacaran daripada ibu dan ayah. Namun orang tidak sanggup berkhidmat dengan ibu ayah tapi lebih sanggup berkhidmat dengan pacaran walaupun susah dan payah.

7. Mana lebih berat, hendak menderma kepada kelab-kelab hiburan dan mengarut, paling tidak seribu ringgit, kalau tidak jatuh status, dibandingkan dengan hendak menderma kepada fakir miskin setakat sepuluh dua puluh ringgit. Tentulah lebih berat menderma ke kelab-kelab hiburan dan mengarut itu daripada hendak bersedekah dengan fakir miskin sekadar sepuluh dua puluh ringgit. Namun berat hendak bersedekah, tapi boleh menderma seribu ringgit kerana nama. Adakalanya isteri dapat tahu, kena maki pula oleh isteri, namun demikian sanggup untuk berhadapan dengan risikonya.

8. Menonton filem yang merosakkan akhlak atau membaca buku novel yang mengarut boleh sampai memakan masa berjam-jam, kadang-kadang bergaduh dengan ibu bapa atau suami dan isteri. Mana lebih terkorban masa atau susah, daripada berzikir atau membaca Al Quran selama 30 minit. Tentulah terkorban masa menonton filem mengarut atau membaca novel mengarut hingga boleh bergaduh daripada berzikir atau membaca Al Quran sekadar 30 minit. Namun orang sanggup menonton filem atau membaca novel daripada berzikir atau membaca Al Quran.

9. Mana lebih susah pergi berjudi atau pergi disko sambil meminum arak, terkorban masa, wang ringgit, bergaduh selepas itu dengan isteri hingga kucar-kacir rumah tangga, daripada menolong jiran yang susah hanya sekali-sekala yang boleh menimbulkan kasih sayang. Tentulah menolong jiran lebih mudah tapi orang tidak sanggup berbuat. Orang lebih sanggup berjudi, pergi disko dan minum arak hingga kucar-kacir rumah tangga, bergaduh dan berhutang.

10. Orang yang masuk penjara, kena bunuh, kena fitnah, kena tangkap, diberi malu, dihina dan dicaci-maki oleh orang, mana lebih banyak disebabkan mencuri, menipu, membunuh, merogol, berzina, merompak, rasuah, memperjuangkan ideologi, daripada orang-orang yang disebabkan mencari rezeki yang halal dan memperjuangkan Islam. Sudah tentu yang disebabkan mencari rezeki halal dan kerana memperjuangkan Islam terlalu sedikit dibandingkan disebabkan melakukan kejahatan. Tapi kerana kejahatan atau dunia, manusia sanggup menerima risiko yang berat. Sedangkan kalau untuk kebaikan dan kebenaran, tidak sanggup melakukannya. Setelah kita menghurai dan membuat perbandingan di antara kerja-kerja Akhirat dengan kerja-kerja dunia, kerja-kerja dunia lebih-lebih lagi yang bersifat mungkar dan maksiat lebih susah dan lebih berat risiko yang diterima daripada kerja-kerja halal dan kerja-kerja Akhirat. Namun demikian orang tidak sanggup membuat kerja-kerja Akhirat walaupun mudah dibandingkan membuat kerja-kerja dunia walaupun susah dan payah.

Di sinilah menunjukkan umat Islam hatinya lebih cenderung dengan dunia daripada Akhirat walaupun dunia itu murah dan sementara waktu dibandingkan dengan Akhirat yang istimewa dan kekal abadi. Tepat sekali kata pepatah Melayu: cinta itu buta. Cinta kepada apa pun jadi buta, yang lain tidak nampak lagi, yang lain walau cantik dan istimewa tidak ada perhatian lagi. Macam orang sudah jatuh cinta pada seorang perempuan atau seorang lelaki, lupa yang lain, lupa ibu bapa, lupa adik beradik, lupa makan minum, cuai bekerja, lupa bekerja dan lain-lain lagi. Dan kerana cintanya itu sanggup bersusah payah dan sanggup menerima risiko yang berat.

Begitulah orang yang sudah cinta dan jatuh hati dengan dunia, lupa Akhirat, sanggup susah payah dengan dunia, sanggup menerima risiko yang berat sekalipun mati kerananya. Untuk Akhirat walaupun istimewa, mudah pula, senang membuatnya, namun berat rasa hendak membuatnya kerana tidak cinta.

Setelah kita mengkaji bahawa kerja-kerja dunia lebih susah dan merbahaya, lebih teruk dan risikonya tinggi dari kerja Akhirat, apakah hujah dan alasan kita nanti di hadapan Tuhan di Akhirat kelak. Tidak ada hujah dan alasan yang sebenarnya. Maka ramailah manusia yang masuk Neraka dari masuk ke Syurga. Wallahua'lam.

Sila ambil perhatian!



Pembunuh jiwa atau mematikan hati banyak perkaranya
Kenalah jaga bersungguh-sungguh jangan sampai menimpanya
Orang yang jiwa mati atau buta hati merosak manusia dan dunia
Bahkan perosak segala-galanya terutama agama
Di antara perkara pembunuh jiwa atau pembunuh hati
Mata tidak dikawal daripada dosa
Telinga juga suka mendengar perkara yang lucah
dan tidak bersopan
Mendengar umpatan dan perkataan yang melalaikan
Hati suka mengkhayalkan kecantikan perempuan yang tidak halal
Di waktu keseorangan suka berangan-angan
dan berkhayal-khayal
Apatah lagi makan minum yang syubhat dan tidak halal
Lebih-lebih lagilah membunuh jiwa
atau mematikan hati atau menghitamkannya


Pergaulan bebas di antara laki-laki dan perempuan kenalah jaga
Kerana di sana boleh merangsangkan
nafsu haiwan kepada manusia
Dari rangsangan nafsu yang jahat merosakkan jiwa
Apabila jiwa rosak berbagai-bagai mazmumah
akan menimpanya
Di waktu itu tidak mampu untuk mengkontrolnya
Lahirlah berbagai-bagai maksiat dan kemungkaran
oleh manusia
Gejala masyarakat pun bermaharajalela
Punah-ranahlah pergaulan manusia
Di waktu itu hilanglah keamanan dan keharmonian
di dalam masyarakat manusia
Maka menjadi balalah kepada kehidupan manusia
Di Akhirat masuk Neraka

Renunglah Selalu Hati Kita


Renunglah selalu hati kita
Kerana ia merupakan sumber kebaikan
dan kejahatan
Wadah kekufuran dan keimanan
Rebutan di antara malaikat dan syaitan
Hati perasaannya halus
Sentuhannya tiada terasa
Tapi sangat memberi kesan
di dalam kehidupan kita
Siapa yang arif perjalanan hatinya
Faham kebaikan dan kejahatannya
Bersungguh-sungguh bermujahadah
membuang kejahatannya
Diganti segera dengan kebaikan
Orang itu akan selamat dari tipu daya
syaitan dan dunia
Ramai orang tidak faham perjalanan hatinya
sekalipun ulama
Terima sahaja yang baik dan yang buruknya
Kemudian merasakan baik semuanya
Tiada terasa lagi membuat dosa
Di sinilah perlu pimpinan guru
yang mengenal hati manusia

BILA IMAN LEMAH



Assalam... Akal manusia dan fikirannya boleh menjelajah dunia sehingga tidak ada pelosok dunia yang otaknya tidak menjejaki dan menjelajahinya. Kaki otaknya begitu panjang sekali, tidak ada ruangan-ruangan dunia ini yang tidak dipijak manusia. Kerana itu berbagai-bagai ilmu, bermacam-macam maklumat, berbagai-bagai pengalaman yang manusia perolehi.

Manusia boleh tahu di atas gunung, di dalamnya, di bawah bumi, apatah lagi di dasarnya, di lautan dan di dasarnya. Habis semuanya dijelajahi. Padang pasir, gurun, di perut bumi, sungai kecil dan besar, otaknya selongkari hingga terdedah dan terbongkar semuanya. Otak manusia menerokai empat penjuru dunia, Kutub Utara, Kutub Selatan, Timur dan Barat. Otaknya boleh teroka dan jelajahi hutan belantara. Berbagai-bagai kehidupan dapat diketahui di samping khazanah bumi yang lain. Habis seluruh khazanah dunia ini otak mereka kumpulkan.

Seolah-olah dunia ini kecil sebesar dulang, manusia berada di hadapannya melihat seluruh isinya. Tidak ada apa yang tidak dapat dilihat dan pastikan. Semuanya dapat manusia perhatikan dan mengetahui rahsia-rahsianya. 



Sungguh hebat otak manusia, boleh mengembara ke seluruh dunia, menjelajahi seluruh pelosoknya, menjejaki bukit dan lurahnya. Apatah lagi kalau kaki manusia boleh membawa mengembara sama otaknya ke seluruh dunia. Maka otak bertambah rata lagi. Mengembara di pelosok dunia, melihat dari dekat, dapat mengesan lebih dalam lagi rahsia dunia ini, lebih banyak lagi rahsia bumi dan alam Tuhan ini menjadi maklumatnya.

Begitulah kebolehan otak manusia, ia boleh mengetahui rahsia dunia dan seluruh isinya sebagai maklumat seolah-olah otak manusia macam burung, boleh terbang di seluruh dunia. Atau dunia ini macam sebesar dulang, seluruh apa yang ada di dalam dulang dapat dilihatnya. Kalau begitulah keadaan otak manusia, otak seolah-olah bebas, merdeka, terlalu jauh perjalanannya, terlalu luas dunia kehidupannya. Begitulah kebolehan otak yang dicipta oleh Allah Taala yang Maha Berkuasa, kebolehannya luar biasa.

