KEKAYAAN DAN FALSAFAHNYA  


Assalam. Apa khabar? Kali ini perkongsian agak panjang. Selamat membaca:)

Apabila menyebut kekayaan atau kaya, yang cepat menangkap pada fikiran umum atau apa yang cepat teringat oleh kebanyakan orang ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Kebanyakan orang tidak terfikir bahawa ada kekayaan-kekayaan yang lain. Kalaupun ada yang terfikir bahawa kekayaan itu bukan harta dan wang ringgit sahaja atau bukan semata-mata wang ringgit dan harta, tapi kekayaan bentuk lain itu kurang diminati atau kurang sangat diperkatakan dan dibualkan orang.

Ini menunjukkan di antara fitrah semula jadi manusia ialah ingin kaya atau kekayaan. Yang sangat menjadi tarikan dan minat ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Ini menunjukkan kekayaan wang ringgit dan harta atau kekayaan mata benda dunia sangat mempengaruhi jiwa dan fikiran manusia.

Justeru itulah kita lihat di dalam pengalaman hidup manusia bahawa manusia itu bertungkus-lumus pagi dan petang, siang dan malam bekerja keras mencari kekayaan harta dan wang ringgit, bahkan mereka mencari ilmu, berkawan, bahkan adakalanya berkahwin pun adalah kerana dengan tujuan untuk mencari kekayaan harta dan wang ringgit. Begitulah pengaruh kekayaan wang ringgit dan harta kepada kebanyakan manusia.

BAHAGIAN KEKAYAAN

Yang sebenarnya kekayaan di dalam kehidupan manusia di dunia ini bukan kekayaan harta dan wang ringgit sahaja. Banyak lagi kekayaan lain yang jarang diperkatakan oleh manusia. Bahkan ada kekayaan yang lebih baik daripada wang ringgit dan harta. Di bawah ini kita akan senaraikan bahagian-bahagian kekayaan di dalam kehidupan manusia di dunia ini:




1. Kaya dengan wang ringgit dan harta
2. Kaya ilmu dan pengalaman
3. Kaya dengan anak-anak
4. Kaya dengan pengikut
5. Kaya jiwa
6. Kaya budi bahasa
7. Kaya dengan kawan dan kenalan

KEKAYAAN WANG RINGGIT DAN HARTA

Salah satu tarikan kepada manusia ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Di sini ada dua golongan manusia; satu golongan mencari harta dengan yang halal semata-mata dan satu golongan lagi mencari harta tidak kira halal dan haram semuanya disapu belaka. Apa sahaja yang boleh mendatangkan kekayaan, dia buat sama ada dengan judi, tipu, menjual arak, rasuah, membuka rumah pelacuran, disko dan sebagainya.

Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan kerana ia sesuai dengan fitrah manusia itu tapi dengan beberapa syarat iaitu:

1. Hendaklah mencari kekayaan dengan cara halal.
2. Apabila kaya, cukup haul, hendaklah membayar zakat.
3. Hendaklah menjadi orang pemurah.
4. Hendaklah digunakan kekayaan itu kepada jalan Allah seperti membantu fakir miskin, membangunkan rumah ibadah atau tempat pendidikan, membantu orang berdakwah dan lain-lain lagi.
5. Jangan ada pembaziran dan membuang-buang harta tidak menentu.
6. Jangan digunakan untuk maksiat dan menderhakai Allah Taala.
7. Jangan mencari harta hingga meninggalkan perkara-perkara yang asas di dalam Islam seperti mengabaikan fardhu ain, jangan meninggalkan sembahyang, puasa, sampai masa hendaklah naik haji.
8. Kena tunaikan wajib yang aradhi seperti pada satu masa masyarakat Islam perlukan satu bangunan untuk pendidikan, masyarakat umum di kalangan umat Islam sudah tidak mampu lagi memberi derma kerana susahnya, maka orang yang kaya pada mereka adalah wajib aradhi membiayai bangunan itu kerana dia mampu.
9. Orang kaya mesti sanggup jadi bank kepada masyarakatnya. Hayati cerita di bawah:

Ummul Mukminin Aisyah r.a berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Kulihat Abdul Rahman bin Auf masuk Syurga dengan merangkak.”

Sebahagian Sahabat menyampaikan cerita Aisyah itu kepada Abdul Rahman, lalu dia pun menemui Aisyah dan berkata: “Engkau telah memperingatkan aku suatu Hadis yang tak pernah kulupa akannya. Dengan ini saksikanlah bahawa seluruh kafilah ini dengan muatannya kupersembahkan untuk fisabilillah.”

Dia juga pernah berkata, “Sungguh kulihat diriku, seandainya aku mengangkat batu nescaya kutemukan di bawahnya emas dan perak.”

Dia sering menangis dan berkata, “Sesungguhnya aku khuatir dipisahkan dari sahabat-sahabatku kerana kekayaanku yang melimpah.”
                                        
Justeru itu segala kekayaan yang ada dilaburkannya di jalan Allah. Sehingga pernah dikata orang: “Seluruh penduduk Madinah berserikat dengan Abdul Rahman bin Auf pada hartanya. Sepertiga dipinjamkan kepada mereka, sepertiga lagi dipergunakannya untuk membayar hutang-hutang mereka dan sepertiga sisanya diberikan dan dibahagikan kepada mereka.”

