Engkau Maha Tahu Yang Kecil Dan Besar




Tuhan! Engkau Maha Tahu yang kecil dan yang besar.
Di dalam semua perkara dan benda.
Terhadap apa jua jenis makhluk-Mu.
Kerana Engkaulah yang menciptanya.
Tapi pada-Mu kedua-duanya sama sahaja.
Tidak ada beza di antara keduanya.
Jika kecil Engkau sebutkan maka ia terjadi, yang besar Engkau sebutkan pun terjadi juga.
Tidak pula yang kecil rasa mudah dan yang besar terasa payah dan susah.
Tidak seperti makhluk-Mu yang lemah, membuat perkara kecil mudah, membuat perkara besar susah.
Walaupun di antara habuk dan gunung, yang satu halus dan yang satu besar gagah.
Namun Qudrat dan Iradah-Mu Tuhan, keduanya sama sahaja.
Walaupun Engkau memberitahu manusia, langit dan bumi Engkau jadikan selama enam hari.
Bukan ertinya Engkau tidak boleh jadikan dengan sekelip mata.
Bukan pula Engkau tidak boleh lakukan secara kun - jadilah maka ia pun terjadi.
Enam hari itu memang kehendak-Mu sendiri.
Untuk didikan kepada manusia.
Begitu juga jarak jauh dan dekat, Engkau tahu juga.
Dan Engkau tahu ini dekat dan ini jauh.
Tapi pandangan-Mu sama sahaja.
Dekat dan jauh tidak ada beza apa-apa.
Bahkan yang tersembunyi dan yang nyata pada-Mu sama sahaja.
Macam mana Engkau melihat yang jauh, begitulah juga Engkau melihat yang dekat.
Tidak seperti penglihatan makhluk.
Melihat yang dekat dengan yang jauh ada bezanya.
Yang dekat mudah dilihat, yang jauh susah dilihat.
Maha Suci Engkau Tuhan dan Maha Agung Engkau Tuhan. 


No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah