TAUBAT ORANG JAHIL TETAP DITERIMA OLEH ALLAH  


ISLAM tidak menutup pintu kepada umatnya yang bersalah, jika mereka mahu kembali kepada kebenaran dengan membersihkan diri dengan bertaubat. Malah, Islam menggalakkan mereka berbuat demikian. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 17)

Rasulullah menempelak mereka yang melakukan kejahatan terus menerus, sedangkan mereka mengetahui kejahatan yang dilakukannya. Sepatutnya, mereka meminta keampunan kepada Allah di atas kesilapan pertamanya tanpa mengulangi kesalahan itu.

Taubat yang diterima Allah juga adalah taubat dalam keadaan segera sebelum roh sampai ke tenggoroknya. Hal ini seperti dijelaskan oleh Imam Ahmad yang meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selama (rohnya) belum sampai ke tenggorok.” Hal itu bererti apabila sudah putus harapan untuk hidup, malaikat mula datang menjemput, roh mula keluar dari tenggoroknya, dada mula terasa sesak dan mencapai tenggoroknya. Pada saat itu taubat tidak lagi diterima. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka, (barulah) dia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” (Surah al-Nisa’, ayat 18)

Sesungguhnya manusia tidak dapat lari daripada memohon taubat kepada Allah. Perkara ini kerana tiada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa manusia, selain Allah. Firman-Nya bermaksud: “Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 135)

Sesungguhnya Allah tidak pernah jemu memberi keampunan kepada hamba-Nya selagi mana hamba-Nya memohon keampunan kepada-Nya. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Said, daripada Nabi bersabda bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhan, dan demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka segera bertaubat dan memohon ampunan kepada-Ku.

AddThis Social Bookmark Button


Related Posts with Thumbnails

Bumi Tuhan... Bersaksilah

 

Design by Amanda @ Blogger Buster