Tahun Kesedihan...

Pada tahun ke 10 selepas KeNabian, Abu Talib meninggal dunia. Rasulullah Saw sangat sedih dengan kematian Abu Talib ini, bapa saudara yang mengganti ayahnya membesarkannya dan berdiri dibelakang perjuangannya, membelanya dari kejahatan Kafir Quraisy. Ketika Abu Talib nazak, Rasulullah Saw ada disisinya. Berita sampai pada Abu Jahal. Cepat-cepat Abu Jahal datang. Abu Talib masih nazak, Rasulullah Saw dikepalanya sedang memujuk Abu Talib. Wahai bapa saudaraku mengucaplah. Perkataan yang menyebabkan aku boleh membela kamu di hari Akhirat nanti. Musuh Islam Abu Jahal terus menghalang Abu Talib dari mengucap. Kata Abu Jahal, demi Allah wahai Abu Talib, kalau kamu melafazkannya kami akan mengaibkan kamu selama-lamanya.

Ketika Abu Talib sedang nazak itupun, Abu Jahal sempat lagi menghalangnya dari Islam. Dia datang hanya semata-mata nak pastikan hal ini. Rasulullah Saw memujuk, Abu Jahal menghalang. Abu Talib jadi serba salah, nak mengucap atau tidak. Akhirnya kata Abu Talib :

Aku takut nanti bangsa Arab akan mengaibkan aku dengan hal ini.

Mati Abu Talib dalam keadaan tak sempat dia mengucap. Sebab itulah Rasulullah Saw terlalu sedih diatas kematian Abu Talib ini. Tak sempat baginda membawa bapa saudaranya yang dikasihi masuk Islam. Selepas sebulan kematian Abu Talib, Siti Khadijah pula meninggal. Orang yang paling dekat dengan Rasulullah Saw, satu satunya isteri Rasulullah Saw, ibu kepada anak anak Rasulullah Saw, orang yang pertama Islam dan orang yang paling banyak membantu perjuangan Rasulullah Saw dari detik detik awal perjuangan baginda lagi.

Rasulullah Saw selepas wahyu, full time dengan perjuangan, fulltime dengan dakwah membawa manusia kepada Allah, memperkenalkan Tuhan kepada manusia, menyelamatkan manusia. Siti Kahdijah sendiri yang minta Rasulullah Saw fulltime dengan dakwah bahkan segala hartanya diserahkan kepada Rasululah untuk perjuangan jihad fisabilillah. Begitulah isteri solehah yang mengukuhkan lagi perjuangan suaminya bukan seperti isteri-isteri kita yang terasa hati dan merajuk bila suami sibuk sikit dengan perjuangan. Ketika Siti Khadijah masih hidup lagi pernah Saidina Jibril datang kepada Rasulullah Saw. Kata Saidina Jibril:

Wahai Muhammad, Allah Taala mengirim salam kepada kamu dan memerintahkan kamu memberi berita gembira kepada Khadijah bahawa Allah sediakan rumah dari permata untuknya di syurga. Tidak ada gangguan dan keletihan di dalamnya

Dengan ini Siti Khadijah ini adalah salah seorang yang dijanjikan dengan syurga semasa hidupnya lagi. Imam Bukhari dan Imam Muslim ada meriwayatkan sebuah hadis dari Saidina Ali bahwa Saidina Ali pernah mendengar Rasulullah Saw bersabda:

Sebaik baik perempuan dizamannya Siti Maryam binti Imran dan sebaik baik perempuan dizamannya Siti Khadijah binti Khuwailid

 Selepas kematian Abu Talib, kematian Siti Khadijah pula hingga tahun itu dinamakan Tahun Kesedihan. Dengan kesedihan ini ditambah lagi bila Rasulullah Saw teringat dalam tempoh sepuluh tahun perjuangan Rasulullah Saw mengajak Kafir Quraisy kepada Islam hanya ada 70 orang lelaki bersamanya di Mekah, tak termasuk yang di Habsyah, tapi jumlahnya tetap masih sedikit dibandingkan dengan tempoh sepuluh tahun berdakwah.

Maka dengan itu Rasulullah Saw mula berfikir untuk menyampaikan dakwah kepada kabilah-kabilah yang dari luar Mekah pula. Apa lagi di Mekah, penentangan Kafir Quraisy semakin hebat selepas kematian Abu Talib dan Khadijah. Kata Rasulullah Saw :

Penentangan yang dahsyat dari Quraisy ini terhadap peribadiku tidak berlaku sebelum Abu Talib dan Siti Khadijah meninggal dunia

Kalau sebelum ini hanya pembesar Kafir Quraisy saja yang berani mengganggu Rasulullah Saw tapi sekarang budak-budak dijalanan pun berani. Bila Rasulullah Saw berjalan mereka menabur pasir ke kepala Rasulullah Saw. Dimana saja Rasulullah Saw pergi semua orang mencaci dan mengejek baginda.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah