MADAH baru 165


*M1001*
Ahli fikir dan ahli filasuf akan melahirkan teori-teori dan ideologi-ideologi. 
Para rasul dan para nabi melahirkan agama.
Antara dua ajaran ini, payah hendak ditemukan. 

 
*M1002*
Hari ini umat Islam lebih menyanjung ideologi daripada agama.
Perjuangan mereka bukan agama lagi, tapi adalah ideologi.


*M1003* 
Hari ini ideologi telah menjadi agama,
agama telah menjadi barang antik maknawi yang hanya tersimpan dalam tempat-tempat yang diletakkan dalam almari untuk dibuat hiasan. 

 
*M1004*
Di Barat, Allah Taala istimewakan dengan lahir ramai ahli-ahli fikir dan ahli-ahli falsafah
tetapi di Timur diistimewakan dengan ramainya lahir para rasul dan nabi. 

 
*M1005*
Ahli-ahli kerohanian yang hak tidak pernah ditimpa penyakit jiwa,
tapi ahli fikir dan ahli falsafah pernah ditimpa penyakit jiwa.

Masa Depan Yang Abadi


Ramai orang memikirkan masa depannya.
Masa depan yang dimaksudkan di masa tuanya.
Mengapa singkat sangat fikirannya?
Masa tua ertinya masa menunggu mati yang tidak lama.
Masa depannya yang sebenar adalah selepas mati.
Di sana ada satu kehidupan yang kekal abadi.
Di sanalah kita berlama-lama, tidak ada hujungnya.
Masa depan yang itulah yang patut difikirkan dengan serius.
Takuti dan cintailah Tuhan untuk masa depan di sana.
Berkasih sayanglah sesama manusia untuk masa depan yang abadi.
Kalau kita tersilap di sini, meranalah kita di sana.
Kerana itulah masa depan di sana yang patut difikirkan, bukan masa tua kita.
Berkhidmatlah untuk manusia demi masa depan yang tiada hujungnya.
Bekerjasama dan rasa bersamalah sesama manusia untuk selepas mati.
Bermaaf-maafanlah kita demi masa depan yang tidak diukur oleh masa,
agar kita tidak kecundang hidup di Akhirat sana.
Elakkanlah bermusuhan dan pergaduhan demi masa depan abadi.
Masa depan di Akhirat yang tidak ada usaha buat kita.
Berbaik-baiklah kita sesama manusia, demi masa depan di negara abadi.
Supaya tidak menyesal di masa kita di sana.
Sebelum terlajak ke sana, marilah kita cintakan Tuhan.
Marilah berkasih sayang sesama kita, tidak kira bangsa.
Hidup di dunia, hidup yang harmoni dan bahagia.
Hidup di sana juga terlepas dari seksa Neraka. 


*MADAH *baru 107

*M996*
Kalaulah manusia itu matlamat hidupnya hanya dunia semata-mata,
tentu sekadar ahli fikir saja.
Tapi Tuhan mahu manusia itu mengenal Zat-Nya yang Maha Agung
dan agar manusia mengenal kehidupannya, 
martabatnya lebih tinggi lagi.
Kerana inilah Allah utuskan para rasul dan para-para da'i.
  

*M997*
Ahli-ahli fikir hanya berjaya mengenalkan manusia kehidupan dunia yang murah dan akan binasa,
tapi para rasul dan nabi berjaya mengenalkan manusia kehidupan Akhirat yang tinggi dan kekal abadi. 

 
*M998*
Di antara kemuliaan para rasul dan para nabi,
mereka lebih dicintai dan disebut-sebut oleh manusia setiap hari dibandingkan ahli fikir dan filasuf. 

 
*M999*
Para rasul dan para nabi adalah lambang pemujaan manusia terhadap Allah Taala 
yang wajib diutamakan,
tapi ahli fikir dan filasuf  lambang pemujaan manusia terhadap kebendaan dan dunia. 


*M1000*
Para rasul dan para nabi dianggap manusia yang suci  dan sempurna di kalangan manusia,
tapi ahli fikir dan filasuf tidak disebut begitu rupa.

Ibadah Yang Menghitamkan Jiwa




Ibadah yang berbagai-bagai aspek, tujuan hendak memberi cahaya kepada hati.
Ibadah yang dihayati, ia memberi cahaya kepada jiwa.
Cahaya itu ialah hidayah dari Allah.
Cahaya hati itu ialah keinsafan, rasa kehambaan.
Rasa berTuhan, rasa takut dan cintakan Tuhan.
Rasa rendah diri kepada Tuhan, baik sangka dengan-Nya.
Redha dan sabar, merendah diri, rasa hebat-Nya Tuhan.
Jangan pula ibadah itu menggelapkan hati.
Jangan pula ibadah itu menghitamkan jiwa.
Bagaimana ibadah menghitamkan jiwa?
Lepas ibadah senang hati, takut dengan Tuhan hilang, rasa bangga pula datang.
Ujub pun berbunga di dalam jiwa.
Orangt tidak beribadah, mulalah dia menghina.
Dia rasa ibadahnya akan menyelamatkannya.
Takut dengan suul khatimah hilang dari jiwa.
Begitulah dia beribadah setiap masa.
Semakin banyak dia beribadah, semakin aman dia rasa.
Semakin ke hujung dia beribadah, semakin bangga, hingga takutnya dengan Tuhan hilang semuanya.
Ibadah yang semacam itulah yang dimaksudkan ibadah menghitamkan jiwa.
Dari ibadahnya tidak mengubah perangainya.
Ibadah semacam itulah ibadah yang menipu dirinya.
Ibadah yang dibuat tidak sampai matlamatnya.
Sepatutnya ibadah itu hendak menebalkan rasa kehambaan.
Tapi hasil ibadahnya, dia rasa tuan pada dirinya.
Marilah kita berlindung dengan Tuhan dari ibadah yang begini rupa.
 

MADAH baru 164


*M991*
Kekacauan dan huru-hara yang berlaku di dunia,
bukan kerana kekurangan orang pandai memikirkan,
bukan kerana para pemimpin tidak bijak mengatasi,
tapi kerana jiwa manusia telah ramai yang rosak,
termasuk cerdik pandai dan para pemimpin jiwanya sudah rosak,
tidak memikirkan masyarakatnya yang sudah rosak,
bertambah lagilah rosak masyarakat.


*M992*
Ahli-ahli fikir dan filasuf-filasuf dan orang pintar sekalipun,
belum pernah berlaku dalam sejarah dapat membangunkan akhlak manusia,
hanya berjaya memandaikan manusia,
tapi ahli kerohanian, para rasul dan ulama ul amilin, 
dapat memandaikan manusia, serta berjaya membangunkan akhlak manusia. 

 
*M993*
Tokoh-tokoh dan ahli fikir jarang makamnya diziarahi oleh orang,
tapi tokoh-tokoh kerohanian, 
makamnya setiap hari diziarahi orang. 

 
*M994*
Ahli fikir dan cerdik pandai hanya berjaya membangunkan tamadun material,
tapi ahli-ahli kerohanian berjaya membangunkan tamadun kerohanian dan boleh juga kebendaan. 

 
*M995*
Ahli-ahli fikir berjaya mengenalkan manusia tentang dunia dan kemajuan,
tapi ahli-ahli kerohanian berjaya mengenalkan manusia akan Tuhan, pencipta manusia dan alam Akhirat.

Lemah Mengamalkan Syariat Batin


Ramai orang boleh melaksanakan syariat lahir.
Boleh bersembahyang, puasa, zakat, naik haji, baca Al Quran dan lain-lain lagi.
Mengerjakan syariat  batin sangat lemahnya.
Seperti susah hendak sabar, payah berkasih sayang, berat memberi maaf
dan meminta maaf, 
tidak ada belas kasihan, tidak mudah redha.
Apatah lagilah rasa bertuhan, rasa rendah diri, rasa hina, rasa hamba, rasa berdosa dan bersalah, 
rasa bertimbang rasa dan bertolak ansur.
Kerana itulah akhlak mulia tidak lahir dari orang yang beribadah, 
seperti bersembahyang, puasa, naik haji, baca Al Quran, berdakwah dan berjuang.
Padahal dari syariat batin itu lahirlah akhlak yang mulia.
Akhlak yang mulia itulah pandangan Allah, pandangan Rasul dan pandangan manusia.
Orang yang bukan Islam masuk Islam kerana akhlak yang mulia yang ada pada umat Islam, bukan kerana banyak ibadahnya.
Orang Islam yang lemah agamanya, akan sedar dan insaf  kerana melihat akhlak mulia orang Islam yang bermujahadah dan bersyariat.
Hari ini payah orang hendak masuk Islam, kerana bunga diri tidak ada pada umat Islam, iaitu akhlak yang mulia.
Orang Islam yang liar susah hendak diinsafkan, kerana orang yang lahirnya beragama pun tidak ada akhlak yang mulia.
Bahkan orang takut dan benci dengan Islam dan umat Islam.
Islam hanya tinggal kulit sahaja.
Isi tidak ada, penghayatannya atau rohnya kosong,
hanya tinggal rangka, bangkai bernyawa.
Hanya tinggal bangkai dan tulang yang masih berjalan, macam hantu jerangkung yang menakutkan.
Menakutkan manusia.
Orang lari dari Islam, kerana perbuatan umat Islam.
Kerana memburukkan Islam yang sudah tidak asli lagi oleh penganut-penganutnya.
 

MADAH baru 163


*M986*
Orang yang bertaqwa itu makin tinggi taqwanya ,
makin terasa berdosa,
bertambah lagi taqwanya,
bertambah lagi rasa makin berdosa, hingga taqwanya itu dia tidak lagi merasa,
yang dia merasa dialah orang yang banyak dosa.
  

*M987*
Orang yang mukmin itu, bagaimana hebat sekalipun, 
akan hilang rasa hebatnya, 
karena tenggelam di bawah kehebatan Tuhannya. 

 
*M988*
Diantara orang yang tidak sedarkan diri 
terasa dirinya hebat, 
terasa diri luar biasa, terasa diri ada kuasa.


*M989*
Orang mukmin itu, kalau ada mempunyai kemuliaan dan kebesaran,
dia terasa benar sedikit kemuliaan dan kebesaran Tuhan yang telah diberikan kepadanya, 
menjadikan rasa kebesaran dan kemuliaan itu hilang dari perasaannya. 


*M990*
Ramai orang berjaya mendidik akalnya, 
tapi sedikit sekali yang berjaya mendidik jiwanya.
Sebab itulah dunia penuh dengan orang-orang pandai yang jahat.

Jauhilah Dosa



Jauhilah dosa!
Dosa adalah kemurkaan Tuhan.
Tinggalkanlah dosa, kerana ia adalah hijab di antara hamba dengan Tuhan.
Larilah dari dosa!
Kerana ia menghijab rahmat dari Tuhan.
Jangan sekali-kali buat dosa.
Di dalam perjuangan, terhijab bantuan.
Kita akan berhadapan dengan dua kehinaan.
Kemurkaan Tuhan dan kekalahan.
Orang yang berdosa,
orang yang sedang karam di dalam lautan.
Bukan senang hendak diselamatkan.
Orang yang berdosa,
seperti ular besar yang sedang membelit seseorang, menunggu hendak ditelan.
Orang yang berdosa,
laksana singa yang galak hendak menerkam.
Bukan senang hendak lepaskan diri dari cengkamannya.
Orang yang berdosa,
seorang yang sedang dipeluk oleh seseorang yang hodoh.
Seluruh badan penuh dengan kudis.
Nanah dan darahnya sedang mengalir dengan ulat-ulatnya yang menjijikkan.
Baunya terlalu busuk, meloyakan tekak dibuatnya.
Sekali-kali jangan buat dosa.
Ia adalah perbuatan hina dan sangat memalukan.
Mungkin amal ibadah kita tidak ada nilainya di sisi Tuhan.
Tidak mengapa amal ibadah yang sedikit, tapi tidak buat dosa.
Allah Taala tetap redha.
Apa ertinya ibadah banyak bersama dosa.
Tuhan tetap murka. 


MADAH baru 162


*M981*
Kekuasaan seseorang pemimpin itu sebenarnya bukan melambangkan kebesaran dan kekuasaan dirinya, 
tapi menggambarkan kebesaran dan kekuasaan Allah.
Kalau seseorang pemimpin itu bersikap, kuasa yang ada padanya menggambarkan kekuasaan dan kebesaran dirinya, 
ia adalah seorang yang sombong dan takabur. 

 
*M982*
Kekayaan seseorang itu sepatutnya bukan menggambarkan kekayaannya,
tapi menggambarkan kekayaan Tuhan,
tapi lumrah berlaku adalah sebaliknya, 
kerana itulah kebanyakan orang yang kaya berbangga dengan kekayaannya. 

 
*M983*
Orang mukmin itu bagaimana besar dan tinggi sekalipun kedudukannya,
tapi dia tetap mengekalkan diri sebagai hamba dan merasa hamba yang hina. 

 
*M984*
Orang mukmin itu kalau dia dihina orang,
dia tetap dapat menahan kemarahan, 
kerana dia merasa memang dia adalah hamba yang hina dan tidak ada harga, 
patutlah dihina.


*M985*
Kehebatan dan kebesaran seseorang hamba itu biarlah orang lain yang nampak,
tapi dirinya tetap merasa bahawa dia adalah hamba yang hina.

Memahami Tuhan Melalui Reaksi-Nya



Walaupun Tuhan itu Zat yang Agung lagi mulia, tidak dapat dilihat.
Namun Tuhan itu marah atau suka dapat dirasa.
Redha dan murka-Nya dapat juga dikesan.
Perhatian-Nya kepada kita boleh juga dibaca.
Kemaafan dan keampunan-Nya dapat dirasa.
Jika bersembahyang ada lazatnya, menunjukkan Tuhan ada perhatian.
Tuhan juga ikut bercakap-cakap dan menjawab percakapan  kita.
Jika tidak terasa lazatnya sembahyang, menunjukkan ada dosa.
Memohon ampunlah kepada Tuhan dengan sebanyak-banyaknya.
Bila kita memohon ampun, jiwa kita terasa lembut,
air mata kita pun berguguran,
insya-Allah tanda Tuhan terima taubat kita.
Apabila jiwa kita gelisah tidak tentu arah, tanda Tuhan murka, mesti ada membuat dosa.
Jika mudah bermujahadah, tanda ada rahmat Allah Taala telah dikurniakan kepada kita.
Kalau kita bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada Allah,
tiba-tiba Allah uji kita, tanda Allah Taala telah redha.
Sama ada Allah Taala hendak membersihkan dosa, atau hendak meninggikan darjatnya.
Kalau kita kaya, mudah sahaja kita agih-agihkan kepada manusia,
tanda Allah Taala memberi dengan redha.
Jika setelah kaya makin berat untuk menderma dan memberi kepada empunya,
tanda kekayaan dan kesenangan itu diberi secara istidraj atau murka. 

 

MADAH baru 161


*M971*
Salah  satu daripada yang boleh membawa pecah belah nya orang Islam kerana cintakan dunia,
maka berebut- rebut lah mereka untuk mendapatkannya,
dengan itu terjadilah perbalahan.


*M972* 
Di akhir zaman ini orang selalu memperjuangkan hak - haknya.
Kalau tidak dapat, boleh jadi masalah dan perbalahan.
Jarang sekali di akhir zaman orang yang berjuang mengorbankan haknya demi keredaan Tuhan dan khidmat untuk manusia.


*M973*
Anggaplah nikmat dunia yang Allah beri itu kita tidak layak menerimanya.
Tapi Allah Taala beri untuk menguji kita,
apakah kita boleh  bersyukur kepad-Nya. 

 
*M974*
Sepatutnya orang mukmin itu makin bertambah nikmat, makin bertambah risau.
Kerana nikmat yang sedia ada belum boleh bersyukur, 
kemudian di tambah lagi nikmat itu, 
ditakuti juga tidak akan bersyukur. 

 
*M975*
Bila rasa bertuhan itu tidak ada,
secara otomatik rasa kehambaan juga tidak ada.
Diwaktu itu kalau kita beribadah pun,
bukan boleh menghilangkan mazmumah,
tapi dia menyuburkan lagi mazmumah.
Akhirnya ibadah itulah yang menghijab diri dengan Allah Taala.

Mujahadah Jalan Menuju Allah


Mujahadah adalah satu jalan untuk seseorang menuju Allah.
Tanpa mujahadah, adalah mustahil seseorang hamba sampai kepada-Nya.
Kerana yang menjadi penghalang seseorang itu menuju Allah ialah syaitan dan nafsunya.
Tapi nafsu adalah lebih menghalang dari syaitan laknatullah.
Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan biasanya selalu sahaja berlawanan.
Di sinilah perlunya bermujahadah bersungguh-sungguh dan bermati-matian.
Bermujahadah adalah sangat menjemukan.
Bermujahadah adalah terseksa dan menyakitkan.
Tapi di sinilah pahalanya yang besar dari Tuhan.
Bermujahadah adakalanya sangat susah dan payah.
Ada juga dengan rahmat Tuhan, bermujahadah dipermudahkan.
Tapi para rasul dan para nabi, dengan anugerah Tuhan, dipelihara Tuhan.
Mereka diberi kelebihan, tanpa mujahadah menuju Tuhan.
Mereka itu orang istimewa dan orang Tuhan.
Terlepas daripada syaitan dan bebas daripada nafsunya.
Mereka adalah orang pilihan Tuhan.
Kerana mereka hendak dijadikan contoh dan ikutan.
Mereka itu benar-benar orang Tuhan dan wakil Tuhan, untuk diikut oleh manusia berbagai-bagai lapisan.
Kita yang bukan rasul dan nabi ini kenalah bermujahadah.
Di dalam bermujahadah mintalah pertolongan dengan Tuhan.
Agar dibantu Tuhan di dalam bermujahadah melawan nafsu dan syaitan.
Bertawasullah selalu dengan Rasul dan Mursyid, 
meminta tolong di dalam bermujahadah agar dimudahkan oleh Tuhan.
Bermujahadahlah secara istiqamah dan jangan jemu-jemu.
Nanti dengan rahmat Allah, mujahadah kita dipermudahkan. 


Matawang/ Currency

Seorang jutawan sedang berada di dalam kereta mewahnya menuju ke pejabat.

Beliau memasang telinga mendengarkan ceramah yang sedang ke udara di radio keretanya.

Penceramah berkata bahawa dunia ini sementara. Kekayaan yang kita miliki ini tiada makna apabila kita sudah mati nanti. Masa hidup ini, perbanyakkan memberi.

Jutawan tadi berasa ceramah itu entah apa-apa.

Katanya kepada pemandu keretanya,

"Orang macam ni nak mengambil kekayaan kita. Sebab tu dia suruh kita memberi ke sini sana." Jutawan tadi mencebik.

Di dalam kepala jutawan tadi, mula berfikir segala hartanya yang ada. Segala emas permata, segala duit simpanan, segala asetnya.

Lalu dia bertanya kepada pemandunya,

"Kamu tahu bagaimana kalau saya nak bawa semua harta saya semasa saya mati? Saya tak nak tinggal sikit pun untuk sesiapa"

Lancar soalannya. Mungkin kerisauan hartanya nanti diambil orang apabila sudah mati.

Pemandu jutawan ini mula bersuara,

"Bos ingat tak masa bos pergi US dulu? Masa tu bos bawa matawang apa pergi sana?"

"Mestilah USD. Kau dah kenapa tanya aku macam tu?"

Jutawan tadi berasa pelik, tetapi kepalanya masih menerawang akan segala hartanya yang berkepuk-kepuk.

"Bos, kalau kita nak pergi ke Jepun, kita kena guna matawang Yen kan? Kalau kita nak ke Singapura kita gunakan SGD kan? 

Apa jadi kalau saya nak pergi sana bawa duit RM50 contohnya untuk pergi membeli-belah, pergi makan, pergi berjalan? Mereka terima tak?"

Jutawan itu ketawa besar.

"Kamu nak pergi negara orang, kena ikut matawang negara itu. Mana laku duit kamu tu kalau nak berbelanja di sana. 

Kamu kena tukar duit kamu siap-siap di sini. Dah tukar duit, baru kamu selamat nak ke luar negara dengan  mudah. Apalah soalan kamu ni"

Pemandu tadi tersenyum.

"Bos, begitu jugalah dengan alam kita selepas dunia. Dia ada 'matawang'nya sendiri. Tak laku dah segala harta kita, segala Dollar, Pound, Ringgit, Yen yang kita ada ni. 

'Matawang' di sana ialah pahala yang kita kutip di dunia. 

Kalau bos bawa duit bos ke dalam kubur pun, tak laku bos. Takde 'money changer' di sana dah.."

Jutawan tadi terdiam.

Rasa tersentak, air liur yang ditelan terasa pahit dan perit.

MADAH baru 160


*M966*
Janganlah kita ghairah sangat hendak merebut jawatan pimpinan,
kerana ia adalah amanah dan tanggung jawab yang besar. 
Kalau kita diberikan juga jawatan itu tanpa kita minta, sedangkan kita mampu, 
tidak salah pula kita menerimanya, 
tapi kenalah kita takut denganTuhan. 

 
*M967* 
Fitrah yang murni dia tidak membohongi kita.
Ia selalu saja boleh menerima kebenaran.
Tapi yang menghalangnya adalah nafsu kita dan syaitan. 

*M968*
Hendaklah kita buang sungguh-sungguh sifat tamak,
kerana dengan sifat inilah kita cinta dengan dunia.
Apabila kita cinta dengan dunia,
kita tidak dapat rasa cukup apa yang ada.
Sifat bakhil datang, akhirnya ia menjadi rebutan.
Di sinilah rahsia hilangnya ukhwah dan sebab timbulnya perpecahan. 

 
*M969*
Orang yang tamak tidak akan terasa lagi besarnya nikmat Tuhan,
yang ada dia seolah-olah tak nampak lagi apa yang ada,
benda yang tiada ini lah yang menjadi fikiran dan idaman,
sebab itulah orang yang tamak selalu susahkan apa yang tiada. 

 
*M970*
Orang mukmin yang sejati itu,
kalaupun dia tidak menolak nikmat dunia,
tapi nikmat itu dia tidak jadikan rebutan,
ia boleh bertolak ansur dengan orang lain.

Menghidupkan Ramadhan


Janganlah Ramadhan dijadikan pesta makan minum.
Janganlah jadikan Ramadhan banyak tidur-tidur sahaja di siangnya.
Janganlah jadikan Ramadhan selepas sedikit ibadah sembahyang,
kemudian berbual dan borak-borak yang banyak.
Selepas berbual-bual banyak, pulang ke rumah kemudian tidur, 
malam tidak bangun pula menghidupkan malam bersama Tuhan.
Ramadhan bukan sekadar menghidupkan malam,  siang berlapar-laparan
dan berletih-letihan.
Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan.
Ramadhan hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Tuhan yang Maha Kuasa.
Ramadhan hendak memeriahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Tuhan, cintakan-Nya, rasa bertuhan sentiasa.
Ramadhan hendak menghidupkan jiwa, timbang rasa sesama manusia.
Rasa kasih sayang, simpati sesama manusia yang derita, yang tidak punya apa-apa.
Ramadhan hendak menebalkan rasa berdosa, takut kalau terlibat lagi dengan dosa.
Ramadhan hendak rasa agung-Nya Tuhan, hebat dan kuasa-Nya Tuhan.
Ramadhan bukan sekadar ibadah luaran-luaran yang meriah dan ceria, yang dalam gelap-gelita.
Yang penting jiwa hendak dihidupkan, memeriahkan yang di dalam jiwa.
Tuhan pandang bukan yang luaran, tapi yang di dalam.
Tuhan hendak melihat yang di dalam batin manusia, apakah hidup jiwanya rasa bertuhan.
Siangnya berpuasa, malam sembahyang, banyak membaca Al Quran untuk memberi cahaya kepada jiwa yang selama ini gelap-gelita.
Membanyakkan berzikir, bukan lafaznya, tapi penghayatannya.
Berzikir bukan sekadar menyebut di lidah, tapi menyebut di hati, dirasa oleh jiwa.
Berzikir bukan di lidah, tapi ingatan di hati.
Kedatangan Ramadhan adalah dengan tujuan hendak menghidupkan hati
yang mati sebelumnya.
Moga-moga kesan sebulan menghidupkan hati tahan setahun lamanya.
Kemudian Ramadhan datang lagi hidupkan pula lagi hati yang mati, tahan pula setahun lagi.
Itu bagi orang awam yang selalu sahaja cuai dan lalai.
Bagi orang yang bertaqwa, jiwanya hidup setiap masa.
Kedatangan Ramadhan hanya untuk darjat dan pangkat di sisi Tuhannya.
Tapi kalau kedatangan Ramadhan tidak pun menghidupkan jiwa,
luar meriah, di dalam tidak meriah.
Luar terang-benderang dengan syariat lahir, syariat batinnya gelap,
kalau di luar Ramadhan tentulah lebih-lebih lagi malang.
Gelaplah hati sepanjang tahun.
Tidak ada masa hati yang terang, sungguh malang. 


MADAH baru 159


*M961*
Biarlah kebenaran yang hendak diperjuangkan itu jelas, 
jalannya jelas, matlamatnya juga jelas,
dan orang yang hendak memperjuangkannya itu juga jelas ikhlas. 

 
*M962*
Jangan membetulkan salah  itu dengan cara yang salah, agar kesalahan itu tidak bertambah besar dan meluas. 

 
*M963*
Kalau dalam semua hal hendak diterima dengan hukum logik, itu bukan agama namanya. 
Itu ajaran falsafah/ideologi. 

 
*M964*
Orang yang tidak takut Tuhan, tidak boleh dipercayai, 
bila-bila dia boleh mengkhianatinya. 
Waktu ada kepentingan, dia pura-pura.
Waktu tidak ada kepentingan, dia lari. 


*M965*
Tidak salah mencari kekayaan dan kesenangan yang halal, banyak pun tidak mengapa.
Tapi hendaklah takut dengan Tuhan
kerana ia selalu saja menjadikan kita sombong dan melalaikan.

BUAT KERJA KERANA ALLAH

Membuat kerja dengan terpaksa memang menderita.
Bahkan menjemukan dan mudah meletihkan.
Seperti membuat kerja yang dia tidak suka,
tapi dipaksa membuatnya.
Atau kerja itu tempat dia dapat gaji, sedangkan hati tidak suka.
Kalau dia kerja bertahun-tahun lamanya,
akan kelihatan nanti umur muda, tapi muka nampak tua.
Mudah bencinya dan boring dengan kerja.
Jemunya menghilangkan kebahagiaan jiwanya.
Biasanya ini akan membangunkan emosi manusia.
Mudah marah-marah, mudah tersinggung dengan manusia.
Kerana itulah buat kerja biarlah kerana Allah.
Buat kerja itu untuk keredhaan.
Rasakan di situlah ibadah tambahan kita.
Buat kerja kerana Allah tidak jemu, bahkan menggembirakan.
Adakalanya telah meletihkan badan, tapi jiwa masih tahan.
Begitulah kerja dengan Tuhan, tidak menjemukan.
Kerja dengan manusia menjemukan.
Jiwa gelisah, resah dan parah.
Hilang ceria di muka, macam orang ada masalah.
Mudah meletihkan, mudah menjemukan. 


MADAH baru 158


*M956*
Makanan jasad ialah nasi dan lain-lain lagi. 
Makanan akal ialah ilmu dan pengalaman.
Makanan roh ialah zikrullah, membaca Al Quran dan sembahyang.
Maka hendaklah mengutamakan 
makanan akal dan roh daripada makanan jasad. 

 
*M957*
Ada orang berjuang, suaranya tidak sampai didengar oleh alam seluruh sejagat tapi isinya mengandung keperluan alam sejagat. 
Suatu masa nanti akan kedengaran juga di seluruh alam sejagat. 

 
*M958*
Sudah ramai di kalangan umat Islam yang sudah tidak faham Islam dan tidak ada cita-cita Islam. 
Dia pun tidak tahu mengapa dia menjadi keturunan umat Islam.


*M959*
Susah sekali hendak mendisiplinkan diri mengikut Islam sama ada dari segi percakapan, perbuatan dan gerak hati.


*M960*
Perjuangkanlah kebenaran itu yang nyata kebenaran, 
jangan diperjuangkan kebenaran itu dengan cara sangka-sangka benar. 
Dan perjuangkanlah kebenaran itu dengan jalan yang
benar. 
Jangan perjuangkan kebenaran itu dengan cara yang salah. Islam tidak membenarkan menghalalkan cara.

Taqwa Sumber Segalanya



Walaupun harta atau wang ringgit boleh membantu orang yang bertaqwa,
tapi lumrah berlaku ia mengorbankan sifat taqwa.
Harta biasanya menipu manusia.
Sebelum bertaqwa, ia adalah menjadi penghalang untuk bertaqwa.
Setelah bertaqwa, ia boleh korbankan ketaqwaan itu.
Tapi sifat taqwa boleh mendatangkan bantuan  dan pertolongan.
Termasuk juga sifat taqwa boleh memperolehi harta dan rezeki yang tidak diduga.
Bahkan sebenarnya taqwa adalah sumber segala-galanya.
Sumber rezeki, sumber harta, sumber bantuan, sumber keselamatan, sumber kemenangan, sumber ketenangan.
Sifat taqwa adalah kejayaan dunia dan Akhirat.
Kemuliaan manusia itu adalah pada sifat taqwanya.
Milikilah sifat taqwa, kita akan memiliki segala-galanya.
Kalau kita memiliki segala-galanya, belum mesti kita mendapat taqwa.
Bahkan boleh mengorbankan sifat taqwa kita.
Sifat taqwa adalah selamat dan menyelamatkan.
Hari ini manusia ketandusan sifat taqwa.
Walaupun sudah memiliki segala-galanya, namun kebahagiaan tiada.
Sekalipun sudah punya berbagai-bagai perkara, namun ketenangan tidak ada.
Di dalam berkemajuan, berlaku huru-hara.
Di dalam membangun, terjadi perpecahan dan perbalahan.
Setelah ada kemudahan, ada pula bersamanya kebimbangan dan ketakutan.
Manusia mewah, tapi berlaku pembunuhan.
Makan minum senang, kasih sayang tidak ada.
Manusia bergaul, hubungan hati tidak wujud.
Fizikal dekat, tapi hati jauh.
Betapalah fizikal jauh, hati lebih-lebih lagi jauh.
Kerana kunci segala-galanya tidak ada dimiliki oleh manusia.
Iaitu sifat taqwa sudah hilang dari manusia. 

MADAH baru 157


*M946*
Orang yang mata hatinya sudah buta, 
lebih merbahaya daripada mata lahir yang buta, 
orang yang buta mata lahir,
dia sendiri yang menaggung kesusahan,
tapi orang yang buta mata hati,
ramai orang lain yang akan menanggung kesusahan darinya. 

 
*M947*
Pakar  hadith di zaman salafussoleh sibuk beramal dengan hadist yang dia jumpa, 
pakar hadith di zaman ini lain pula,
bukan tujuan untuk beramal,
tapi untuk menyuluh amalan orang lain, 
apakah orang itu beramal mengikut hadith. 
Dia tertipu dengan ilmunya. 

 
*M948*
Di zaman degree dan ijazah ini, 
ramai orang yang alim yang mampu yang teraniaya kerana tidak mempunyai degree dan ijazah,
kerana di zaman ini orang yang diiktiraf alim itu manakala ada degree dan ijazah,
walaupun ramai di kalangan mereka yang tidak mampu. 

 
*M949* 
Membangun dan memajukan dunia mudah 
daripada mendidik manusia yang membangun dan membuat kemajuan dunia itu.


*M950*
Apabila para pemimpin dan pendidik telah rusak, maka rusaklah manusia. 
Apabila manusia telah rusak, 
kemajuan yang wujud tidak mampu lagi mencetuskan kemanan dan keselamatan.

Sikap Seorang Hamba


Seorang hamba menyembah Allah Taala tanda dia hamba.
Hamba patut memperhambakan diri kepada-Nya.
Seorang hamba meminta dan memohon kepada Tuhan kerana lemah.
Dan bukti dia lemah, perlu meminta dan mengadu kepada TuhanYang Maha Kaya dan Berkuasa.
Disuruh sabar, kerana itulah mujahadah.
Kerana inginkan keredhaan Allah.
Disuruh redha, kerana inginkan baik sangka kepada-Nya.
Jahat sangka tidak patut bagi seorang hamba.
Melupakan apa sahaja ujian dari Allah.
Ini adalah darjat yang paling tinggi, selain nabi dan rasul.
Disuruh bertawakal agar menyerahkan nasib kepada Tuhan yang Maha Tahu dan Maha Berhikmah.
Di samping hati lapang dan tenang, keluh-kesah adalah dilarang
Disuruh berkasih sayang, kerana Tuhan itu kasih sayang dengan hamba-hamba-Nya.
Sedangkan Tuhan boleh kasih kepada hamba-hamba-Nya.
Mengapa kita tidak boleh memberi kasih sayang sesama hamba?
Kita disuruh pemurah sesama makhluk Allah.
Bukankah Allah pemurah dengan kita setiap masa?
Disuruh takut kepada Allah, itulah perisai kita.
Di samping nasib kita di tangan-Nya.
Tidak tahu bagaimana kesudahannya.
Nasib kita ibarat telur di hujung tanduk.
Mudah sahaja tergelincir jatuh.
Ingatlah rahmat Allah kepada kita banyak salurannya.
Agar tindakan kita ada perimbangan antara harap dengan takut. 


Mula tadarus. Jgn lupa niat² ini.


💜*33 Niat Penting Ketika Membaca Al-Quran.*💜

Ramai di kalangan saudara muslim kita ketika membaca Al-Qur'an berniat semata² untuk pahala dan masing² kurang mengetahui tentang kelebihan besar Al-Qur'an, iaitu seseorang akan mendapat apa saja yg dia niatkan ketika membaca Al-Qur'an.

Ini sebagaimana yg disabdakan oleh Rasulullah saw;
_“Sesungguhnya setiap amal yg dilakukan itu diukur atas niatnya dan seseorg akan mendapat (hasil amalnya) apa yg dia niatkan.”_

فالقرءان منهج حياة  تجارة العلماء فمن هذا المبدأ والمنطلق أردت أن أذكر نفسي وإخواني ببعض النوايا عند القراءة ومنها

_Al-Quran itu adalah panduan cara hidup, sehingga niatnya itu adalah perniagaan para ulamak untuk mendapatkan keuntungan_

Dari 2 prinsip ini, saya ingin mengingatkan diri saya dan saudara sekalian dgn beberapa dari niat² ketika membaca Al-Qur'an, antaranya tujuan & niat;

1. Belajar & beramal;

(اقرأ القرآن لأجل العلم والعمل به)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan belajar dan beramal dengannya._

2. Memohon hidayah;

(اقرأ القرآن بقصد الهداية من الله)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan memohon hidayah dari Allah swt._

3. Bermunajat;

(اقرأ القرآن بقصد مناجاة الله تعالى)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan utk bermunajat kepada Allah Taala._

4. Menyembuhkan penyakit;

(اقرأ القرآن بقصد الإستشفاء به من الأمراض الظاهرة والباطنة)
_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan menyembuhkan penyakit zahir dan batin._

5. Meminta dikeluarkan dari kegelapan kepada cahaya;

(اقرأ القرآن بقصد أن يخرجنى الله من الظلمات إلي النور)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan meminta kepada Allah utk mengeluarkan saya dari kegelapan (maksiat) kepada cahaya (iman)._

6. Ubat bagi hati yg keras;

(اقرأ القرآن لأنه علاج لقسوة القلب فيه طمأنينة القلب وحياة القلب وعمارة القلب)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini kerana ia merupakan ubat bagi hati yg keras, dgn Al-Quran ini hati menjadi tenang, hidup dan makmur (dgn iman)._

7. Menikmati hidangan;

(اقرأ القرآن بقصد أن القرآن مأدبة الله تعالى)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan (utk menikmati) jamuan atau hidangan dari Allah Taala._

8. Supaya tidak termasuk dalam golongan yg lalai;

(اقرأ القرآن حتى لا أكتب من الغافلين وأكون من الذاكرين)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini supaya saya tidak ditulis termasuk dari golongan org² yg lalai, bahkan saya ingin ditulis sebagai golongan org yg mengingati Allah._

9. Menambah keyakinan;

(اقرأ القرآن بقصد زيادة اليقين والإيمان بالله)
_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan utk menambahkan keyakinan dan keimanan kepada Allah._

10. Mentaati perintah Allah;

(اقرأ القرآن بقصد الإمتثال لأمر الله تعالي بالترتيل)
_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan mentaati perintah Allah Taala yg memerintahkan utk membaca Al-Qur'an dgn tartil._

11. Mendapat pahala dan kebaikan;

(اقرأ القرآن للثواب حتى يكون لى بكل حرف ١٠ حسنات والله يضاعف لمن يشاء)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan mendapat pahala sehingga dituliskan 10 ganjaran kebaikan bagi saya atas setiap satu huruf yg saya baca, sesungguhnya Allah melipatgandakan ganjaran bagi org yg Dia kehendaki._

12. Mendapat syafaat;

(اقرأ القرآن حتى أن أنال شفاعة القرآن الكريم يوم القيامة)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan utk mendapat syafaat Al-Qur'an pada hari kiamat kelak._

13. Mengikut wasiat nabi;

(اقرأ القرآن بقصد إتباع وصية النبى ﷺ)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan mengikuti wasiat Nabi saw._

14. Supaya Allah mengangkat darjat diri & umat Islam;

(اقرأ القرآن حتى يرفعنى الله به ويرفع به الأمة)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan semoga Allah mengangkat darjat saya dgn Al-Qur'an dan mengangkat darjat umat ini dgn Al-Qur'an._

15. Supaya Allah mengangkat darjat di Syurga;

(اقرأ القرآن حتى أرتقي في درجات الجنة وألبس تاج الوقار ويكسي والداى بحلتين لا يقوم لهما الدنيا)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan utk dinaikkan kedudukan saya di syurga dan dapat dipakaikan mahkota kemuliaan, dan utk ibu bapa saya semoga dipakaikan juga dgn perhiasan yg tidak diberikan ketika di dunia._

16. Mendekatkan diri kepada Allah;

(اقرأ القرآن بقصد التقرب إلي الله بكلامه)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan utk mendekatkan diri kepada Allah melalui kalamNya._

17. Agar dimasukkan dalam golongan Ahlillah;

(اقرأ القرآن حتى أكون من أهل الله وخاصته)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar dimasukkan kedalam golongan ahlillah dan daripada golongan org² yg khusus._

18. Agar dimasukkan dalam golongan ahli yg mahir membaca Al-Qur'an;

(اقرأ القرآن بقصد أن الماهر بالقرآن مع السفرة الكرام البررة)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan (agar termasuk dalam golongan) org² yg mahir membaca Al-Quran akan bersama para Malaikat yg mulia lagi taat._

19. Agar diselamatkan daripada ahli Neraka;

(اقرأ القرآن بقصد النجاة من النار ومن عذاب الله)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar diselamatkan daripada neraka dan azab Allah._

20. Agar hati rasa bersama dengan Allah;

(اقرأ القرآن حتى أكون في معية الله تعالي)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar hati saya dapat merasakan kebersamaan dgn Allah Taala._

21. Supaya tidak mensia²kan usia;

(اقرأ القرآن حتى لا أرد إل أرذل العمر)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar tidak menghinakan atau mensia²kan usia._

22. Agar Al-Qur'an menjadi saksi kebaikan;

(اقرأ القرآن حتى يكون حجة لى لا علىّ)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar dia menjadi saksi kebaikan bagi saya dan tidak pula menjadi saksi keburukan ke atas saya._

23. Memandang musyaf ialah 1 kebaikan;

(اقرأ القرآن بقصد أن النظر في المصحف عبادة)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan utk melihat kepada musyaf yg mana perbuatan itu adalah 1 ibadat._

24. Agar Allah mengurniakan sakinah;

(اقرأ القرآن حتى تنزل علىّ السكينة وتغشانى الرحمة ويذكرنى الله فيمن عنده)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar diturunkan sakinah (ketenangan) ke atas saya, dan diliputi rahmat buat diri saya, dan disebut nama saya oleh Allah kepada makhluk di sisiNya._

25. Mendapat kebaikan;

(اقرأ القرآن بقصد الحصول على الخيرية والفضل عند الله)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan mendapat kebaikan dan kelebihan di sisi Allah._

26. Supaya aroma mulut menjadi harum;

(اقرأ القرآن حتى يكون ريحي طيب)

_Saya niat membaca Al-Qur'an agar aroma (bau mulut) saya menjadi harum (dgn lantunan Quran)._

27. Agar tidak sesat di dunia;

(اقرأ القرآن حتى لا أضل في الدنيا ولا أشقي في الآخرة)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar saya tidak tersesat di dunia dan tidak ditimpa celaka di akhirat._

28. Agar terhindar dari kesedihan, kerisauan & kegusaran;

(اقرأ القرآن لأن الله يجلى به الأحزان ويذهب به الهموم والغموم)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar Allah menghindarkan diri saya dgn sebab membaca Al-Quran dari segala kesedihan, serta menghilangkan kerisauan dan kegusaran._

29. Agar Al-Qur'an menjadi kawan di alam kubur;
l
(اقرأ القرآن ليكون أنيسي في قبري ونور لي علي الصراط وهادياً لي في الدنيا وسائقاً لي إلى الجنة)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar dia menjadi kawan saya di dalam kubur dan cahaya bagi saya ketika melintasi titian Sirath, dan petunjuk saya ketika di dunia, dan pemandu saya utk ke syurga._

30. Agar Allah mentarbiah;

(اقرأ القرآن ليربينى الله ويؤدبنى بالأخلاق التي تحلى بها الرسول ﷺ)
_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan agar Allah mentarbiah saya, dan mengajar adab kepada saya dgn akhlak yg dihiaskan akannya kepada Rasulullah saw._

31. Agar dapat menyibukkan diri dengan yang Hak;

(اقرأ القرآن لأشغل نفسي بالحق حتى لا تشغلني بالباطل)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan menyibukkan diri saya dgn Al-Haq, sehingga tidak mampu kebatilan yg menyibukkan saya._

32. Mujahadah melawan nafsu.

(اقرأ القرآن لمجاهدة النفس والشيطان والهوى)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan utk mujahadah melawan nafsu, syaitan dan keinginan kepada selain Allah._

33. Agar Allah memisahkan diri dengan Al-Kafirin;

(اقرأ القرآن ليجعل الله بينى وبين الكافرين حجاباً مستوراً يوم القيامة)

_Saya niat membaca Al-Qur'an ini dgn tujuan memohon agar Allah memisahkan saya dgn para kafirin di akhirat kelak._

(فهيا لنكون من أهل القرآن، وهذه هي التجارة مع الله المضمونة الرابحة والتي يعطى الله عليها من فضله الكريم وعطائه الذي لا ينفد)

_Marilah kita menjadi ahlil Qur'an, yg telah dijamin keuntungannya, yg mana keuntungan itu Allah kurniakan atas sifat pemurahNya dan sesungguhnya segala pemberianNya itu tidak akan habis._

Kongsikan artikal ini, Nabi Muhammad saw berpesan; _“Sampaikanlah dari saya walau 1 ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.”_

Bila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah.

Insya Allah moga mudah mudahan  bermanfaat.🌺

MADAH baru 156



*M941*
Yang payah hendak berkawan adalah ulama, 
yang tiada setia dan kekal berkawan adalah orang politik,
yang mudah berkawan ialah orang yang satu negara atau kampung, 
sama-sama berada di tempat orang atau di negara orang.


*M942*
Ramai orang percaya adanya Tuhan, 
tapi  tidak mengenal-Nya.
Ramai juga orang yang mengenal-Nya,
tapi tidak redha dengan-Nya.
Sedikit sahaja di kalangan manusia yang mengenal Tuhan dan redha dengan-Nya. 

 
*M943*
Kalau sekiranya ada nabi atau  rasul lagi 
di akhir zaman ini,
sudah tentu di antara isi kandungan wahyu akan menyebut beberapa orang pemimpin yang zalim di zaman ini, seperti menyebut Namrud dan Firaun. 

 
*M944*
Kalau seseorang itu sudah tidak takut lagi dengan Allah, 
apakah lagi yang boleh membendung dia dari melakukan kezaliman, menipu, buat maksiat dan mungkar apabila ada peluang untuk melakukannya. 

*M945*
Kebanyakan orang yang melakukan maksiat batin,
mereka tidak dapat  mengesan wujudnya maksiat itu,
seperti riyak, sombong, ujub, ingin nama, dan sebagainya. 
Kerana yang dapat mengesannya mata hati. 
Di waktu itu, mata hatinya telah buta.

Penilaian Diri Seseorang



Setiap orang Islam itu tidak boleh diukur yang dia baik waktu datang bersembahyang di masjid.
Belum boleh diukur yang dia baik sering sembahyang berjemaah di rumah Allah.
Jangan lagi dilabelkan dia baik selalu naik haji dan buat umrah berulang kali.
Tasbih di tangan, wirid dan zikir tidak lekang.
Kerana itu semuanya ibarat berladang, baru menanam pokok.
Tidak semestinya menanam pokok, pokok itu berbuah lebat dan banyak.
Tidak semestinya menanam pokok, mendapat hasil yang memuaskan.
Orang yang beribadah tadi kita lihat dahulu di dalam pergaulannya bagaimana?
Bagaimana sikapnya di dalam pergaulan mereka?
Mereka berkasih sayang atau tidak?
Mereka bertimbang rasa atau sebaliknya?
Bagaimana dia menggunakan lidahnya?
Mereka menyakiti orang? 
Menghina orang? 
Menfitnah orang?
Dengan orang miskin dan susah mereka menolong?
Atau buat tidak tahu sahaja kesusahan orang?
Adakah mereka pemaaf? 
Meminta maaf, pemurah? 
Sabar dengan ujian?
Redha dengan takdir Tuhan?
Mereka mengutamakan diri?
Atau mengutamakan orang lain?
Apakah mereka merasa susah dengan kesusahan orang?
Senang pula dengan kesenangan orang?
Kalau kita dapat menjawab dengan baik dan tepat, memang kita kenal orang baik dan orang jahat.
Ibadah mereka berbuah, orang yang ibadahnya berbuah itulah orang baik.
Kalau ibadah sahaja banyak, tapi tidak berbuah, itu bukan orang soleh.
Mengukur orang baik, bukan dengan banyak ibadahnya.
Tapi diukur berbuahkah ibadahnya.
Tinggikah peri kemanusiaannya oleh ibadahnya.

MADAH baru 155


*M936*
Orang yang lemah iman itu hidupnya sentiasa terumabng-ambing,
jiwanya sentiasa bergelora, resah dan 
gelisah sentiasa menyerangnya,
berubah suasana, berubah pula identiti dan prinsip  hidupnya. 

 
*M937*
Takutilah  kepada apa yang patut  ditakuti,  
janganlah bimbang kepada apa yang tidak patut dibimbangkan, 
begitulah sikap orang mukmin.
  

*M938*
Orang yang sentiasa mendapat kawan di dalam permusafiran,
hakikatnya tidak dianggap berdagang di tempat orang. 
Orang yang tidak ada kawan di waktu bermukim, 
hakikatnya orang itu seolah-olah berdagang di tempat orang. 

 
*M939*
Sifat baik pada seseorang itu mudah saja berubah kepada jahat,
tapi sifat jahat seseorang itu amat susah berubah kepada baik. 

 
*M940*
Biasanya seseorang itu rasa tercabar dengan seseorang yang satu profesi dengan orang itu, 
ulama rasa tercabar dengan ulama, 
ahli perniagaan rasa tecabar dengan ahli perniagaan,
pemimpin rasa tercabar dengan pemimpin, 
artis rasa tercabar dengan artis, 
begitulah seterusnya, kerana ada saingan, 
sebab itulah hasad dengki lebih mendalam pada seseorang yang sama profesi atau yang sama bidangnya.

