Tingkatan Nafsu


Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu) sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". Surah Yusuf : Ayat 23.


Firman ALLAH SWT dalam Al Quran, surah Yusuf ... diceritakan bahawa Nabi Yusuf AS yang menjadi hamba Perdana Menteri, digoda oleh Zulaikha yang menjadi isteri Perdana Menteri.



Zulaikha seorang yang jelita rupawan, suaminya pula seorang yang kacak dan tampan lagi berharta serta orang kenamaan ... TETAPI .... bila syaitan dan nafsu dah menguasai hati yang sunyi dari iman ... Zulaikha lupa siapa dirinya , lupa kedudukan dirinya, lupa kedudukan suaminya. Lantas tindakannya menurut nafsu dan tidak masuk akal. Walau sudah bersuami, dia masih mengharapkan cintanya terhadap Nabi Yusuf AS berbalas. Yang akhirnya memalukan dirinya sendiri.



Jika Syaitan dan Nafsu sudah mencampuri dalam urusan kehidupan kita, iman dan akal akan diketepikan. Rosaklah hidup kita sebab kita akan lalai mentaati Allah. Nafsu diperkuatkan dengan hasutan syaitan akan memusnahkan insan. Musuh nafsu dan syaitan adalah akal dan iman. Akal yang diperkuatkan dengan imanlah yang bakal membenteng dan menjadi perisai kepada manusia dari ancaman nafsu dan syaitan.



Nafsu kena ada dalam diri kita. Kalau tak ada nafsu, kita tak jadi manusia. Allah jadikan makhluk yang ada akal tetapi tak ada nafsu bernama MALAIKAT. Allah jadikan makhluk yang tak ada akal tetapi ada nafsu, bernama HAIWAN. Dan Allah jadikan makhluk yang ADA akal & ADA nafsu bernama manusia.



Oleh itu nafsu yang ada dalam diri kita hendaklah dididik agar mendengar nasihat akal yang dibimbing dengan iman.

Nafsu ada berperingkat-peringkat. Tersebut dalam kitab Minhajul Abidin oleh Imam Al Ghazali rahmatullah a'laihi.

1. Ammarah

2. Lauwamah

3. Mulhamah

4. Mutmainnah

5. Radhiah

6. Mardhiah

7. Kamilah



Tingkatan yang terendah dan terhina ialah Ammarah. Dan tingkatan yang termulia ialah Kamilah.



CIRI-CIRI NAFSU



Nafsu Ammarah ialah nafsu yang paling hina, paling buruk dan paling jahat. Orang yang bersifat dengan nafsu Ammarah, dia akan rasa bangga bila buat dosa. Kalau dia boleh togok arak, dia akan canang kat orang yang dia tu "power giler" sebab minum 5 tin Carlsberg masih tak mabuk. Dia rasa gembira dan kelazatan yang amat sangat bila ada peluang buat dosa. Bukan setakat tu sahaja, orang nafsu Ammarah ni, dia akan ajak orang lain buat dosa juga. Andainya, ada usaha yang dilakukan untuk mencegah kemungkaran, mereka-mereka inilah yang menjadi manusia-manusia durjana yang menghalang kepada usaha menyeru yang makruf dan mencegah kemungkaran. Andainya ada orang yang menegur kemungkaran dan maksiat yang dilakukannya, orang yang menegur itu dimusuhi. Orang yang bernafsu Ammarah inilah yang sentiasa jadi batu api, melaga-lagakan orang demi kepentingan diri mereka. Mereka jugalah agen kepada kesesatan yang dibawa oleh musuh-musuh Islam. Tak hairanlah kalau mereka boleh dilabel sebagai hamba nafsu atau pun hamba syaitan. Orang yang bernafsu Ammarah, tempatnya tidak lain dan tidak bukan ialah di neraka. Muktamad, kalau dia mati akan ke neraka. Orang yang berada di peringkat nafsu Ammarah tak peduli dengan Akhirat. Mudah kecewa tidak tahan bila diuji. Allah panjangkan umur mereka, agar puas dengan maksiat, bila mati dengan mudah Allah akan lemparkan ke dalam api Neraka. Orang yang mempunyai nafsu Ammarah adalah nafsu ahli Neraka. Dan dosa-dosa orang yang menyahut seruannya untuk melakukan maksiat juga, dia akan dapat saham darinya. Jadi cuba kita muhasabah diri kita. Ada tak sifat orang nafsu ammarah dalam diri kita ?Kalau ada, bersiap sedialah untuk dibakar di neraka.



Tingkatan kedua nafsu ialah Lawwamah. Orang bernafsu Lawwamah ialah orang yang sudah ada bunga kesedaran, keinsafan, dia sedar kejahatan itu berdosa dan kebaikan itu pahala, dia ingin berbuat baik, tetapi tidak tahan lama, waktu jatuh dalam kejahatan dia resah tak tentu arah, walaupun dia puas dengan kejahatan tapi hati menderita dengan kejahatan. Rasa berat untuk keluar dari kejahatan. Dia sedar bahawa diri dia sering terlibat dengan dosa, dan dia sering mengkritik diri dia bila terlibat dengan dosa. Mereka sentiasa melakukan dosa. Waktu melakukan dosa, mereka tak fikir apa-apa pun. Tak ingat kat Allah, tak ingat kat syurga dan neraka. Yang dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa yang hakikatnya adalah nikmat yang sementara. Sebaik saja habis buat dosa, baru dia sedar yang dia telah terlanjur. Dia menyesal dan mengkritik diri dia sendiri di atas keterlanjurannya. Waktu dia berzina, dia tak ingat langsung yang zina tu berdosa, tapi bila dah shoot, dah lesu, baru sedar diri yang dibuat tu dosa. Tapi setelah masa berlalu, dia buat balik dosa yang jadi favourite dia. Orang bernafsu Lawwamah ini , bila berjaya buat kebaikan, maka senanglah timbul riyak dan ujub dalam dirinya. Dirasakan dialah yang paling arif dalam bab-bab benda kebaikan ni. Syok sendiri. Perasan. Dirasakan dialah yang paling mulia dan suci. Perasan dan syok sendiri. Inilah antara ciri-ciri yang ada pada orang yang bernafsu Lawwamah.



Beza antara orang nafsu Ammarah dan Lawwamah, orang di nafsu Lawwamah tak rasa bangga bila buat dosa, dia tak pula ajak orang lain turut sama membuat dosa dengannya dan dia tak pula menghalang usaha-usaha mencegah kemungkaran. Tapi dia sering terjebak dengan dosa, sebab tak mampu meninggalkan nikmat dunia ketika membuat dosa. Contohnya, dia sudah merasa kelazatan zina, maka dia terus melakukan zina walau dia tahu ianya berdosa. Tingkatan nafsu Lawwamah lebih tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma diri orang yang bernafsu Lawwamah ini sudah mudah ditegur dan hatinya mudah didorong ke arah ibadah dan kebaikan. Nafsunya masih belum dididik sepenuhnya. Syurga untuk orang di nafsu Lawwamah masih jauh panggang dari api. Nafsu yang begini masih belum dapat menyelamatkan yang empunya diri dari api neraka.



Tingakatan yang ketiga ialah nafsu Mulhamah. Orang bernafsu Mulhamah apabila hendak berbuat amal kebajikan terasa berat. Dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan-kebaikan kerana sudah mulai takut kemurkaan Allah dan Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat, tetapi hatinya dapat melawan dengan mengenangkan nikmat di Syurga. Dalam hatinya masih banyak sifat-sifat mazmumah. Dia sudah dapat mengenali penyakit yang ada dalam dirinya. Cuma tidak boleh lawan. Dia mencuba beribadah dengan sabar. Orang yang bernafsu Mulhamah, bila dia sedar dia buat dosa, dia rasa menyesal dan mengkritik diri sendiri. Tetapi usahanya tidak henti di situ, dia usahakan untuk perbaiki diri. Dia akan berusaha menghisab diri dan berusaha memperbaiki diri. Dia mempelajari ilmu Fardhu Ain dan mula mengamalkannya. Berdasarkan ilmu tasawwuf yang dia pelajari, dia berusaha menyucikan hatinya. Inilah beza antara orang bernafsu Mulhamah dengan orang bernafsu Lawwamah. Orang yang bernafsu Mulhamah, dia masih terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidak sebanyak dosa yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Namun dosa, walau sekecil mana pun, balasannya di akhirat tetap ke neraka.



Andainya orang nafsu Lawwamah, terjebak kepada dosa kerana inginkan kelazatan nikmat kemungkaran yang sementara, orang bernafsu Mulhamah melakukan dosa kerana tidak sengaja. Bukan dia suka-suka cari. Andainya orang di tingkatan nafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, baru dia sedar akan kejinya perbuatannya itu. Orang bernafsu Mulhamah sewaktu buat dosa, sedang dia buat dosa, dia dah terasa betapa kejinya perlakuan maksiat yang sedang dia lakukan. Andainya orang bernafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, dia mengkritik diri dia. Orang yang bernafsu Mulhamah bukan setakat kritik diri dia, malahan dia mencari kaedah untuk tidak melakukan dosa dan menghindarkan dari jalan-jalan yang mengundang dosa . Namun orang di tingkatan Mulhamah ini, masih belum sunyi dari melakukan dosa. Hati dia pedih bila melakukan dosa, walau pun tidak sengaja. Namun usaha dilakukan untuk tidak mengulangi perlakuan dosa itu lagi.



Tingkatan yang keempat ialah nafsu Mutmainnah. Orang yang bernafsu Mulhamah, hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa yang istiqamah dan sungguh-sungguh, maka Allah akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan Mutmainnah. Orang yang telah mencapai ke tingkatan ini, hatinya sudah suci dan tenang. Hatinya puas jika dapat beribadah kepada Allah. Selalu rindu dengan kebaikan dan amal soleh. Datanglah 1001 macam ujian musibah melanda, hatinya tidak tergugat. Dia sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang dari Allah. Dia sujud dan syukur di atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya. Ujian musibah yang melanda dianggap sebagai kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan diri kepada Allah. Nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya dikongsi bersama dengan saudara semuslim dengannya agar nikmat itu dapat diedarkan ke seluruh pelusuk alam. Orang yang bernafsu Mutmainnah inilah yang dikatakan orang-orang bertaqwa. Orang yang mampu melaksanakan segala titah perintah Allah dan mampu meninggalkan segala larangan Allah. Mereka inilah yang dijamin akan selamat dari siksaan neraka Allah di akhirat. Mereka inilah juga yang bakal menjadikan syurga yang penuh dengan kemanisan nikmat yang berkekalan sebagai tempat rehatnya nanti di akhirat.



Nafsu Radiah. Nafsu inilah yang tingkatannya menjadikan pemilik nafsu ini bukan sekadar dapat mencapai tingkatan ketenangan, ketenteraman dan kesucian, malah meredhai akan setiap musibah bala bencana yang diturunkan Allah ke atasnya. Bagi mereka ujian dan musibah dari Allah itu adalah sesuatu yang dinantikan. Ujian bagaikan sesuatu alat untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah yang amat dikasihi dan sebagai salah satu wadah untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada NYA. Mereka menlaksanakan yang wajib sepenuh hati dan meninggalkan yang haram juga sepenuh hati. Orang bernafsu Radhiah akan menjaga amal ibadahanya sunguh-sungguh. Perkara yang sunat dianggap wajib lalu diamalkan sungguh-sungguh, kerana disitulah letaknya cinta Allah kepadanya. Perkara yang makruh dianggap haram, lalu ditinggal sungguh-sungguh kerana di situ letaknya kebencian Allah. Mereka juga banyak mendapat pertolongan dari Allah, di antaranya firasat yang Allah berikan, mereka mudah kenal dengan orang yang berbuat maksiat atau tidak. Mereka mudah pimpin masyarakat, sebab dia kenal sifat-sifat hati. Orang yang dia didik nasehat-nasehatnya tepat, bila mereka dihalau dari masyarakat, tunggulah bala Allah akan turun. Banyak lahir karamah-karamah dari mereka, mulutnya masin apa yang disebut insya Allah akan terjadi.



Nafsu Mardiah. Nafsu inilah yang tingkatannya menjadikan pemilik nafsu ini berada kategori para wali Allah. Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: "Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan." Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.



Nafsu Kamilah. Nafsu inilah yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul.



Ayuh kita muhasabah diri kita.



Di tingkatan mana nafsu kita ?



Andainya di tingkatan rendah, ayuh kita usahakan melalui mujahadatanunafsi agar nafsu kita terdidik.



Madrasah Darus Syifa

13 Ogos 2010

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah