Kongsi-kongsi perasaan dengan kawan-kawan petang ni.Ada sedikit rasa yang tidak enak pada UPSR. Bukan tahun isi sahaja. Setiap tahun!

UPSR ni sebenarnya petanda!

Petanda yang menunjukkan bahawa tak lama lagi anak-anak ini akan meninggalkan kami. Melangkah ke alam baru di sekolah menengah.

6 tahun melihat mereka membesar dengan pelbagai karenah. Yang manis mahupun yang tidak berapa enak semuanya digaul menjadi satu episod kehidupan yang tidak akan dilupakan oleh kami para guru.

Kadang-kadang terasa seperti baru semalam melihat mereka mengusung beg yang kadang-kadang kelihatan lebih besar dari mereka sewaktu mula-mula mendaftar di tahun 1.

Terasa seperti baru sebentar sahaja tadi kami memujuk mereka yang menangis-nangis enggan ditinggalkan di dalam kelas oleh ibu bapa mereka.

Memeluk mereka saat mereka meraung dan meronta-ronta ketakutan sewaktu diberi suntikan imunisasi di sekolah.

Menenangkan mereka yang ketika itu ketakutan dek kerana doktor gigi yang sudah mula memeriksa dan merawat gigi setiap murid di sekolah.

Kemudian melihat mereka membesar dan berpindah dari satu kelas ke satu kelas yang lain. Dari huyung hayang berjalan mengheret beg sehingga mampu berlumba-lumba berlari bersama rakan saat pulang dari sekolah.

Dari pelat membaca dan bertutur hingga mampu bercerita dan berdebat. Dari wajah mulus yang kadang kala bertepek hingus kering dipipi kepada seorang awal remaja yang tampan, manis dan ceria wajahnya.

Tahun silih berganti. Meski murid juga bertukar ganti. Namun 6 tahun pengalaman bersama setiap anak-anak ini akan disimpan episod demi episod dalam laci memori para guru.

Buat anak-anak murid yang sedang menduduki UPSR, melangkahlah kalian ke mercu impian cita-cita kalian. Perjalanan kalian masih jauh dan penuh dengan pelbagai cabaran. Jika dalam melangkah kalian berasa lemah atau jatuh, jangan malu untuk kembali kepada kami. Bersama-sama mengumpul kekuatan dan belajar untuk bangkit. Ingatlah..di sini sentiasa ada tangan-tangan yang sedia untuk menyambut kalian.

Asmadi Abdul Samad
SK Bandar Anggerik, Shah Alam.

AddThis Social Bookmark Button


0 comments: to “

Related Posts with Thumbnails

Bumi Tuhan... Bersaksilah

 

Design by Amanda @ Blogger Buster