Akhirnya, Hijrah ke Madinah!

Maka Rasulullah Saw memerintahkan para Sahabat berhijrah ke Madinah. Jadi hijrah ke Madinah ini adalah perintah dari Rasulullah Saw, bukan lagi seperti hijrah ke Habsyah dimana Rasulullah Saw anjurkan dan izinkan kepada sesiapa yang tidak tahan di Mekah untuk berhijrah kesana, tapi kali ini perintah wajib kepada semua orang Islam di Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Orang pertama yang berhijrah ke Madinah ialah Abu Salamah dan isterinya Umu Salamah. Ketika itu mereka membawa anak kecil mereka, Salamah. Bila Kafir Quraisy nampak, Kafir Quraisy Bani Makhzum tahan Umu Salamah. Bani Abdul Asad mengambil Salamah dan Abu Salamah terus ke Madinah. Begitulah ujian yang ditanggung oelh keluarga Abu Salamah kerana Hijrah ini. Setahun selepas itu baru Umu Salamah dapat lepas ke Madinah dengan anak kecilnya Salamah. Selepas hijrah Abu Salamah ramai lagi Sahabat-Sahabat yang hijrah ke Madinah dengan senyap-senyap. Bila Saidina Umar nak hijrah, dia siapkan kenderaannya, bekalannya dan pakaiannya dan disiapkan juga senjatanya. Kemudian dengan segala kelengkapan itu dia pergi ke Ka'bah. Kafir Quraisy dari jauh memerhatikan Saidina Umar. Setelah tawaf di Kaabah, Saidina Umar mengumumkan disitu, siapa yang mahu ibunya kehilangan anaknya , isterinya menjadi janda dan anak-anaknya menjadi yatim tunggulah aku dibelakang bukit ini, aku nak hijrah ke Madinah. Tak ada seorang pun yang berani menghalangnya. Dialah satu-satunya Sahabat Rasulullah Saw yang berhijrah ke Madinah secara terbuka.

Hijrah terus berlaku, satu demi satu Sahabat Rasulullah Saw meninggalkan Mekah kecuali mereka yang ditahan oleh kaum masing-masing. Ketika itu datang Saidina Abu Bakar minta izin dari Rasulullah Saw untuk berhijrah. Kata Rasulullah Saw, wahai Abu Bakar, tangguhkan dulu hijrah kamu semoga Allah datangkan teman bersama kamu dalam hijrah. Saidina Abu Bakar taat dengan Rasulullah Saw. Sejak itulah hatinya berdoa da berharap teman itulah dia Rasulullah Saw sendiri. Begitu tajam rasa hati Saidina Abu Bakar ini terhadap Rasulullah Saw. Walaupun dia belum pasti tapi sejak hari itu juga dia persiapkan satu kenderaan yang lengkap dengan keperluan safar untuk Rasulullah Saw. Moga-moga teman itu dalah Rasulullah Saw sendiri.

Selepas itu makin ramai Sahabat yang berhijrah, Saidina Abu Bakar datang lagi minta izin dari Rasulullah Saw. Jawapan Rasululah Saw sama seperti yang pertama dulu. Tunggu dulu wahai Abu Bakar semoga Allah jadikan teman dalam hijrah kamu. Lepas itu Saidina Abu Bakar datang lagi minta izin kali ketiga untuk hijrah. Begitulah jawapan Rasulullah Saw tak berubah. Pada waktu itu semua Sahabat Rasulullah Saw sudah meninggalkan Mekah. Yang tinggal hanya Saidina Abu Bakar dengan Rasulullah Saw dan keluarga mereka. Setelah Rasulullah Saw memastikan semua Sahabat sudah berjaya hijrah ke Madinah datanglah perintah Allah kepada baginda pula untuk berhijrah. Imam Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah Saw:

Aku telah melihat dalam tidurku bahawa aku berhijrah dari Mekah ke satu tanah yang banyak pokok tamar. Pada mulanya aku sangka Yamamah atau Hajar rupanya dia Madinah, iaitu Yathrib.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah