Tipu Daya Dan Ujian Kepada Perawat...

Kehidupan seorang perawat tidak terlepas dari tipu daya jin dan syaitan. Kadangkala ketika merawat pesakit, jin berdialog dan memberitakan pelbagai informasi yang berkaitan. Jin-jin gangguan tersebut akan mengaku samada ianya adalah jin sihir, jin saka dan sebagainya. Jika kena pada kaedahnya jin-jin sihir akan memberitahu kepada perawat siapa tuannya , mengapa dia mengganggu pesakit dan semua maklumat-maklumat yang diperlukan. Adakah maklumat-maklumat ini boleh diguna pakai…?

Ada sesetengah orang pula yang berkemampuan melihat alam ghaib, mereka dapat melihat makhluk-makhluk yang tidak dapat dilihat oleh pandangan biasa. Kadangkala mereka dapat mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi tentang orang lain. Adakah mereka ini benar-benar melihat dengan sebenar-benar penglihatan, atau adakah kemungkinan wujudnya penipuan oleh makhluk-makhluk ghaib ini..?




Ada pula diantara mereka yang sering mendapat mimpi didatangi oleh seseorang, samada orang berjubah atau berserban atau berupa perempuan tua atau wanita-wanita cantik. Mereka diajar beberapa kalimah doa dan ayat-ayat yang perlu diamalkan, samada untuk perubatan, pertahanan diri dan lain-lain. Ada juga yang diajar mengurut, diajar dan ditunjukkan terus tentang kaedah-kaedah perubatan atau jurus-jurus persilatan. Apakah mereka-mereka yang bermimpi sebegini termasuk didalam golongan insan pilihan atau ini hanya mimpi biasa, atau apakah ini juga kemungkinan tipu daya dari makhluk-makhluk ghaib yang melakukan penyamaran…?

Kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang kisah Syeikh Abdul Qadir Jailani seorang wali Allah yang terkenal. Beliau dikatakan penghulu para wali, dikenali sebagai Sultanul Aulia’ dan Al-Ghautsul A’dzham Quthb Al-Rabbani. Semoga Allah swt melimpahkan rahmat kepadanya

Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani lahir pada 1 Ramadhan tahun 471H / 1077 M di sebuah desa bernama Jailan Thabaristan. Ayah dan Ibunya mempunyai pertalian nasab yang bersambung dengan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Syeikh Musa anak kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani pernah menceritakan, dia mendengar ayahnya bercerita. Satu ketika dulu, Syeikh Abdul Qadir Jailani sedang berkelana di padang pasir, sudah berhari-hari lamanya dia tidak minum air. Saat Syeikh Abdul Qadir sedang sangat kehausan, tiba-tiba datanglah awan menaunginya dan menurunkan sejenis embun sehingga Syeikh Abdul Qadir dapat minum darinya.

Kemudian dia melihat cahaya yang sangat terang memenuhi alam, tiba-tiba dia terdengar satu suara berkata kepadanya, ”Wahai Abdul Qadir, aku adalah tuhanmu, mulai saat ini aku halalkan bagimu apa yang telah aku haramkan sebelum ini.

Syeikh Abdul Qadir berkata, “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terlaknat”. Ketika itu juga cahaya tersebut hilang, yang tinggal hanyalah kepulan asap. Kemudian suara itu berkata lagi, “ Wahai Abdul Qadir, engkau berjaya selamat dari godaanku kerana ketinggian ilmu dan kemuliaanmu. Dengan tipu daya yang sama aku telah berjaya menjatuhkan lebih dari tujuh puluh orang wali”.

Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Segala keutamaan dan kekuatan hanyalah milik Allah”.

Syeikh Abdul Qadir Jailani ditanya, bagaimana beliau tahu itu adalah syaitan. Beliau menjawab, “apabila suara itu mengatakan, ‘aku halalkan bagimu apa yang telah aku haramkan sebelum ini’ maka tahulah aku itu adalah syaitan”.

Kesimpulannya… sedangkan Syeikh Abdul Qadir Jailani yang dikatakan bertaraf Sultanul Aulia’ masih di uji dengan ujian-ujian yang sedemikian rupa, apatah lagi kita sebagai orang awam yang sentiasa terdedah dengan kekeliruan dan tipu daya samada dari nafsu diri sendiri, dari orang lain, dari jin dan syaitan dan malahan dari pelbagai perkara.Oleh itu berhati-hatilah…

1 comment:

Abu Uwais said...

terus kan berdakwah rauhan.. biarpun dengan penulisan

Bumi Tuhan... Bersaksilah