Benarkah hari raya itu hari yang besar dan utama? Kalau benar, di  manakah letak kebesaran atau keutamaannya. Apakah hakikat hari raya yang  sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari yang besar? Kalaulah benar  hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita menyambutnya.  Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita  mengisinya? Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar langsir,  perabot dan permaidani? Adakah setiap sempena hari raya, kita perlu beli  pakaian dan kasut baru?
 
 Kita menjamu selera dengan bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang  enak dan lazat. Atau adakah di hari raya patut kita berseronok dan  bersuka ria dengan majlis-majlis hiburan lengkap dengan muzik, nyanyian,  joget dan tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton pertunjukan atau  show hiburan hari raya. Atau kita bermain mercun, bunga api dan meriam  buluh. Atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan  bersembahyang hari raya,  mengirim kad-kad hari raya, berziarah, menjamu  selera dan bermaaf-maafan.
 Bagi orang Melayu, eid fitr dinamakan hari raya puasa. Perkiraan dan  kira bicara dalam hal ini sangat mudah. Ia dinamakan hari puasa kerana  ia disambut selepas bulan puasa. Senang dan mudah. Ini sebenarnya mudah  yang sudah terlebih. Sudah over. Cara mudah memberi nama ini tidak  memberi gambaran atau maksud yang sebenar. Maksudnya tersimpang dan lari  dari apa yang dikehendaki oleh agama dan syariat. Ia menimbulkan  kekeliruan dan salah faham.  Lama-kelamaan orang Melayu terutama yang  tidak mengaji agama tidak tahu kenapa dan mengapa mereka menyambut hari  raya. Mereka juga tidak tahu bagaimana hari raya patut disambut. Mereka  kira hari raya itu ialah hari untuk berseronok, berpesta dan bersuka  ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan bermewah-mewah. Hari untuk  melepaskan geram setelah sekian lama  disekat dan dikongkong nafsu  mereka. Mereka sedih kalau tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih  kalau tidak dapat tukar langsir baru, perabot baru atau permaidani baru.
 Bagi yang lebih tua, hari raya jadi hari nostalgia dan hari melayan  perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang tidak balik pada hari raya.  Sambutan hari raya sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat. Ia sudah  bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan open-housenya, hari raya  get-togethernya dan berbagai-bagai lagi cara sambutan pada masa ini.  Para artis dan penghibur pula sibuk dengan show hari raya dan album hari  rayanya.
 Dalam Islam tidak ada hari raya dalam  konteks yang difahami oleh orang Melayu. Tidak ada hari untuk tukar  langsir, perabot dan permaidani. Tidak ada hari untuk membeli baju atau  kasut baru. Tidak ada hari untuk membazir dan bermewah-mewah.  Lebih-lebih lagi tidak ada hari untuk berhibur, berseronok, berpesta dan  bersuka ria dengan muzik, nyanyian, joget, tari-menari, show, album dan  sebagainya. Yang ada hanyalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan  membesarkan Tuhan.
 Hari raya puasa dalam Islam ialah Eid Fitr. Eid itu maksudnya  mengembalikan. Fitr itu fitrah. Jadi Eidil Fitri itu ialah mengembalikan  fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan murni.  Dalam erti kata yang lain, eidil fitri bermaksud membersih dan  menyucikan fitrah. Selama sebelas bulan dalam setahun, manusia  bergelumang dengan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari,  dikotori dan dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak  bermaya. Dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakanNya satu bulan  dalam setahun iaitu bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah  manusia yang telah lemah itu dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan  semula.
 Kerana kalau fitrah sudah rosak dan kotor, manusia akan lupa Tuhan.  Bila Tuhan sudah dilupakan, jiwa manusia akan mati. Jiwa manusia tidak  boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa rasa bertuhan. Manusia yang telah mati  jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan. Keinsanannya sudah  rosak. Nafsunya akan bermaharajalela. Dia akan terangsang hanya dengan  dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Tuhan benci  dan akan benci dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat nafsunya  menjadi Tuhan. Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di  akhirat nanti akan bakal dicampakkan ke dalam neraka.
 Puasa itu mampu membersih dan menguatkan fitrah. Iaitu puasa yang ada  lahir dan batinnya. Puasa yang ada rohnya. Bukan sahaja kita menahan  diri dari makan dan minum dan bersedap-sedap dengan isteri di siang  hari; mata kita, telinga kita dan lidah kita pun ditahan dari melihat,  mendengar dan berkata perkara-perkara yang mungkar. Akal kita ditahan  dari memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang haram dan jahat.  Hati kita ditahan dari merasakan perkara-perkara yang ditegah seperti  marah, hasad dengki, buruk sangka, berdendam dan sebagainya. Nafsu kita  dikekang dan ditahan supaya dia tidak jahat, tidak rakus dan tidak  terlalu gilakan dunia.
 Di samping puasa, ada banyak lagi amalan-amalan lain di bulan  Ramadhan untuk membantu membersihkan lagi fitrah kita. Ada solat  terawihnya, ada membaca atau tadarrus Qurannya, ada zakat fitrahnya dan  berbagai-bagai lagi amalan sunat yang sangat digalakkan di bulan  Ramadhan seperti beriktikaf dan memberi makan orang yang berbuka puasa.  Di sini kita dapat lihat bahawa fokus eidil fitri ialah pada amalan  puasanya di bulan Ramadhan dan bukan kepada hari rayanya yang disambut  pada 1 Syawal. Yang dibesarkan ialah latihan rohaniah secara berpuasa  yang dilakukan dan bukan hari berbukanya, iaitu hari rayanya.
