NIAT

Assallamualaikum semoga Allah merahmati dan meredhai.sahabat semua.

*NIAT*

Semasa kita beramal ibadat dan melakukan kebaikan, mulut kita boleh menuturkan ungkapan keikhlasan. Tangan boleh mencatat yang kita ikhlas melakukan semua ini. Namun, niat sebenar ialah apa yang berada dalam jantung hati kita. Hanya ALLAH dan kita sendiri yang mengetahui hakikatnya.
Kita akan dibalas mengikut niat yang terlintas dalam jantung hati. Sebab itu, dalam hadis yang sering kita dengar Rasulullah SAW berpesan: 

"Sesungguhnya setiap amal mempunyai niat dan seseorang akan dibalas mengikut apa yang diniatkannya". (Riwayat Bukhari)

Bagi sentiasa kekal ikhlas dalam semua amalan kita, ia sangat sukar. Setiap orang tidak terlepas daripada ujian ini sama ada orang awam mahu pun ulama. Sebab itu antara doa yang sering dipohon oleh Rasulullah SAW ialah: 

"Wahai Tuhan yang membolak balikkan jantung hati, tetapkanlah jantung hatiku ini atas agamaMu”. (Riwayat Tirmizi & Ibn Majah)

Kata Sufyan al-Thauri: "Tidak ada yang paling sukar dalam merawati diriku melainkan niat, sebab niat boleh berubah sehingga menjadi dosa ke atasku".

Yahya bin Abi Kathir berkata: "Belajarlah untuk niat (kerana ALLAH) sesungguhnya ia lebih penting daripada amal". (Ibn Rejab, Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, al-Maktabah al-Asriah, m/s 14)

Syaitan (dengan izin ALLAH) tidak akan berputus asa untuk menipu manusia. Keikhlasan yang terdetik di peringkat awal, boleh sahaja bertukar di pertengahan jalan akibat hasutan dan kelicikan syaitan. Justeru, sentiasalah memohon perlindungan daripada ALLAH agar dipelihara niat kita.

ALLAH berfirman: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". (Surah Al-A’raf: 200)

waallahuallam

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah