MADAH baru 510



*781*
Perpaduan yang diikat oleh agama, lebih kuat daripada perpaduan yang diikat oleh ideologi, oleh ikatan darah, oleh ikatan ekonomi, oleh ikatan senasib.
Oleh itu umat Islam kalau mahu perpaduannya kuat, jadikanlah Islam sebagai pengikatnya. 

*782*
Kalaulah di antara anak-anak dan ibu bapa yang begitu rapat perhubungan, begitu juga di antara guru dan murid, setiap hari bertemu, ditemukan oleh keperluan ilmu yang sangat dikehendaki oleh manusia, begitulah seterusnya perhubungan suami isteri yang ada hubungan dengan tuntutan fitrah semula jadi, satu sama lain perlu-memerlukan, tidak wujud perpaduan, tidak lahir keharmonian, apakah boleh didapati di tempat-tempat lain? Sudah tentu tidak mungkin.
Mengapa hati tidak bertaut? Bertemu selalu, berjumpa kerap berlaku, duduk sudah berada di bawah satu bumbung.
Mari kita fikirkan bersama, mari kita cari puncanya, insya-Allah, kita akan jumpa jawapannya. 

*783*
Kalaulah manusia di dunia ini, Allah menjadi matlamatnya, keredhaan Allah menjadi buruan, ia tidak akan berlaku persaingan dan seterusnya tidak akan timbul perbalahan tapi bila dunia telah menjadi matlamat, kemudian berusaha mencari keredhaan orang, akan berlakulah persaingan, kemudian timbul perbalahan, hingga membawa peperangan. 

*784*
Kalaulah manusia ini mengejar kasih Allah, tidak akan timbul persaingan dan perbalahan.
Jika manusia sesama manusia, mengejar kasih manusia, itulah rahsia manusia itu  bersaing dan berbalah. 

*785*
Perbalahan dan pergeseran yang berlaku setiap hari di dalam masyarakat manusia ini, lebih banyak disebabkan oleh kepentingan peribadi dan hasad dengki, lebih daripada disebàbkan oleh berlainan ideologi, berlainan mazhab, berlainan kaum dan berlainan agama.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah