MADAH baru 512



*806*
Di akhir zaman, membangunkan Islam mesti digandingkan sama dengan kekayaan, baru boleh orang terima. Kalau kekayaan sahaja pasti tersesat, kalau agama sahaja pasti tempang dan ditolak orang. 

*807*
Agama yang berhubung dengan Allah semata, itulah aqidah dan ibadah, yang berhubung dengan manusia itulah dia syariat dan muamalat.  

*808*
Keimanan, keamanan, ketenangan dan kebahagiaan adalah harta maknawi dan rohani yang tidak boleh dinilai dan tidak boleh ditukar ganti.
Kemajuan dan pembangunan material adalah bersifat lahiriah yang membawa kemudahan, tidak menjamin membawa ketenangan. 

*809*
Kemudahan hidup yang tiada ketenangan tidak ada erti apa-apa,  ketenangan yang tiada kemudahan hidup, masih memberi erti kepada manusia, alangkah indahnya kalau dapat memiliki kemudahan dan ketenangan kedua-dua sekali. 

*810*
Makan jangan sampai kenyang, membuat kerja apa sahaja jangan sampai jemu, badan ada hak setelah letih bekerja, berilah ia kerehatan agar ia segar semula.

Tuhan Adalah Matlamat Manusia




Tuhan adalah matlamat manusia.
Untuk dicintai dan ditakuti.
Kerana itulah buatlah apa sahaja dengan tujuan keredhaan-Nya.
Syariat adalah jalan menuju keredhaan-Nya.
Lantaran itu jadikanlah syariat sebagai jalan menuju kepada Allah.
Oleh itu tempuhlah syariat sebagai jalan.
Berhati-hatilah menempuh jalan agar tidak tersalah langkah.
Jika terjadi, malanglah. 
Tidak akan dapat berjalan menuju Allah.
Syariat adalah bersifat maknawi dan rohani.
Mata tidak nampak akannya, 
yang melihat, akal dan hati.
Kalau akal berfikiran salah, hati pula telah buta,
bagaimana jalan itu dapat dilalui dengan lurus dan terus.
Barang-barang yang dibawa sebagai alat atau benda-benda yang berharga, banyak pula.
Ilmu yang kerana Allah dan ilmu untuk perhubungan kasih sayang sesama manusia.
Harta kekayaan selain kerana Allah, adalah penghubung kecintaan sesama hamba Allah.
Tenaga yang dikorbankan untuk Allah dan juga tenaga sebagai penghubung kasih sesama insan.
Begitulah seterusnya, setiap milik kita yang dimiliki kerana Allah.
Apa yang dimiliki itu jugalah dimanfaatkan untuk makhluk Allah di dunia.
Itulah caranya bagi orang yang menjadikan Allah Taala matlamat hidupnya.
Agar Tuhan redhai mereka dan mereka meredhai-Nya.
Redha-meredhai di antara Khaliq dan hamba-Nya. 

MADAH baru 511


*801*
Undang-undang dan peraturan itu baik untuk panduan dan pengawalan agar tidak tersalah tapi kalau undang-undang dan peraturan itu sudah keterlaluan, ia akan menyekat kebebasan manusia, menjadikan manusia di dalam ketakutan dan serba salah. 

*802*
Kalau undang-undang dan peraturan-peraturan sahaja yang diperkemaskan, sedangkan orang yang membuat undang-undang atau peraturan dan orang yang hendak dikenakan peraturan-peraturan undang-undang itu tidak dibaiki, peraturan-peraturan atau undang-undang itu orang akan langgar. 

*803*
Hari ini umat Islam lebih meyakini peraturan dan undang-undang otak daripada undang-undang Islam, kalaupun ada juga sedikit kebaikan yang diperolehi darinya tapi masih rugi kerana tidak diberi pahala.
 
*804*
Tersalah jalan kemudian tahu, ada harapan membetulkan.
Tersalah jalan di dalam kejahilan biasanya tersesat sepanjang jalan. 

*805*
Ilmu falsafah adalah logik atau terasa logik.
Ilmu wahyu ada yang logik, ada yang tak logik, semuanya benar.

Di Celah Nikmat Engkau Derhaka



Setiap detik engkau diberi oksigen oleh Tuhan.
Hingga dari detik ke detik engkau dapat menyambung hidup.
Tapi malang, di celah-celah itulah engkau derhaka kepada Allah Taala, Tuhan yang mencipta engkau.
Dengan engkau membuat dosa dan meninggalkan perintah-Nya.
Selagi engkau hidup, di waktu perlu makan, Tuhan masih memberi engkau makan.
Adakalanya makanan engkau begitu lazat dan berzat.
Tapi di waktu-waktu itulah engkau melupakan Tuhan yang memberi engkau makan.
Di waktu engkau sakit kemudian Tuhan sembuhkan maka badan engkau sihat semula dan segar bugar.
Engkau boleh aktif berusaha dan bekerja seperti biasa.
Dari usaha dan kerja itu engkau maju dan membangun.
Di dalam maju dan membangun itulah engkau menderhakai Tuhan.
Di waktu engkau hendak berhibur, diberi engkau isteri dan anak-anak sebagai cahaya mata.
Di waktu engkau keletihan, Tuhan tidurkan engkau untuk engkau boleh berehat dan memulihkan kekuatan badan.
Selepas tidur, badan engkau segar dan bertenaga semula.
Tapi setelah engkau dapat tenaga, engkau membuat dosa dan noda.
Engkau lalai dan alpa kepada Tuhan.
Begitulah sepanjang hidup harian engkau.
Allah Taala memberi berbagai-bagai nikmat kepada engkau.
Tapi dengan nikmat Tuhan itulah engkau derhaka kepada-Nya.
Apakah engkau tidak malu kepada Tuhan?
Mengapa engkau tidak berfikir, satu masa nanti engkau akan menemui-Nya.
Segala nikmat akan ditanya sekalipun sebesar habuk.
Bagaimana nanti engkau hendak menjawabnya?!
Apakah engkau tidak berfikir ini semuanya?!
Mengapa akal engkau yang cerdik itu tidak boleh berfikir tentang nasib engkau?!
Apalah ertinya cerdik tapi tidak dapat menyelamatkan diri engkau? 

MADAH baru 510



*781*
Perpaduan yang diikat oleh agama, lebih kuat daripada perpaduan yang diikat oleh ideologi, oleh ikatan darah, oleh ikatan ekonomi, oleh ikatan senasib.
Oleh itu umat Islam kalau mahu perpaduannya kuat, jadikanlah Islam sebagai pengikatnya. 

*782*
Kalaulah di antara anak-anak dan ibu bapa yang begitu rapat perhubungan, begitu juga di antara guru dan murid, setiap hari bertemu, ditemukan oleh keperluan ilmu yang sangat dikehendaki oleh manusia, begitulah seterusnya perhubungan suami isteri yang ada hubungan dengan tuntutan fitrah semula jadi, satu sama lain perlu-memerlukan, tidak wujud perpaduan, tidak lahir keharmonian, apakah boleh didapati di tempat-tempat lain? Sudah tentu tidak mungkin.
Mengapa hati tidak bertaut? Bertemu selalu, berjumpa kerap berlaku, duduk sudah berada di bawah satu bumbung.
Mari kita fikirkan bersama, mari kita cari puncanya, insya-Allah, kita akan jumpa jawapannya. 

*783*
Kalaulah manusia di dunia ini, Allah menjadi matlamatnya, keredhaan Allah menjadi buruan, ia tidak akan berlaku persaingan dan seterusnya tidak akan timbul perbalahan tapi bila dunia telah menjadi matlamat, kemudian berusaha mencari keredhaan orang, akan berlakulah persaingan, kemudian timbul perbalahan, hingga membawa peperangan. 

*784*
Kalaulah manusia ini mengejar kasih Allah, tidak akan timbul persaingan dan perbalahan.
Jika manusia sesama manusia, mengejar kasih manusia, itulah rahsia manusia itu  bersaing dan berbalah. 

*785*
Perbalahan dan pergeseran yang berlaku setiap hari di dalam masyarakat manusia ini, lebih banyak disebabkan oleh kepentingan peribadi dan hasad dengki, lebih daripada disebàbkan oleh berlainan ideologi, berlainan mazhab, berlainan kaum dan berlainan agama.

Mengabdikan Diri Kepada Tuhan



Marilah kita abdikan diri untuk Tuhan.
Kita adalah hamba ciptaan Tuhan yang Maha Berkuasa.
Mengabdikan diri kepada Tuhan seluruh jiwa raga.
Seluruh yang ada di dalam diri kita lahir dan batinnya.
Marilah kita abdikan diri kepada Tuhan anggota lahir kita.
Yang lebih penting dan utama kita abdikan diri anggota batin kita.
Kita abdikan diri, akal, fikiran dengan ilmu pengetahuan kita.
Ini adalah anugerah Tuhan kepada kita.
Kita tidak boleh mengabdikan akal dan fikiran bersama ilmu dan pengetahuan selain Tuhan.
Ia juga adalah makhluk Tuhan.
Marilah kita abdikan hawa nafsu kita kepada Tuhan.
Kehendak nafsu kita tundukkan kepada kehendak Tuhan.
Sama ada kehendak Tuhan yang bersifat suruhan atau yang bersifat larangan.
Ia juga makhluk ciptaan Tuhan, hamba Tuhan.
Marilah kita abdikan roh atau jiwa serta perasaan-perasaan kepada Tuhan.
Perasaan-perasaan yang sering sahaja bertukar ganti di dalam berbagai-bagai keadaan.
Perasaan-perasaan kita selarikan dengan kehendak-kehendak Tuhan.
Ia juga adalah hamba Tuhan.
Perasaan-perasaannya kita tundukkan kepada kehendak-kehendak Tuhan.
Kalau seluruh jiwa raga kita lahir dan batinnya mengabdikan diri kepada Tuhan
maka sifat taqwa akan kita jadikan pakaian di dalam kehidupan.
Apabila kita katakan diri kita adalah hamba Tuhan,
diri kita itu adalah anggota lahir dan batin kita, yang bersifat fizik mahupun yang bersifat maknawi dan rohani.
Kalau tidak ada salah satunya, kita tidak mukallaf, tidak wajib menyembah Tuhan.
Oleh kerana semua anggota itu adalah diri kita.
Maka wajiblah semua anggota itu mengabdikan diri kepada Tuhan.
Terutama anggota batinnya.
Seperti akal, roh dan nafsu diri.
Kalau anggota lahir sahaja yang beribadah, yang batin tidak ikut serta, ertinya ibadah rangka sahaja, rohnya tidak ada. 


MADAH baru 509


*626*
Banyak orang boleh memberi ilmu tapi tidak mampu memberi didikan, justeru itulah di segi pelajarannya cemerlang tapi dari segi akhlaknya malang. 

*627*
Jadikanlah semua hal di dalam kehidupan kita itu pengajaran atau guru yang mendidik kita, tidak pernah meminta balasan tapi memberi pengajaran yang amat dalam dan kalau kita faham, banyak memberi didikan kepada kita yang boleh membaikkan kita. 

*628*
Rasulullah SAW serta para Sahabat ridwanullahu alaihim mengajar dan mendidik manusia, kebanyakannya berlaku secara tidak rasmi, apabila bertemu saja dengan manusia sama ada percakapannya, perbuatannya dan sikapnya, ianya bersifat ilmu dan pendidikan, justeru itulah sangat memberi kesan. Kita mendidik orang, banyak secara rasmi.  Ditentukan masa, ditetapkan tempat, diberitahu siapa penceramahnya, isytiharkan siapa penganjurnya, di dalam majlis ceramah banyak pula gelak ketawa, belum lagi nawaitu masing-masing kita tidak tahu. Bagaimanalah hendak berkesan? 

*629*
Para nabi dan para  rasul sahaja yang terdidik tanpa pendidik dari golongan manusia. Selain itu, memerlukan pendidik yang baik dari manusia. 
Kalau seorang itu mahu menjadi orang yang baik, dia hendaklah dididik oleh orang yang baik iaitu orang yang bertaqwa.

*630*
Jangan hanya belajar dengan guru tapi belajarlah dengan pengalaman, belajarlah dengan kesilapan orang, belajarlah dengan tragedi dan peristiwa, itulah dia universiti yang bersifat universal.

mari kita mengenal nafsu


Nafsu itu sangat jahatnya, begitulah Tuhan memberitahu. 
Di dalam Al Quran ada diceritakan untuk ingatan. 
Nafsu sifatnya dungu, melulu.
Kehendaknya tidak bertepi. 
Apa sahaja dia mahu, halal atau haram dia tidak peduli. 
Yang penting, apa sahaja perlu dimiliki. 
Kemahuannya sangat dahsyat, hebat hingga menjadi sesat. 
Kehendaknya hingga badan penat, dia tidak penat. 
Badanlah yang terima risikonya akibat kehendak-kehendaknya. 
Tuntutan kemahuannya mudharat dan memudharatkan, rosak dan merosakkan. 
Masyarakat huru-hara dibuatnya, manusia pecah-belah kerananya, peperangan terjadi disebabkannya. 
Kehendak nafsu tidak pernah puas-puas. 
Dapat sedikit hendak banyak. 
Setelah banyak, yang dapat terasa sedikit. 
Hendak tambah lagi, hendak banyak lagi, cari lagi hingga badan letih dibuatnya. 
Tamak pun datang, bakhil pun menjelang. 
Jika tidak dapat, dia melukakan hati. 
Jika dapat, dia membungakan hati. 
Hati pula rosak dibuatnya. 
Dapat menjadi bangga, tidak dapat kecewa pula.
Hati raja diri pun menjadi pengkhianat kepada Tuhannya, derhaka kepada Penciptanya.
Nafsu punya angkara, akal fikiran manusia pula dirosaknya.
Cerdik pandai pula dibodohnya, bahkan ditipunya.
Manusia berfikir kehendak nafsunya yang melulu, tanpa memikirkan akibat buruknya.
Hingga cerdik pandai berfikir sudah tidak normal lagi.
Dungu di dalam cerdik, gila di dalam siuman, bodoh di dalam pandai.
Mereka yang telah dikudakan oleh nafsu itulah yang memikirkan kehidupan manusia.
Bila manusia hidup di dalam ketakutan, mereka juga yang hendak memikirkan manusia yang telah rosak itu.
Maka lahirlah kerosakan di dalam kerosakan.
Dunia bertambah parah, untuk membaikinya bertambah bingung dan susah.
Maka jalan keluarnya tangkapan demi tangkapan, hukuman demi hukuman.
Penjara sesak dibuatnya. 
Yang masyarakat ikut nafsu, yang jahat ikut nafsu, yang kena tangkap ikut nafsu.
Yang membuat undang-undang ikut nafsu, yang menghukum ikut nafsu. 
Apa sudah jadi?
Yang jadi, dunia sudah dikuasai oleh nafsu. 
Dunia telah lesu.  
Dunia sudah jadi neraka sebelum Neraka. 
Kehidupan di dunia hari ini sudah tidak ada erti apa-apa lagi. 
Manusia terancam oleh nafsunya sendiri. 
 

MADAH baru 508



*606*
Berhati-hatilah kita di dalam hendak menentukan salah dan benar kerana ia tidak boleh diukur dan ditentukan sekadar ilmu yang ada pada kita, justeru ilmu Allah itu terlalu luas, tidak semuanya mesti ada pada kita, pada orang lain mungkin lebih banyak lagi kecuali masalah yang kita tentukan itu memang telah masyhur di kalangan umat Islam. 

*607*
Penyangak yang tidak berilmu nampak kepenyangakannya, mudah orang kenal, selamat dari tipu dayanya.
Tapi penyangak yang berilmu tidak nampak kepenyangakannya, justeru itu banyak orang yang terkena. 

*608*
Kalau kita hendak buru dunia dan nikmatnya, belajarlah ilmu dunia dengan sebanyak-banyaknya, kemudian gunakanlah ilmu dunia itu untuk mendapatkan dunia.
Jangan gunakan ilmu akhirat untuk dunia, kalaupun di setengah hal tidaklah salah tapi tidak jadi ibadah. 

*609*
Orang yang bertaqwa, ilmu dunianya pun dia boleh jadikan alat untuk membangunkan Islam, betapalah ilmu akhiratnya, sudah tentulah lebih-lebih lagi.
Tapi orang yang fasik atau munafik, ilmu akhirat pun akan dijadikan alat untuk dunianya, apatah lagi ilmu dunianya. 

*610*
Carilah ilmu bukan untuk rezeki tapi untuk panduan dan kemajuan manusia.
Carilah pangkat tapi untuk berkhidmat.
Carilah harta tapi untuk mengagih-agihnya.

jika Tidak Takut Tuhan



Jika seseorang tidak takut Tuhan,
sekiranya dia dapat untung, dia akan buat apa sahaja.
Dia tidak mengambil kira lagi orang lain susah dan menderita.
Yang penting kehendak nafsunya berjaya.
Sekiranya dia orang politik, boleh mengampu, berpura-pura, khianat, jatuh-menjatuhkan, sabotaj, suap-menyuap, tipu daya.
Jika dia orang ekonomi, tipu-menipu, tidak mahu bayar hutang, janji tidak tepat, menjual harga mahal, bermain riba.
Kalau dia pegawai kerajaan, rasuah, bermalas-malas, marah-marah, masa bekerja terlalu berkira, terlalu birokrasi.
Buruh kasar lain pula, selalu tuang kerja, berborak-borak, bercerita, menghabiskan masa, suka ponteng kerja, bermalas-malas aja.
Jika dia guru, menunggu-nunggu masa untuk balik, bekerja tidak ada jiwa, terpaksa kerana gaji, menjaga murid sambil lewa.
Sekiranya imam, bilal atau noja masjid, hendak cepat-cepat tutup masjid, hendak cepat-cepat balik, orang duduk lama sedikit di masjid, hati mendongkol sahaja.
Menjaga kebersihan masjid tidak sempurna. 
Buat kerja bukan dari hati tapi kerana gaji atau untuk untung peribadi.
Ahli-ahli ilmu, pendakwah, 
aktiviti itu, itulah duitnya, itulah ladangnya atau kelabnya.
Berlindung di sebalik kewajipan, sebenarnya cari makan.
Kalau dahulu, itu satu perjuangan, korban masa, korban harta kerana menyampaikan risalah Tuhan.
Bukan untuk mendapatkan wang, korban lagi wang, kerana itulah Islam berkembang.
Islam berkembang di nusantara kerana mereka yang berjuang.
Tapi kita berdakwah dan memberi ilmu kerana wang.
Ilmu dan dakwah sudah menjadi gelanggang cari makan.
Adakalanya untuk buat appointment dengan mereka itu, 
ada tawar-menawar, berapa banyak hendak diberi wang.
Kalau tidak sesuai dengan bayaran, tidak jadi datang.
Aduh! Agama sudah jadi ladang atau kilang untuk mendapatkan kekayaan.
Tanpa malu dengan Tuhan, dengan Rasul dan dengan pejuang-pejuang yang silam.
Begitulah kalau orang sudah tidak takut dengan Tuhan, 
agama sudah jadi tempat cari makan. 


MADAH baru 507



*571*
Di antara rahsia  mengapa majlis agama tidak ada kesan atau kurang berkesan sekalipun selalu diadakan, walaupun sepadang yang mendengarnya, adalah:
* contoh tidak ada
* buat majlis terlalu rasmi atau formal, yang tidak rasmi tidak berlaku
* yang menganjurkan ada nawaitu yang tersendiri
* tukang ceramah ingin glamor dan nama. 

*572*
Untuk menubuhkan sebuah parti atau  jemaah tidaklah terlalu susah, tapi untuk menjadi model kepada orang lain amat susah. 