Namun begitu, walaupun kemampuan otak manusia bebas, merdeka, gelanggang kehidupannya begitu luas, tapi apabila jiwa manusia itu sempit kerana tidak ada iman atau lemah iman kerana tidak bersama dengan Tuhan, manusia tetap hidup terseksa, sengsara, seolah-olah hidup di dalam jel yang sempit, gelap-gelita pula. Di waktu itu otak tidak boleh buat apa-apa, tidak berfungsi, dia tidak boleh menolong manusia. Dia juga ikut sama hidup di dalam kurungan yang sempit itu. Kakinya ikut terbelenggu, seolah-olah dirinya tidak boleh pergi ke mana-mana.

Di waktu itu fikiran buntu oleh penjara itu, ilmu dan maklumat-maklumat tidak berguna lagi di waktu itu. Apa buktinya? Banyak sangat buktinya kerana ia sering berlaku di dalam kehidupan ini. Contohnya, apabila datang ujian atau bala bencana, seperti jatuh miskin, dileter oleh isteri, bankrapsi, dibuang kerja, sakit yang berat, patah kaki, kena tangkap, dimasukkan ke dalam jel, kena ISA dan lain-lain lagi, masya-Allah,

jiwanya yang sempit kerana tidak beriman atau lemah iman itu seolah-olah menjerit-jerit cuma tidak didengarinya. Terasa sakit. Bumi yang luas dirasakan sempit, badan macam kena himpit seolah-olah masuk ke bumi. Fikiran yang selama ini begitu bebas, merdeka, mempunyai maklumat yang luas, telah terbang dan hilang kecerdikannya, tidak boleh membantu. Keadaan berfikir pun tidak menentu. Perasaan jadi tidak normal dan melulu, sesetengah pegangan hilang, keyakinan berubah 90 darjah.

Baru kita faham, kalau akal sahaja kuat dan merdeka sedangkan jiwa lemah dan tidak merdeka, akhirnya akal juga turut lemah hingga tidak berfungsi mengakibatkan segala-galanya berubah. Berubah sikap, berubah watak, berubah tabiat, berubah akhlak, berubah pakaian. Yang tidak berubah hanyalah nama dan warna kulit. Tapi yang bersifat maknawi dan rohaniah berubah semuanya. Amat terkejut dan mengejutkan, hairan menghairankan, tercengang-cengang orang dibuatnya.

Begitulah apabila jiwa lemah kerana kelemahan iman atau sudah tidak ada iman, jiwa rasa sempit apabila kena ujian atau ditimpa bala. Macam burung duduk di dalam sangkar yang sempit, menggelupur tidak keruan, menyondol sana, menyondol sini hingga tercabut bulu, terkopek kulit kepala.

Sebab itulah Islam menyuruh penganutnya jangan hanya menguatkan akal semata-mata tapi yang penting daripada itu hendaklah sentiasa kuatkan jiwa. Jiwa hendaklah dikuatkan dengan iman dan sifat-sifat taqwa agar apabila diuji, jiwa tidak sempit. Jiwa tidak menderita. Segala keyakinan dan pegangan beragama tidak hilang atau tidak berubah. Fikiran tetap dengan kemerdekaannya kerana jiwa stabil dan normal, tidak terjejas oleh ujian.

Oleh itu jangan kita biarkan jiwa kita terkurung oleh dunia dan masalah. Jangan penjarakan dia di dalam keseksaan nafsu yang memang tidak suka jiwa kita bebas dan merdeka. Jangan biarkan dia diseksa oleh ujian-ujian yang mendatang. Sepatutnya kita biarkan dia terbang hingga bukan sahaja menjelajahi dunia ini tetapi biarkan dia menjelajahi alam malakut, alam rohaniah yang lebih tinggi lagi atau alam ukhrawiah agar dia bebas sebebas-bebasnya, agar dia merdeka, supaya jangan terasa dia hidup sempit dan terhimpit.

Di samping itu yang lebih penting lagi hendaklah manusia jadikan jiwanya selalu bersama Tuhan. Pergilah dan bawa ke mana-mana bersama Tuhan, jangan biarkan dia keseorangan. Kita jadikanlah Tuhan sebagai kawan jiwa kita. Janganlah lepaskan dia daripada berkawan dengan Tuhan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, berbaring dan di waktu duduk, mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit dan bumi seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, jauhilah kami dari azab api Neraka.” (Ali Imran: 191)


Di waktu itu masalah kehidupan dunia tidak akan menggugat. Ujian dan bala bencana tidak akan dapat mengurungnya. Nafsu tidak akan dapat memenjarakannya. Di waktu itu jiwa kita tidak akan tergugat, dia tetap bebas dan gagah, merdeka dan kuat serta pegangan kita tidak akan berubah.

Bumi Tuhan... Bersaksilah