Indahnya Bertuhan

Indahnya bertuhan.
Senang dan tenang dibuatnya.
Kerana kasih sayang-Nya dan cinta-Nya kepada kita begitu terserlah.
Setiap saat dan ketika bahkan setiap detik kita lihat kasih sayang-Nya kepada kita.
Bukankah oksigen kita hirup kasih sayang-Nya kepada kita?
Nafas turun naik kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya?
Untuk melepaskan haus, diberi kita air.
Di waktu lapar diberi kita makan.
Itulah kasih sayang-Nya.
Berbagai-bagai pemandangan yang indah menyejukkan mata, menenangkan hati.
Suara yang lemak merdu yang kita boleh dengar di waktu hendak berhibur.
Diberi kita ilmu dan pengalaman untuk panduan hidup.
Bahkan ilmu terasa kawan di dalam diri yang boleh dibawa ke mana-mana, itulah kasih sayang-Nya.
Kita sibuk bekerja di waktu siang dengan letih dan lesu.
Diberi kita tidur di waktu malam sebagai kerehatan.
Segar bugar kembali badan kita untuk digunakan semula di siangnya.
Bukankah itu semuanya nikmat dari-Nya?
Sebagai kasih sayang-Nya kepada kita?!
Dianugerahkan di dalam jiwa syahwat.
Kalau kita lelaki ingin kepada perempuan,
kalau kita perempuan ingin kepada lelaki.
Maka terjadilah nikah kahwin untuk boleh berhibur satu sama lain.
Hasil perkahwinan dapat pula cahaya mata.
Bukankah itu cinta-Nya Tuhan kepada hamba-hamba-Nya?
Kalau begitulah kasih sayang Tuhan yang sangat terserlah,
mengapa manusia tidak terasa lagi kasih sayang-Nya?
Mengapa manusia yang dia rasa Tuhan itu semata-mata menghukum?
Mengapa yang dirasa oleh manusia ujian yang menyusahkan yang datang sekali-sekala?
Kasih sayang yang setiap detik dilupakan.
Padahal kasih sayang Tuhan dan rahmat-Nya kepada manusia begitu luas dan merata setiap detik dan masa.
Sepatutnya kita jatuh hati kepada Tuhan.
Dan cinta kita kepada-Nya tidak akan padam-padam buat selama-lamanya. 


DOA PAGI



بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على محمد وآل محمد
يَا عُدَّتِي فِي كُرْبَتِي، وَيَا صَاحِبِي فِي شِدَّتِي، وَيَا وَلِيّي فِي نِعْمَتي، وَيَا 
 فِي رَغْبَتِي، اَنْتَ السَّاتِرُ عَوْرَتِي، وَالْمُؤْمِنُ رَوْعَتِي، وَالْمُقِيْلُ عَثْرَتِي، فَاغْفِرْ لِي خَطِيْئَتِي يَا اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Ya Allah, 
sampaikan shalawat kepada Rasulullah dan keluarganya
Wahai Pelindungku dalam dukaku, 
duhai Sahabatku dalam deritaku, 
duhai Kekasihku dalam nikmatku, 
duhai Tujuanku dalam harapanku, 
Engkaulah Yang Menutupi¹ rahsiaku, 
Yang Menenteramkan ketakutanku, 
Yang Menghapuskan ketergelinciranku. 
Ampuni kesalahanku, 
wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi.

اَللَّهُمَّ اِنّي اَدْعُوكَ لِهَمٍّ لاَ يُفَرِّجُهُ غَيْرُكَ، وَلِرَحْمَةٍ لاَ تُنَالُ إلاَّ بِكَ، وَلِكَرْبٍ لاَ يَكْشِفُهُ إلاَّ اَنْتَ، وَلِرَغْبَةٍ لاَ تُبْلَغُ إلاَّ بِكَ، وَلِحَاجَةٍ لاَ يَقْضِيْهَا إلاَّ اَنْتَ

Ya Allah, 
aku berdoa kepada-Mu untuk duka yang tak akan dibahagiakan oleh selain-Mu, 
rahmat yang tak akan dicapai kecuali dengan-Mu, 
derita yang tak akan terhilangkan kecuali oleh-Mu, 
harapan yang tak akan tercapai kecuali dengan-Mu,
hajat yang tak akan dipenuhi kecuali oleh-Mu.

اَللَّهُمَّ فَكَمَا كَانَ مِنْ شَأنِكَ مَا اَذِنْتَ لِي بِهِ مِنْ مَسْأَلَتِكَ وَرَحِمْتَنِي بِهِ مِنْ ذِكْرِكَ، فَلْيَكُنْ مِنْ شَأنِكَ سَيِّدِي اْلاِجَابَةُ لِي فِيْمَا دَعْوَتُكَ، وَعَوَائِدُ اْلاِفْضَالِ فِيْمَا رَجَوْتُكَ، وَالنَّجَاةُ مِمَّا فَزِعْتُ اِلَيْكَ فِيْهِ، فَاِنْ لَمْ اَكُنْ اَهْلاً اَنْ اَبْلُغَ رَحْمَتَh اَهْلُ الْفَضْلِ، وَرَحْمَتُكَ وَسِعَتْ كُلَّ شَيْ nءٍ، فَلْتَسَعْنِي رَحْمَتُكَ

Ya Allah, 
sebagaimana Kau izinkan aku untuk bermohon kepada-Mu, 
dan Kau sayangi daku untuk mengingat-Mu. 
Maka dengan keadaan-Mu, duhai Junjunganku, 
perkenankan apa yang kumohon pada-Mu, 
limpahkan padaku karunia yang kuharapkan dari-Mu, 
dan selamatkan daku dari apa yang kumohon perlindungannya pada-Mu. 
Jika aku tak layak mencapai rahmat-Mu, 
rahmat-Mu layak mencapaiku dan meliputiku.
Jika aku tidak layak memperoleh perkenan-Mu, 
Engkau layak mencurahkan karunia-Mu, 
dan rahmat-Mu meliputi segala sesuatu. 
Maka, liputi aku dengan rahmat-Mu.

يَا اِلَهِي يَا كَريْمُ اَسْاَلُكَ بِوَجْهِكَ الْكَرِيْمِ اَنْ تُصَلِّيَ عَلَى مُحَمَّدٍ وَاَهْلِ بَيْتِهِ، وَاَنْ تُفَرِّجَ هَمِّي، وَتَكْشِفَ كَرْبِي وَغَمِّي، وَترْحَمَنِي بِرَحْمَتِكَ، وَتَرْزُقَنِي مِنْ فَضْلِكَ اِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاءِ قَرِيْبٌ مُجِيْبٌ

Duhai Tuhanku, 
duhai Yang Maha Mulia. 
Aku bermohon pada-Mu dengan wajah-Mu yang mulia, 
sampaikan shalawat kepada Muhammad dan ahlul baitnya,
bahagiakan dukaku, 
hilangkan duka dan deritaku, 
sayangi daku dengan rahmat-Mu, 
berikan padaku karunia-Mu.
Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa, 
Maha Dekat dan Maha Memperkenan.

Aduh! Malangnya Manusia



Anjing apabila diberi makan, dimanjakan, dibelai, dibuat  baik, dia akan sayang tuannya.
Sekalipun makanan itu hanya tulang-tulang, sisa-sisa dan bahan-bahan lebihan.
Dilahirkan kepadanya kasih sayang, diusap-usap belakangnya, ia akan taat setia.
Diajar dan dididik, ia akan mengikut arahan tuannya.
Selepas itu, ia tidak akan berpisah lagi dengan tuannya.
Waktu di rumah, ia jaga tuannya.
Waktu berjalan, ia ikut tuannya.
Begitulah anjing yang hina apabila kenal tuannya.
Ia tahu kasih tuannya, ia akan sayang dan taat kepada tuannya.
Begitulah Tuhan sebagai tuan manusia.
Tuannya beri dia hirup udara, dia boleh hidup.
Di waktu lapar diberi makan, di waktu haus diberi minum, di waktu letih ditidurkan.
Tuhan, Tuan bagi manusia, beri bermacam-macam kemudahan hidup, rumah, kenderaan, pakaian.
Entah apa lagi belaian Tuhan kepada manusia yang tidak dapat diucapkan.
Tapi malangnya, manusia tidak kenal Tuhan sebagai Tuannya.
Dia lupa Tuannya, jauh sekalilah taat.
Kalau begitu, kebanyakan manusia lebih jahat dan hina daripada anjing yang hina.
Anjing apabila dibelai oleh tuannya, ia taat dan setia.
Ia tidak mahu berpisah lagi dengan tuannya.
Anjing lebih mengenang budi tuannya daripada manusia.
Sepatutnya anjing yang tidak ada akal belajar dengan manusia.
Ini terbalik pula, manusia kena belajar dengan anjing yang hina.
Aduh malangnya manusia!
Tidak mengenang budi jasa Tuannya, iaitu Tuhan.
Anjing lebih mengenang budi jasa-jasa tuannya.
Patutlah manusia ramai yang masuk Neraka, anjing selamat dari Neraka 


madah baru 154



*M931*
Belajarlah dengan pengalaman,
ambillah iktibar dengan sebarang kejadian,
kita akan mendapat ilmu tanpa belajar. 

 
*M932*
Seseorang itu kalau tidak pandai 
mengontrolkan  jiwanya,
dia akan hilang kemerdekaannya disebabkan budi orang.


*M933*
Berbuat baiklah kepada orang,
kemudian lupakan saja,
supaya kita tidak terasa buat budi kepada orang,
begitulah jiwa orang merdeka.


*M934*
Orang mukmin itu dia tetap dapat 
mempertahankan identiti dan prinsip hidup 
walaupun di dalam keadaan apa sekalipun. 

 
*M935*
Orang yang munafik itu identiti dan prinsip hidupnya boleh berubah apabila berubah suasana.

MADAH baru 153



*M926*
Kalau kita beribadah kerana mengikut tradisi masyarakat, 
membuat baik kerana mengikut budaya bangsa,
bermesyuarat kerana meniru kebiasaan masyarakat, bukan hasil didikan, 
dia tidak akan melahirkan buah perpaduan serta akhlak yang mulia. 

 
*M927*
Mengapa orang yang belajar ilmu Islam tidak melahirkan akhlak yang mulia,
tidak melahirkan kasih sayang dan tidak dapat menghidupkan syariat di dalam kehidupan?
Kerana waktu dia belajar itu jiwanya telah rusak,
di antaranya, nawaitunya telah terpesong. 

 
*M928*
Ajaran Islam sangat melarang mencari nama, 
tujuan glamour, ingin dipuji dan disanjung, 
tapi itulah yang menjadi buruan orang  setiap hari.


*M929*
Belum pernah berlaku di dalam sejarah umat Islam mendapat kemenangan kerana ramai dan mempunyai kemajuan yang mengatasi lawannya,
tapi mereka diberi kemenangan kerana taqwa dan akhlaknya,
itu harus diambil perhatian oleh pejuang-pejuang Islam. 

 
*M930*
Malu dan bersopan seorang perempuan itu terasa indah oleh hati,
tapi apabila maruahnya telah punah,
terasa indah oleh nafsu. 
Di waktu itu tiada siapa menghormatinya lagi.

Rahmat Dan Nikmat Tuhan Yang Tersembunyi


Ramai umat Islam merasakan rahmat dan nikmat Tuhan itu kesihatan badan.
Diberi murah rezeki, dianugerahkan anak, mendapat pangkat tinggi.
Rumah besar, banyak harta, kereta mewah dan canggih.
Padahal nikmat yang disebutkan belum boleh menyelamatkan kita.
Adakalanya ia merosak dan dan membinasakan kita.
Kalau tidak di dunia, ia akan berlaku di Akhirat.
Tapi ada rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi.
Setengah orang tidak sedar bahawa itu adalah rahmat dan nikmat.
Rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi itu banyak pula. 
Di antaranya kalau kita berdos, diingatkan agar kita bertaubat dan bersedih dengan dosa.
Di waktu kita lalai dengan-Nya, disedarkan kita.
Sekali-sekala disusahkan kita agar kita insaf.
Adakalanya kesusahan itu untuk darjat dan pangkat.
Selalu sahaja kita mengingati Dia.
Dimasukkan di dalam hati kita sentiasa takut kepada-Nya.
Di samping itu, rasa cinta kepada-Nya selalu ada.
Digemarkan kita membuat kebaikan dan dibencikan kita dengan kejahatan.
Dijadikan kita boleh berlemah lembut dengan orang.
Boleh meminta maaf dan boleh memberi maaf.
Boleh beristiqomah dengan kebaikan.
Inilah di antara rahmat dan nikmat Tuhan yang tersembunyi.
Kalau hendak bersyukur, bersyukur kerana itulah yang lebih utama.
Kerana rahmat dan nikmat yang tersembunyi itu jarang orang dapat.
Tidak seperti rahmat dan nikmat di atas tadi.
Oleh itu pandai-pandailah menilai rahmat dan nikmat.
Agar syukur kita lebih sempurna dan tepat. 

MADAH baru 152



*M921*
Hati orang mukmin itu tidak pernah berasa senang.
Betapa tidak, 
apabila membuat dosa, hatinya susah. 
Sebelum terbuat dosapun rasa susah kalau-kalau terbuat. 
Apabila beramal, rasa gundah,
apakah Tuhan menerimanya.
Ingat mati, hatinya resah kalau-kalau berlaku suul khatimah.
Mengingat neraka, hati gelisah. 

 
*M922*
Kalau dari  sembahyang tidak lahir perpaduan, 
tidak timbul akhlak mulia,
tidak terjalin ikatan jiwa dan tidak boleh meninggalkan kemungkaran,
maka tidak ada cara lain lagi yang boleh melahirkan ini semua. 

 
*M923* 
Apabila umat Islam berjuang tidak memiliki sifat taqwa, 
jika berlaku peperangan senjata,
nescaya tidak akan dapat mengelakkan diri dari melakukan kezaliman kepada musuh-musuhnya serta melampaui batas, 
kalau berlaku peperangan secara politik,
sudah tentu akan berlaku mengumpat, mengkeji, memfitnah, mengata,
akhirnya tidak ada bezanya dengan orang yang berjuang yang tidak ada cita-cita Islam. 

*M924*
Apabila seseorang yang berjuang itu 
tidak ada sifat taqwanya,
apabila disanjung, dia akan mabuk sanjungan, riya' megah dan sombong pun datang,
apabila mendapat kesusahan pula terseksa jiwanya, hilang pula sifat sabarnya, 
dia pun kecewa kemudian putus asa.


*M925* 
Berhati-hati itu disuruh, 
tapi jangan sampai ia mengikat kita, hingga kita tidak berusaha dan bergerak, 
bersegera itu juga disuruh,
tapi jangan sampai kita melulu dan terlajak, 
kita akan tersilap langkah.

Kusembahkan Pada-Mu Tuhan Segala Usaha Dan Amalan



Kusembahkan kepada-Mu Tuhan segala usaha dan amalan.
Namun selalu sahaja berlaku, kualitinya murahan.
Tapi apakan daya, itulah yang dapat kusembahkan.
Aku harap dengan rahmat-Mu, terimalah wahai Tuhan.
Kubisikkan pada-Mu berbagai-bagai harapan.
Aku menunggu segala jawapan dari sisi-Mu, Tuhan.
Kalau jawapan tidak kudapati dari-Mu Tuhan, aku tetap redha menerimanya dengan penuh tabah dan kesabaran.
Aku sedar bahawa aku belum lagi layak menerimanya.
Kerana Engkau lebih tahu apa yang patut diberi kepada hamba-Mu.
Jika aku terima di waktu belum layak, aku pasti rosak.
Aku menunggu anugerah-Mu hingga aku layak.
Aku tidak mahu Engkau memberi aku secara istidraj.
Atau Engkau memberi aku di waktu Engkau murka.
Berilah lagi aku petunjuk.
Anugerahkanlah aku bersama taufik.
Agar hidayah dan taufik berjalan sama.
Barulah ilmu dan amalku berjalan seiring.
Di waktu itu, barulah aku layak menerima daripada-Mu apa sahaja.
Kerana itulah aku redha menunggu.
Di waktu Engkau anugerahkan kepadaku bersama keredhaan-Mu. 


Tujuan Ibadah


Tujuan berbagai ibadah hendak melahirkan rasa kehambaan.
Kerana dari ibadah itulah akan lahir rasa bertuhan.
Dari rasa bertuhan akan lahir rasa kehambaan.
Dari rasa kehambaan akan lahir sifat-sifat kehambaan, 
seperti malu, merendah diri, berkasih sayang, 
bertimbang rasa, mengutamakan orang.
Takut hendak membuat dosa dan kesalahan.
Sabar, redha, memberi dan meminta maaf, membantu orang dan lain-lain lagi sifat-sifat kehambaan yang tidak dinyatakan.
Tapi hari ini ramai orang beribadah, tidak lahir rasa kehambaan.
Yang lahir dari ibadah ialah sifat sombong, hasad dengki, 
bermegah-megah, sum'ah, gila nama, memfitnah, mengadu domba, 
berdendam sesama manusia, jahat sangka, bermusuhan sesama sendiri.
Mengapa ibadah tidak mencapai matlamatnya?
Itulah merbahayanya orang beribadah secara tradisi dan juga beribadah kerana ganjaran dan fadhilat-fadhilatnya.
Atau ibadah inginkan berkat, agar murah rezeki.
Orang yang beribadah begini, ghurur di dalam ibadahnya.
Merasa dirinya membuat baik.
Sebenarnya derhaka kepada Tuhannya.
Di Akhirat nanti akan jadi muflis.
Harapkan Syurga, Neraka yang menantinya.
Kerana itulah beribadah jangan kerana fadhilat.
Fadhilat itu biarlah hak dan ketentuan Tuhan.
Tapi kita beribadah kerana hendak melahirkan rasa kehambaan.
Kerana kita memang hamba. 


MADAH baru 151


*M916*
Kalau ilmu akhirat sudah dijadikan alat untuk dunia,
apatah lagi ilmu dunia sudah pasti akan jadi alat untuk kepentingan dunia,
di mana lagilah untuk akhirat. 

  

*M917* 
Orang yang bersandar dengan usaha semata-mata, 
adalah orang yang berfahaman qadariah, 
orang yang bersandar dengan Tuhan semata-mata tanpa usaha, 
orang yang berfahaman jabariah,
sama ada mereka sedar atau tidak.
Orang yang menggabungkan kedua-duanya sekali, 
itulah fahaman ahli sunnah wal jamaah.
  

*M918*
Memperkatakan kebenaran adalah mudah, 
mengamalkan kebenaran amat susah, 
memperjuangkannya lebih-lebih lagilah susah dan payah kalau tidak dibantu oleh Allah. 

 
*M919*
Jangan mudah menuduh dan memfitnah dan jangan juga jadikan diri kita terdedah kepada fitnah,
kedua-duanya tetap salah dan ditegah.


*M920*
Jika kita bertindak secara emosi,
kita akan melulu, buruk nampaknya dan juga kita mudah terjatuh kepada terlajak dan tersalah, buruk padahnya. 

 

Ramadhan, Rahmat Allah Terbuka Luas


Bulan Ramadhan, rahmat Allah segala-galanya terbuka luas.
Berkatnya terbuka luas di mana-mana.
Keredhaan-Nya terbuka sepanjang Ramadhan.
Keampunan-Nya terbuka siang dan malamnya.
Pahalanya mencurah-curah bagaikan hujan lebat.
Ia diganda-gandakan dibandingkan di bulan biasa.
Rahmatnya melimpah ruah kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya.
Tapi mampukah kita memperolehi itu semua?
Layakkah kita mendapatkannya?
Kitakah orangnya yang memperolehi keistimewaan itu?
Kalaulah di bulan Ramadhan itu lahir kita sahaja yang meriah, 
disambut pula dengan pesta makan minum,
fikiran dan jiwa kita tidak pun berubah,
maka keistimewaan Ramadhan bukan untuk kita.
Keistimewaan itu adalah untuk orang yang bertaqwa. 


MADAH baru 150


Setiap buah fikiran dan setiap perasaan,
kalau tidak dapat dinilai dengan ilmu syariat,
ditakuti membawa sesat,
atau paling tidak membawa sia-sia. 
Kalau ilmu syariat kita terlalu lemah,
bagaimana hendak menilai mana yang benar dan mana yang salah? 

 
*M912*
Kalau Islam itu sekadar slogan dan setakat program memenuhi masa dan sebagai aktiviti semasa, ia tidak memberi kesan apa-apa kepada jiwa manusia.  

*M913*
Berusahalah bersungguh-sungguh,
jangan sampai lupa bersandar dengan yang Maha Kuasa. 
Bersandarlah dan yakinlah dengan Tuhan yang Maha Kuasa,
tapi jangan sampai tidak berusaha. 

 
*M914*
Gabungkanlah usaha dengan tawakal kepada Allah yang Maha Kuasa,
barulah syariat itu selari dengan aqidah yang diperintah. 

 
*M915*
Orang yang jiwanya sentiasa bergelora dengan derita ialah orang yang jiwanya lemah dan hasad dengki pula dengan manusia,
lebih-lebih lagi orang yang dihasadnya itu berjaya dari dia.

pesanan pengasas Apple

Pesanan Terakhir Mr Steve Jobs, Pengasas Apple (iPhone, iPad, iPod)

Dia meninggal dunia sebagai Billionaire pada usia 56 tahun Kanser Pankreas dan inilah kata-kata terakhirnya di tempat tidur yang sakit:

"Saya mencapai puncak kejayaan dalam dunia perniagaan. Di mata orang lain, hidup saya adalah lambang kejayaan.
Pandangan orang lain, hidup saya adalah sempurna, namun, selain dari bekerja setiap hari, sebenarnya saya mempunyai hanya sedikit kegembiraan. 

Akhirnya, "kekayaan" hanyalah yang saya kejar dalam kehidupan saya.

Pada masa ini, berbaring di tempat tidur yang sakit dan mengingat kembali seluruh hidup saya, saya menyedari bahawa semua pengiktirafan dan kekayaan yang sangat saya banggakan, menjadi pucat dan menjadi tidak bermakna dalam menghadapi kematian yang akan datang.

Anda boleh mengupah seseorang untuk memandu kereta untuk anda, menjana kekayaan untuk anda tetapi anda tidak boleh meminta seseorang menanggung penyakit untuk anda.
Perkara-perkara material yang hilang dapat dijumpai. Tetapi ada satu perkara yang tidak dapat dijumpai ketika hilang - "Hidup".
Apabila seseorang masuk ke bilik operasi, dia akan menyedari bahawa ada satu buku yang belum selesai dia baca - "Buku Hidup Sihat."

Apa sahaja tahap kehidupan kita sekarang, dengan masa, kita akan menghadapi hari ketika tirai itu turun. Harta sebenar manusia adalah keluarga, cinta untuk pasangan anda, cinta kepada rakan anda ...Layan diri anda dengan baik. Hargai yang lain.

Apabila kita semakin tua, dan dengan lebih bijak, kita perlahan-lahan menyedari bahawa 

-memakai jam tangan $ 300 atau $ 30 - mereka berdua memberitahu masa yang sama ...

Sama ada kita membawa dompet / beg tangan $ 300 atau $ 30 - jumlah wang di dalamnya sama.

Sama ada kita memandu kereta bernilai $ 150,000 atau $ 30,000, jalan dan jaraknya sama, dan kita sampai ke destinasi yang sama.

Sama ada rumah yang kita tinggal seluas 300 atau 3000 kaki persegi - kesunyian adalah sama.

Anda akan sedar, kebahagiaan batin anda sebenarnya bukan berasal dari perkara-perkara material di dunia ini.

Sama ada anda terbang pertama atau kelas ekonomi, jika kapal terbang turun - anda turun dengannya ...

Oleh itu .. Saya harap anda sedar, apabila anda mempunyai pasangan, rakan dan rakan lama, saudara dan saudari, dengan siapa anda berbual, ketawa, bercakap,berhibur.. Itulah kebahagiaan sejati.

Lima Fakta Kehidupan yang Tidak Dinafikan:
1. Jangan mendidik anak-anak anda untuk menjadi kaya. Didik mereka untuk Bahagia. Oleh itu, apabila mereka dewasa mereka akan mengetahui nilai perkara bukan harganya.

2. "Makan makanan anda sebagai ubat anda. Jika tidak, anda harus makan ubat sebagai makanan anda."

3. Orang yang mengasihi anda tidak akan pernah meninggalkan anda kerana yang lain walaupun ada 100 alasan untuk menyerah, dia akan mencari satu alasan untuk bertahan.

4. Terdapat perbezaan besar antara manusia dengan manusia. Hanya sebilangan kecil yang memahaminya.

5. Anda disayangi semasa anda dilahirkan. Anda akan disayangi semasa anda mati. Jika diantara kedua waktu itu anda mengurus hidup anda dengan baik.

CATATAN TAMBAHAN : Sekiranya anda hanya mahu Berjalan Cepat, Berjalan Sendiri! Tetapi jika anda mahu Berjalan Jauh, Berjalan Bersama!

Enam Doktor Terbaik di Dunia yang sering dilupakan.
1. Cahaya matahari
2. Rehat
3. Bersenam
4. Diet
5. Keyakinan Diri dan
6. Kawan

Kekalkan mereka dalam semua peringkat Kehidupan dan nikmati kehidupan yang sihat.

MADAH baru 149


*M906*
Susah sekali menjaga hati
kerana dia mempunyai perasaan suka dan duka. 
Sukanya kalau tidak dapat dibendung,
hingga lupa yang Maha Kuasa. 
Dukanya kalau tidak dapat disekat,
membawa kecewa,
kemuncaknya putus asa yang dimurkai. 

 
*M907*
Jiwa itu kerana egonya, memberi maaf pun susah,
hendak meminta maaf pun susah,
padahal kerja keduanya paling mudah.


*M908*
Sedekah yang paling mudah adalah senyum kita di hadapan orang,
atau kemesraan kita di dalam pergaulan,
namun tidak semua orang boleh melakukannya. 

 
*M909*
Kalau kita sentiasa sedar setiap waktu bahawa Allah itu melihat, mendengar, mengetahui, berkuasa, hingga tidak lekang dari ingatan,
nescaya umat Islam tidak ada lalainya, 
apatah lagi hendak membuat dosa. 

 
*M910*
Tidak mesti yang benar itu diterima, yang salah itu ditolak kalau manusia itu tidak takut dengan Allah taala.

Buta Mata Hati



Tuhan..
Setiap detik engkau memberi oksigen kepada manusia,
membolehkan mereka menyambung hidup.
Mereka tidak pula nampak nikmat itu dari-Mu.
Setiap masa mereka menggunakan mata untuk melihat keindahan alam-Mu.
Setiap masa juga mereka mendengar
berbagai-bagai berita dan ilmu.
Menggunakan telinga yang Engkau anugerahkan pada mereka.
Namun mereka tidak terasa apa-apa bahawa itu pemberian-Mu.
Mereka hidup begitu sahaja tanpa memikirkannya.
Mereka tanpa malu-malu dengan-Mu, nikmat yang begitu besar Engkau beri kepada mereka,
seolah-olah Engkau tidak memberi apa-apa kepada mereka.
Mereka boleh berfikir dengan akal anugerah dari-Mu.
Dengan akal ini, bermacam-macam rahsia alam-Mu yang mereka temui.
Ilmu demi ilmu, penemuan demi penemuan yang mereka peroleh dari-Mu.
Walaupun begitu, tidak terasa juga oleh mereka kuasa-Mu dan anugerah-Mu.
Mereka tidak terasa kasih sayang-Mu dan nikmat dari-Mu.
Rupanya mata kepala mereka sahaja yang celik.
Mata otak mereka sahaja yang terbuka.
Mata hati mereka sudah buta.
Hampir merata manusia hidup di dunia begini keadaannya.
Engkau sebagai Tuhan, mereka melupakannya.
Lantaran itulah berbagai-bagai cara Engkau hukum mereka.
Dengan bencana alam, kemiskinan, tidak ada kasih sayang sesama mereka.
Engkau hukum mereka dengan berbagai-bagai jenayah, pergaduhan dan peperangan menyusahkan mereka.
Engkau dera mereka dengan didatangkan berbagai-bagai  penyakit merbahaya.
Namun masih belum lagi mereka insaf dan sedar.
Mereka tidak akan sedar selagi mata hati mereka buta.
 

MADAH baru 148


*M901*
Jangan melampau bersolek, nanti manusia meluat,
tapi jangan langsung tidak berhias, nanti manusia menuduh kita tidak tahu mengurus diri.


*M902*
Kalau kita selalu bergaul dengan masyarakat, 
janganlah kita berlagak 
kerana orang sudah tahu siapa kita.


*M903*
Kalau kita merendah diri kerana kita serba kekurangan,
memang begitulah sepatutnya. 
Kalau kita merendah diri kerana kita serba ada, orang hormat dan malu dengan kita. 
Kalau kita sombong dengan orang, kalau kita serba kekurangan,
orang benci dua kali ganda.


*M904*
Kalau pemerintah telah menakut-nakuti dan mengugut rakyatnya,
terlalu banyak akta dan peraturan untuk rakyatnya,
ertinya bukan pemerintah yang berkuasa di atas rakyat,
pemerintah hanya boneka.


*M905*
Kalau pemerintah sudah hilang wibawa, 
rakyat pun membenci,
bukan senang hendak tebus semula harga diri,
oleh itu lebih baik mengundur diri.


 

Bimbang Menyambut Ramadhan



Tuhan..
Aku tidak tahu mengapa aku ini.
Aku berlainan sekali dari orang.
Setiap kali kedatangan Ramadhan, mereka menyambut dengan gembira.
Muka-muka mereka kelihatan ceria.
Tapi aku berlainan pula.
Kedatangan Ramadhan penuh dukacita.
Bukan aku benci dengan bulan-Mu, yang penuh dengan rahmat dan berkat.
Tapi aku benci dengan diriku.
Aku bimbang Ramadhan-Mu, aku tidak dapat mengisinya dengan sebaik-baiknya.
Aku rasa puasaku tidak sempurna.
Bahkan adakalanya aku rasa puasaku terbatal selalu.
Sembahyang yang aku bina tidak sah.
Tarawikh dan bacaan Al Quranku tidak sampai ke mana.
Tuhan..
Inilah yang menyelubungi hatiku setiap kali kedatangan Ramadhan.
Aku tidak tahu apakah ini satu kesalahan.
Ampunkan aku Tuhan.
Maafkan aku, kalau ini satu kesalahan.
Pimpinlah aku dan betulkanlah sikapku.
Sekali lagi aku memohon ampun dari-Mu. 


MADAH baru 147



*M891*
Kalau dia seorang pemimpin, tidak selayaknya dia berkata, 
"Saya telah berjasa," 
"Saya telah buat itu dan ini untuk rakyat," 
"Orang kagum dengan kemajuan kita, " dan lain-lain lagi. 
Ertinya pemimpin itu ingin dipuji dan dikenang jasanya.


*M892*
Seseorang Islam itu tidak akan kecewa di dalam perjuangan,
kerana dia berjuang itu kerana Allah Taala sama ada berjaya atau tidak, dipuji atau dikeji, ditentang atau disokong, menang atau kecundang,
yang dia risaukan apakah perjuangan itu diterima Tuhan atau tidak.


*M893*
Jangan dirisaukan dengan kesusahan, ia bukan suatu dosa. Jangan merintih dengan ujian, ia bukan satu kesalahan. 
Merintihlah kerana dosa dan bersedihlah kerana tidak sempurna ibadah,
kerana ia adalah satu kesalahan.


*M894*
Engkau sedih dengan kemiskinan,
kalau kaya bolehkah pemurah? 
Engkau sedih dengan kesusahan, 
kalau senang bolehkah engkau beribadah lebih baik lagi? 

 
*M895*
Bilamana orang yang bersyariat tidak berakhlak, 
orang akan takut dengan Islam kerana menyangka begitulah kesan orang yang mengamalkan ajaran Islam di dalam kehidupan. 

 

MENGAKU HAMBA SAHAJA TIDAK CUKUP



Kita kan hamba Tuhan, 
mengaku sahajalah yang kita ini hamba.
Mengaku sahaja tidak cukup, rasa kehambaan itu kenalah kekalkan.
Kita kekalkan rasa kehambaan, seperti rasa lemah, hina, merendah diri, tidak sempurna, tidak ada kuasa, memerlukan bantuan dan pertolongan Tuhan.
Rasa bertuhan, seperti rasa, dikuasai, diketahui, dilihat, didengar dan lain-lain lagi.
Terimalah hakikat ini, jangan sombong dan membesarkan diri, memang kita hamba.
Jangan pula mentang-mentang pandai, rasa kehambaan hilang.
Jangan pula mentang-mentang ada kuasa atau kaya, rasa bertuhan gersang.
Di waktu itu kita  rasa kita adalah segala-galanya, kita adalah super power.
Bala bencana datang menimpa, ujian-ujian menyusahkan kita, kejahatan orang timpa-menimpa, mengapa tidak ditolak sahaja perkara yang negatif itu 
dengan kuasa yang ada, dengan kekayaan dan ilmu yang banyak?
Sudah tentu kita tidak mampu menolaknya bukan?
Itulah menunjukkan kita ini hamba Tuhan, lemah menolak perkara yang kita tidak suka.
Kalau begitulah hakikat diri kita, janganlah sombong, rujuklah sahaja kepada Tuhan sekalipun kaya, berilmu dan berkuasa.
Kembalilah kepada Tuhan, bernaunglah di bawah kekuasaan-Nya.
Mintalah keselamatan dari-Nya, merendah dirilah kepada-Nya.
Jangan sombong dengan hamba-hamba-Nya.
Memang kita lemah, mengapa malu kita bernaung di bawah kekuatan-Nya?
Tidak nampak lagikah kuasa Tuhan, datang penyakit serius, semua manusia ketakutan.
Mana ilmu, mana kekayaan dan kuasa kita?
Kita hamba, berlagaklah sebagai hamba.
Jangan berlagak sebagai tuan atau Tuhan!
Nahas kita dibuatnya, sanggupkan kita menerima padahnya? 

MADAH baru 146



*M886*
Kebaikan itu biarlah orang lain menilai dan biarlah orang lain yang menyebutnya, bukan kita. 
Kalau kita yang menyebutnya, tanda ingin nama maka hilanglah keikhlasannya,
rugi dan sia-sialah kebaikan kita itu kerana Allah Taala tidak menerimanya.


*M887*
Kalau rata-rata ikatan hati di antara murid dan guru sudah hilang, 
ikatan hati di antara pemimpin dengan pengikut sudah renggang, 
ikatan hati antara ibu bapa dan anak-anak terumbang-ambing, 
ikatan jiwa suami isteri sudah tiada, 
ikatan hati antara kawan dengan kawan sudah kecundang,
ertinya perpaduan pada sesuatu bangsa itu sudah hilang. 

 
*M888*
Kalau guru sudah tidak dihormati,
pemimpin-pemimpin tidak ditaati,
ibu bapa tidak dikasihi, kawan dengan kawan tidak diingati,
ertinya masyarakat sesuatu bangsa itu sudah punah.


*M889*
Pemimpin yang baik itu dapat mendidik rakyatnya bertaqwa kepada Allah, mentaati pemimpin, cinta kepada negaranya,
terlalu sedikit jenayah berlaku di dalam negaranya.


*M890*
 Kalau sesuatu bangsa itu,
jika miskin tiada siapa yang membela,
kaya yang bakhil banyak orang tidak suka,
yang pandai sombong pula,
para pemimpin ditakuti saja, 
pihak keselamatan tidak di percaya, berjalan seorang tidak terjamin keselamatan,
ertinya bangsa itu sudah tiada wibawa.

CIRI ORANG YANG LEMAH JIWA



Diantara ciri-ciri orang yang lemah jiwa banyak macamnya.
Memuji diri termasuk orang lemah jiwa kerana hendak menghibur hatinya.
Termasuk juga ingin dipuji, tanda lemah jiwa.
Kalau tidak dipuji, terseksa jiwanya.
Termasuk yang lemah jiwa rasa bangga, hati selalu berbunga apabila berjaya.
Hairankan diri termasuk juga lemah jiwa.
Ego atau sombong lebih-lebih lagilah lemah jiwa.
Dia ambil sifat yang bukan sifatnya.
Itu adalah sifat Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa.
Rupanya lemah jiwa, orang yang berjaya dengan orang yang tidak berjaya tidak sama.
Orang yang tidak berjaya rasa kecewa, kemuncaknya putus asa, begitulah lemah jiwanya.
Yang berjaya seperti yang telah dicerita.
Orang yang tidak lemah jiwa biasa sahaja, tenang hidupnya.
Samada hidupnya berjaya, mahupun hidupnya tidak berjaya.
Orang yang kuat jiwanya macam mana pula agaknya?
Bagaimana pun keadaan hidupnya tenang sahaja.
Di dalam keadaan apa pun sama sahaja.
Mengapa seseorang itu kuat jiwanya.l?
Apakah rahsianya kuat jiwanya?
Kerana dia kuat dengan Tuhannya.
Dia tahu rahsia Tuhan mengapa dia diperlakukan oleh Tuhannya.
Kerana Tuhannya, dia tenang sahaja.
Itulah dia orang yang kuat jiwanya.
Kerana pautan dengan Tuhanlah menjadikan kuat jiwanya. 


MADAH baru 145



*M881*
Kalau pemimpin di sebuah negara telah mula takut dengan rakyat,
rakyat pula telah mengata di belakangnya, 
jika pemimpin-pemimpin dan rakyatnya tidak membuat perubahan,
tanda bangsa itu akan hancur.


*M882*
Telah menjadi sunnatullah, pemimpin-pemimpin yang adil itu, ia datang sekali sekala,
kemudian masanya tidak panjang pula.


*M883*
Kalau rakyat sesebuah negara itu sudah mayoritinya tidak suka dengan pemimpin,
apa saja yang pemimpin buat sudah tidak ada nilainya
lagi, kalau pemimpin itu sedar,
ia letak jawatan lebih baik daripada meneruskan pimpinannya. 

 
*M884*
Kalau sesebuah negara itu rakyatnya telah banyak yang jahat,
jenayah berleluasa, perpecahan sering berlaku,
pertanda pemimpin itu sudah tidak dibantu oleh Allah atau berkatnya sudah tidak ada lagi.


*M885*
Bukan senang mengesan ria, ujub dan sombong kalau mata hati masih tertutup dan ilmu mengesannya tidak ada pula.

MAZMUMAH MENGERASKAN HATI



Mazmumah itulah yang mengeraskan hati nurani yang bertapak di dalam hati daging yang lembut.
Apabila hati nurani menjadi keras, seluruh pintu kebaikan tertutup.
Tersumbatlah telinga untuk mendengar kebenaran.
Ilmu sudah tidak terjatuh ke hati, hanya tersangkut di dalam akal.
Mata melihat, namun kebenaran tidak juga dapat dilihat.
Pintu hati tersendat rapat.
Rasa takut, malu, cinta, bertimbang rasa, tabah dan redha, tidak masuk lagi di hati.
Akal bukan lagi memikirkan kebaikan, bukan lagi memikirkan Tuhan dan perintah-perintah-Nya.
Yang difikirkan adalah makan, minum, pangkat, dunia dan betina.
Apabila tidak dapat, mengeluh, dukacita, kecewa, kemuncaknya putus asa.
Kalau dapat pula bakhil, sombong, angkuh, tamak, menzalim dan berfoya-foya.
Jagalah hati dengan sebaik-baiknya.
Ia adalah merupakan sumber kebaikan dan juga sumber kejahatan.
Kalau dia menjadi sumber kebaikan, sumber kejahatan tertutup.
Jika ia menjadi sumber kejahatan, maka sumber kebaikan pula tertutup.
Kedua-dua sifat itu tidak akan boleh bertemu.
Apabila yang satu menang, maka yang satu lagi kalah.
Kalau yang satu itu berfungsi, maka yang satu lagi mati.
Jadikanlah hati itu sumber segala kebaikan.
Jangan jadikan dia sumber segala kejahatan.
Kamu akan binasa dan kecewa. 


MADAH Baru 144


*M876* bari 144
Apabila pejuang-pejuang Islam telah membaiki diri,
itu petanda kemenangan telah hampir, musuh akan kalah.


*M877*
Kalau seorang pemimpin itu, dia tidak faham apakah pengikutnya atau rakyatnya masih suka atau tidak kepadanya,
itulah tandanya dia tidak layak jadi pemimpin.


*M878*
Para-para pejuang Islam menentang musuhnya itu lebih mudah daripada membaiki diri,
kerana itulah kemenangan lambat Allah berikan kepada mereka. 

 
*M879*
Para pejuang kurangkan ketawa banyakkan menangis,
kurangkan gembira banyakkan duka cita,
kurangkan mengata, banyakkan mencerca diri sendiri.


*M880*
Apalah ertinya memimpin, kalau rakyat atau pengikutnya sudah tidak suka,
mengundurkan diri itu lebih baik daripada meneruskan memimpin.

HAMBA PILIHAN TUHAN


Siapa yang mampu menerima ujian dan jiwanya tidak rosak?
Siapa yang redha dengan ketentuan, hatinya tetap tenang?
Siapa yang mampu bermujahadah dan tidak jemu-jemunya?
Siapa yang terseksa dengan pujian
kerana merasa tidak layak menerimanya, 
kerana pujian itu adalah hak Tuhan? 
Siapa yang mampu menerima penghinaan
kerana sedar bahawa itulah hakikat dirinya
dan dia boleh menerima kerana begitulah kejadian nya?
Tuhan adalah idolanya.
Cinta agung, yang disanjung dan dipuja.
Dibesarkan dan disembahnya.
Ini adalah manusia yang luar biasa.
Dia adalah hamba pilihan Tuhan di mayapada.
Rezeki manusia padanya.
Pertolongan dan bantuan Tuhan dari sisinya.
Hamba ini telah menyelamatkan seluruh manusia dari berkatnya.
Cuma manusia tidak mengetahuinya.
Kerana ia berlaku secara ghaib atau secara rohaniah.
Kalaulah manusia tahu, sudah tentu manusia terhutang budi kepadanya, kerana dia adalah penyelamat manusia. 

MADAH baru 143


*M866*
Ada kalanya berita-berita gaib diberitahu 
pada sesuatu umat tentang sesuatu kejadian akan berlaku, 
agar manusia sedar tiada satu kuasa pun yang boleh menyekat dan boleh membendung,
padahal ia telah diberitahu lebih dahulu. 
Begitulah hebatnya kuasa Tuhan, 
tiada siapa yang boleh menghalangnya.


*M867*
Kebenaran yang akan berlaku di dalam kehidupan, tidak  semudah yang kita fikirkan,
Ia melalui perjuangan.
Ia akan menempuh ujian demi ujian lebih dahulu.
Pengikut-pengikutnya akan disaring dan ditapis lebih dahulu agar yang lemah jiwa terbuang,
yang ada kepentingan akan menyisih diri, musuh di dalam selimut lari,
yang berpura-pura membawa diri, 
hanya yang tinggal tyang sejati,
barulah kebenaran itu diberi kemenangan.


*M868*
Di dalam perjuangan kebenaran,
membaiki diri itu ialah senjata yang paling tajam dan ampuh untuk mengalahkan musuh secara tidak disedari,
tapi itulah yang paling berat 
untuk dilakukan oleh para pejuang Islam.


*M869*
Membaiki diri itu separuh kemenangan di dalam perjuangan telah diperolehi,
tinggal separuh lagi untuk dicari.


*M870*
Lambat perjuangan kebenaran itu mendapat kemenangan,
karena para pejuangnya lambat membaiki diri,
hanya terlalu memikirkan musuhnya sahaja, tanpa memikirkan diri.

MADAH baru 142


Ilmu kerohanian tidak sama dengan ilmu batin. 
Ilmu kerohanian ialah ilmu bagaimana bermujahadah membersihkan hati daripada mazmumah dan menghiasinya dengan mahmudah. 
Ilmu batin ialah ilmu hanya  batin sahaja yang berperanan, anggota lahirnya tidak perlu bersyariat.


*M862*
Jangan hanya memberi makan jasad lahir dengan sempurna, sedangkan itu akan jadi tanah,
padahal roh akan kekal, sepatutnya 
lebih perlu lagi diberi makan dengan sempurna.


*M863*
Orang yang ada kepentingan, dia akan menjual nama pemimpin, 
bukan kerana setia dengan pemimpin tapi agar orang mengikutnya, kemudian dia akan menggunakan tenaga itu untuk kepentingan dirinya.


*M864*
Kalau diam itu mutiara, eloklah diam. 
Jika bercakap itu mutiara, eloklah bercakap kerana manfaatnya merata.


*M865*
Biasanya bakal pemimpin umat Islam yang adil atau benar itu, ada isyarat dari Tuhan. 
Di zaman nabi dan rasul ada wahyu memberitahu. 
Zaman tiada rasul dan nabi, mimpi atau firasat orang yang soleh memberitahu.

MADAH baru 141


*M856*
Kalau kita orang alim, hendaklah kita pandai menilai diri kita, apakah kita orang alim berwatak rasul atau orang alim berwatak nabi,
agar kita pandai berperanan di dalam kehidupan kita.


*M857*
Ilmu akal adalah melalui guru, belajar, 
membaca, berfikir, mengkaji dan menyelidik. 
Ilmu ilham, ilmu terjatuh di dalam hati tanpa fikir dahulu.


*M858*
Ulama yang berwatak rasul boleh pimpin diri dan orang lain, 
yang berwatak nabi boleh pimpin diri sendiri, 
yang tidak berwatak rasul dan nabi, diri sendiri pun tidak mampu memimpinnya, apatah lagi orang lain.


*M859*
Orang yang kasyaf tanpa ilmu dan sebelum jiwanya bersih, biasanya syaitan dapat menipunya, 
akhirnya orang itu akan tersesat.


*M860*
Seseorang wali itu tidak mesti ada karamah sebagai syarat kewaliannya,
tetapi biasanya wali itu lumrah berlaku ke atas dirinya
sama ada karamah maknawi atau karamah hissi.

PEMIMPIN BAGAI IBU AYAH



Apabila mendapatkan pemimpin atau guru, bukan sahaja mendapatkan ilmu.
Tapi mendapatkan ibu dan ayah, mendapat bapa yang pengasih dan mendapat ibu tempat bermanja.
Lebih-lebih lagi mendapat pelindung dan tempat mengadu segala masalah.
Bahkan peranan pemimpin dan guru lebih tinggi daripada peranan ibu dan ayah.
Biasanya peranan ibu dan ayah memberi makan minum, menjaga kesihatan badan.
Tapi guru, lebih-lebih lagi pemimpin, memberi ilmu, tunjuk ajar, makan dan minum.
Tempat berlindung, tempat kasih sayang dan bermanja.
Tempat mengadu, tempat menyelesaikan masalah.
Apabila dapat guru atau pemimpin, tidak ada ibu dan ayah pun tidak mengapa.
Pemimpin dan gurulah pengganti tempat ibu dan ayah.
Segala persoalan hidup, pemimpin dan gurulah yang bertanggungjawab.
Masih ada pelindung, masih ada tempat bermanja dan masih ada tempat kasih sayang.
Guru-guru tidak lagi bertanggungjawab sebagai guru.
Kerana itulah banyak manusia yang terbiar.
Ramai orang yang kehilangan tempat kasih sayang dan tempat bermanja.
Terdedahlah perlindungan manusia.
Padahal kehilangan tempat bermanja, kehilangan tempat kasih sayang, dirasakan oleh manusia sangat terseksa.
Kehidupan mereka terasa kosong, sekalipun banyak harta.
Jiwa resah dan gelisah, sekalipun di dalam keadaan mewah.
Kasih sayang tempat bermanja tidak boleh ditukar ganti.
Kasih sayang tempat bermanja tidak boleh ditukar dengan wang ringgit, pangkat dan harta.
Ia sangat diperlukan oleh manusia setiap masa, sekalipun orang dewasa dan orang tua. 


Bumi Tuhan... Bersaksilah