*573*
Zaman sekarang ini, sebuah parti itu disokong orang bukanlah kerana orang ramai merasakan padanya ada model untuk diikuti.
Sebenarnya kerana ada tujuan-tujuan kepentingan peribadi.  

*574*
Kalaulah sebuah parti itu boleh jadi model, walaupun di dalam negara demokrasi dibenarkan lahirnya parti-parti, tapi orang ramai tidak akan menubuhkan parti-parti kerana merasakan sudah cukup parti yang menjadi model itu. 

*575*
Tidak mesti parti yang menang di sebuah negara itu orang ramai sokong kerana model tapi kebanyakan mereka menyokong kerana ada keuntungan peribadi.

Takutilah Perosak Amalan



Takutilah riyak, ia adalah pemusnah amal.
Takutilah kibir kerana ia merosakkan kebajikan.
Jauhilah pemarah, ia merosakkan amal soleh ibarat api meleburkan besi.
Takutilah syirik kerana ia menghapuskan seluruh ibadah dan kebajikan.
Hindarkanlah nama dan glamour di dalam beramal. 
Ia ibarat jatuhnya najis di dalam kuah.
Semuanya rosak tidak boleh dimakan.
Atau ibarat racun termasuk di dalam makanan.
Semuanya sekali rosak.
Menjaga amal lebih susah daripada beramal.
Periksalah hati, adakah di dalamnya mazmumah?
Ia adalah ibarat racun maknawi di dalam kebaikan.
Kebaikan tidak menjadi kebaikan lagi. Kebaikan dianggap kejahatan.
Awasilah mazmumah.
Ia selalu sahaja menipu diri kita di dalam beramal. 


Kasihi Yang Muda Hormati Yang Tua



عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا وَيَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَ عَنْ الْمُنْكَرِ

Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang munkar." (Sunan Tirmizi No: 1921) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang tidak mengasihi anak-anak kecil dan menghormati orang tua – mereka tidak mengikuti sunah Rasulullah SAW dan Adab seorang Muslim.

2.  Menghormati orang tua atau orang yang lebih tua daripada kita termasuk salah satu daripada tuntutan Islam. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنِي أَنْ أُكَبِّرَ

"Jibril telah menyuruhku untuk mendahulukan orang-orang yang lebih tua" (Musnad Ahmad  No:1555)

3.  Keutamaan menghormati orang yang lebih tua termasuk dalam mengagungkan Allah. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ إِجْلَالِ اللَّهِ إِكْرَامَ ذِي الشَّيْبَةِ الْمُسْلِمِ

"Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati orang muslim yang sudah tua" (Sunan Abu Daud No: 4203)  Dihasankan oleh Imam Nawawi dalam Riyadhus Solihin dan juga Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir 

Dahulukan orang yang lebih tua daripada kita. Malik bin Mighwal rahimahullah berkata:

كُنْتُ أَمْشِيْ مَعَ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ ، فَصِرْنَا إِلَى مَضْيَقٍ فَتَقَدَّمَنِيْ ثُمَّ قَالَ لِيْ : لَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْبَرُ مِنِّيِ بِيَوْمٍ مَا تَقَدَّمْتُكَ 

"Dahulu aku berjalan bersama Thalhah bin Musharrif, sampailah kami ke sebuah jalan sempit, maka beliaupun mendahuluiku, seraya berkata kepadaku: Seandainya aku mengetahui bahawa engkau lebih tua satu hari daripada aku nescaya aku tidak akan mendahuluimu" (Diriwayatkan oleh Al-Khathiib Al-Baghdaady dalam Al Jaami' li Akhlaaqi Ar Raawii wa Aadaabi As Saami', No: 249)

Berusahalah kita memiliki sifat rahmah dengan menghormati,   mendahulukan dan mengutamakan orang yang lebih tua. Orang yang lebih muda sewajarnya terlebih dahulu menegur, memberi salam, juga menziarahi orang yang lebih tua daripada kita. Bagi orang yang tua, sayangilah yang lebih muda daripada kita.

Bumi Tuhan... Bersaksilah