Dalam Al Quran ada menyebut:

Maksudnya: “Umpama orang yang menafkahkan hartanya kerana mengkehendaki keredhaan Allah dan menetapkan (keimanan) hatinya.” (Al Baqarah: 265)

KELAZIMAN SIKAP ORANG KAYA

Selalunya orang kaya Islam majoritinya apa yang berlaku di dalam sejarah, tidak bersyukur kepada Allah Taala dengan membuat perkara-perkara seperti di bawah ini:

1. Selalunya mendapatkan kekayaan tidak kira halal haram.
2. Sombong dengan manusia dan sombong juga dengan Tuhan.
3. Menjadi orang yang bakhil dan kedekut. Padahal Tuhan berfirman:

Maksudnya: “Hai orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadamu sebelum tiba hari yang tidak ada jual beli pada hari itu, tidak ada persahabatan dan tidak ada pertolongan (yakni hari Kiamat). Dan orang-orang kafir itu adalah orang-orang yang aniaya.” (Al Baqarah: 254)

4. Menjadi orang yang tamak iaitu rasa tidak cukup. Firman Allah:

Maksudnya: “Orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakan kepada jalan Allah maka mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.” (At Taubah: 14)

5. Lalai dengan Allah Taala serta cuai dengan syariat-Nya.
6. Tidak mahu mengeluarkan zakat.
7. Menyalahgunakan kekayaan dengan memberi rasuah kepada ahli politik yang berkuasa kerana hendakkan tender dan hendakkan projek-projek.
8. Apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada keperluan-keperluan masyarakat yang aradhi sudah tentu tidak berlaku. Kalaupun ada bantuan dari mereka, ada udang di sebalik batu.

Sejarah menceritakan kisah Sa’labah bin Hatib yang asalnya miskin telah menjadi kaya raya setelah didoakan oleh Rasulullah SAW. Semasa dia miskin, setiap waktu Sa’labah bersembahyang jemaah dengan Rasulullah. Selesai sembahyang, Sa’labah bergegas pulang ke rumah kerana isterinya pula hendak sembahyang. Rupanya dia menanti pakaian yang dipakai oleh Sa’labah itu untuk dia memakainya pula. Begitulah miskinnya hidup mereka.

Sa’labah berkata kepada Rasulullah SAW, “Doakanlah kepada  Allah kiranya Dia memberikan aku rezeki harta. Jika aku mendapat kekayaan nescaya akan aku korbankan ke jalan Allah.”

Rasulullah SAW menjawab, “Harta sedikit yang engkau syukuri lebih baik daripada banyak harta tetapi engkau tidak mensyukurinya.”

Sa’labah rupanya tidak menerima nasihat Rasulullah yang nampak sifat tamak dan cinta dunia dalam hatinya itu. Sebab itulah Rasulullah menasihatinya bahawa hidup miskin itu lebih baik baginya. Tapi setelah berkali-kali Sa’labah meminta baginda mendoakannya, Rasulullah pun menunaikan permintaannya. Akhirnya Sa’labah menjadi kaya raya yang mana kambing-kambingnya berkembang biak memenuhi lembah antara dua buah bukit. Setelah kaya Sa’labah bukan saja mencuaikan sembahyang berjemaah dengan Rasulullah bahkan dia menjadi tamak dan kedekut. Janjinya kepada Rasulullah untuk mengorbankan hartanya tidak ditunaikan dan apabila turun perintah zakat, Sa’labah enggan membayarnya.

Begitu juga kisah Qarun yang semasa hidupnya miskin dia taat beribadah kepada Tuhan. Setelah dianugerahkan kepadanya ilmu membuat emas oleh Nabi Musa a.s., akhirnya Qarun menjadi kaya raya. Malangnya setelah kaya, Qarun menjadi sombong dan lupa asal usulnya. Dia tidak mahu mengeluarkan hartanya untuk kepentingan fakir miskin, tidak mahu membayar zakat dan lain-lain bahkan berfoya-foya dengan kekayaannya itu. Akhirnya Tuhan membenamkan Qarun berserta seluruh hartanya ke dalam bumi. Alangkah ruginya nasib orang yang terpesona dengan harta dunia yang sedikit hingga sanggup menempa azab yang maha pedih di Akhirat.

KEKAYAAN ILMU DAN PENGALAMAN

Ajaran Islam sangat menggalakkan kepada penganutnya menuntut ilmu sama ada ilmu dunia mahupun ilmu Akhirat.

Firman Allah SWT: Maksudnya: “Allah yang menciptakan tujuh langit dan tujuh bumi, seperti langit, turun berkali-kali perintah Allah antara langit dan bumi supaya engkau memperoleh ilmu, supaya kamu sekalian mempunyai ilmu, bahawa Allah itu kuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah sudah berilmu, sudah mengetahui segala sesuatu yang meliputi ilmu itu untuk segala sesuatu.” (At Talaq: 12)

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadahnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan Sahabatku.”

Mengapa Allah Taala menggalakkan umat Islam menguasai ilmu sama ada ilmu dunia dan Akhirat. Di antara hikmahnya ialah:

1. Agar mengenal Allah Taala dan boleh menyembah-Nya serta takut dengan-Nya kerana Dia berkuasa di atas kita.
2. Supaya umat Islam tidak buta ilmu agar dari ilmu berbagai-bagai maklumat boleh diketahui.
3. Agar umat Islam terpimpin dengan syariat-Nya di dalam seluruh kehidupannya dan berakhlak mulia.
4. Agar dengan ilmu dan pengalaman manusia boleh maju di dalam seluruh aspek kehidupan.
5. Agar umat Islam cinta dengan Akhirat dan mengutamakannya daripada dunia.
6. Agar umat Islam dengan ilmunya mudah menarik dan mempengaruhi orang yang bukan Islam masuk Islam.
7. Agar umat Islam dengan ilmu dan pengalamannya pandai mengendalikan urusan kehidupan hingga mudah dan senang menguruskannya.
8. Agar layak menjadi khalifah Allah Taala di bumi.
9. