nabi musa AS  

Setelah Nabi Yusuf A.S wafat, bumi Mesir diperintah oleh Fir’aun yang zalim dan mendakwa dirinya sebagai tuhan. Masyarakat yang hidup di zaman itu diperlakukan secara zalim. Mereka mesti taat sepenuhnya kepada Fir’aun. Mereka selalu diancam oleh para tentera dan orang-orang suruhan Fir’aun.

Allah S.W.T menceritakan tentang Fir’aun laknatullah yang hidup di zaman Nabi Musa A.S menerusi firman-Nya:

”Maka dia mengumpulkan (pembesar-pembesarnya) lalu berseru memanggil kaumnya (seraya berkata): ”Akulah Tuhanmu yang paling tinggi.” (An-Nazi’at:
23-24)

Manusia ketika itu benar-benar tunduk terhadap orang-orang kafir. Sedikit sekali dari mereka yang masih mempertahankan agama tauhid secara tersembunyi. Datanglah suatu masa di mana Bani Israil semakin ramai dan berkembang.

Maka berlalulah hari demi hari. Fir’aun yang memerintah Mesir merasa terancam apabila mengetahui (menerusi mimpi?) bahawa seorang anak Bani Israil akan menjatuhkan Fir’aun dari takhta pemerintahannya.

Kemudian Fir’aun mengeluarkan perintah yang aneh, iaitu jangan sampai seorang pun dari Bani Israil yang melahirkan anak lelaki. Maksud dari perintah ini adalah, setiap anak lelaki yang lahir hendaklah dibunuh.

Nabi Harun A.S dilahirkan sebelum berkuatkuasa perintah membunuh bayi lelaki. Maka Nabi Harun dilahirkan dan membesar secara aman. Kemudian ibunya mengandungkan adiknya, Nabi Musa A.S Ketika melahirkan Musa A.S, si ibu merasa ketakutan yang luar biasa. Dia takut bahawa anaknya akan dibunuh. Maka si ibu menyusuinya secara sembunyi-sembunyi.

Kemudian datanglah suatu malam yang penuh berkat di mana Allah S.W.T mengilhamkan kepadanya suatu jalan keluar.

”Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: ”Susuilah dia dan apabila khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke dalam sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan

mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para Rasul.” (Al-Qasas: 7)

Ibu Nabi Musa A.S mentaati perintah Allah S.W.T. Dia membuat peti kecil bagi Musa A.S. Setelah menyusuinya, dia meletakkan anaknya di dalam peti itu. Kemudian dia pergi ke tepi sungai Nil dan meletakkannya di atas air. Hati ibu adalah hati yang paling pengasih di dunia. Hatinya dipenuhi penderitaan bila melepaskan anaknya di sungai Nil, tetapi dia menyedari bahawa Allah S.W.T adalah Maha Pengasih.

Air sungai Nil membawa peti yang mulia itu ke istana Fir’aun. Pada hari itu, matahari menyinari istana Fir’aun. Isteri Fir’aun keluar berjalan-jalan di kebun istana sebagaimana biasanya.

Isteri Fir’aun adalah seorang yang beriman. Di samping itu, isterinya merasakan kesedihan kerana belum mampu melahirkan anak. Dia merindukan untuk mendapat anak. Isteri Fir’aun berhenti di sisi kebun. Kemudian di tercium bau harum yang menyegarkan perasaan sedihnya.

Pada waktu yang sama, wanita-wanita pembantunya sudah memenuhi tempat mengambil air di tepi sungai. Tiba-tiba mereka menemui peti di situ. Mereka membawa peti itu kepada isteri Fir’aun lalu mereka pun membukanya. Betapa terkejutnya isteri Fir’aun ketika melihat Musa A.S di dalamnya. Maka dia pun merasakan bahawa dia menyayanginya seperti anaknya sendiri. Allah S.W.T menaruh dalam hatinya rasa cinta kepada Musa sehingga air matanya berlinang.

Kemudian dia membawa Musa pulang ke istana. Fir’aun bertanya dari mana datangnya anak kecil itu. Isterinya menceritakan bahawa mereka menemuinya di sebuah peti di tepi sungai. Fir’aun berkata bahawa ini adalah anak Bani Israil. Sesuai dengan peraturan, anak-anak lelaki yang lahir pada tahun itu mesti dibunuh. Mendengar keputusan itu, isteri Fir’aun menangis dan mendakap Musa A.S dengan erat.

”Dan berkatalah isteri Fir’aun: ”(Dia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan igimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat pada kita atau kita ambil dia jadi anak.” (Al-Qasas: 9)

Fir’aun tahu bahawa isterinya menyayangi anak itu seperti anaknya sendiri. -Akhirnya, Fir’aun setuju memenuhi keinginan isterinya untuk mendidik anak itu di istana mereka.

Ketika mendengar persetujuan Fir’aun, tampaklah keceriaan yang luar biasa pada wajah isterinya. Sementara itu, Musa mulai menangis kerana lapar. Lalu didatangkan beberapa wanita tetapi Musa A.S tetap menangis dan tidak ingin menyusu kepada mereka. Melihat itu, isteri Fir’aun menangis kerana tidak tahan melihat penderitaan anak kecil itu dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

Atas perintah ibunya, saudara perempuan Musa pergi mencari khabar adiknya. Dia berjalan ke sana sini hingga akhirnya tiba di istana dan mendengar suara tangisan adiknya. Dia melihat mereka dalam keadaan kebingungan, di mana mereka tidak mengetahui bagaimana menyusuinya. Dia mendengar berita dari mereka bahawa Musa A.S enggan menyusu dari para wanita yang didatangkan itu. Maka saudara perempuan Musa menemui mereka dan mencadangkan seorang wanita yang dapat menyusui bayi itu.

Lalu saudara perempuan Musa datang semula ke istana bersama ibunya. Si ibu menyusuinya dan Musa pun menyusu dengan tenang. Melihat hal itu, isteri Fi’aun sangat gembira dan berkata: ”Bawalah dia sehingga masa penyusuannya selesai, lalu kembalikanlah dia kepada kami dan kami akan memberimu suatu ganjaran yang besar atas penyusuan dan pendidikan yang engkau berikan.”

Demikianlah Allah S.W.T mengembalikan MusaS kepada ibunya agar dia merasa gembira serta mengetahui bahawa janji Allah adalah benar dan bahawa perintahNya pasti terlaksana.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa. Sesungguhnya hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, supaya dia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah). Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan: ”Ikutilah dia.” Maka kelihatanlah olehnya Musa dari jauh, sedang mereka tidak mengetahuinya, dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu; maka berkatalah saudara Musa: ”Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul-bait yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?” Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” (Al-Qasas: 10-13)

Ibu Musa menyempurnakan penyusuan lalu menyerahkannya semula ke istana Fir’aun. Ketika itu Musa A.S amat disenangi dan disukai oleh semua orang. Allah S.W.T berfirman:

”Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku; dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasan-Ku.” (Thaha: 39)

Selanjutnya Musa A.S terus membesar. Setiap orang yang melihat Musa pasti akan menyayanginya. Musa dididik di istana terbesar di bawah bimbingan dan penjagaan Allah

Pendidikan Musa A.S bermula di istana Fir’aun di mana di dalamnya terdapat ahli pendidikan dan para pengajar. Mesir ketika itu merupakan negara yang besar di dunia dan Fir’aun sebagai raja yang paling kuat. Kerana itu, Fir’aun mampu mengumpulkan ramai para cendekiawan. Demikianlah hikmah Allah S.W.T berkehendak agar Musa A.S terdidik dengan cukup sempurna.

Masa terus berlalu. Musa A.S meningkat remaja dan semakin matang serta hidup di istana Fir’aun. Beliau mempelajari pelbagai ilmu bermanfaat dan hatinya dipenuhi sinar tauhid. Oleh kerana itu, Musa A.S tidak percaya bahawa Fir’aun adalah tuhan tetapi hanya sekadar manusia biasa yang zalim. Musa A.S juga mengetahui bahawa dia bukanlah anak Fir’aun sebaliknya anak salah seorang dari Bani Israil. Beliau menyaksikan bagaimana Fir’aun dan para pengikutnya menindas Bani Israil.

Ketika para pengawal lalai darinya, Musa A.S memasuki kota dan berjalan-jalan di sekitar kota. Kemudian dia mendapati seorang lelaki pengikut Fir’aun menzalimi seorang dari Bani Israil. Lalu orang itu meminta tolong. Musa A.S pun menolak lelaki zalim itu sehingga meninggal dunia. Musa memang kuat sampai pada batas di mana dengan sekali tolak saja, dia telah membunuh lelaki itu tanpa sengaja, sedangkan tujuannya hanya untuk meleraikan perkelahian.

Musa A.S berkata kepada dirinya bahawa itu adalah perbuatan syaitan. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang menyesatkan dan nyata.

Kemudian Musa A.S berdoa: ”Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku, maka ampunilah aku.”

Allah S.W.T pun mengampuninya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan setelah Musa sudah cukup umur dan sempurna akalnya, Kami berikan kepadanya hikmah kenabian dan pengetahuan. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Dan Musa masuk ke kota (Memphis) ketika penduduknya sedang lemah, maka didapatinya di dalam kota itu dua orang lelaki yang berkelahi; yang seorang dari golongannya (Bani Israil) dan seorang lagi dari musuhnya (kaum Fir’aun). Maka orang yang dari golongannya meminta pertolongan darinya, untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya lalu Musa menolaknya, dan matilah musuhnya itu. Musa berkata: ”Ini adalah perbuatan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya).” Musa berdoa: ”Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri, kerana itu ampunilah aku.” Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Musa berkata: ”Ya Tuhanku, demi nikmat yang telah Engkau anugerahkan kepadaku, aku sekali-kali tiada akan menjadi penolong bagi orangorang yang berdosa. ” (Al-Qasas: 14-17)

Beberapa hari kemudian, Musa A.S melihat orang yang ditolongnya hari itu memanggilnya dan minta tolong. Lagi-lagi orang itu yang terlibat dengan perkelahian.

Musa A.S mengetahui bahawa kali ini orang itu sebenarnya berbuat aniaya, lalu dia berkata: ”Sungguh ternyata engkau adalah orang yang jahat.”

Musa A.S mengatakan demikian sambil meleraikan mereka. Orang Bani Israil itu mengira bahawa Musa A.S akan mencelakakannya maka dia diliputi rasa takut.

Sambil meminta belas kasihan, dia berkata: “Wahai Musa apakah engkau akan membunuhku sebagaimana engkau membunuh orang yang kelmarin. Apakah engkau ingin menjadi seorang penguasa di muka bumi dan tidak ingin menjadi orang yang memperbaiki bumi.”

Ketika mendengar orang itu mengatakan demikian, Musa berhenti dan kemarahannya menjadi reda. Dia mengingati apa yang dilakukannya kemarin dan bagaimana dia meminta ampun dan bertaubat serta berjanji untuk tidak menjadi pembantu orang-orang yang berbuat jahat.

Allah S.W.T berfirman:

”Kerana itu, jadilah Musa di kota itu merasa takut menunggu-nunggu dengan khuatir (akibat perbuatannya), maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kelmarin berteriak meminta pertolongan kepadanya. Musa berkata kepadanya: ”Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang sesat yang nyata (kesesatannya).” Maka tatkala Musa memegang dengan keras orang yang menjadi musuh keduanya, musuhnya berkata: ”Hai Musa, apakah kamu bermaksud untuk membunuhku, sebagaimana kamu kelmarin telah membunuh seorang manusia? Kamu tidak bermaksud melainkan hendak menjadi orang yang berbuat sewenang-wenang di negeri (ini), dan tiadalah kamu hendak menjadi salah seorang dari orang-orang yang mengadakan perdamaian.” Dan datanglah seorang laki-laki dari hujung kota tergesa-gesa seraya berkata: ”Hai Musa, sesungguhnya pembesar sedang berunding tentang kamu. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu.” (Al-Qasas: 18-20)

Ternyata Musa A.S menjadi seorang insan yang mempunyai kehebatan tersendiri. Ramai yang mula menaruh perasaan dengki dan membencinya. Para pembesar dan para penguasa membuat pakatan jahat untuk membunuh Musa A.S dan menyingkirkannya dari muka bumi. Namun Allah S.W.T mengirim seorang lelaki Mesir yang baik untuk mengingatkan Musa A.S agar melarikan diri dari orangorang yang zalim itu.

Allah S.W.T berfirman:

”Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut, menunggu-nunggu dengan khuatir, dia berdoa: ”Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dari orang-orang yang zalim itu.” (Al-Qasas: 21)

Musa A.S pergi meninggalkan kota dan mengharungi gurun pasir sendirian. Kemudian sampailah dia di suatu tempat bernama Madyan. Ketika sampai di situ, Musa berehat sebentar di sebatang pokok.

Dia merasa lapar dan keletihan. Dia memerhatikan kumpulan gembala sedang mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Musa A.S pun berjalan menuju ke tempat air. Dia mendapati dua orang gadis sedang menjaga kambing-kambing mereka agar jangan sampai tercampur dengan kambing orang lain. Melalui ilham, Musa A.S merasa bahawa kedua gadis itu perlukan pertolongan.

Nabi Musa A.S menuju ke arah mereka dan bertanya, apakah dia dapat membantu mereka. Lalu gadis yang paling tua berkata bahawa mereka menunggu sampai selesainya para gembala itu mengambil air untuk binatang mereka. Gadis yang paling kecil pula berkata yang mereka tidak mampu untuk bersesak dengan kaum lelaki. Musa kehairanan kerana seharusnya gembala kambing adalah kaum lelaki kerana ia adalah tugas yang berat.

Musa A.S bertanya: ”Mengapa kalian menggembala kambing?”

”Orang tua kami sudah tua dan sakit serta tidak larat keluar dari rumah dan menggembala kambing setiap hari,” jawab gadis yang paling kecil.

”Kalau begitu, aku akan membantu kalian untuk mengambil air,” ujar Musa A.S.

Musa A.S membantu mengambilkan air bagi ternakan gadis-gadis itu. Kemudian dia kembali duduk di bawah naungan pokok. Firman Allah S.W.T:

”Dan tatkala dia menghadap ke jurusan negeri Madyan dia berdoa (lagi): ”Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan yang benar.” Dan tatkala dia sampai di sumber air negeri Madyan, dia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya) dan dia menjumpai di belakang orang ramai itu, dua orang wanita yang sedang menambat (ternaknya). Musa berkata: ”Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?” Kedua wanita itu menjawab: ”Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum gembala-gembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya.” Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa: ”Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan suatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.” (Al-Qasas: 22-24)

Kedua gadis itu kembali ke rumah. Ayah mereka bertanya kenapa mereka pulang lebih cepat dari biasa. Mereka mengatakan bahawa mereka bertemu seorang pemuda mulia yang mengambilkan air bagi haiwan ternakan mereka. Si ayah bersyukur dengan bantuan itu. Mereka juga memberitahu ayah mereka bahawa mungkin pemuda itu datang dari tempat yang jauh dan dia kelihatan lapar dan keletihan.

Si ayah menyuruh anak perempuannya memanggil pemuda itu untuk memberi upah atas jasanya. Kemudian anak perempuan itu pergi menemui Musa A.S dan menyampaikan pesan ayahnya. Musa A.S bangkit dari tempat duduknya dan pandangannya tertuju ke bawah. Dia menyatakan tidak mengharapkan upah dan membantu mereka hanya semata-mata kerana Allah S.W.T.

Musa mengikut gadis itu pulang. Dia menundukkan pandangan matanya dan berkata: ”Aku akan berjalan di depanmu dan tunjukkanlah jalan kepadaku.”

Tidak lama kemudian, mereka pun sampai. Orang tua itu menyambut kedatangan Musa (Sebahagian ahli tafsir mengatakan bahawa orang tua itu adalah Nabi Syu’aib A.S). Orang tua itu menghidangkan makanan kepada Nabi Musa A.S dan bertanya dari mana dia datang dan ke mana arah tujuannya.

Musa A.S menceritakan kisahnya. Orang tua itu menasihatinya agar jangan takut kerana di situ dia akan selamat dari orang-orang zalim. Mendengar ucapan itu, Musa A.S menjadi tenang. Lelaki tua itu dapat merasakan bahawa Musa A.S seorang insan soleh dan sangat istimewa.

Kemudian orang tua itu memandang Musa A.S dan berkata: ”Wahai Musa, aku ingin menikahkanmu dengan salah seorang anak gadisku. Dengan syarat, hendaklah engkau bekerja menggembala kambing bersamaku selama lapan tahun. Seandainya engkau menyempurnakan sepuluh tahun maka itu adalah kemurahan darimu. Aku tidak ingin menyusahkannmu. Insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang soleh.”

Musa berkata: ”Ini adalah kesepakatan antara aku dan engkau dan Allah S.W.T sebagai saksi atas kesepakatan kita, baik aku melaksanakan pekerjaan selama lapan tahun mahupun sepuluh tahun. Setelah itu, aku bebas untuk pergi ke mana saja.”

Allah S.W.T berfirman:

”Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan malu, dia berkata: ”Sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar dia memberi balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternak) kami. Maka tatkala Musa mendatangi bapanya (Syu’aib) dan menceritakan kepadanya cerita (mengenai dirinya), Syu’aib berkata: ”Janganlah kamu takut. Kamu telah selamat dari orang-orang yang zalim itu”. Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: ”Wahai bapaku, ambillah dia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja kepada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. Berkatalah dia (Syu’aib): ”Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberatkan kamu. Dan kamu Insya-Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik.” Dia (Musa) berkata: ”Itulah (perjanjian) antara aku dan kamu. Mana saja dari kedua waktu yang ditentukan itu aku sempurnakan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas diriku (lagi). Dan Allah adalah saksi atas apa yang aku ucapkan.” (Al-Qasas: 25-28)

Nabi Musa bekerja di situ selama sepuluh tahun. Masa yang dihabiskan di Madyan merupakan suatu ketentuan Allah dan adalah masa yang paling penting dalam kehidupannya. Ia merupakan masa persiapan yang besar. Pada setiap malam Musa A.S merenung bintang-bintang. Dia memerhatikan terbit dan tenggelamnya matahari. Dia memikirkan tentang tumbuh-tumbuhan, bagaimana ia membelah tanah dan mekar. Dia memerhatikan air, bagaimana ia menghidupkan bumi lalu menjadi tempat yang indah dan subur. Dia juga memerhatikan alam yang luas dan merasa kagum dengan ciptaan Allah S.W.T. Allah S.W.T mempersiapkan Nabi Musa A.S sebagai Rasul Ulul Azmi yang memegang amanat besar dari Allah S.W.T. Kemudian Nabi Musa A.S merasa rindu untuk kembali ke Mesir.

Tiba waktu yang diizinkan oleh Allah S.W.T, Nabi MusaS keluar bersama keluarganya dan melakukan perjalanan ke Mesir. Bulan bersembunyi di balik gumpalan awan yang tebal dan kegelapan menyelimuti alam. Sementara itu, petir menyambar keras dan langit menurunkan hujan.

Di tengah-tengah perjalanannya, Nabi Musa A.S tersesat. Dia mengambil dua ketul batu, kemudian mengetuk dan menggesek keduanya agar mendapat api. Namun angin yang bertiup kencang memadamkan api kecil itu.

Nabi Musa berdiri dalam keadaan bingung dan tubuhnya menggigil di tengahtengah keluarganya. Kemudian Nabi Musa A.S mengangkat kepalanya dan nampak api marak menyala dari kejauhan. Musa A.S merasa amat gembira. Dia memberitahu keluarganya bahawa dia nampak api yang marak di kejauhan. Dia memerintahkan mereka untuk tinggal di situ, sementara dia pergi ke arah api itu. Barangkali di sana dia boleh menemui orang yang dapat menunjukkan jalan agar tidak sesat, atau mendapatkan sebarang bentuk pertolongan.

Keluarganya tidak melihat api yang dikatakan itu tetapi mereka tetap mentaatinya dan duduk menunggu. Musa A.S bergerak menuju ke tempat api. Dia segera berjalan sambil tangan kanannya memegang tongkatnya dan tubuhnya basah kuyup kerana hujan.

Nabi Musa A.S terus berjalan sampai ke suatu lembah yang bernama Thuwa’. Beliau mengalami sesuatu yang aneh di lembah itu. Tiada rasa dingin dan tiada angin bertiup, yang ada hanya keheningan. Nabi Musa A.S berjalan semakin mendekati api itu dan tiba-tiba dia mendengar suara.

”Maka tatkala dia tiba di (tempat) api itu, diserulah dia: ”Bahawa telah diberkati orang-orang yang berada dekat api itu, dan orang-orang yang berada di sekitarnya. Dan Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.” (An-Naml: 8)

Nabi Musa berhenti dan badannya menggigil. Suara itu datang dari segala tempat. Dia mendapati suatu pokok hijau berduri dan setiap kali pokok itu terbakar, maka pokok itu semakin hijau. Seharusnya pokok itu berubah warna menjadi hitam bila terbakar, tetapi anehnya api itu meningkatkan warna hijaunya. Musa A.S tetap menggigil meskipun tubuhnya terasa panas dan berpeluh. Kemudian Nabi Musa A.S ternampak cahaya terang. Dia meletakkan kedua tangan di kedua matanya kerana dahsyatnya cahaya itu. Dia bertanya dalam dirinya, apakah itu cahaya atau api? Tiba-tiba dia tersungkur ke tanah dan terdengar suara.

”Wahai Musa! Sesungguhnya Aku adalah Tuhanmu. Maka tinggalkanlah kedua terompahmu; sesungguhnya kamu berada di lembah yang suci, Thuwa’.” (Thaha: 11-12)

Nabi Musa A.S ruku’ dan menanggalkan kedua terompah (capal/sandal) yang dipakainya. Kemudian Allah S.W.T berfirman:

”Dan Aku telah memilih kamu, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu). Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tiada Tuhan (yang haq) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku. Sesungguhnya hari kiamat itu akan datang. Aku merahsiakan (waktunya) agar tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang diusahakan. Maka sekali-kali janganlah kamu dipalingkan darinya oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan oleh orang yang mengikuti hawa nafsunya, yang menyebabkan kamu binasa (Thaha: 13-16)

Nabi Musa A.S semakin gementar di saat beliau menerima wahyu. Allah S.W.T Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang berfirman:

”Apakah itu yang ada di tangan kananmu, hai Musa?” (Thaha: 17)

Bertambahlah kehairanan Nabi Musa A.S. Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mengetahui, lalu mengapa Dia bertanya tentang itu? Nabi Musa A.S menjawab pertanyaan itu dengan suara gementar.

”Ini adalah tongkatku, aku bertelekan padanya, dan aku pukul (daun) dengannya untuk kambingku, dan bagiku ada lagi keperluan yang lain padanya.” (Thaha:
18)

Allah S.W.T berfirman:

”Lemparkanlah ia, hai Musa!” (Thaha: 19)

Musa melemparkan tongkatnya dari tangannya. Tiba-tiba tongkat itu menjadi ular yang besar dan bergerak dengan cepat. Musa tidak mampu lagi menahan rasa takutnya lalu cuba melarikan diri. Belum sampai dua langkah, Allah S.W.T berfirman:

”Hai Musa, janganlah kamu takut, sesungguhnya orang yang menjadi Rasul, tidak takut di hadapan-Ku. ” (An-Naml: 10)

”Hai Musa, datanglah kepada-Ku dan janganlah kamu takut. Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang aman.” (Al-Qasas: 31)

Musa kembali berdiri. Tongkat itu tampak bergerak dan ular itu pun tetap bergerak. Allah S.W.T berkata kepada Musa

”Peganglah ia dan janganlah takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula.” (Thaha: 21)

Musa A.S menghulurkan tangannya kepada ular itu dalam keadaan menggigil. Belum sempat menyentuhnya, ular itu menjadi tongkat semula. Demikianlah perintah Allah S.W.T terjadi dengan cepat. Kemudian Allah S.W.T memerintahkan kepadanya:

”Masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, nescaya ia keluar putih tidak bercacat bukan kerana penyakit, dan dakapkanlah kedua tanganmu (ke dada)mu bila ketakutan.” (Al’Qasas: 32)

Nabi Musa meletakkan tangannya lalu dia mengeluarkannya dan tiba-tiba tangan itu bersinar bagaikan bulan. Rasa kagum Nabi Musa kian bertambah. Lalu dia meletakkan tangannya di dadanya sehingga rasa takutnya benar-benar hilang.

Nabi Musa A.S merasa tenang dan terdiam. Setelah beliau melihat kedua mukjizat, iaitu mukjizat tangan dan tongkat, Allah S.W.T memerintahkan kepadanya untuk pergi menemui Fir’aun dan berdakwah kepadanya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.

Nabi Musa A.S memohon kepada Allah S.W.T agar mengirim saudaranya, Harun bersamanya. Allah S.W.T menenangkan Musa A.S dengan mengatakan bahawa Dia akan selalu bersama mereka berdua. Dia mendengar serta menyaksikan gerakgeri dan perbuatan mereka.

Meskipun Fir’aun terkenal dengan kejahatan dan kekuatannya, namun kali ini Fir’aun tidak akan mampu mengganggu atau menyakiti mereka. Allah S.W.T memberitahu Musa bahawa Dialah yang akan menang. Musa berdoa dan memohon kepada Allah S.W.T agar melapangkan hatinya dan memudahkan urusannya serta memberinya kekuatan dalam berdakwah di jalan-Nya.

Allah S.W.T berfirman:

”Apakah telah sampai kepadamu kisah Musa? Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada keluarganya: ”Tinggallah kamu (di sini), sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa sedikit darinya kepadamu atau aku akan mendapat petunjuk di tempat api itu. Maka ketika dia datang ke tempat api itu dia dipanggil: ”Hai Musa, sesungguhnya Aku adalah Tuhanmu. Maka tinggalkanlah kedua terompahmu; sesungguhnya kamu berada di lembah yang suci, Thuwa’. Dan Aku telah memilih kamu, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu). Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang haq) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku. Sesungguhnya hari kiamat itu akan datang. Aku merahsiakan (waktunya) agar tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang diusahakan. Maka sekali-kali janganlah kamu dipalingkan darinya oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan oleh orang yang mengikuti hawa nafsunya, yang menyebabkan kamu binasa. Apakah itu yang ada di tangan kananmu, hai Musa?” ”Ini adalah tongkatku, aku bertelekan padanya, dan aku pukul (daun) dengannya untuk kambingku, dan bagiku ada lagi keperluan yang lain padanya.” Allah berfirman: ”Lemparkanlah ia, hai Musa!” Lalu dilemparkanlah tongkat itu, maka tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang merayap dengan cepat. ”Peganglah ia dan janganlah takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula, dan kepitkanlah tanganmu ke ketiakmu, nescaya ia keluar menjadi putih cemerlang tanpa cacat, sebagai mukjizat yang lain (pula), untuk Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar. Pergilah kepada Fir’aun; sesungguhnya dia telah melampaui batas.” Berkata Musa: ”Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku, dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (iaitu) Harun saudaraku, teguhkanlah dengan dia kekuatanku, dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku, supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau, dan banyak mengingati Engkau. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Melihat (keadaan) kami.” Allah berfirman: ”Sesungguhnya telah diperkenankan permintanmu, hai Musa. Dan sesungguhnya Kami telah memberi nikmat kepadamu pada kali yang lain, iaitu ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu yang diilhamkan, iaitu: Letakkanlah dia (Musa) di dalam peti, kemudian lemparkanlah dia ke sungai (Nil), maka pasti sungai itu membawanya ke tepi, supaya diambil oleh (Fir’aun) musuh-Ku dan musuhnya. Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku; dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasan-Ku. (Iaitu) ketika saudaramu yang perempuan berjalan, lalu dia berkata kepada (keluarga Fir’aun): ”Bolehkah aku menunjukkan kepadamu orang yang akan memeliharanya?” Maka Kami mengembalikanmu kepada ibumu, agar senang hatinya dan tidak berdukacita. Dan kamu pernah membunuh seorang manusia, lalu Kami selamatkan kamu dari kesusahan dan Kami telah mencubamu dengan beberapa cubaan; maka kamu tinggal beberapa tahun di antara penduduk Madyan, kemudian kamu datang menurut waktu yang ditetapkan, hai Musa, dan Aku telah memilihmu untuk diri-Ku. ” (Thaha: 9-41)

Nabi Musa A.S kembali menemui keluarganya setelah Allah S.W.T memilihnya sebagai Rasul untuk berdakwah. Nabi Musa A.S serta keluarganya berjalan menuju ke Mesir.

Demikianlah Nabi Musa A.S memikul amanat kebenaran dan pergi untuk menyampaikannya kepada penguasa yang paling kejam dan jahat di zamannya. Nabi Musa A.S mengetahui bahawa Fir’aun akan menentangnya tetapi Allah S.W.T memerintahkannya untuk berdakwah kepadanya dengan kelembutan dan kasih sayang.

Allah S.W.T mewahyukan kepada Musa A.S bahawa Fir’aun tidak akan beriman tetapi Nabi Musa A.S tidak peduli. Beliau diperintahkan untuk melepaskan Bani Israil yang sedang diseksa oleh Fir’aun.

Allah S.W.T berfirman kepada Nabi Musa A.S dan abangnya, Nabi Harun A.S:

”Maka datanglah kamu berdua kepadanya (Fir’aun) dan katakanlah: ”Sesungguhnya kami berdua adalah utusan Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Israil bersama kami dan janganlah kamu menyeksa mereka. ” (Thaha: 47)

Inilah tugas yang ditentukan, iaitu tugas yang akan berdepan dengan tentangan. Fir’aun menyeksa Bani Israil dan memaksa mereka untuk bekerja di luar kemampuan mereka. Fir’aun juga menodai kehormatan wanita-wanita mereka dan menyembelih anak lelaki mereka. Nabi Musa A.S tetap menghadapi Fir’aun dengan penuh kelembutan dan kasih sayang sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T padanya:

”Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut. ” (Thaha: 43-44)

Nabi Musa A.S bertemu Fir’aun dan bercerita kepada Fir’aun tentang Allah S.W.T, tentang rahmat-Nya, syurga-Nya dan tentang kewajiban menyembah-Nya. Beliau berusaha membangkitkan aspek-aspek kemanusiaan Fir’aun melalui pembicaraan tersebut. Fir’aun mendengar apa yang dikatakan oleh Musa dengan penuh kebosanan.

Kemudian Fir’aun mengangkat tangannya dan berbicara: ”Apa yang engkau inginkan, hai Musa?”

”Aku ingin agar engkau membebaskan Bani Israil,” jawab Nabi Musa A.S.

”Mengapa aku harus membebaskan mereka?” soal Fir’aun.

”Mereka adalah hamba-hamba Allah, Tuhan Pengatur alam semesta,” tegas Nabi Musa A.S.

Dengan nada mengejek Fir’aun bertanya: ”Bukankah engkau mengatakan bahawa namamu Musa?”

Musa menjawab: ”Benar!”

Fir’aun berkata: ”Bukankah engkau yang kami temukan di sungai Nil ketika engkau masih kecil yang tidak mempunyai daya? Bukankah engkau Musa yang aku didik di istana ini, lalu engkau memakan makanan kami dan meminum air kami, dan engkau menikmati kebaikan-kebaikan dari kami? Bukankah engkau yang membunuh seseorang lalu setelah itu engkau lari? Tidakkah engkau ingat semua itu? Bukankah mereka mengatakan bahawa pembunuhan merupakan suatu kekufuran? Kalau begitu, engkau seorang kafir dan engkau seorang pembunuh. Jadi engkau adalah Musa yang lari dari hukum Mesir. Engkau adalah seseorang yang lari dan menghindari keadilan. Lalu sekarang engkau datang kepadaku dan berusaha berbicara denganku. Engkau berbicara tentang apa, hai Musa. Sungguh aku telah lupa.”

Nabi Musa8 mengerti bahawa Fir’aun mengingatkan padanya tentang masa lalunya dan berusaha menunjukkan kepadanya bahawa dia telah mendidiknya dan berlaku baik padanya. Musa A.S juga memahami bahawa Fir’aun mengancam membunuhnya.

Musa A.S memberitahu Fir’aun, bahawa dia bukan seorang kafir ketika membunuh seseorang tetapi melakukannya dengan tidak sengaja. Musa A.S memberitahu Fir’aun bahawa dia lari dari Mesir kerana khuatir akan pembalasan mereka. Pembunuhan yang dilakukannya bersifat tidak sengaja dan tidak bermaksud untuk membunuh seseorang. Dia memberitahu Fir’aun bahawa Allah S.W.T telah memberinya hikmah dan menjadikannya salah seorang Rasul.

Allah S.W.T menceritakan sebahagian percakapan antara Nabi Musa dan Fir’aun, sebagaimana firman-Nya:

”Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu menyeru Musa (dengan firman-Nya): ”Datangilah kaum yang zalim itu, (iaitu) kaum Fir’aun. Mengapa mereka tidak bertaqwa?” Berkata Musa: ”Ya Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan aku. Dan (kerananya) sempitlah dadaku dan tidak lancar lidahku maka utuslah (Jibril) kepada Harun. Dan aku berdosa terhadap mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku.” Allah berfirman: ”Janganlah takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa- apa yang mereka katakan). Maka datanglah kamu berdua kepada Fir’aun dan katakanlah: ”Sesungguhnya kami adalah Rasul Tuhan semesta alam, lepaskanlah Bani Israil (pergi) beserta kami.” Fir’aun menjawab: ”Bukankah kami telah mengasuhmu di antara (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu, dan kamu telah berbuat suatu perbuatan yang telah kamu lakukan itu dan kamu termasuk golongan orang-orang yang tidak membalas budi.” Berkata Musa: ”Aku telah melakukannya, sedang aku di waktu itu termasuk orang-orang yang khilaf. Lalu aku lari meninggalkan kamu ketika aku takut kepadamu, kemudian Tuhanku memberikan kepadaku ilmu serta Dia menjadikanku salah seorang di antara Rasul-rasul.” (Asy-Syu’ara: 10-21)

Kemudian bangkitlah emosi Nabi Musa A.S ketika Fir’aun mengingatkan bahawa dia telah berbuat baik kepada Musa A.S lalu Nabi Musa A.S berkata:

”Budi yang kamu limpahkan kepadaku itu adalah (disebabkan) kamu telah memperbudak Bani Israil.” (Asy-Syu’ara’: 22)

Sampai pada tahap ini Fir’aun mulai memasuki pembicaraan lebih serius. Fir’aun bertanya:

”Siapakah Tuhan semesta alam itu?” (Asy-Syu’ara’: 23)

Nabi Musa A.S menjawab:

”Tuhan Pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang di antara keduanya (itulah Tuhanmu), jika kamu sekalian (orang-orang) mempercayai-Nya. ” (Asy-Syu’ara’:
24)

Berkata Fir’aun kepada orang-orang sekelilingnya:

”Apakah kamu tidak mendengarkan?” (Asy-Syu’ara’: 25)

Nabi Musa A.S berkata dan tidak mempedulikan ejekan Fir’aun itu:

”Tuhan kamu dan Tuhan nenek-nenek moyang kamu yang dahulu.” (AsySyu’ara: 26)

Allah S.W.T menceritakan sebahagian percakapan yang terjadi antara Fir’aun dan Nabi Musa:

”Fir’aun bertanya: ”Siapakah Tuhan semesta alam itu?” Musa menjawab: ”Tuhan Pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang di antara keduanya (itulah Tuhanmu), jika kamu sekalian (orang-orang) mempercayai-Nya.” Berkata Fir’aun kepada orang-orang sekelilingnya: ”Apakah kamu tidak mendengarkan?” Musa berkata: ”Tuhan kamu dan Tuhan nenek-nenek moyang kamu yang dahulu.” Fir’aun berkata: ”Sesungguhnya Rasulmu yang diutus kepada kamu sekalian benar-benar orang gila.” Musa berkata: ”Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya: (Itulah Tuhanmu) jika kamu mempergunakan akal. ” (Asy-Syuara: 23-28)

Allah S.W.T menjelaskan sedikit dari peristiwa pertemuan antara Fir’aun dan Nabi Musa. Allah S.W.T berfirman:

”Maka datanglah kamu kedua kepadanya (Fir’aun) dan katakanlah: ”Sesungguhnya kami berdua adalah utusan Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Israil bersama kami dan janganlah kamu menyeksa mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu dengan membawa bukti (atas kerasulan kami) dari Tuhanmu. Dan keselamatan itu dilimpahkan kepada orang yang mengikuti petunjuk. Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa seksa itu (ditimpakan) atas orang-orang yang mendustakan dan berpaling.” Berkata Fir’aun: ”Maka siapakah Tuhanmu berdua, hai Musa” Musa berkata: ”Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk.” Berkata Fir’aun: ”Maka bagaimanakah keadaan-keadaan umat-umat yang dahulu?” Musa menjawab: ”Pengetahuan tentang itu ada di sisi Tuhanku, di dalam sebuah kitab. Tuhan kami tidak akan salah dan tidak akan (pula) lupa (Thaha: 47-52)

Fir’aun tidak bertanya untuk mengetahui kebenaran tetapi hanya untuk mengejek. Nabi Musa A.S menjawabnya dengan sempurna. Kemudian Fir’aun bertanya tentang keadaan manusia yang hidup di abad pertama di mana mereka tidak menyembah Allah S.W.T. Nabi Musa menjawab bahawa semua itu diketahui oleh Allah S.W.T. Kemudian Nabi Musa kembali menyempurnakan pembicaraannya tentang sifat Tuhannya:

”Yang telah menjadikan bagimu bumi sebagai hamparan dan yang telah menjadikan bagimu di bumi itu jalan-jalan, dan menurunkan dari langit air hujan. Maka Kami tumbuhkan dengan air hujan itu berjenis-jenis dari tumbuhtumbuhan. Makanlah dan gembalakanlah binatang-binatangmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal. Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan darinya Kami akan mengembalikan kamu dan darinya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain.” (Thaha: 53-55)

Nabi Musa menarik perhatian Fir’aun tentang tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T di alam semesta. Fir’aun menunjukkan penentangannya kepada kebenaran yang dibawa oleh Musa A.S dan mula mengugutnya.

”Fir’aun berkata: ”Sungguh jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan.” (AsySyu’ara’: 29)

Musa A.S mengetahui bahawa hujah kebenaran tidak lagi bermanfaat. Percakapan yang tenang berubah menjadi ejekan dan penghinaan serta pada akhirnya menjadi ancaman hukuman penjara.

Nabi Musa A.S mengetahui bahawa telah tiba waktunya untuk menunjukkan mukjizatnya. Setelah diancam akan dipenjarakan, Musa berkata kepada Fir’aun:

”Musa berkata: ”Dan apakah (kamu akan melakukan ini) meskipun aku tunjukkan kepadamu sesuatu (keterangan) yang nyata?” (Asy-Syu’ara: 30)

Fir’aun menerima tentangannya. Dia ingin tahu sejauh mana kebenaran Musa A.S.

”Fir’aun berkata: ”Datangkanlah sesuatu (keterangan) yang nyata itu, jika kamu adalah termasuk orang-orang yang benar. ” (Asy-Syu’ara’: 30-31)

Nabi Musa melemparkan tongkatnya di ruangan yang besar itu. Mula-mula Fir’aun menganggap bahawa tongkat yang dibawanya terjatuh kerana Musa gementar menghadapinya.

Tiba-tiba tongkat itu berubah menjadi ular besar yang bergerak dengan cepat menuju ke arah Fir’aun. Dia gementar dan berteriak agar menjauhkan ular itu darinya. Nabi Musa A.S menghulurkan tangannya lalu ular itu kembali menjadi tongkat semula.

Keheningan meliputi istana Fir’aun. Nabi Musa A.S menunjukkan pula mukjizatnya yang kedua. Dia memasukkan tangannya di bajunya dan mengeluarkannya. Tiba-tiba tangan itu mengeluarkan cahaya yang memenuhi penjuru istana. Akhirnya, semua orang yang hadir di situ merasa kagum.

Allah S.W.T berfirman:

”Maka Musa melemparkan tongkatnya, yang tiba-tiba tongkat itu (menjadi) ular yang nyata. Dan dia menarik tangannya (dari dalam bajunya), maka tiba-tiba tangan itu jadi putih (bersinar) bagi orang-orang yang melihatnya.” (AsySyu’ara: 32-33)

Keheningan semakin menyelimuti istana Fir’aun. Pengaruh dua mukjizat Nabi Musa tertanam pada jiwa orang-orang yang hadir di situ. Mereka merasakan ketakutan dalam diri mereka.

Fir’aun berkata: ”Sekarang, pergilah kalian berdua. Nanti kita akan lanjutkan perbincangan kita.”

Musa A.S dan Harun A.S pun keluar dari istana. Fir’aun nampak terpukul atas peristiwa itu. Fikirannya mulai berputar, membayangkan apa akan terjadi seandainya berita tentang dua mukjizat itu tersebar, lalu manusia mulai membicarakan tentang Musa A.S dan Harun A.S. Fir’aun mengeluarkan perintah agar orang-orang yang melihat peristiwa itu merahsiakan dari masyarakat umum

Fir’aun mengumpulkan semua para pembesar serta para pemimpin di Mesir. Dia memerintahkan Haman, ketua para pembesar untuk mengetuai pertemuan itu. Fir’aun membuka pertemuan itu dengan melontarkan pertanyaan kepada Haman: ”Apakah aku seorang pembohong, wahai Haman?”

Haman tunduk dan bertanya: ”Siapa yang berani menentang Fir’aun?”

Fir’aun berkata dengan marah: ”Musa! Bukankah dia mengatakan bahawa ada Tuhan Yang Maha Esa?”

”Sungguh Musa berbohong,” jawab Haman.”

Fir’aun berkata dalam keadaan memaling wajahnya ke arah yang lain: ”Aku mengetahui bahawa dia berbohong.”

”Dan berkatalah Fir’aun: ”Hai Haman, buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu, (iaitu) pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta.” (Al-Mu’min: 36-38)

Fir’aun mengeluarkan perintah untuk membina bangunan yang kukuh dan tinggi di mana ketinggiannya mampu mencapai langit. Perintah Fir’aun itu berdasarkan peradaban Mesir yang maju di mana mereka cenderung membina bangunan yang tinggi. Meskipun demikian, Haman mengetahui adalah mustahil membina bangunan setinggi itu.

Haman berkata: ”Aku ingin melaksanakan perintah itu segera, tetapi izinkanlah aku untuk pertama kalinya menentang perintahmu. Sungguh engkau tidak akan mendapati sesuatu pun di langit. Tidak ada tuhan di sana, selain dirimu.”

Fir’aun mendengar kata Haman dengan bangga, seakan-akan dia mendengarkan suatu hakikat yang ditetapkan. Kemudian dalam perhimpunan yang terkenal itu, Fir’aun melontarkan kata-katanya yang sangat bodoh dan angkuh.

”Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku” (AlQasas: 38)

Semua yang hadir menundukkan kepala tanda setuju. Di antara mereka terdapat dua atau tiga orang yang masih memiliki akal waras. Mereka mengetahui bahawa sebenarnya Fir’aun adalah seorang pembohong. Meskipun demikian, mereka membiarkan dan memilih apa yang disetujui oleh Fir’aun. Para tentera Mesir, para pembesar istana dan para dukun semua tunduk kepada kegilaan Fir’aun.

Fir’aun berkata dengan maksud bertanya kepada para penasihatnya: ”Apa yang kalian katakan tentang Musa?”

Haman berkata: ”Dia adalah seorang yang pembohong.”

Salah seorang pembesar lain berkata: ”Aku kira dia adalah seorang yang gila.”

Setelah keheningan seketika, Fir’aun berkata: ”Aku kira bahawa Musa adalah tukang sihir yang hebat. Dia ingin mengeluarkan kalian dari negeri kalian dengan sihirnya. Lalu tindakan apa yang kalian siapkan?”

Maka mereka memutuskan agar didatangkan tukang sihir yang hebat untuk menentang sihir Nabi Musa A.S. Kemudian diumumkan kepada seluruh ahli sihir agar datang ke istana Fir’aun untuk suatu urusan penting.

Fir’aun memanggil Nabi Musa. Sebaik bertemu, Fir’aun mengatakan bahawa Musa A.S adalah ahli sihir. Nabi Musa A.S menafikan dia menggunakan sihir tetapi adalah mukjizat kerasulan daripada Allah S.W.T bagi menyampaikan dakwah kepada seluruh manusia. Namun Fir’aun tetap mencabar Nabi Musa untuk menentang ahli-ahli sihir raja yang hebat untuk membuktikan kejaguhan. Nabi Musa A.S bersetuju dan menetapkan hari yang sesuai untuk pertarungan itu.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan sesungguhnya Kami telah perlihatkan kepadanya (Fir’aun) tanda-tanda kekuasaan Kami semuanya, maka dia mendustakan dan enggan (menerima kebenaran). Berkata Fir’aun: ”Adakah kamu datang kepada kami untuk mengusir kami dari negeri kami (ini) dengan sihirmu, hai Musa Dan kami pun pasti akan mendatangkan (pula) kepadamu sihir semacam itu, maka buatlah suatu waktu untuk pertemuan antara kami dan kamu, yang kami tidak akan menyalahinya dan tidak (pula) kamu di suatu tempat yang pertengahan (letaknya).” Berkata Musa: ”Waktu untuk pertemuan (kami dengan) kamu itu ialah di hari raya dan hendaklah dikumpulkan manusia pada waktu matahari sepenggalahan naik.” (Thaha: 56-59)

Nabi Musa A.S pergi dalam keadaan tenang. Tidak lama kemudian ahli-ahli sihir yang hebat datang dan berkumpul di istana.

Fir’aun berkata: ”Seorang lelaki bernama Musa datang bersama saudaranya, Harun dan mengaku utusan Allah. Musa ini adalah tukang sihir yang mahir, lebih tangkas dan lebih hebat dari Harun. Oleh itu, kalian harus mengalahkannya.”

Selanjutnya Fir’aun menceritakan tentang peristiwa tongkat menjadi ular besar dan tangan Nabi Musa A.S yang mengeluarkan cahaya. Para tukang sihir mengatakan bahawa itu adalah permainan sihir biasa dan tidak ada keistimewaan. Oleh itu, mereka akan dapat mengalahkannya. Fir’aun menjanjikan ganjaran lumayan dan kedudukan tinggi kepada mereka jika dapat mengalahkan Musa A.S.

Allah S.W.t berfirman:

”Dan Musa berkata: ”Hai Fir’aun, sesungguhnya aku ini adalah seorang utusan dari Tuhan alam semesta, wajib atasku tidak mengatakannya sesuatu terhadap Allah, kecuali yang haq. Sesungguhnya aku datang kepadamu dengan membawa bukti yang nyata dari Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Israil (pergi) bersama aku.” Fir’aun menjawab: ”Jika benar kamu membawa sesuatu bukti, maka datangkanlah bukti itu jika (betul) kamu termasuk orang-orang yang benar. ” Dan dia mengeluarkan tangannya, maka ketika itu juga tangan itu menjadi putih bercahaya (kelihatan) oleh orang-orang yang melihatnya. Pemuka-pemuka kaum Fir’aun berkata: ”Sesungguhnya Musa ini adalah ahli sihir yang pandai, yang bermaksud hendak mengeluarkan kamu dari negerimu.” (Fir’aun berkata): ”Maka apakah yang kamu anjurkan?” Pemuka-pemuka itu menjawab:

”Beritahulah ia dan saudarasaudaranya serta kirimlah ke kota-kota beberapa orang yang akan mengumpulkan (ahli-ahli sihir), supaya mereka membawa kepadamu semua ahli sihir yang pandai. ” Dan beberapa ahli sihir telah datang kepada Fir’aun mengatakan: ”(Apakah) sesungguhnya kami akan mendapat upah, jika kamilah yang menang?” Fir’aun menjawab: ”Ya dan sesungguhnya kamu benar-benar akan termasuk orang-orang yang dekat (kepadaku).” (AlA’raf: 104-114)

Kemudian datanglah hari yang dijanjikan. Orang-orang berbondong-bondong keluar dari rumah. Mereka membicarakan tentang pertemuan antara Nabi Musa A.S dan abangnya, Harun A.S dengan Fir’aun. Mereka menuju ke tempat pertemuan sejak pagi hari. Tidak ada seorang pun di Mesir yang tidak mengetahui tentang peristiwa itu.

Orang-orang begitu gembira ketika para tukang sihir itu datang sebagaimana mereka juga gembira ketika melihat Fir’aun datang, namun keheningan menyelimuti tempat itu ketika Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S datang. Pertemuan itu diadakan di tempat terbuka. Fir’aun berdiri di tengah-tengah tenteranya dengan angkuh.

Jibril turun dan berada di sisi Nabi Musa dan abangnya, Harun A.S. Jibril A.S mengatakan bahawa semua ahli sihir Fir’aun itu akan beriman kepada Allah S.W.T dan mereka akan memasuki syurga. Nabi Musa menjadi hairan dengan katakata Jibrill itu. Dia tidak dapat memastikannya namun dia yakin terhadap hikmah dan rahmat Allah S.W.T.

Pertarungan pun bermula. Para ahli sihir Fir’aun melemparkan tongkat-tongkat mereka dan tali-tali mereka. Tiba-tiba arena itu dipenuhi dengan ular-ular. Orang ramai yang melihat sihir itu merasa takut kerana mereka mendatangkan sihir yang hebat. Tongkat-tongkat dan tali-tali yang ada di tangan mereka berubah menjadi ular yang sangat banyak.

Nabi Musa A.S berdiri bersama abangnya, Harun A.S sambil memerhatikan kejadian itu. Ketika itu, cahaya yang terang menembus dalam dirinya dan Allah S.W.T berfirman:

”Kami berkata: ”Janganlah kamu takut, sesungguhnya kamulah yang paling unggul (menang). Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tuhang sihir (belaka). Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja dia datang.” (Thaha: 68-69)

Nabi Musa A.S mengangkat tongkatnya dan melemparkannya. Sebelum tongkat itu menyentuh tanah, tiba-tiba terjadilah suatu mukjizat. Belum sampai tongkat Nabi Musa A.S menyentuh tanah, ia berubah menjadi ular yang besar.

Tiba-tiba ular besar itu menuju ular-ular yang bergerak dan memakannya satu persatu dengan sekelip mata. Bergeraklah ular yang besar menuju Nabi Musa A.S lalu beliau menghulurkan tangannya dan ular itu berubah menjadi tongkat semula. Para ahli sihir mengetahui bahawa mereka bukan di hadapan seorang ahli sihir, tetapi apa yang mereka saksikan adalah mukjizat dari Allah S.W.T.

Akhirnya, semua tukang sihir itu sujud di atas tanah. Mereka berkata: ”Kami beriman kepada Tuhan Pengatur alam semesta. Tuhan yang diyakini oleh Musa dan Harun.”

Orang ramai menyaksikan mukjizat yang mengkagumkan. Mereka juga melihat bagaimana semua tukang sihir Fir’aun sujud kepada Musa A.S dan Harun A.S.

Fir’aun bangkit dari duduknya dan menjerit: ”Bagaimana kalian beriman kepadanya sebelum aku memberi izin. Ini adalah persekongkolan yang jelas. Sesungguhnya Musa A.S adalah guru yang mengajar kalian tentang sihir. Sungguh tangan-tangan kalian dan kaki-kaki kalian akan dipotong dan kalian akan disalib di pokok kurma. Sungguh ini adalah persekongkolan yang jelas.”

Para tukang sihir berkata: ”Lakukan apa saja yang engkau inginkan, hai Fir’aun. Kami tidak memilihmu dan kami tidak mengutamakanmu atas mukjizat Allah ini. Sesungguhnya kami beriman kepada Tuhan kami agar Dia mengampuni kami. Apa yang ada di sisi Allah lebih baik dan abadi. Seandainya engkau menyeksa dan membunuh kami, maka engkau hanya dapat menyeksa kami di kehidupan dunia ini. Tentu kehidupan dunia tidak dapat dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Kami hanya ingin mendapat pengampunan dari Allah dan memasuki syurga.”

Maka Fir’aun mengeluarkan perintah untuk menyalib semua tukang sihir. Ketika menyaksikan peristiwa dahsyat tersebut, orang ramai menjadi ketakutan.

Barulah Nabi Musa A.S dapat memahami apa yang dinyatakan oleh Jibril A.S sebentar tadi. Bahawa semua ahli sihir Fir’aun adalah pilihan Allah S.W.T dan mereka akan masuk syurga.

Kemudian Nabi Musa A.S dan Nabi Harun meninggalkan tempat itu dan Fir’aun kembali ke istananya. Allah menceritakan apa yang dialami tukang sihir dan Musa A.S dalam firman-Nya:

”Ahli-ahli sihir berkata: ”Hai Musa, kamukah yang akan melemparkan lebih dahulu, atau kami yang akan melemparkan?” Musa menjawab: ”Lemparkanlah (lebih dahulu)!” Maka tatkala mereka melemparkan, mereka menyulap mata orang dan menjadihan orang ramai itu takut, serta mereka mendatangkan sihir yang besar (menakjubkan). Dan Kami mewahyukan kepada Musa: ”Lemparkanlah tongkatmu!” Maka tongkat itu menelan apa yang mereka sulapkan. Kerana itu nyatalah yang benar dan gagallah yang selalu mereka kerjakan. Maka mereka kalah di tempat itu dan jadilah mereka orang-orang yang hina. Dan ahli-ahli sihir itu serta-merta meniarapkan diri dengan bersujud. Mereka berkata: ”Kami beriman kepada Tuhan semesta alam, (Iaitu) Tuhan Musa dan Harun. ” Fir’aun berkata: ”Apakah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu?” Sesungguhnya (perbuatan) ini adalah suatu muslihat yang telah kamu rencanakan di dalam kota ini, untuk mengeluarkan penduduknya darinya; maka kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu ini); sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kakimu dengan bersilang secara bertimbal balik, kemudian sungguh-sungguh aku akan menyalib kamu semuanya. ” Ahli-ahli sihir itu menjawab: ”Sesungguhnya kepada Tuhanlah kami kembali. Dan kamu tidak membalas dendam dengan menyeksa kami, melainkan kerana kami telah beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami (Mereka berdoa): ”Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri (kepada-Mu). ” (A ’raf: 115-126) ”

Para tukang sihir Mesir berubah menjadi mukmin dan mempercayai ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. Mereka beriman kepada Allah S.W.T. Akhirnya, mereka dinaikkan di batang-batang pokok kurma untuk disalib dan dipotong tangantangan mereka dan kaki-kaki mereka. Mereka meminta kepada Allah S.W.T agar mereka dimatikan sebagai orang-orang yang beriman kepada-Nya.

Nabi Musa A.S benar-benar dapat memahami apa yang diucapkan oleh Jibril A.S bahawa para ahli sihir itu berada di sisinya sehingga waktu solat Asar dan setelah itu mereka berada di syurga.

Ketika memasuki waktu Asar tubuh para tukang sihir itu berlumuran darah disalib oleh para tentera Fir’aun. Mayat mereka digantung di serata tempat awam bagi menakutkan orang ramai. Namun gelombang kebangkitan rakyat mula bergerak. Semakin ramai yang mengikuti Nabi Musa dan Nabi Harun A.S.

Fir’aun menghadapi masalah yang kian meruncing. Lalu dia memerintahkan ketua rejimnya, Haman supaya melaksanakan tindakan yang lebih zalim. Haman dan para pembesar lain bermaharajalela menjadi alat kezaliman yang melaksanakan perintah musuh Allah S.W.T itu. Maka kian ramai manusia termasuk anak-anak kecil yang dibunuh, dipenjarakan dan kaum wanita diperkosa.

Nabi Musa A.S meminta kaumnya bersabar dan memohon pertolongan Allah S.W.T. Beliau menjadikan para tukang sihir sebagai teladan bagi mereka. Nabi Musa A.S memberitahu mereka bahawa Allah S.W.T mewariskan bumi kepada orang-orang yang bertaqwa.

Lama kelamaan, pelbagai kezaliman yang dilakukan oleh rejim Fir’aun itu mula mempengaruhi jiwa kaum Bani Israil sehingga mereka mengalah. Mereka berkata kepada Nabi Musa ”Wahai Musa, kami sangat menderita sebelum kedatanganmu dan sesudah kedatanganmu, anak-anak kami dibunuh sebelum kedatanganmu dan sesudah kedatanganmu.”

Nabi Musa A.S meyakinkan mereka bahawa Allah S.W.T akan menghancurkan musuhmusuh mereka. Tetapi mereka tetap mengadu kepada Musa A.S dan ternyata mereka tidak kuat menahan dugaan.

Nabi Musa A.S menghadapi kesukaran. Beliau berusaha melawan Fir’aun dan pada masa yang sama mendengar keluhan kaumnya. Di tengah-tengah kesukaran itu, muncul pula Qarun, seorang putera Bani Israil yang menentang Nabi Musa. Kekayaan Qarun menjadikannya sangat rapat kepada rejim Fir’aun. Qarun memiliki pelbagai macam kekayaan dan dalam jumlah yang banyak. Bahkan pelana kudanya dibuat dari kulit yang dihiasi emas dan perak.

Kekayaan Qarun sangat mengkagumkan orang-orang yang mencintai dunia. Qarun bersikap angkuh sehingga tidak menerima nasihat. Ketokohannya dapat menyaingi kehebatan Fir’aun dan Haman. Namun begitu, Fir’aun dan Haman menguasai Mesir secara keseluruhan, manakala Qarun hanya menguasai sebahagian dari Mesir.

Orang-orang yang berakal dari kaumnya menasihati Qarun agar berfikir sejenak tentang akhirat. Namun Qarun hanya merasa puas dengan kekayaan dunia. Akalnya mengatakan bahawa kekayaan datang kerana usahanya. Malah dia mengira bahawa dia lebih utama dan lebih mulia dari Musa.

Allah S.W.T berfirman:

”Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?” (Az-Zukhruf: 52)

Demikianlah pernyataan Fir’aun kepada Nabi Musa A.S. Terdapat persamaan antara pendapat Fir’aun, Haman dan Qarun terhadap Musa A.S Sesuai dengan taraf kedudukan dan kekayaan mereka. Qarun menjadi sahabat Fir’aun dan menyokong rejim kekuasaannya.

”Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dengan kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: ”Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keuntungan yang besar. ” (Al-Qasas: 79)

Pada suatu hari Nabi Musa A.S dikejutkan dengan fitnah dari seorang wanita yang mengatakan bahawa Musa pernah menidurinya. Kemudian beliau menemui wanita itu dan bertanya mengapa menuduhnya dengan sesuatu yang tidak benar. Tiba-tiba wanita itu menangis dan meminta ampun kepada Musa A.S. Dia memberitahu bahawa Qarun memberinya wang sebagai imbuhan atas fitnah yang disebarkannya. Mendengar itu, Nabi Musa A.S berdoa kepada Allah S.W.T.

Ketika Qarun keluar untuk menemui kaumnya dengan menampakkan pesona dunia, lalu bumi terbelah dan menelan Qarun serta segala harta kekayaannya. Allah S.W.T telah membinasakan Qarun serta kemegahan dunia yang dimiliki.

Allah berfirman:

”Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka dia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuatkuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: ”Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri.” Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. Qarun berkata: ”Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.” Dan apakah dia tidak mengetahui, bahawasannya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidakkah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka. Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: ”Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keuntungan yang besar. ” Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: ”Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperolehi pahala itu, kecuali orang-orang yang sabar.” Maka Kami benamkanlah Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah, dan tiadalah dia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya). Dan jadilah orang-orang yang kelmarin mencita-citakan kedudukan Qarun itu, berkata: ”Aduhai benarlah Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya dan menyempitkannya; kalau Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya atas kita, benar-benar Dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai benarlah, tidak beruntung orang-orang yang mengingkari (nikmat Allah). ” Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Qasas: 7683)

Penyimpangan dari keimanan kepada Allah S.W.T pada akhimya mengheret manusia kepada kesombongan dan menentang kebenaran. Pertikaian Fir’aun dan Nabi Musa A.S mencapai puncaknya. Fir’aun meyakini bahawa Musa A.S sangat mengancam kekuasaannya. Lantaran itu, Fir’aun mengambil keputusan untuk membunuh Nabi Musa A.S.

”Dan berkata Fir’aun (kepada pembesar-pembesarnya): ”Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah dia memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khuatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerosakan di muka bumi.” (Al-Mumin: 26)

Fir’aun berusaha untuk mencegah orang-orang yang menuju kebenaran, Fir’aun menghalang tugas para Nabi dan menyesatkan manusia dengan mengatakan bahawa Nabi Musa yang menyesatkan mereka. Bagaimanapun, usul untuk membunuh Nabi Musa mendapat bangkangan dari seorang pengikut Fir’aun yang merupakan salah seorang pembesar. Al-Quran tidak menyebutkan nama atau sifat lelaki itu.

Lelaki itu menegaskan, Musa mengatakan bahawa Allah S.W.T adalah Tuhannya lalu membawa bukti-bukti yang jelas menunjukkan dia benar-benar seorang Rasul. Jika Musa A.S seorang pembohong, maka pembohongannya itu akan kembali kepada dirinya sendiri dan dia tidak perlu dibunuh. Namun jika dia benar, lalu dia dibunuh, maka apa yang akan menjamin keselamatan terhadap azab yang dijanjikan?”

Lelaki mukmin yang menyembunyikan keimanannya itu berkata: ”Sesungguh hari ini kita berada di tempat-tempat kekuatan sebagaimana yang dialami oleh Qarun, di mana dia memiliki kekayaan dan kekuatan. Kemudian terjadilah apa yang terjadi padanya. Siapakah yang akan menyelamatkan kita dari azab Allah? Siapakah yang dapat menolong kita dari seksaan-Nya jika menimpa kita? Tindakan melampaui batas dan usaha kita untuk membohongi kebenaran telah membuat kita rugi.”

Kata-kata lelaki mukmin itu cukup mempengaruhi para pembesar. Namun Fir’aun tetap angkuh dengan sifat zalim.

”Fir’aun berkata: ”Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik; dan aku tiada menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar.” (Al-Mu ’min: 29)

Demikianlah pernyataan penguasa yang zalim dan hanya menurut hawa nafsu sendiri. AllahtSt menceritakan sikap demikian menerusi firman-Nya:

”Dan seorang lelaki yang beriman di antara pengikut-pengikut Fir’aun yang menyembunyikan imannya berkata: ”Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia menyatakan: ”Tuhanku ialah Allah. ” Padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika dia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika dia seorang yang benar nescaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu.” Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta. (Musa berkata): ”Hai kaumku, untukmulah kerajaan pada hari ini dengan berkuasa di muka bumi. Siapakah yang akan menolong kita dari azab Allah jika azab itu menimpa kita!” Fir’aun berkata: ”Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa saja yang aku pandang baik; dan aku tiada menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar.” (AlMumin 28-29)

Perdebatan tersebut tidak berhenti pada batas ini. Fir’aun mengutarakan katakatanya tetapi orang mukmin itu tetap tidak puas dengannya. Kemudian lelaki mukmin itu kembali berbicara:

”Dan orang yang beriman itu berkata: ”Hai kaumku, sesungguhnya aku khuatir kamu akan ditimpa (bencana) seperti kehancuran golongan yang bersekutu. (Yakni) seperti keadaan kaum Nuh, Ad, Tsamud dan orang-orang yang datang sesudah mereka. Dan Allah tidak akan menghendaki berbuat kezaliman terhadap hamba-hamba-Nya. Hai kaumku, sesungguhnya aku khuatir terhadapmu akan seksaan hari panggil-memanggil, (iaitu) hari (ketika) kamu (lari) berpaling ke belakang, tidak ada bagimu seorang pun yang menyelamatkan dirimu dari (azab) Allah, dan siapa yang disesatkan Allah, nescaya tidak ada baginya seorang pun yang akan memberi petunjuk. Dan sesungguhnya telah datang Yusuf kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan, tetapi kamu sentiasa dalam keraguan tentang apa yang dibawanya kepadamu, hingga ketika dia meninggal, kamu berkata: ”Allah tidak akan mengirimkan seorang (Rasul pun) sesudahnya. Demikianlah Allah menyesatkan orang-orang yang melampaui batas dan raguragu. (Iaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka. Amat besar kemurkaan (bagi mereka) di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan sewenang-wenang.” (Al-Mu’min: 30-35)

Lelaki mukmin itu berusaha menghuraikan pada pembicaraannya tentang buktibukti sejarah. Dia menyampaikan kepada Fir’aun dan kaumnya hujah yang menunjukkan kebenaran Nabi Musa A.S. Dia memperingatkan mereka agar jangan mengganggu Nabi Musa A.S.

Pembicaraan lelaki mukmin itu mengandung beberapa peringatan. Dia berjaya meyakinkan mereka bahawa usul membunuh Nabi Musa A.S tidak menjamin keselamatan mereka dan hendaklah ditinggalkan. Lelaki mukmin itu berusaha untuk menunjukkan kepada mereka kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa A.S.

”Orang yang beriman itu berkata: ”Hai kaumku, ikutilah aku, aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang benar. Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perhuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amal yang soleh baik lelaki mahupun perempuan sedang dia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.” (Al-Mu’min: 38-40)

Akhirnya, keimanan lelaki itu pun tersingkap dan dia tidak lagi menyembunyikan keimanannya. Pada akhir pembicaraannya, dia menegaskan:

”Hai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan, tetapi kamu menyeru aku ke neraka? (Mengapa) kamu menyeruku kafir kepada Allah dan mempersekutukan-Nya dengan apa yang tidak aku ketahui, padahal aku menyeru kamu (beriman) kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun? Sudah pasti bahawa apa yang kamu seru supaya aku (beriman) kepadanya tidak dapat memperkenankan seruan apa pun, baik di dunia mahupun di akhirat. Dan sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka. Kelak kamu akan mengingat kepada apa yang kukatakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” (Al-Mu’min: 41-44)

Lelaki mukmin itu dari keluarga Fir’aun dan seorang pembesar. Keimanannya terhadap kebenaran bererti kemenangan yang besar bagi Musa A.S. Demikianlah, Fir’aun semakin tersepit dengan masalah yang amat sulit.

”Maka Allah memeliharanya dari kejahatan tipu day a mereka, dan Firaun berserta kaumnya dikepung oleh azab yang amat buruk.” (Al-Mu’min: 45)

Namun Fir’aun tetap angkuh dengan kezaliman. Akhirnya, tibalah waktunya bagi Allah S.W.T untuk menurunkan pembalasan. Allah S.W.T menurunkan tahun-tahun yang kering dan tandus kepada orang-orang Mesir di mana bumi kering kontang dan sungai Nil pun kering hingga buah-buahan jarang sekali ditemui. Akibatnya, kelaparan melanda di sana-sini. Seksaan seperti ini akan menimpa ketika manusia berpaling dari keimanan dan taqwa.

Allah S.W.t berfirman:

”Jikalau sekitarnya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. ” (Al-A ’raf: 96)

Kemudian kefakiran mereka semakin meningkat dan mereka semakin jauh dari kebenaran. Mereka meyakini bahawa sihir Nabi Musa A.S menyebabkan keadaan itu. Akhirnya, Allah S.W.T menurunkan azab yang lebih keras kepada mereka. Allah S.W.Ti berfirman:

”Dan sesungguhnya Kami telah menghukum (Fir’aun dan) kaumnya dengan (mendatangkan) musim kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka mengambil pelajaran. Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata: ”Ini adalah kerana (usaha) kami.” Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan sebab kesialan itu kepada Musa dan orang-orang yang bersertanya. Ketahuilah, sesungguhnya kesialan mereka itu adalah ketetapan dari Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya. Mereka berkata: ”Bagaimanapun kamu mendatangkan keterangan kepada kami untuk menyihir kami dengan keterangan itu, maka kami sekali-kali tidak akan beriman kepadamu.” Maka Kami kirimkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak dan darah sebagai bukti yang jelas, tetapi mereka tetap menyombongkan diri dan mereka adalah kaum yang berdosa.” (Al-A raf:
130-133)

Allah S.W.T mengirimkan pelbagai azab dengan harapan agar mereka kembali kepada Allah S.W.T Setelah kemarau, datanglah banjir sehingga bumi tenggelam dan mereka tidak dapat bercucuk tanam. Mereka segera menemui Nabi Musa A.S

”Dan ketika mereka ditimpa azab (yang telah diterangkan itu) mereka pun berkata: ”Hai Musa, mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu dengan (perantaraan) kenabian yang diketahui Allah ada pada sisimu. Sesungguhnya jika kamu dapat menghilangkan azab itu dari kami, pasti kami akan beriman kepadamu dan akan kami biarkan Bani Israil pergi bersamamu.” (Al-A ’raf: 134)

Nabi Musa A.S berdoa kepada Allah sehingga azab disingkirkan dari mereka. Air yang memancar dengan dahsyat itu berhenti dan bumi kembali subur untuk bercucuk tanam. Nabi Musa A.S meminta mereka untuk menunaikan janji tetapi mereka tidak memenuhinya.

Kemudian datanglah tanda kebesaran Allah S.W.T yang lain iaitu dalam bentuk turunnya belalang. Allah mengirim kawanan belalang yang memenuhi tanaman dan buah-buahan. Ketika belalang-belalang itu terbang maka tanaman-tanaman mereka hilang dari pandangan kerana terlalu banyak. Belalang-belalang itu memusnahkan tanaman.

Melihat keadaan demikian, mereka pun menemui Nabi Musa dan memintanya berdoa kepada Allah. Nabi Musa A.S pun berdoa dan belalang-belalang itu pun menghilang. Namun mereka tidak juga memenuhi janji mereka.

Kemudian datanglah seksaan Allah S.W.T yang lain, iaitu dikirim-Nya pelbagai macam hama. Tersebarlah hama yang membawa penyakit. Mereka datang kepada Nabi Musa A.S dan mengulangi janji mereka lalu Nabi Musa pun berdoa kepada Allah S.W.T. Kali ini mereka pun tetap mengingkari janji.

Lalu datanglah seksaan Allah S.W.T yang lain dalam bentuk dikirim-Nya katak di mana bumi dipenuhi dengan katak. Katak-katak itu melompat-lompat ke sana-sini dan memenuhi makanan serta berada di rumah mereka. Mereka menemui Nabi Musa A.S dan kembali mengulangi janji mereka dan memintanya agar berdoa kepada Allah S.W.T. Setelah masalah itu pulih, mereka pun tetap mungkir janji.

Selanjutnya, Allah S.W.T menurunkan azab yang lain iaitu sungai Nil berubah menjadi darah sehingga tidak dapat minum airnya. Cuma pengikut Nabi Musa A.S yang beriman dapat meminum airnya seperti biasanya. Mereka menemui Nabi Musa A.S memintanya berdoa kepada Allah S.W.T dan mereka berjanji pada kali ini untuk membebaskan orang-orang Bani Israil. Nabi Musa A.S pun berdoa sehingga azab itu hilang.

Fir’aun tetap menunjukkan kesombongannya. Dia mengumumkan bahawa dia adalah tuhan dan Nabi Musa A.S adalah tukang sihir yang fakir.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Musa dengan membawa mukjizatmukjizat Kami kepada Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya. Maka Musa berkata: ”Sesungguhnya aku adalah dari utusan Tuhan seru sekalian alam. Maka tatkala dia datang kepada mereka dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami dengan serta-merta mereka mentertawakannya. Dan tidakkah Kami perlihatkan kepada mereka sesuatu mukjizat kecuali mukjizat itu lebih besar dari mukjizatmukjizat sebelumnya. Dan Kami timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali (ke jalan yang benar). Dan mereka berkata: ”Hai ahli sihir, berdoalah kepada Tuhanmu untuk (melepaskan) kami sesuai dengan apa yang telah dijanjikan-Nya kepadamu; sesungguhnya kami (jika doamu dikabulkan) benar-benar akan menjadi orang yang mendapat petunjuk. Maka tatkala Kami menghilangkan azab itu dari mereka, dengan serta-merta mereka memungkiri (janjinya). Dan Fir’aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: ”Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungaisungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihat(nya)?” Bukankah aku lebih baik dari orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat dijelaskan (perkataannya)? Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang dari emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya.” Maka Fir’aun mempengaruhi kaumnya dengan (perkataannya itu) lalu mereka patuh kepadanya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.” (Az-Zukhruf: 46-
54)

Fir’aun memenjarakan akal mereka, membelenggu kebebasan mereka dan menutup masa depan mereka yang cerah. Fir’aun menodai kemanusiaan mereka sehingga mereka mentaatinya. Bukankah ketaatan ini aneh?

Namun keanehan ini hilang ketika kita mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang fasik. Kefasikan menjadikan seseorang tidak peduli dengan masa depannya, kepentingannya serta urusannya. Pada akhirnya, dia akan mendapat kehancuran. Demikianlah yang terjadi kepada kaum Fir’aun.

Allah S.W.T berfirman:

”Maka tatkala mereka membuat Kami murka, Kami menghukum mereka lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut), dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian. ” (Az-Zukhruf:
55-56)

Jelas bahawa Fir’aun tidak beriman kepada Musa A.S. Dia tidak menghentikan kezaliman menyeksa Bani Israil dan tetap merendahkan kaumnya. Maka melihat kenyataan yang demikian, Musa dan Harun A.S berdoa:

”Musa berkata: ”Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya dengan perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, ya Tuhan kami. Akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih.” Allah berfirman: ”Sesungguhnya telah diperkenankan permohonan kamu berdua, sebab itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus dan janganlah sekali-kali mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui. ” (Yunus: 88-89)

Kemudian datanglah izin Allah S.W.T kepada Nabi Musa A.S untuk meninggalkan Mesir dengan disertai kaumnya.

Allah S.W.T berfirman:

”Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahawa Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyeksa mereka. Sesungguhnya Fir’aun itu sewenang-wenang di muka bumi. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas.” (Yunus: 83)

Allah S.W.T telah menetapkan hukuman terhadap Fir’aun. Allah S.W.T memerintahkan Nabi Musa A.S untuk keluar dan mengizinkan Bani Israil untuk pergi. Mereka bersiap-siap untuk pergi bersama Musa A.S. Mereka membawa perhiasan-perhiasan mereka. Ketika malam, Nabi Musa A.S berjalan bersama mereka dan menyeberangi laut Merah menuju ke negeri Syam.

Sementara itu, sampailah berita kepada Fir’aun bahawa Musai telah pergi bersama kaumnya. Fir’aun mengeluarkan perintah agar angkatan tentera yang besar berkumpul. Fir’aun menyampaikan alasan yang sangat aneh di sebalik pengumpulan bala tentera itu:

”Dan sesungguhnya mereka membuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita.” (Asy-Syuara’: 55)

Maka bergeraklah angkatan tentera Fir’aun dengan membawa senjata lengkap mengejar Nabi Musa A.S dan para pengikutnya. Fir’aun duduk di atas tunggangan dan mengawasi tenteranya. Dia tidak sabar untuk menangkap Nabi Musa A.S dan membunuhnya bagi menyelesaikan seluruh masalah.

Nabi Musa A.S berdiri di depan laut Merah. Nampak dari kejauhan debu yang ditebarkan oleh pergerakan tentera Fir’aun yang kian dekat. Lalu setelah itu nampaklah panji-panji tentera. Melihat itu, pengikut Nabi Musa merasa takut. Di depan mereka ada laut sementara di belakang mereka ada musuh.

Nabi Musa menenangkan mereka sambil berkata: ”Sesungguhnya Allah bersamaku dan Dia akan membimbingku.”

Tatkala itu Allah S.W.T mewahyukan kepada Nabi Musa A.S agar memukulkan tongkatnya ke lautan itu. Kemudian Nabi Musa memukulkan tongkat yang dibawanya kepada lautan itu.

Tiba-tiba laut itu terbelah lalu membentuk laluan yang kering. Nabi Musa bersama kaumnya berjalan sehingga mereka dapat melalui lautan. Ini adalah mukjizat yang sangat besar.

Demikianlah Nabi Musa dan kaumnya berjaya merentasi lautan. Sementara itu, Fir’aun tiba di tepi lautan. Dia menyaksikan mukjizat itu. Dia melihat lautan terbelah dua dan terdapat jalan yang kering. Fir’aun menyuruh pasukannya untuk mara. Ketika itu Musa A.S dan semua pengikutnya selesai menyeberangi lautan dan selamat sampai ke seberang sana. Allah S.W.T mewahyukan kepadanya:

”Dan biarlah laut itu tetap terbelah. Sesungguhnya mereka adalah tentera yang akan ditenggelamkan.” (Ad-Dukhan: 24)

Fir’aun bersama tenteranya sampai di tengah lautan. Kemudian Allah S.W.T memerintahkan Jibrill menggerakkan ombak sehingga ombak itu menerpa Fir’aun dan menenggelamkannya berserta bala tenteranya. Fir’aun dan tenteranya tenggelam ditelan lautan luas itu. Puak yang zalim telah tenggelam, manakala golongan yang beriman kepada Allah S.W.T telah selamat.

Ketika tenggelam, Fir’aun melihat tempatnya di neraka. Tatkala maut tiba barulah dia menyedari bahawa Nabi Musa adalah seorang yang benar. Dia telah mensia-siakan dirinya menentang dan memerangi Nabi Musa A.S. Fir’aun cuba menunjukkan keimanannya tetapi telah terlambat.

”Hingga bila Fir’aun itu hampir tenggelam, berkatalah dia: ”Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” (Yunus: 90)

174

Kisah Nabi Musa Dan Nabi Harun

Taubat Fir’aun tidak berguna dan tidak diterima. Taubat yang diucapkan ketika dia menyaksikan azab dan akan memasuki pintu kematian. Jibrill berkata kepadanya:

”Apakah sekarang (baru kamu percaya), padahal sesungguhnya kamu telah derhaka sejak dahulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Yunus: 91)

Yakni, tiada taubat bagimu. Sungguh telah selesai waktu taubat bagimu dan engkau telah binasa. Selesailah urusan ini dan tiadalah keselamatan bagimu. Yang selamat hanyalah tubuhmu dan engkau akan dilemparkan oleh ombak ke tepi sehingga tubuhmu sebagai bukti kebesaran Allah S.W.T bagi orang-orang yang hidup sesudahmu:

”Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi peringatan bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus:
92)

Apa yang terjadi pada Fir’aun merupakan sunatullah yang abadi, yang terjadi sebagai pelajaran bagi hamba-hamba Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman:

”Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata: ”Kami beriman kepada Allah saja dan kami kafir kepada sembahan-sembahan yang telah kami persekutukan dengan Allah. ” (Al-Mumin: 84)

Allah S.W.T menceritakan sikap Fir’aun bersama Musa A.S dalam firman-Nya:

”Dan Kami wahyukan (perintahkan) kepada Musa: ”Pergilah di malam hari dengan membawa hamba-hamba-Ku (Bani Israil), kerana sesungguhnya kamu sekalian akan disusuli. Kemudian Fir’aun mengirimkan orang yang mengumpulkan (tenteranya) ke kota-kota. (Fir’aun berkata): ”Sesungguhnya mereka (Bani Israil) benar-benar golongan kecil, dan sesungguhnya mereka nembuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita, dan sesungguhnya kita benarbenar golongan yang selalu berjaga-jaga.” Maka Kami keluarkan Fir’aun dari kaumnya dari taman-taman dan mata air, dan (dari) perbendaharaan dan edudukan yang mulia, demikianlah halnya dan Kami anugerahkan semuanya itu) kepada Bani Israil. Maka Fir’aun dan bala tenteranya dapat menyusuli mereka di waktu matahari terbit. Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: ”Sesungguhnya kita benar-benar akan disusul.” Musa menjawab: ”Sekali-kali kita tidak akan tersusul; sesungguhnya Tuhanku bersertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” Dan di sanalah Kami dekatkan golongan yang lain. Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersertanya semuanya. Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar merupakan suatu tanda yang besar (mukjizat) dan tetapi adalah kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. ” (Asy-Syu’ara’: 52-68)

Tamatlah kejahatan dan kezaliman Fir’aun yang mengaku dirinya sebagai tuhan. Namun dia tidak mampu menjauhi kematian. Fir’aun Mesir telah mati tenggelam di hadapan mata orang-orang Mesir dan Bani Israil. Namun masih juga kalangan Bani Israil tidak beriman kepada Allah meskipun telah melihat tanda-tanda kebesaran-Nya.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan Kami seberangkan Bani Israil ke seberang lautan itu, maka setelah mereka sampai pada suatu kaum yang tetap menyembah berhala mereka, Bani Israil berkata: ”Hai Musa, buatlah untuk kami sebuah tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan (berhala).” Musa menjawab: ”Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang tidak mengetahui (sifat-sifat Tuhan). ” Sesungguhnya mereka itu akan dihancurkan kepercayaan yang dianutinya dan akan batal apa yang selalu mereka kerjakan. Musa menjawab: ”Patutkah aku mencari Tuhan untuk kamu yang selain daripada Allah, padahal Dialah yang telah melebihkan kamu atas segala umat. Dan (ingatlah hai Bani Israil), ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Fir’aun) dan kaumnya, yang mengazab kamu dengan azab yang sangat jahat, iaitu mereka membunuh anak-anak lelakimu dan membiarkan hidup wanita-wanitamu. Dan pada yang demikian itu cubaan yang besar dari Tuhanmu. ” (Al-A ’raf: 138-141)

Nabi Musa A.S berjalan bersama kaumnya di Saina’, gurun yang terdapat pokok yang melindungi dari matahari dan di dalamnya terdapat makanan dan air. Rahmat Allah S.W.T turun kepada mereka, dengan makanan istimewa iaitu al-manna dan assalwa dan mereka dinaungi oleh awan.

Ketika mereka kehausan di Saina’ yang tiada setitis air pun, Nabi Musa memukulkan tongkatnya ke batu lalu terpancar dua belas mata air. Meskipun mereka mendapat kemuliaan dan kehormatan sedemikian rupa, tetapi jiwa mereka yang sakit tidak mensyukuri nikmat-nikmat itu. Mereka mengatakan bahawa mereka bosan dengan makanan istimewa itu dan mereka ingin memiliki makanan tradisional Mesir. Bani Israil meminta kepada Nabi Musa untuk berdoa kepada Allah dan mengeluarkan makanan dari bumi.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan ingatlah ketika kamu berkata: ”Hai Musa, kami tidak boleh sabar (tahan) dengan satu macam makanan saja. Sebab itu, mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu, agar Dia mengeluarkan bagi kami dari apa yang ditumbuhkan bumi, iaitu sayursayuran, bawang dan kacang” Musa berkata: ”Mahukah kamu mengambil sesuatu yang rendah sebagai pengganti yang lebih baik? Pergilah kamu ke suatu kota, pasti kamu memperolehi apa yang kamu minta.” Lalu ditimpakanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayatayat Allah dan membunuh para Nabi yang memang tidak dibenarkan Demikianlah itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” (Al-Baqarah: 61)

Kemudian Nabi Musa berjalan bersama kaumnya menuju Baitulmaqdis. Nabi Musa A.S memerintahkan untuk memasukinya serta berusaha menguasai tempat itu. Demikianlah telah datang ujian terakhir kepada mereka setelah mereka menyaksikan mukjizat dan ayat-ayat Allah.

Maka telah datang ujian kepada mereka untuk berperang melawan kaum penyembah berhala. Namun kaum Nabi Musa menolak untuk memasuki tanah suci. Nabi Musa berusaha menyedarkan mereka dengan menceritakan bagaimana nikmat Allah yang turun kepada mereka, bagaimana Allah menjadikan di tengah-tengah mereka para Nabi dan menjadikan mereka raja-raja yang mewarisi kerajaan Fir’aun, dan bagaimana mereka diberi suatu kekayaan dan anugerah yang banyak.

Kaum Nabi Musa A.SS takut kepada peperangan dan beralasan bahawa di dalamnya terdapat kaum yang perkasa dan mereka tidak akan masuk ke tanah suci sehingga orang-orang yang kuat itu keluar darinya.

Kaum Nabi MusaS berkata:

”Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja.” (Al-Ma’idah: 24)

Mereka mengucapkan kata-kata tersebut dengan lantang dan jelas serta tanpa rasa malu. Nabi Musa A.S mengetahui bahawa kaumnya sangat jauh dari kebaikan. Fir’aun telah mati tetapi pengaruhnya tetap tertanam dalam jiwa. Nabi Musa tidak memiliki sesuatu pun kecuali dirinya dan saudaranya. Nabi Musa A.S berdoa agar Allah S.W.T memisahkan dirinya dan mereka.

Allah S.W.T menurunkan keputusan-Nya kepada generasi yang telah rosak fitrahnya. Mereka disesatkan selama empat puluh tahun sehingga mati atau mereka mencapai usia tua dan kemudian akan lahir generasi baru yang belum rosak jiwanya dan mereka akan dapat berperang dan memperolehi kemenangan.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: ”Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat Nabi-nabi di antaramu, dan dijadikan-Nya kamu orang-orang merdeka, dan diberikannya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seseorang pun di antara umat-umat yang lain. Hai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh) maka kamu menjadi orang-orang yang rugi.” Mereka berkata: ”Hai Musa, sesungguhnya di dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar darinya. Jika mereka keluar darinya, pasti kami akan memasukinya. ” Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: ”Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaklah kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” Mereka berkata: ”Hai Musa, kami sekali-kali tidak memasukinya selama-lamanya selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja.” Berkata Musa: ”Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu.” Allah berfirman: ”(Jika demikian), maha sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu.” (Al-Ma’idah: 20-26)

Bermulalah hari-hari kesesatan. Mereka melalui tempat yang tertutup. Mereka bermula dari tempat yang mereka akhiri dan begitulah sebaliknya. Apa yang jelas, mereka berjalan tanpa tujuan sepanjang siang dan malam, pagi dan petang. 

Kemudian mereka juga memasuki daratan di daerah Saina’. Nabi Musa A.S kembali ke tempat beliau bertemu untuk pertama kalinya dengan kalimat-kalimat Allah S.W.T. Bani Israil turun dari At-Thur dan Nabi Musa A.S mendaki gunung sendirian. Di sana diturunkan Taurat dan Allah S.W.T berfirman dengannya. Sebelum Nabi Musa A.S naik untuk bertemu dengan Allah S.W.T, dia menjadikan saudaranya, Harun sebagai khalifah untuk kaumnya. Harun diangkatnya sebagai wakilnya yang bertanggungjawab untuk mengurus kaumnya.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan telah Kami jadikan kepada Musa (memberikan Taurat) sesudah berlalu waktu tiga puluh malam, dan Kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), maka sempurnakanlah waktu yang telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam. Dan berkata Musa kepada saudaranya iaitu Harun: ”Gantikanlah aku dalam (memimpin) kaumku, dan perbaikilah, dan janganlah kamu mengikuti jalan orang-orang yang membuat kerosakan.” (AlA’raf:142)

Kita tidak mengetahui secara pasti, mengapa Nabi Musa A.S berpuasa selama empat puluh malam, bukan tiga puluh. Yang kita ketahui bahawa Allah S.W.T menambah sepuluh malam yang lain. Setelah itu, turunlah Taurat. Turunlah kepadanya sepuluh wasiat:

1. Perintah untuk hanya menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukanNya.

2. Larangan untuk bersumpah bohong atas nama Allah S.W.T.

3. Menjaga kehormatan pada hari Sabtu. Dengan pengertian, hari Sabtu sebagai hari ibadah.

4. Perintah untuk menghormati ayah dan ibu.

5. Menyedari bahawa Allah S.W.T yang dapat memberi dan membahagi.

6. Janganlah engkau membunuh.

7. Janganlah engkau berzina.

8. Janganlah engkau mencuri.

9. Janganlah memberikan kesaksian yang palsu.

10. Jangan engkau merasa tertipu atau terpikat kepada rumah temanmu atau isterinya atau budaknya atau sapinya atau keldainya.

Para ulama’ salaf mengatakan bahawa kandungan sepuluh wasiat ini telah terdapat dalam dua ayat dalam Al-Quran, iaitu dalam firman-Nya:

”Katakanlah: ”Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu, iaitu: Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua ibu dan bapamu, dan janganlah kamu membunuh anakanak kamu kerana takut kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang tampak di antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar. Demikian itu yang diperintahkan oleh Tuhanmu kepadamu supaya kamu memahaminya. Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai dia dewasa. Dan sempurnakan takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan dengan kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil meskipun dia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat. ” (Al-An ’am: 151-152)

Allah S.W.T menceritakan kepada kita bagaimana keadaan Nabi Musa A.S ketika dia pergi untuk menemui janji dengan Allah S.W.T. Musa berpuasa selama empat puluh malam bermaksud untuk lebih dekat kepada Allah S.W.T. Ketika Allah S.W.T berkata dengannya, maka MusaS merasakan cinta yang semakin bergelora kepada Allah.

Kita tidak mengetahui perasaan apa yang ada di hati Musa ketika dia meminta kepada Allah agar dapat melihat-Nya. Seringkali cinta yang ada di dalam manusia mendorong dirinya untuk meminta sesuatu yang mustahil. Ia adalah hakikat cinta. Kedalaman perasaan Nabi Musa dan kecintaannya mendorongnya untuk meminta kepada Allah agar dapat melihat-Nya.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: ”Ya Tuhanhu, tampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau. ” (A-A ’raf: 143)

Demikianlah dorongan cinta dari para pecinta sejati. Musa A.S meminta sesuatu yang menakjubkan tetapi Allah S.W.T menjawabnya:

”Tuhan berfirman: ”Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku.” (Al-A’raf:
143)

Demikianlah Nabi Musa A.S mendapat rahmat. Allah S.Aw.T memberitahunya bahawa dia tidak akan mampu melihat-Nya. Allah S.W.T memerintahkannya agar melihat gunung dan jika gunung itu masih menetap di tempatnya maka dia akan dapat melihat Tuhannya.

Allah S.W.T berfirman:

”Tetapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) nescaya kamu dapat melihat-Ku. Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. (Al-Araf: 143)

Tiada seorang pun yang dapat ’menangkap’ cahaya Allah S.W.T. Nabi Musa A.S mengetahui hakikat ini dan menyaksikan sendiri.

”Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: ”Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman.” (AlA’raf: 143)

Mengapa Nabi Musa bertaubat? Orang-orang sufi berkata dia bertaubat dari dorongan cinta yang besar di mana dia meminta sesuatu yang mustahil, padahal dia menyedari itu adalah mustahil.

Allah S.W.T berkata kepada Musa:

”Hai Musa, sesungguhnya Aku memilih (melebihkan) kamu dari manusia yang lain (di masamu) untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku. Sebab itu, berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur. Dan telah Kami tuliskan untuk Musa pada luh-luh (Taurat) segala sesuatu sebagai pelajaran dan penjelasan bagi segala sesuatu; maka (Kami berfirman): ”Berpeganglah kepadanya dengan teguh dan suruhlah kaummu berpegang kepada (perintah-perintahnya) dengan sebaik-baiknya.” (Al-A ’raf: 144-145)

Ahli tafsir memerhatikan firman Allah S.W.Ti kepada Musa A.S. ”Sesungguhnya Aku memilih (melebihkan) kamu dari manusia yang lain (di masamu) untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku. ”

Kemudian dilakukanlah perbandingan antara Nabi Musa dan Nabi-nabi yang lain. Dikatakan bahawa pemilihan ini dikhususkan hanya kepadanya dan di zamannya saja dan tidak berlaku di zaman sebelumnya kerana ada Nabi Ibrahim di zaman itu, manakala Nabi Ibrahim lebih baik dari Nabi Musa Begitu juga pemilihan ini tidak berlaku pada zaman setelahnya kerana ada Nabi Muhammad bin Abdulah dan dia lebih baik dari mereka berdua.

Memang Allah memberitahu kita bahawa Dia mengutamakan sebahagian Nabi atas sebahagian yang lain, tetapi kita beriman kepada seluruh Nabi dan kita harus menunjukkan penghormatan kita kepada mereka semua.

Akhirnya, selesailah perjumpaan Musa A.S dengan Allah S.W.T. Kemudian Nabi Musa A.S kembali kepada kaumnya dalam keadaan marah. Di alam wujud tidak ada seorang manusia yang memiliki kelembutan dan kerelaan hati yang begitu besar seperti Nabi Musa A.S tetapi dia diberitahu oleh Tuhannya bahawa kaumnya telah menyimpang dari jalannya. Oleh kerana itu, dia kembali dalam keadaan marah dan jengkel kepada mereka.

Allah S.W.T berfirman:

”Mengapa kamu datang lebih cepat daripada kaummu, hai Musa?” Berkata Musa: ”Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepada-Mu, ya Tuhanku, agar Engkau redha (kepadaku).” Allah berfirman: ”Maka sesungguhnya, Kami telah menguji kaummu sesudah kamu tinggalkan, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri. Kemudian Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan bersedih hati. ” (Thaha: 83-86)

Nabi Musa A.S turun dari gunung dan membawa Taurat. Rasa hatinya mendidih dan jengkel. Kita dapat membayangkan bagaimana emosi yang membakar Nabi Musa A.S ketika menuju kaumnya.

Betapa tidak, belum lama Nabi Musa meninggalkan kaumnya, mereka mendapatkan fitnah melalui Samiri. Fitnah ini adalah, bahawa Bani Israil, ketika keluar dari Mesir, membawa banyak harta perhiasan orang-orang Mesir dan emas-emas mereka. Mereka mengambilnya untuk mereka manfaatkan dalam pesta perayaan mereka. Kemudian mereka selamat kerana mukjizat pembelahan lautan di mana lautan menenggelamkan Fir’aun dan tenteranya sehingga harta mereka yang berupa emas dimiliki oleh Bani Israil.

Nabi Harun A.S mengetahui bahawa emas tersebut bukan milik mereka lalu Harun A.S meminta mereka menimbusnya di tanah. Bani Israil tidak memerlukannya kerana mereka sedang tersesat. Mereka berjalan di tengah-tengah gurun sehingga tidak bermanfaat bagi mereka emas-emas itu.

Harun A.S, saudara kandung Musa menggali tanah dan meletakkan emas-emas itu lalu menimbunkan di atasnya tanah. Samiri melihat apa yang dilakukan oleh Nabi Harun A.S. Setelah itu, dia mengeluarkannya dan membuat sebuah patung menyerupai sapi (lembu) sembahan orang-orang Mesir. Samiri adalah seorang pemahat yang mahir. Dia mampu membuat anak sapi yang menarik di mana ketika dia meletakkannya di arah angin maka akan masuk darinya udara dari celah bahagian belakangnya lalu keluar dari hidungnya. Samiri membuat suara yang menyerupai suara sapi yang sebenarnya.

Konon, rahsia kehebatan sapi ini adalah kerana Samiri telah mengambil segenggam tanah yang dilalui Jibrill ketika turun ke bumi dalam peristiwa mukjizat pembelahan laut. Apabila Jibril A.S berjalan di atas sesuatu, maka sesuatu itu menjadi hidup. Bila berjalan di atas tanah, maka tanah akan hidup. Samiri melihat sesuatu yang tidak dilihat oleh kaum Nabi Musa A.S.

Kemudian dia mengambil segenggam tanah dari bekas yang dilalui Jibril A.S dan meletakkannya bersama emas dan Samiri membuat anak sapi darinya. Maka anak sapi itu dapat bersuara seperti anak sapi sebenar. Demikianlah kisah Samiri.

Setelah itu, Samiri keluar menemui Bani Israil dengan membawa apa yang telah dibuatnya.

Mereka bertanya kepadanya: ”Apa itu, hai Samiri?”

Dia menjawab: ”Ini adalah tuhan kalian dan tuhan Musa.”

Mereka berkata: ”Bukankah Musa sedang menemui Tuhannya?”

Samiri menjawab: ”Musa telah lupa dia pergi untuk menemui tuhannya di sana, padahal sebenarnya tuhannya ada di sini.”

Akhirnya, Bani Israil percaya lalu mereka menyembah anak sapi itu.

Barangkali kita akan merasa hairan terhadap fitnah ini. Bagaimana akal kaum itu dapat tunduk sampai pada keadaan seperti ini? Bukankah mereka telah menyaksikan mukjizat yang besar? Bagaimana mereka dengan mudah menyembah berhala?

Kebingungan tersebut segera hilang ketika kita lihat keadaan jiwa kaum yang menyembah anak sapi itu. Mereka telah terdidik di Mesir. Mereka menyembah berhala anak sapi. Mereka terdidik di bawah kehinaan sehingga jiwa mereka menjadi ternoda dan fitrah mereka menjadi tercemar.

Mereka menyaksikan mukjizat-mukjizat dari Allah S.W.T tetapi tidak memuaskan hati mereka untuk mempercayai kebenaran. Mereka masih dihinggapi keinginan untuk menyembah berhala. Mereka adalah para penyembah berhala seperti tokoh-tokoh Mesir yang dahulu. Oleh kerana itu, mereka menyembah anak sapi. Sikap mereka ini tidak terlalu menghairankan kita. Sebab, setelah mereka menyaksikan mukjizat pembelahan lautan, mereka melihat suatu kaum yang menyembah berhala, lalu mereka minta kepada Nabi Musa A.S agar menjadikan tuhan bagi mereka seperti kaum yang menyembah berhala itu.

Apa yang dilakukan Samiri adalah memanfaatkan kerinduan kaum itu untuk menyembah berhala. Kemudian Samiri memilih agar anak sapi yang berbentuk emas kerana mengetahui bahawa umumnya Bani Israil lemah dan mudah terpedaya pada emas. Akhirnya, fitnah yang ditimbulkan oleh Samiri tersebar di sana sini.

Nabi Harun A.S sangat terpukul ketika mengetahui Bani Israil menyembah anak sapi dari emas. Mereka terbahagi menjadi dua kelompok. Minoriti dari mereka beriman dan mengetahui bahawa ini adalah tipu daya dan bohong semata, manakala majoriti mereka mengingkari Nabi Harun A.S dan tetap melampiaskan kerinduan mereka untuk menyembah berhala.

Nabi Harun A.S berdiri di tengah-tengah kaumnya dan menasihati mereka. Dia berkata kepada mereka: ”Sesungguhnya kalian tertipu dengannya. Ini adalah fitnah. Samiri telah memanfaatkan kebodohan kalian dengan mengukir anak sapi itu. Lembu itu bukan tuhan kalian dan bukan juga tuhan Musa.”

”Sesungguhnya Tuhanmu ialah (Tuhan) Yang Maha Pemurah, maka ikutilah aku dan taatilah perintahku.” (Thaha: 90)

Para penyembah anak sapi menolak nasihat Nabi Harun A.S. Kelompok orangorang yang bodoh itu tidak mahu lagi menerima nasihat. Nabi Harun A.S kembali memperingatkan mereka dan menceritakan kembali kepada mereka bagaimana mukjizat-mukjizat Allah S.W.T dapat menyelamatkan mereka, dan bagaimana Allah S.W.T memuliakan dan menjaga mereka. Tetapi mereka menutup telinga dan menolak segala nasihatnya. Mereka justeru melemahkan Nabi Harun dan nyaris saja membunuhnya.

Adalah jelas bahawa Nabi Harun lebih lemah daripada Nabi Musa A.S sehingga kaumnya tidak takut lagi. Dia fikir, jika menggunakan kekuatan dan menghancurkan berhala-berhala yang mereka sembah, maka akan terjadi fitnah di tengah-tengah kaum dan akan mencetuskan perang saudara. Akhirnya, Nabi Harun A.S memilih untuk menunda tindakan sampai kedatangan Nabi Musa A.S. Nabi Harun A.S mengetahui bahawa Musa A.S seorang yang kuat dan mampu mengatasi fitnah ini tanpa harus menumpahkan darah. Sementara itu, Bani Israil terus menari di sekitar anak sapi. Samiri adalah penyebab fitnah ini dan dia menari-nari serta berputar-putar di sekeliling berhala.

Al-Qurthubi R.A dalam tafsirnya menyebutkan fitnah yang ditimbulkan oleh Samiri. Qurthubi R.A berkata: ”Imam Abu Bakar At-Thurthusi ditanya: ”Apa yang dikatakan oleh pemimpin kita Al-Faqih tentang kelompok pemuda yang memperbanyakkan zikrullah dan menyebut Muhammad. Sebahagian mereka menari-nari sehingga pengsan. Mereka menghadirkan sesuatu dan memakannya. Apakah boleh hadir bersama mereka? Berilah kami fatwa, mudah-mudahan engkau diberi pahala.”

Qurthubi R.A menjawab pertanyaan ini dengan menukil penjelasan gurunya: ”Mereka itu (yang beliau maksudkan adalah orang-orang yang menari-nari yang dipraktikkan oleh sebahagian aliran sufi untuk ekspresi zikir) berdasarkan kebodohan dan kesesatan serta sesuatu yang sia-sia. Islam hanya berdasarkan kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Tarian seperti itu adalah sesuatu yang pertama kali dilakukan oleh pengikut-pengikut Samiri ketika mereka menjadikan anak sapi sebagai tuhan mereka. Mereka menari-nari di sekitarnya dan berkumpul di situ. Itu adalah agama kekufuran dan penyembahan terhadap anak sapi.”

Ketika para sahabat duduk bersama Nabi S.A.W, para sahabat merasa seakan-akan di atas kepala mereka terdapat burung, kerana hormatnya mereka terhadap Rasulullah s.A.W. Hendaklah penguasa mencegah orang-orang yang ikut aliran sedemikian itu dari hadir ke masjid dan selainnya. Maka tidak diperkenankan bagi seorang pun yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk bersama orang-orang itu atau membantu kebatilan mereka. Ini adalah pendapat mazhab Malik, Abu Hanifah, Syafi’i, Ahmad bin Hambal dan Iain-lain dari para imam umat Islam. Demikianlah peringataan Al-Qurthubi R.A berkaitan dengan masalah tersebut.

Selanjutnya, kita kembali kepada kisah Nabi Musa. Beliau turun dari gunung untuk kembali menemui kaumnya. Kemudian dia mendengar teriakan mereka menari-nari di sekitar anak sapi. Mereka berhenti ketika melihat Nabi Musa A.S muncul di depan mereka. Tiba-tiba keheningan menyelimuti mereka. Nabi Musa A.S berteriak kepada mereka dengan penuh kemarahan.

”Dan tatkala Musa telah kembali kepada kaumnya dengan marah dan sedih hati, berkatalah dia: ”Alangkah buruknya perbuatan yang kamu kerjakan sesudah kepergianhu!” (Al-A ’raf: 150)

Musa A.S berjalan menuju Harun lalu meletakkan ’papan’ Taurat dengan tangannya di atas tanah. Nampak api kemarahan telah membakamya. Musa memegang janggut dan kepala Harun A.S sambil berkata:

”Hai Harun, apa yang menghalang kamu ketika kamu melihat mereka telah sesat, (sehingga) kamu tidak mengikuti aku? Maka apakah kamu telah (sengaja) menderhakai perintahku?” (Thaha: 92-93)

Keheningan semakin meningkat ketika gelora api kemarahan MusaS semakin membara. Harun A.S berbicara kepada Musa A.S:

”Harun menjawab: ”Hai putera ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku.” (Thaha: 94)

Harun menjelaskan kepada Musa A.S bahawa dia sama sekali tidak bermaksud menentang perintahnya. Dia juga tidak merestui penyembahan anak sapi. Di samping itu, dia khuatir jika memerangi mereka dengan kekerasan maka terjadi peperangan di antara mereka.

”Sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku): ”Kamu telah memecah antara Bani Israil dan kamu tidak memelihara amanatku. (Thaha: 94)

Harun A.S berusaha memahamkan saudaranya, Musa A.S dengan penuh kelembutan bahawa kaumnya merendahkannya dan mereka nyaris membunuhnya ketika dia melawan mereka.

”Harun berkata: ”Hai anak ibuku, sesungguhnya kaum ini telah menganggapku lemah dan hampir-hampir mereka membunuhku, sebab itu janganlah kamu menjadikan musuh-musuh gembira melihatku, dan janganlah kamu masukkan aku ke dalam golongan orang-orang yang zalim. ” (Al-A ’raf: 150)

Musa A.S menyedari bahawa dia menzalimi Harun A.S dengan kemarahannya di mana kemarahan itu berkobar kerana agama Allah S.W.T dan semata-mata kerana kecintaannya kepada kebenaran. Dia pun mengetahui bahawa Harun A.S telah menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya. Kemudian Musa menarik tangannya dari kepala dan janggut abangnya itu dan dia meminta ampun kepada Allah S.W.T bagi dirinya dan bagi abangnya.

Nabi Musa A.S menoleh kepada kaumnya dan bertanya dengan suara yang penuh gelora, menunjukkan sikap marah:

”Hai kaumku, bukankah Tuhanmu telah menjanjikan kepadamu suatu janji yang baik? Maka apakah terasa lama masa yang berlalu itu bagimu atau kamu menghendaki agar kemurkaan dari Tuhanmu menimpamu, lalu kamu melanggar perjanjianmu dengan aku?” (Thaha: 86)

Musa A.S marah dan menunjukkan betapa bodohnya apa yang mereka lakukan. Dengan kemarahan yang luar biasa, Musa A.S kembali berkata:

”Sesungguhnya orang-orang yang menjadikan anak lembu (sebagai sembahannya) kelak akan menimpa mereka kemurkaan dari Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan di dunia. Demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang membuat pembohongan. ” (Al-A’raf: 152)

Hampir saja gunung bergoncang mendengar suara kemarahan Musa dan Bani Israil menyedari kesalahan mereka. Pembohongan dan penyimpangan mereka dari kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa A.S nampak jelas. Mereka menjauhkan segala kurnia yang Allah S.W.T berikan kepada mereka dan memilih untuk menyembah berhala ketika Musa meninggalkan mereka selama empat puluh hari. Mereka kembali menyembah anak sapi yang dibuat dari emas.

Musa berkata kepada Samiri dalam keadaan api kemarahannya belum padam:

”Berkata Musa: ”Apakah yang mendorongmu (berbuat demikian) hai Samiri?” (Thaha: 95)

Musa A.S bertanya kepadanya tentang kisahnya dan dia ingin mengetahui apa yang mendorongnya untuk melakukan hal tersebut. Samiri menjawab:

”Aku mengetahui sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya.” (Thaha: 96)

”Aku melihat Jibril A.S menunggang kudanya dan setiap kali dia meletakkan kakinya di atas sesuatu maka terjadilah kehidupan padanya.”

”Maka aku mengambil segenggam darijejak Rasul” (Thaha: 96)

”Aku mengambil segenggam tanah yang dilalui oleh Jibril lalu aku meletakkannya di atas emas.”

”Lalu aku melemparkannya, dan demikianlah nafsuku memujukku.” (Thaha: 96)

Musa tidak mempersoalkan pengakuan Samiri tetapi dia mempersoalkan mengapa Samiri menentang kebenaran. Adalah hal yang tidak penting bagi Samiri untuk melihat Jibril lalu dia mengambil bekas tanahnya. Adalah hal yang tidak penting bahawa anak sapi itu dari tanah yang dilalui dari kuda Jibril A.S. Yang penting adalah bahawa Samiri telah melakukan kejahatan dan menyebarkan fitnah di tengah-tengah kaum Nabi Musa A.S. Dengan itu, dia mendorong kaum Nabi Musa untuk menyembah berhala.

”Berkata Musa: Pergilah kamu, maka sesungguhnya bagimu di dalam kehidupan dunia ini (hanya dapat) mengatakan: Janganlah menyentuh (aku). Dan sesungguhnya bagimu hukuman (di akhirat) yang kamu sekali-kali tidak dapat menghindarinya, dan lihatlah tuhanmu itu yang kamu tetap menyembahnya. Sesungguhnya kami akan membakarnya, kemudian kami sungguhsungguh akan menghamburkannya ke dalam laut (berupa abu yang berserakan) (Thaha: 97)

Nabi Musa A.S menghukum Samiri dalam bentuk mengasingkannya di dunia. Sebahagian ahli tafsir mengatakan bahawa MusaS berdoa agar Samiri tidak disentuh oleh seorang pun. Melalui fitnah yang ditimbulkannya, Samiri ingin menyesatkan Bani Israil dan mendorong mereka untuk menyembah apa yang diukirkannya. Dia menerima seksaan yang sesuai dengan kejahatannya. Samiri hidup dalam keadaan terasing dan terhina. Tidak ada satu makhluk pun yang mendekatinya. Ini adalah seksaan di dunia dan seksaan di hari kiamat adalah seksaan yang lebih dahsyat.

Setelah mengadili Samiri, Musa bangkit menuju anak sapi emas dan melemparkannya ke dalam api. Musa tidak hanya menghancurkannya di hadapan kaum yang membisu, bahkan beliau membuangnya ke laut. Tuhan yang mereka sembah kini menjadi abu yang bertebaran.

Kemudian Nabi Musa A.S mengangkat suaranya yang menggegar:

”Sesungguhnya Tuhanmu adalah Allah, yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Pengetahuan-Nya meliputi segala sesuatu (Thaha: 98)

Setelah Nabi Musa A.S menghancurkan patung itu, beliau memberitahu kaumnya bahawa mereka telah menganiaya diri mereka sendiri. Nabi Musa A.S menyarankan kepada penyembah berhala untuk bertaubat. Nabi Musa A.S memberitahu bahawa sesiapa yang mengikuti anak sapi itu harus dibunuh.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: ”Hai kaumku, sesungguhnya kamu telah menganiaya dirimu sendiri kerana kamu telah menjadikan anak lembu (sembahanmu), maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Hal itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu; maka Allah akan menerima taubatmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (AlBaqarah: 54)

Hukuman yang ditetapkan oleh Musa A.S atas para penyembah anak lembu sangat mengerikan, namun itu setimpal dengan kejahatan mereka. Menyembah berhala adalah usaha untuk mematikan akal. Dengan akal, manusia memiliki keistimewaan yang tidak terdapat pada makhluk-makhluk lain. Kemudian datanglah rahmat Allah dan Dia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Pengampun dan Maha Pengasih.

Akhirnya, kemarahan Musa mulai reda. Apa yang jelas, kemarahan itu adalah kerana Allah S.W.T. Ketika kemarahannya hilang, Musa ingat kembali kepada tugas utamanya iaitu terus berdakwah di jalan Allah S.W.T.

Allah berfirman:

”Sesudah amarah Musa menjadi reda, lalu diambilnya (kembali) luh-luh (Taurat) itu; dan dalam tulisannya terdapat petunjuk dan rahmat untuk orang-orang yang takut kepada Tuhannya. ” (Al-A ’raf: 154)

Kaum Nabi Musa A.S mengatakan: ”Sebarkanlah kepada kami, jika perintahnya dan larangannya mudah, maka kami akan menerimanya.”

Musa A.S berkata: ”Kalian harus menerima apa saja yang ada di dalamnya.” Kemudian mereka terus melakukan tawar-menawar. Akhirnya, Allah S.W.T memerintahkan para malaikatnya untuk mengangkat gunung di atas kepala mereka hingga gunung itu seakan-akan menjadi awan yang menyelimuti mereka.

Nabi Musa A.S mengatakan kepada mereka: ”Jika kalian tidak menerima apa saja yang di dalamnya maka gunung itu akan menimpa kalian.”

Mendengar ancaman itu. mereka pun menerimanya. Lalu mereka diperintahkan untuk sujud dan mereka pun sujud. Mereka meletakkan pipi mereka di atas tanah. Mereka mulai melihat gunung dengan penuh ketakutan.

Allah berfirman:

”Dan (ingatlah) ketika Kami mengangkat bukit ke atas mereka seakan-akan bukit itu naungan awan dan mereka yakin bahawa bukit itu akan jatuh menimpa mereka (dan Kami katakan kepada mereka): ”Peganglah dengan teguh apa yang telah Kami berikan kepadamu, serta ingatlah selalu (amalkanlah) apa yang tersebut di dalamnya supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.” (AlA’raf:171)

Demikianlah bahawa kaum Nabi Musa A.S tidak serta-merta berserah diri kecuali di mana mukjizat luar biasa mampu menakutkan mereka dan menggetarkan hati mereka sehingga mereka sujud secara terpaksa.

Nabi Musa A.S memerintahkan Bani Israil untuk meminta ampun kepada Allah S.W.T dan bertaubat. Musa memilih tujuh puluh lelaki di antara mereka yang paling baik sambil berkata: ”Pergilah kalian menuju Allah S.W.T dan bertaubatlah kepada-Nya atas apa saja yang kalian lakukan. Berpuasalah kalian, sucikanlah jiwa kalian dan bersihkanlah pakaian kalian.”

Nabi Musa A.S keluar bersama tujuh puluh orang yang terpilih itu untuk memenuhi perjumpaan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Nabi Musa A.S mendekati gunung dan tiba-tiba awan menyelimuti gunung. Nabi Musa A.S masuk ke dalam awan dan berkata kepada kaumnya: ”Dekatlah! Dekatlah!”

Allah S.W.T berbicara kepada Nabi Musa. Setiap kali Nabi Musa A.S berbicara dengan Allah S.W.T maka tampak di atas dahinya suatu cahaya yang bersinar. Tiada seorang pun dari manusia yang dapat melihatnya. Diletakkan suatu tabir (penutup) di sekeliling Nabi Musa ketika dia berbicara kepada Allah S.W.T.

Tujuh puluh orang yang dipilih oleh Musa itu mendengar percakapan antara Nabi Musa A.S dengan Allah S.W.T. Barangkali mukjizat seperti ini seharusnya menjadi mukjizat yang terakhir dan cukup dapat membangkitkan keimanan di dalam hati sepanjang kehidupan. Namun tujuh puluh orang yang dipilih itu tidak cukup dengan apa yang mereka dengar dari mukjizat itu. Mereka meminta agar dapat melihat Allah.

”Wahai Musa, kami tidak ingin beriman kepadamu sehingga kami melihat Allah dengan terang-terangan. ”(Al-Baqarah: 55)

Ini menunjukkan kekerasan hati dan sikap keras kepala. Kemudian mereka diseksa dengan suara yang menggegar lalu menghancurkan roh dan jasad. Mereka semua pun mati.

Nabi Musa mengetahui apa yang terjadi pada tujuh puluh orang yang terpilih itu sehingga hatinya merasa sedih dan dia berdoa agar Allah S.W.T mengampuni mereka. Permintaan mereka agar dapat melihat Allah S.W.T adalah menunjukkan. kebodohan mereka yang luar biasa. Suatu kebodohan yang harus dibayar mahal, iaitu dengan kematian.

Seorang Nabi terkadang memohon untuk melihat Allah S.W.T, seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa Meskipun permintaan itu bertitik tolak dari cinta yang mendalam dan sulit untuk digambarkan. Namun permintaan untuk melihat Tuhan tetap dianggap sebagai tindakan yang melampaui batas, yang kerananya Nabi Musa A.S pernah ’dihukum’ dengan pengsan bila melihat cahaya-Nya.

Nabi Musa A.S berdoa kepada Allah S.W.T dan meminta belas kasihan dan redha-Nya.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan Musa memilih tujuh puluh orang dari kaumnya untuk (memohon taubat kepada Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan. Maka ketika mereka digoncang gempa bumi, Musa berkata: ”Ya Tuhanku, kalau Engkau kehendaki, tentulah Engkau membinasakan mereka dan aku setelah ini. Apakah Engkau membinasakan kami kerana orang-orang yang kurang akal di antara kami? Itu hanyalah cubaan dari Engkau, Engkau sesatkan dengan cubaan itu siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah yang memimpin kami, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat dan Engkaulah Pemberi ampun yang sebaik-baiknya. Dan tetapkanlah untuk kami kebajikan di dunia ini dan di akhirat; sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada Engkau. ” (Al-A ’raf: 155-156)

Demikianlah kalimat-kalimat Nabi Musa A.S kepada Tuhannya ketika berdoa untuk meminta belas kasih-Nya dan redha-Nya. Allah S.W.T redha kepada mereka dan mengampuni kaum Nabi Musa A.S di mana Allah S.W.T menghidupkan mereka setelah kematian mereka. Orang-orang yang terpilih itu mendengar di saat-saat yang mengkagumkan ini dari sejarah kehidupan sampai berita kedatangan Muhammad bin Abdulah S.A.W.

”Allah berfirman: ”Seksa-Ku akan Kutimpakan kepada siapa yang Aku kehendaki dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertaqwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami. (Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati yang tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka untuk mengerjakan makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggubelenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-A’raf 156-157)

Kita memerhatikan hubungan antara masa sekarang dan masa lalu dalam ayat tersebut. Allah S.W.T melampaui waktu percakapan bersama Rasul dalam ayat-ayat tersebut pada dua waktu yang dahulu, iaitu turunnya Taurat dan turunnya Injil untuk menetapkan bahawa Allah S.W.T membawa berita gembira dengan kedatangan Nabi Muhammad dalam dua kitab yang mulia itu.

Berita gembira ini datang pada hari di mana Nabi Musa A.S mendatangkan tujuh puluh orang dari kaumnya, iaitu para ulama’ Bani Israil dan orang-orang yang mulia di antara mereka untuk menemui Tuhannya. Pada hari yang penting ini, disertai dengan mukjizat-mukjizat yang besar, ditetapkanlah suatu khabar gembira dengan datangnya Nabi yang terakhir.

Ibnu Katsir R.A dalam kitabnya Qisasul Anbiya’ berkata (menukil riwayat dari Qatadah):

Musa A.S berkata kepada Tuhannya: ”Ya Tuhanku, aku mendapati dalam Taurat suatu umat yang lebih baik dari umat yang lain; mereka menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ya Allah, jadikanlah mereka umatku.”

Allah berkata: ”Itu adalah umat Muhammad”

Musa A.S berkata: ”Ya Tuhanku, aku mendapati dalam Taurat suatu umat yang aku adalah generasi mereka di mana mereka mampu menghafal, manakala umat-umat sebelum mereka tidak mampu menghafal.”

Allah S.W.T berkata: ”Itu adalah umat Muhammad”

Musa A.S berkata: ”Tuhanku, aku mendapati dalam Taurat suatu umat yang beriman kepada kitab yang pertama dan yang terakhir dan mereka memerangi kesesatan. Jadikanlah mereka umatku.”

Allah S.W.T berkata: ”Itu adalah umat Muhammad”

Musa A.S berkata: ”Tuhanku, aku mendapati dalam Taurat suatu umat di mana mereka dapat memakan sedekah dan mereka mendapat pahala darinya. Manakala umat-umat sebelum mereka, jika menerima sedekah, maka Allah akan mengirim api dan membakarnya dan jika dikembalikan padanya maka ia akan dimakan binatang buas dan burung. Dan Allah mengambil sedekah orang-orang kaya di antara mereka untuk diberikan kepada orang-orang fakir dari mereka. Wahai Tuhanku, jadikanlah mereka umatku.”

Allah S.W.T berkata: ”Itu adalah umat Muhammad”

Musa A.S berkata: ”Tuhanku, aku mendapati dalam Taurat suatu umat, jika mereka berhasrat untuk melakukan suatu kebaikan, kemudian dia melakukannya maka ditulis baginya sepuluh kali kebaikan dari kebaikannya itu, sampai tujuh puluh kali. Jadikanlah mereka umatku.”

Allah S.W.T berkata: ”Itu adalah umat Muhammad”

Nabi Musa A.S sentiasa mendoakan kaumnya. Nampak bahawa jiwa mereka dipenuhi dengan sikap keras kepala. Pada suatu hari seorang kaya terbunuh di tengah-tengah Bani Israil. Kemudian terjadilah kekecohan kerana mereka tidak tahu siapa pembunuhnya.

Bani Israil mendatangi Musa dan memohon kepada Musa untuk meminta petunjuk dari Allah S.W.T. Allah memerintahkan agar kaumnya menyembelih sapi betina. Mereka mulai tawar-menawar dan menuduh bahawa MusaS mengejek mereka. Musai berusaha memberikan pengertian bahawa kunci masalah itu dapat diselesaikan dengan penyembelihan sapi.

Mereka bertanya, apakah itu sapi yang biasa mereka temui atau yang istimewa. Musa berdoa kepada Tuhannya. Kemudian mereka mendapat ciri-ciri sapi iaitu yang tidak tua dan tidak muda.

Lalu mereka mengemukakan, apa warna sapi itu. Seharusnya mereka patuh terhadap perintah itu dan tidak bertanya yang macam-macam, namun mereka mempersoalkan masalah yang sederhana dengan sikap penentangan dan keras kepala.

Musa mengatakan bahawa sapi itu berwarna. Meskipun sudah jelas, mereka kembali menunjukkan sikap pembangkangan dan keras kepala. Maka Allah S.W.T pun memperketat syarat sapi itu sebagaimana mereka berusaha untuk menyakiti hati Nabi Musa.

Mereka kembali bertanya kepada Nabi Musa dan meminta penjelasan, kerana bagi mereka sapi itu masih samar. Musa memberitahu bahawa sapi itu bukan untuk membajak sawah atau untuk memberi minum. Ia sapi yang sihat, tidak cacat dan berwarna kuning.

Berakhirlah sikap pembangkangan mereka. Mereka mula mencari sapi yang memiliki sifat khusus itu. Akhirnya, mereka menemui sapi itu yang dimiliki oleh seorang anak yatim. Lalu mereka membelinya dan menyembelihnya.

Musa A.S memegang ekor sapi itu lalu memukulkannya kepada orang yang terbunuh. Tiba-tiba, orang itu bangkit dari kematiannya. Musa bertanya padanya tentang siapa yang membunuhnya. Lalu dia pun menceritakan siapa yang membunuhnya dan dia pun mati semula.

Bani Israil menyaksikan mukjizat menghidupkan orang yang mati itu. Mereka mendengar dengan telinga mereka sendiri nama si pembunuh. Akhirnya, misteri pembunuhan itu tersingkap.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: ”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor sapi betina. Mereka berkata: ”Apakah kamu hendak menjadikan kami buah ejekan?” Musa menjawab: ”Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang dari orang-orang yang jahil.” Mereka menjawab: ”Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, agar Dia menerangkan kepada kami, sapi betina apakah itu?” Musa menjawab: ”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa sapi betina itu adalah sapi betina yang tidak tua dan tidak muda; pertengahan antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu.” Mereka berkata: ”Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apa warnanya’” Musa menjawab: ”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa sapi betina itu adalah sapi betina yang kuning, yang kuning tua warnanya, lagi menyenangkan orang-orang yang memandangnya.” Mereka berkata: ”Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami bagaimana hakikat sapi betina itu, kerana sesungguhnya sapi itu (masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami Insya-Allah akan mendapat petunjuk (untuk memperoleh sapi itu).” Musa berkata: ”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa sapi betina itu adalah sapi betina yang belum pernah dipakai untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak cacat, tidak ada belangnya.” Mereka berkata: ”Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat sapi betina yang sebenarnya.” Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu. Dan (ingatlah) ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh tentang itu. Dan Allah menyingkirkan apa yang selama ini kamu sembunyikan. Lalu Kami berfirman: ”Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota sapi betina itu!” Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan padamu tanda-tanda kekuasaan-Nya agar kamu mengerti. ” (A-Baqarah: 67-73)

Demikianlah sikap Bani Israil yang keras hati dan biadab. Nabi Musa menahan beban penderitaan yang berat ketika berdakwah di jalan Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman:

”Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa; maka Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah.” (Al-Ahzab: 69)

Demikianlah, sepanjang hayatnya Nabi Musa A.S telah menjalankan tugasnya sebagai Rasul Ulul Azmi yang penuh cabaran, dengan sifat kesabaran. Dia sentiasa rindu untuk bertemu dengan Allah S.W.T sehingga memohon untuk melihatNya. Begitupun, setiap yang hidup pasti menemui mati.

Akhirnya, Nabi Musa harus menjalani suatu takdir yang ditetapkan oleh Allah Tatkala tiba saatnya, Nabi Musa pun wafat secara damai dan mulia. Nabi yang diajak bicara oleh Allah itu akhirnya menemui Allah dengan jiwa yang diredhai dan hati yang tenang.

Kisah Nabi Khidir A.S

Salah satu kisah Al-Quran yang sangat mengkagumkan dan dipenuhi dengan misteri adalah kisah dalam surah Al-Kahfi di mana ayat-ayatnya dimulai dengan cerita Nabi Musa A.S:

”Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: ”Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan-jalan sampai bertahun-tahun. ” (A-Kahfi: 60)

Kalimat ini menunjukkan bahawa Nabi Musa bertekad untuk meneruskan perjalanan kecuali jika beliau mampu mencapai pertemuan dua buah lautan. Di sana terdapat suatu perjanjian penting yang dinantikan oleh Nabi Musa A.S.

Kita tidak mengetahui secara pasti hakikat tempat yang dimaksudkan. Ada yang mengatakan tempat itu adalah laut Parsi dan Rom. Ada yang mengatakan laut Jordan atau Qalzum. Ada yang berpendapat tempat itu terletak di Afrika. Ada lagi yang mengatakan bahawa itu adalah laut Andalus. Tetapi tiada bukti sahih yang menunjukkan tempat yang sebenarnya.

Seandainya tempat itu harus disebutkan nescaya Allah S.W.T akan menyebutkannya. Namun Al-Quran tidak menyebutkan tempat itu, sebagaimana Al-Quran tidak menyebutkan bila kisah itu terjadi. Begitu juga, Al-Quran tidak menyebutkan nama-nama orang yang terdapat dalam kisah itu kerana adanya hikmah yang tinggi dan kita tidak mengetahuinya.

Kisah tersebut berhubungan dengan suatu ilmu yang tidak kita miliki, kerana biasanya ilmu yang kita kuasai berkaitan dengan sebab-sebab tertentu. Tidak juga ia berkaitan dengan ilmu para Nabi kerana biasanya ilmu para Nabi berdasarkan wahyu. Kita berhadapan dengan suatu ilmu dari suatu hakikat yang samara, ilmu yang berkaitan dengan takdir yang sangat tinggi, ilmu yang dipenuhi dengan rangkaian tabir yang tebal.

Allah S.W.T berfirman:

”Seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.” (Al-Kahfi: 65)

Al-Quran tidak menyebutkan siapa nama hamba Allah S.W.T yang dimaksudkan, iaitu seorang hamba yang dicari oleh Nabi Musa A.S agar dapat belajar darinya. Nabi Musa A.S adalah orang yang diajak berbicara langsung oleh Allah S.W.T dan dia salah seorang Rasul Ulul Azmi. Beliau adalah pemilik mukjizat tongkat dan tangan yang bercahaya dan seorang Nabi yang Taurat diturunkan kepadanya tanpa melalui perantara.

Namun dalam kisah ini, beliau menjadi seorang pencari ilmu yang harus belajar kepada gurunya dan menahan penderitaan untuk belajar. Lalu, siapakah gurunya itu? Ternyata gurunya itu adalah seorang hamba istimewa yang tidak disebutkan namanya di dalam Al-Quran. Namun dalam hadis Rasulullah S.A.W yang suci disebutkan bahawa dia adalah Nabi Khidir

Nabi Musa A.S berjalan bersama hamba yang menerima ilmu dari Allah S.W.T. Mula-mula Khidir A.S enggan ditemani oleh Musa A.S. Khidir memberitahu bahawa Musa A.S tidak akan mampu bersabar bersamanya. Setelah didesak, akhirnya, Khidir A.S bersetuju dengan syarat, Nabi Musa tidak bertanya tentang apa yang dilakukannya.

Nabi Khidir A.S merupakan simbol ketenangan dan gerak-gerinya menimbulkan kebingungan dalam diri Nabi Musa. Sebahagian tindakan yang dilakukan oleh Khidir A.S jelas dianggap sebagai kejahatan bagi Musa. Sebahagian tindakan KhidirS yang lain dianggap oleh Musal sebagai hal yang tidak memiliki erti apapun dan tindakannya justeru membuat Musai bingung dan menentang. Meskipun MusaS memiliki ilmu yang tinggi dan kedudukan yang luar biasa namun beliau mendapati dirinya dalam keadaan kebingungan melihat perihal hamba yang mendapat kurnia ilmunya dari sisi Allah S.W.T.

Ilmu Musa A.S yang berlandaskan syari’at menjadi bingung ketika menghadapi ilmu Khidir A.S yang berlandaskan hakikat. Syari’at merupakan bahagian dari hakikat. Terkadang hakikat menjadi hal yang sangat samar sehingga para Nabi pun sukar memahaminya.

Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan dengan Khidir. Sebahagian mereka mengatakan bahawa dia seorang wali Allah S.W.T. Sebahagian lagi mengatakan bahawa dia seorang Nabi. Terdapat banyak cerita bohong tentang kehidupan Khidir A.S dan bagaimana keadaannya. Ada yang mengatakan bahawa dia akan hidup sampai hari kiamat. Yang jelas, kisah Khidir A.S tidak dapat dikhabarkan melalui nas-nas atau hadis-hadis yang dapat dipegang. Tetapi kita seharusnya berpendapat bahawa Khidir A.S juga meninggal dunia sebagaimana hamba-hamba Allah S.W.T yang lain.

Bagaimanapun, kita cuma dapat mengikuti kisahnya sebagaimana yang dikemukakan di dalam Al-Quran.

Nabi Musa A.S berbicara di tengah-tengah Bani Israil. Dia mengajak mereka menyembah Allah S.W.T dan menceritakan kepada mereka tentang kebenaran. Pembicaraan Nabi Musa A.S sangat lengkap dan tepat.

Setelah menyampaikan pembicaraannya, salah seorang Bani Israil bertanya apakah ada di muka bumi seseorang yang lebih alim darinya. Lalu Nabi Musa menjawab tiada orang yang lebih alim darinya.
Lalu Allah S.W.t mengutus Jibril untuk bertanya kepadanya: ”Wahai Musa, tidakkah engkau mengetahui di mana Allah meletakkan ilmu-Nya?”

Nabi Musa mengetahui bahawa dia terburu-buru mengambil suatu keputusan. Jibril A.S kembali berkata kepadanya: ”Sesungguhnya Allah mempunyai seorang hamba yang berada di Majma’ Al-Bahrain (pertemuan dua lautan) yang lebih alim daripada kamu.”

Jiwa Nabi Musa yang mulia rindu untuk menambah ilmu, lalu timbullah keinginan untuk pergi dan menemui hamba yang alim ini. Musa A.S bertanya bagaimana dia dapat menemui orang alim itu. Kemudian dia mendapat perintah untuk pergi dan membawa ikan di keranjang. Ketika ikan itu hidup dan melompat ke lautan maka di tempat itulah Musa akan menemui hamba yang alim itu.

Akhirnya, Musa A.S pergi mencari ilmu dan ditemani oleh seorang pembantunya yang masih muda. Pemuda itu membawa ikan di keranjang. Kemudian mereka berdua pergi untuk mencari hamba yang alim dan soleh.

Tempat yang mereka cari adalah tempat yang sangat samar dan masalah ini berkaitan dengan hidupnya ikan di keranjang dan kemudian ikan itu akan melompat ke laut. Namun Musa berkeinginan kuat untuk menemui hamba yang alim walaupun mesti berjalan sangat jauh dan menempuh waktu yang lama.

Musa berkata kepada pembantunya: ”Aku tidak memberimu tugas apa pun kecuali engkau memberitahuku di mana ikan itu akan berpisah denganmu.”

Pemuda itu berkata: ”Sungguh engkau hanya memberi aku tugas yang tidak terlalu berat.”

Mereka sampai ke suatu batu di tepi laut. Musa rasa amat mengantuk. Angin bergerak ke tepi lautan sehingga ikan itu bergerak dan hidup lalu melompat ke laut sebagaimana tanda yang diberitahu oleh Allah S.W.T kepada Musa tentang tempat pertemuannya dengan seorang yang alim.

Musa bangkit dari tidur dan tidak mengetahui bahawa ikan yang dibawanya telah melompat ke laut manakala pembantunya lupa untuk menceritakan peristiwa yang terjadi. Lalu Musa bersama pemuda itu melanjutkan perjalanan dan mereka lupa terhadap ikan yang dibawa. Kemudian Musa merasa lapar dan letih. Dia meminta pembantunya mengeluarkan bekalan makanan yang dibawa.

Pembantunya mulai ingat tentang ikan yang telah melompat ke lautan. Dia segera menceritakan hal itu kepada Nabi Musa A.S. Dia meminta maaf kepada Nabi Musa A.S kerana lupa menceritakan hal itu. Syaitan telah membuatnya lupa.

Apabila ikan melompat ke lautan, itu adalah tanda bahawa di tempat itulah mereka akan bertemu dengan seorang lelaki yang alim. Nabi Musa A.S dan pembantunya kembali menyusuri tempat ikan itu melompat. Akhirnya, mereka berdua sampai di batu tempat mereka tertidur. Di situ mereka menemui seorang lelaki. Gambaran tentang pertemuan itu terkandung di dalam Al-Quran:

Allah berfirman:

”Maka tatkala mereka berjalan sampai ke pertemuan dua buah laut itu, maka mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Musa kepada muridnya: ”Bawalah ke mari makanan kita, sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan kita ini.” Muridnya menjawab: ”Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan, dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Musa berkata: ”Itulah (tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.” (Al-Kahfi:
61-65)

Imam Bukhari R.A mengatakan bahawa Musa A.S dan pembantunya menemui Khidir di atas sejadah hijau di tengah-tengah lautan. Ketika Musa A.S melihatnya, dia menyampaikan salam kepadanya.

Khidir A.S berkata: ”Apakah di bumimu ada salam? Siapa kamu?”

Musa menjawab: ”Aku adalah Musa.”

Khidir A.S berkata: ”Bukankah engkau Musa dari Bani Israil. Bagimu salam wahai Nabi dari Bani Israil.”

Musa A.S berkata: ”Dari mana kamu mengenal aku?”

Khidir menjawab: ”Sesungguhnya yang mengenalkan kamu kepadaku adalah juga yang memberitahu aku siapa kamu. Lalu, apa yang engkau inginkan, wahai Musa?”

Musa A.S berkata dengan penuh sopan: ”Apakah aku boleh mengikutimu agar engkau mengajarku sesuatu yang telah engkau perolehi dari Allah.”

Khidir A.S berkata: ”Tidakkah cukup di tanganmu Taurat dan bukankah engkau telah mendapat wahyu. Sungguh wahai Musa, jika engkau ingin mengikutiku engkau tidak akan mampu bersabar bersamaku.”

Nabi Musa A.S bersetuju atas syarat tersebut dan kemudian mereka pun pergi. Firman Allah S.W.T:

”Musa berkata kepadanya: ”Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?” Dia menjawab: ”Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?” Musa berkata: ”Insya-Allah kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun.” Dia berkata: ”Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.” (Al-Kahfi: 66-70)

Musa pun pergi bersama Khidir. Mereka berjalan di tepi laut. Kemudian terdapat sebuah perahu. Pemilik perahu membawa mereka tanpa meminta upah. Ketika perahu itu berlabuh, Khidir membocorkan perahu itu. Dia mencabut papan-papan perahu, lalu melemparkan ke laut sehingga papan-papan itu dibawa ombak.

Musa A.S berkata: ”Apakah engkau mahu para penumpang tenggelam? Sungguh engkau telah melakukan sesuatu yang tercela.”

Kemudian mereka berjalan di tempat kanak-kanak bermain. Kelihatan seorang budak duduk bersandar di suatu pokok. Tiba-tiba, Khidir A.S membunuh budak itu. Musa membantah tindakannya. Khidir A.S kembali mengingatkan Musa bahawa dia tidak akan mampu bersabar bersamanya. Musa A.S berjanji tidak akan bertanya lagi.

Mereka pun pergi meneruskan perjalanan lalu memasuki suatu desa. Makanan yang mereka bawa telah habis, lalu mereka meminta makanan kepada penduduk desa itu, tetapi penduduk tidak mahu menjamu mereka.

Kemudian datanglah waktu petang. Mereka berehat di dinding yang hampir roboh. Khidir A.S berusaha membina dinding itu, bahkan menghabiskan waktu malam untuk memperbaiki dinding itu seperti baru. Musa A.S sangat hairan melihat tindakan Khidir.

Musa berkata: ”Engkau boleh mendapat upah atas pembangunan tembok itu.”

Mendengar perkataan Musa A.S itu, maka Khidir berkata: ”Ini adalah batas perpisahan antara dirimu dan diriku.”

Khidir A.S mengingatkan Musa tentang pertanyaan yang seharusnya tidak dilontarkan dan dia mengingatkannya bahawa pertanyaan yang ketiga adalah akhir dari pertemuan.

Kemudian Khidir A.S menceritakan kepada Musa A.S bagi membongkar kesamaran dan kebingungan yang dihadapinya. Setiap tindakan hamba yang soleh itu bukanlah hasil dari kehendaknya sendiri. Dia hanya sekadar alat yang digerakkan oleh kehendak Allah S.W.T Yang Maha Tinggi di mana kehendak itu menyiratkan suatu hikmah yang tersembunyi. Tindakan-tindakan yang secara lahiriah tampak keras namun pada hakikatnya menyembunyikan rahmat dan kasih sayang. Demikianlah aspek lahiriah bertentangan dengan aspek batiniah. Hal inilah yang tidak diketahui oleh Musa A.S.

Meskipun Musa A.S memiliki ilmu yang sangat luas tetapi ilmunya tidak sebanding dengan ilmu Khidir. Ilmu Musa laksana setitis air dibandingkan dengan ilmu Khidir. Manakala Khidir hanya memperolehi sedikit ilmu daripada Allah A.S. Ia cuma sebesar titis air yang terdapat pada paruh burung yang mengambilnya dari lautan.

Allah S.W.T berfirman:

”Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki perahu lalu Khidir melubanginya. Musa berkata: ”Mengapa kamu melubangi perahu itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.” Dia (Khidir) berkata: ”Bukankah aku telah berkata: ”Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku.” Musa berkata: ”Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.” Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata: ”Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih itu, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar.” Khidir berkata: ”Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku?” Musa berkata: ”Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah engkau membolehkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.” Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata: ”Jikalau kamu mahu, nescaya kamu mengambil upah untuk itu” Khidir berkata: ”Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Aku akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya. Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di lout, dan aku bertujuan merosakkan bahtera itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera. Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mukmin dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. Dan kami menghendaki supaya Tuhan mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam dari kasih sayangnya (kepada ibu dan bapanya). Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya seorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.” (Al-Kahfi: 71-82)

Selanjutnya, Nabi Musa A.S kembali menemui pembantunya untuk kembali ke Bani Israil. Sekarang, Musa mendapat keyakinan yang luar biasa. Musa telah belajar dari mereka dua perkara, iaitu tidak merasa bangga dengan ilmunya dalam syari’at kerana di sana terdapat ilmu hakikat, dan tidak mempersoalkan musibah-musibah yang dialami oleh manusia kerana di sebalik itu terdapat rahmat Allahii yang tersembunyi berupa kelembutan dan kasih sayang-Nya.

Kisah Yusya’ bin Nun

Diriwayatkan bahawa Yusya’ bin Nun adalah pemuda yang ikut bersama Nabi Musa A.S dalam kisah perjalanan bersama Nabi Khidir A.S Dia menjadi pemimpin pasukan tentera menuju ke bumi yang telah diperintahkkan oleh Allah S.W.T untuk memasukinya.

Allah S.W.T telah memerintahkan Nabi Musa A.S mempersiapkan Bani Israil dan menjadikan mereka para pemimpin, sebagaimana firman-Nya:

”Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (dari) Bani Israil dan telah Kami angkat di antara mereka dua belas orang pemimpin dan Allah berfirman: ”Sesungguhnya Aku berserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada Rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.” (Al-Ma’idah: 12)

Demikianlah kita melihat perjanjian bersyarat di mana Allah A.S meletakkan janji atas mereka, iaitu agar mereka berperang dan tidak lari dari medan peperangan. Juga, hendaklah mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat serta berima
kepada para Rasul, bermula dari Nabi Musa A.S yang diturunkan kepadanya kitab Taurat dan diakhiri dengan Nabi Muhammad S.A.W, di mana Allah telah menyampaikan berita gembira tentang kedatangannya di dalam kitab Taurat.

Yusya’ bin Nun selamat dari keadaan tersesat yang dialami oleh Bani Israil. Lalu dia bersama para pengikutnya bergerak menuju ke tanah suci. Dia berjalan bersama mereka sehingga melewati sungai Jordan dan sampai ke Ariha, iaitu kota yang paling kuat pagarnya dengan istana yang paling tinggi dan paling padat penduduknya.

Mereka mula bertindak menyerang kota itu dengan membunyikan terompet (serunai). Ternyata senjata pertama digunakan dalam peperangan mereka sangat aneh. Para penyerang menggunakan kekuatan bunyi sebagai senjata.

Tidak diketahui, apakah Allah S.W.T mewahyukan kepada Yusya’ bin Nun untuk melakukan tindakan itu, atau gerak hatinya sebagai pemimpin pasukan tentera, atau perkara itu terjadi secara kebetulan.

Mereka telah mengepung kota itu selama enam bulan. Dalam tempoh pengepungan itu, mereka tidak henti-henti membunyikan terompet tanduk. Akhirnya pada suatu hari, pagar-pagar kota yang kukuh itu tiba-tiba runtuh menyembah bumi.

Kemudian Allah S.W.T mengeluarkan perintah-Nya kepada Bani Israil untuk memasuki kota dalam keadaan menundukkan kepala sebagai bersyukur kepada Allah S.W.T atas segala kurnia-Nya, yang berupa penaklukan kota itu. Ketika mereka memasuki kota itu, mereka diperintahkan untuk mengatakan:

”Bebaskanlah kami dari dosa kami.” (Al-A ’raf: 161)

Namun, Bani Israil tidak melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka, baik dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan. Mereka memasuki pintu gerbang kota dalam keadaan sombong dan mereka mengganti ucapan yang tidak selayaknya mereka ucapkan. Oleh kerana itu, mereka terkena seksa Allah S.W.T atas kezaliman mereka.

Allah S.W.T berfirman:

”Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka (Bani Israil): ”Diamlah di negeri ini saja (Baitulmaqdis) dan makanlah dari (hasil buminya di mana saja kamu kehendaki.” Dan katakanlah: ”Bebaskanlah kami dari dosa kami dan masukilah pintu gerbangnya sambil membongkok, nescaya Kami ampuni kesalahan-kesalahanmu. Kelak akan Kami tambah (pahala) kepada orang-orang yang berbuat baik.” Maka orang-orang yang zalim di antara mereka itu mengganti (perkataan itu) dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka, sehingga Kami timpakan kepada mereka azab dari langit disebabkan kezaliman mereka.” (Al-Araf: 161-162)

Ini bukanlah kejahatan pertama yang dilakukan oleh Bani Israil dan juga bukan kejahatan yang terakhir. Mereka telah menyeksa ramai para Rasul mereka setelah Nabi Musa A.S Kitab Taurat yang ada di tangan mereka berubah menjadi lembar yang mereka nampakkan sebahagiannya dan mereka sembunyikan sebahagian yang lain, bahkan mereka berani mempermainkan aqidah.

Firman Allah S.W.T:

”Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang semestinya di kala mereka berkata: ”Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia.” Katakanlah: ”Siapakah yang menurunkan kitab (Taurat) yang dibawa oleh Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, kamu menjadikan kitab itu lembaranlembaran yang bercerai berai, kamu perlihatkan (sebahagiannya) dan kamu sembunyikan sebahagian besarnya, padahal telah diajarkan kepadamu apa yang kamu dan bapa-bapa kamu tidak mengetahui(nya)?” Katakanlah: ”Allah-lah (yang menurunkannya), kemudian (sesudah kamu menyampaikan Al-Quran kepada mereka, biarkanlah mereka bermain-main dalam kesesatannya.” (AlAn’am: 91)

Jika pernyataan tersebut berlaku kepada cucu-cicit Bani Israil yang hidup di jazirah Arab, maka jelas sekali melalui sejarah Bani Israil sendiri, bahawa Taurat tidak selamat. Taurat pun disembunyikan sebahagiannya dan dinampakkan sebahagian yang lain, sesuai dengan tuntutan keadaan mereka dan kepentingan nafsu mereka.

Sikap penentangan inilah yang menyebabkan datangnya seksaan Allah S.W.T kepada Bani Israil. Mereka menganggap bahawa mereka adalah bangsa pilihan Allah S.W.T. Mereka merasakan bahawa mereka berhak untuk melakukan apa saja sesuai dengan keinginan mereka. Bahkan kejahatan yang mereka lakukan terhadap kitabkitab suci, kemudiannya menjalar kepada membunuh para Nabi.

”Dan mereka membunuh para Nabi tanpa alasan yang benar. ” (An-Nisa: 155)

Akibatnya, Allah S.W.T menjadikan mereka dikuasai oleh kekerasan para raja zalim yang menyeksa dan menumpahkan darah mereka. Allah S.W.T menjadikan mereka dikuasai oleh musuh-musuh mereka dan harta-harta mereka dirampas. Namun bersama mereka masih ada peti perjanjian, iaitu peti yang masih menyimpan sebahagian yang ditinggalkan oleh Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Dikatakan bahawa peti ini menyimpan lembar-lembar Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa dan tetap terpelihara dengan berlalunya waktu. Peti ini memiliki berkat yang sangat berpengaruh dalam kehidupan dan peperangan mereka. Adanya peti itu bersama mereka pada waktu peperangan, menjadikan mereka tenang dan mendapat kemenangan.

Ketika mereka menganiaya diri mereka sendiri, Taurat dicabut dari hati mereka sehingga tidak ada lembaran Taurat bersama mereka. Lalu peti perjanjian itu pun hilang. Kemudian keadaan sukar menimpa Bani Israil kerana kesalahan dan dosa mereka. Maka berlalulah tahun demi tahun dan kehadiran Nabi sangat mereka harapkan agar lepas dari pelbagai penderitaan, dosa dan kesalahan.

Sesungguhnya segala amal perbuatan manusia akan diperhitungkan oleh Allah S.W.T Yang Maha Besar lagi Maha Agung.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Related Posts with Thumbnails

Bumi Tuhan... Bersaksilah

 

Design by Amanda @ Blogger Buster