Hari ke-6 kehilangan MH370, dunia terus terpinga-pinga. Teknologi yang sudah dituhankan oleh sebahagian besar manusia juga menemui jalan ‘mati’.
Teknologi tidak bersalah, yang bersalah adalah manusia yang menjadikan teknologi sebagai tuhan baru mereka. Segala-galanya dirujuk kepada teknologi atau sains.
Ungkapan yang banyak tersebar di media social khususnya facebook, “bila kuasa sains berakhir, bermulalah kuasa Tuhan” adalah sebaris ungkapan sesat dan menyimpang jauh dari aqidah Islam.
Sains tidak berkuasa. Sains hanya mengkaji, menghurai dan mengolah segala ciptaan Tuhan.
Sains tidak berupaya mencipta sesuatu yang baru melainkan hanya mengadun dan mengolah bahan-bahan yang telah diciptakan oleh Allah.
Sepertilah tukang masak. Mereka hanya mengolah atau mengadun bahan-bahan dari pelbagai jenis untuk dijadikan menu baru, mengikut keperluan dan kesesuaian setempat atau semasa.
Sebelum kita memperkatakan tentang teknologi berkaitan MH370, minggu lepas ada orang bertanya tentang teknologi pengklonan. Adakah ini satu teknologi yang cuba mencabar kuasa Tuhan?
Tuhan tidak akan tercabar dengan manusia sekalipun ramainya manusia yang mahu mencabar Tuhan.
Tuhan menciptakan Nabi Adam tanpa didahului oleh sebarang makhluk berupa atau bernama manusia. Kemudiannya Allah menciptakan Siti Hawa dari tulung rusuk Nabi Adam. Bolehkah dikatakan ini satu permulaan system klon?
Nabi Isa as juga diciptakan tidak melalui system persenyawaan dua benih berbeza lelaki dan perempuan. Bukankah teknologi kejadian tiga manusia mulia ini lebih hebat dari teknologi pengklonan?
Klon sebenarnya masih sangat bergantung kepada kejadian asal. Sains tidak akan mampu dan selamanya tidak akan boleh mencipta suatu makhluk yang baharu!
Itulah sains atau secara khususnya teknologi. Teknologi adalah makhluk yang diolah oleh sejenis makhluk yang bernama manusia.
Allah ciptakan manusia ada fizikal, akal, nafsu dan roh. Dengan akal manusia telah menemui teknologi seperti apa yang kita nikmati sekarang. Tetapi semata-mata dengan akal sahaja, manusia tidak mampu menemui Tuhan.
Kehilangan pesawat Boeing 777-200, MH370 telah membuatkan dunia kembali berfikir bahawa teknologi bukan segala-galanya. Teknologi yang selama ini disangka mempunyai kemampuan luar biasa tanpa sempadan, akhirnya ‘tersekat’ dalam kes MH370.
Allah buatkan teknologi jadi bodoh ketika dunia sedang mengkaguminya. Allah jadikan teknologi celaru, kelu dan buntu dalam menghuraikan kes MH370.
Kita diingatkan kembali kepada peristiwa Nabi Ibrahim berhadapan dengan kaumnya, “Tanyalah kepada berhala yang paling besar itu tentang siapakah yang telah merosakkan berhala-berhala tersebut?”
Maka kehilangan pesawat canggih MH370 telah dirujukkan kepada semua teknologi yang serba canggih juga. Ternyata teknologi yang canggih itu juga tidak mampu memberikan jawapannya.
Sewaktu manusia semakin ghairah mahu mencabar Tuhan dengan teknologi, Allah telah mencabar teknologi dengan teknologi juga.
Sudah sampai masanya manusia kembali tersedar bahawa teknologi itu bukan Tuhan!
Teknologi itu sendiri adalah ciptaan Tuhan! Teknologi adalah makhluk sekali gus sebahagian dari tanda-tanda kebesaran kuasa Tuhan!
Ungkapan yang lebih tepat adalah, sains bermula di atas kuasa Tuhan dan dengan izin Tuhan. Berakhirnya kemampuan sains, bermakna Tuhan mahu kembalikan perhatian manusia daripada sains kepada Tuhan.
Kehilangan MH370 akan mengembalikan manusia kepada Tuhan yang sebenar, iaitu Allah Yang Maha Agung!
No comments:
Post a Comment