Taqwa sering dikaitkan oleh Allah dengan iman. Bahkan taqwa bermula dari iman. Taqwa tumbuh dari iman. Iman adalah perkara asas yang perlu ditanam ke dalam hati seseorang terlebih dahulu. Apabila iman yang ditanam itu sudah sejati barulah akan lahir taqwa dalam diri seseorang.
Orang yang beriman belum tentu bertaqwa. Tetapi orang yang bertaqwa sudah tentu dia beriman. Kerana iman itu berperingkat-peringkat. Tidak semua peringkat iman boleh menghasilkan taqwa.
PERINGKAT-PERINGKAT IMAN
1. Iman taqlid
2. Iman ilmu
3. Iman ‘ayyan
4. Iman haq
5. Iman haqiqat
Iman Taqlid Dan Iman Ilmu
Iman orang yang bertaqlid atau iman turut-turutan atau iman ikut-ikutan, imannya adalah tepat iaitu dia percaya kepada Allah dan Rasul tetapi kepercayaannya tanpa dalil, tanpa keterangan dan tanpa ilmu pengetahuan. Orang begini tidak kuat dan tidak teguh imannya. Imannya mudah goyang dan goncang.
Begitu juga iman ahli ilmu. Imannya tepat. Tetapi walaupun keyakinannya kepada Allah dan Rasul dapat disokong dengan dalil-dalil, keterangan dan hujah-hujah namun iman peringkat ini baru sekadar sah.
Jiwanya belum kuat sedangkan kekuatan seseorang itu adalah pada jiwanya. Iman seperti ini belum sanggup melawan syaitan dan hawa nafsu. Kerana itu orang yang peringkat imannya di tahap ilmu akan melanggar perintah Allah dalam sedar. Orang yang mempunyai iman ilmu hanya pandai berkata-kata kerana dia ada ilmu tetapi tidak dapat mengotakan kata-katanya. Mereka dalam golongan ini akan menjadi mukmin ‘asi (derhaka) atau mukmin yang fasik atau mukmin yang berpura-pura.
Orang mukmin seperti ini setakat boleh mengucap dua kalimah syahadah dengan lidahnya dan akalnya percaya adanya Allah Taala dengan segala sifat-sifat yang wajib bagi-Nya. Tetapi dia belum dapat menanam kekuatan iman di dalam hatinya.
Hatinya belum merasai yang Allah sentiasa melihat dan memerhatikan tingkah laku dan gerak-gerinya. Mukmin seperti ini, walaupun ilmunya tinggi melangit dan di dadanya penuh Al Quran dan Hadis, namun nafsunya masih besar. Sifat-sifat mazmumah seperti riyak, ujub, hasad, sombong, pendendam, bakhil, gila puji, gila pangkat dan lain-lain masih banyak bersarang di dalam hatinya dan syaitan pula sentiasa menggodanya.
Orang-orang mukmin seperti ini tidak sanggup menghadapi ujian-ujian hidup sama ada yang berbentuk kesenangan mahupun yang berbentuk kesusahan. Ertinya, kalau dia berhadapan dengan kesenangan, dia akan lupa dirinya dan akan terus terjebak ke dalam perangkap nafsu dan syaitan. Manakala kalau dia berhadapan dengan kesusahan pula, dia akan cemas dan akan hilang daya pertimbangan. Dia akan bertindak di luar kehendak dan batas syariat.
Iman yang sejati itu, dari mana akan lahir taqwa, setidak-tidaknya adalah peringkat iman ‘ayyan iaitu iman orang yang cukup yakin dengan Allah dan Rasul, lengkap dengan pengertian dan fahamannya serta diikuti dengan tindak-tanduk dan perbuatan.
Orang yang beriman taqlid perlu meningkatkan imannya ke peringkat iman ilmu dengan cara belajar dan menambah ilmu. Orang yang beriman ilmu pula perlu meningkatkan imannya ke peringkat iman ‘ayyan dengan cara mengamalkan ilmu-ilmu yang diketahuinya dengan faham dan khusyuk.
Penjelasan Tentang Iman ‘Ayyan
Ini iman orang yang soleh atau iman ashabul yamin atau iman golongan abrar iaitu orang yang sentiasa sedar bahawa Allah Taala sentiasa mengawasi dirinya. Dengan kata-kata lain, orang yang memiliki iman ‘ayyan hatinya sentiasa dapat merasakan kehebatan Allah. Dia ada hubungan hati dengan Allah. Kalau pun ada lupa dan lalainya kepada Allah, ianya terlalu kecil dan sedikit.
Kerana itu, orang yang memiliki iman ‘ayyan ini adalah orang yang sentiasa takut kepada Allah dan kuat sekali penyerahan dirinya kepada Allah. Kalau iman ilmu, keyakinan Cuma bertempat di fikiran, tetapi iman ‘ayyan, keyakinan bertempat di hati. Ini digambarkan dalam sepotong ayat Al Quran:
Maksudnya: “Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk dan di masa berbaring dan mereka sentiasa memikir tentang kejadian langit dan bumi lantas mereka berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Tidak Engkau jadikan semua ini sia-sia’.” (Ali Imran: 191)
Iman ‘ayyan mampu memacu umat ini menjadi umat yang gigih dalam memikul beban perintah Allah SWT. Iman ‘ayyan juga merupakan benteng yang kukuh yang melindungi umat dari terjebak dan terjerumus kepada berbagai anasir negatif, kemungkaran dan kemaksiatan. Iman ‘ayyan menjadikan seseorang itu memiliki kekuatan jiwa, gigih, kuat cita-cita, tahan diuji dan sanggup berkorban.
Oleh kerana orang mukmin yang sejati itu, perasaan bertauhid menghayati jiwanya, maka dia sentiasa takut dengan Allah malah rasa takutkan Allah itu bergelora di hatinya. Orang seperti ini sahajalah yang boleh tunduk kepada syariat Allah Taala. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Hanya sanya, orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah, bertambahlah mereka beriman dan mereka terus menyerah diri kepada Allah.” (Al Anfal: 2)
Sikap orang mukmin yang sejati itu, apabila Allah Taala mendatangkan hukum-hakam dan peraturan hidup, dia tidak akan memilih-milih mana yang sesuai mengikut kehendak nafsunya dan menolak mana yang bertentangan dengan kehendak nafsunya. Orang mukmin yang sejati tidak menyoal dan tidak mempertikai hukum Allah dan bersikap lurus dalam melaksanakan hukum Allah atau dalam meninggalkan larangan- Nya walau apa pun yang terjadi. Dia akan terus melaksanakan perintah Allah tanpa ragu oleh kerana jiwa tauhidnya berakar umbi di dalam hati. Dia patuh dan akan memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap segala perintah Allah. Firman Allah Taala:
Maksudnya: “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar menghukum di antara mereka, mereka ucapkan, “Kami dengar dan kami patuh”. (An Nur: 51)
Berbeza dengan orang yang tidak takut dengan Allah, dia akan memilih-milih hukum Allah di dalam perlaksanaannya. Dia akan mengamalkan sesetengahnya dan meninggalkan sesetengahnya pula. Inilah sikap orang yang bukan mukmin sejati. Dia Allah golongkan ke dalam golongan orang yang sesat akibat dari sikapnya yang memilih-milih itu. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Tidak dianggap orang mukmin yang sebenar sama ada lelaki mahupun perempuan apabila Allahdan Rasul-Nya mendatangkan sesuatu perintah, bahawa mereka mahu memilih pada urusan mereka dan siapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka telah sesatlah dia dengan amat nyata.” (Al Ahzab: 36)
IMAN HAQ DAN IMAN HAQIQAT
Iman yang paling baik ialah iman haq dan iman haqiqat. Ini adalah merupakan kemuncak iman iaitu iman bagi orang-orang yang hampir dengan Allah atau apa yang dinamakan sebagai golongan muqarrabin. Ia bukan lagi setakat iman sejati tetapi adalah iman yang sebenar dan iman yang sempurna. Orang yang memiliki iman haq dan iman haqiqat adalah orang yang sangat bertaqwa dan kuat penyerahan dirinya kepada Allah.
No comments:
Post a Comment