 
Di  dunia tidak ada hari raya. Di sini tidak ada hari ria. Juga tidak ada  hari gembira. Tidak ada hari merdeka. Yang ada hanya melahirkan syukur.  Menyatakan segala nikmat Allah. Hari mengagih-agihkan nikmat. Agar semua  manusia merasa. Hari raya diakhirat saja. Hari ria hanya di sana. Hari  gembira di sana jua. Hari merdeka di sana semuanya. Setelah kita masuk  kesyurga. Di syurga sana ada erti hari raya. Juga hari ria gembira  merdeka. Begitulah hakikat hari raya.
Bulan Ramadhan adalah bulan berkat dan penuh rahmat. Bulan pintu  syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Bulan syaitan dibelenggu. Bulan  di mana pahala amalan dan ibadah dilipat gandakan dan doa diterima. Ia  adalah bulan maghfirah dan keampunan. Malahan Tuhan memberi pahala  terhadap ibadah puasa tanpa hisab. Kalau dalam ibadah lain, pahala yang  Tuhan beri itu ada sukatan dan skalanya, tetapi bagi ibadah puasa ini,  pahalanya ikut suka Tuhan. Justeru itu, 1 Syawal sebenarnya ialah hari  murung dan hari kesedihan. Hari berakhirnya  bulan berkat dan bulan  rahmat. Hari berakhirnya bulan keampunan. Hari terbuka semula pintu  neraka dan bebasnya para syaitan.
 Bermula pada 1 Syawal, dunia akan mula mengkeronyok dan merobek-robek  fitrah kita; mengotori, mencemari dan merosakkannya hinggalah tiba  bulan Ramadhan yang berikutnya. Belum tentu kita dapat temuinya kalau  ajal tidak mengizinkan. Kalau begitu, kenapakah kita gembira sangat pada  hari raya. Tidak ada apa-apa sebenarnya yang kita hendak gembirakan.  Tidak ada apa-apa yang kita hendak sambut.
 Tidak ada apa-apa keistimewaan di hari raya kecuali kita disuruh  berbuka dan diharamkan berpuasa. Yang ada hanya berbanyak-banyak syukur,  memuji, memuja dan membesarkan Tuhan. Kalau hari raya disambut dengan  penuh pembaziran dan kemewahan, tambahan pula kalau dalam menyambutnya  ada pula kelalaian, maksiat dan kemungkaran, maka pada hakikatnya, puasa  kita selama sebulan itu tidak ada makna apa-apa. Tidak ada apa-apa  kebaikan yang kita dapat.
 Jelas bahawa fitrah kita masih kotor dan rosak. Jiwa kita masih lemah  kalaupun tidak mati. Kalau pada 1 Syawal pun, fitrah kita sudah lemah  dan rosak, bagaimanakah mampu kita selamat dalam mengharung dan  menghadapi dunia ini selama sebelas bulan lagi sebelum tiba Ramadhan  akan datang. Kalau hari raya disambut pula dengan bersuka ria, berpesta,  berhibur dan bermewah-mewah, jelas bahawa itu adalah atas tuntutan  nafsu, bukan tuntutan fitrah. Bagaimana pula sebaik selesai kita  berusaha membersihkan fitrah, nafsu kita pula yang mengamuk dan  menguasai diri kita. Sebagai umat Islam yang inginkan kebaikan dunia dan  akhirat, kita perlu ubah fahaman dan pegangan kita tentang hari raya  puasa ini.
 Kalau boleh kita tukar istilah hari raya puasa ini kepada istilah  yang lebih tepat mengikut kehendak agama. Kita tukar kepada hari raya  fitrah, contohnya; yang selalu juga kita gunakan, yang bermaksud hari  besar fitrah; iaitu hari kita membesar dan mengutamakan fitrah kita.  Setelah kita benar-benar faham apa sebenarnya erti Eidil Fitri, mungkin  kita boleh menyambutnya dengan cara yang lebih tepat dan sesuai.
 Hari raya fitrah patut diisi dan dipenuhkan dengan berzikir, bertafakur, bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan.
      Ia patut disambut dengan segala kebaikan yang berpunca dan yang  didorong olehhati atau fitrah yang sudah suci dan bersih. Pada hari  raya fitrah, kita patutmembantu dan memberi makan fakir miskin.  Merapatkan silaturrahim. Berziarah danmemberi hadiah. Bermaaf-maafan.  Bertolong bantu. Berkasih sayang dansebagainya. Hari raya fitrah bukan  hari untuk memuaskan nafsu. HARI RAYA YANG HAKIKI:
 Anas bin Malik berkata, ada 5 erti Hari Raya yang sebenarnya:
 - Hari yang dilalui oleh mukmin yang tidak dicatit padanya dosa-dosa.
- Hari yg keluar dari dunia ini(mati) dengan membawa Iman,  dapat  mengucap dua kalimah syahadah dan terpelihara dari tipuan Syaitan
- Hari yang dia berjaya menempuh Titian Siratul Mustakim dengan aman,  selamat daripada huru, selama Qiamat dan terlepas dari seksaan Malaikat   Zabaniah.
- Hari yang dia masuk ke dalam  Syurga dan aman (terpelihara) daripada Neraka Jahim
- Hari di mana dia dapat melihat Zat Tuhannya.
http://www.usahataqwa.com