Sahabat2 di Barisan Perjuangan... Perjuangkan Islam Secara Indah

Jika kita ingin memperjuangkan Islam, janganlah sekadar bercakap-cakap sahaja, menunggu kuasa jatuh ke riba atau orang ramai mengundi kita, tetapi Islam itu perlulah kita mulakan dari dalam diri kita sendiri dahulu, kemudian keluarga kita, dan seterusnya jemaah kita. Tidak perlulah kita mewar-warkan bila ada kuasa dan jawatan, kita akan buat itu dan buat ini untuk Islam, selalunya orang yang berkata begitu tidak boleh dipercayai kerana dia meletakkan SYARAT untuk kepentingan dirinya, bukan kerana memperjuangkan Allah SWT dan rasulNya.

Mengapa setiap individu dan jemaah Islam itu perlu melaksanakan dahulu? Perlu diingat bahawa Islam bukan setakat ilmu. Tidak juga sebagai slogan. Bahkan setakat keyakinan pun belum cukup. Tapi Islam itu adalah agama ilmu, yakin dan amal. Selepas itu barulah sesuai untuk diperjuangkan agar ia lebih luas lagi daerahnya dan lebih ramai lagi penganut-penganutnya.Ini kerana Islam itu adalah datang daripada Allah, disampaikan kepada Rasulullah. Kemudian terus disampaikan kepada manusia di zamannya sehingga ia diperjuangkan dan disampaikan sambung-menyambung dari generasi ke generasi untuk kebahagiaan manusia dunia dan Akhirat. Ia merupakan hadiah paling besar dari Allah Taala pencipta manusia kepada manusia yang menerimanya, demi keselamatan mereka.

Oleh yang demikian, pejuang-pejuang yang cintakan Allah dan Rasul serta syariat-Nya hendaklah lebih dahulu melaksanakan kebenaran itu kerana beberapa sebab di antaranya:

1. Kalau kita memperjuangkan Islam kerana cintakan Allah dan Rasul serta syariat-Nya dengan mengajak orang menganutnya dan mengamalkannya, maka sudah tentulah logiknya kita mengamalkannya.

2. Kita perlu mengamalkannya lebih dahulu supaya mudah untuk meyakinkan dan menarik orang lain kepada apa yang kita perjuangkan. Kalau tidak, atas dasar apa orang lain akan yakin dan tertarik dengan apa yang kita perjuangkan.

3. Agar mudah orang ramai meniru apa yang kita perjuangkan kerana role model wujud di dalam peribadi dan jemaah pejuang-pejuang itu.

4. Untuk mengelakkan daripada kemurkaan Allah Taala, kerana yang berjuang dan bercakap tentang kebenaran tapi mereka sendiri tidak mengamalkan, besar sekali dosanya.

Seperti firman Allah:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, mengapa kamu perkatakan perkara yang kamu tidak buat. Besar sekali kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu berkata apa yang kamu tidak buat.” (As Saf: 2-3)

5. Agar jangan jadi bahan ketawa dan ejekan daripada orang ramai terhadap perjuangan kita. Lebih-lebih lagi memberi jalan kepada musuh Islam untuk menuduh dan memfitnah.

6. Untuk mendapat keredhaan daripada Allah SWT yang empunya agama yang diperjuangkan itu.

7. Agar mendapat bantuan dan pertolongan Allah Taala. Allah Taala telah memberi jaminan kepada para pejuang bahawa di samping mereka diuji, mereka juga akan dibantu dan ditolong oleh Allah SWT selagi mana mereka menjadi orang yang bertaqwa iaitu setelah mereka mengamalkannya.
Maksudnya: “Kemudian Kami selamatkan rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman. Demikianlah juga, sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang beriman.” (Yunus: 103)

8. Allah Taala tidak memberi bantuan dan kemenangankepada pejuang-pejuang kebenaran atas dasar ramai, tapi diberi bantuan dan kemenangan setelah para pejuang kebenaran itu bertaqwa sekalipun sedikit.

Di sini perlu perhatian, anggota jemaah Islam tidak mengapa sedikit, tapi ahli yang benar-benar bertaqwa. Biarlah para simpati yang ramai. Setelah ahli-ahli jemaah walaupun sedikit tapi bertaqwa, akan berlaku nanti khawariqul ‘adah, pertolongan-pertolongan dan bantuan yang tidak disangka-sangka bahkan akan berlaku kemenangan-kemenangan yang tidak terduga.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah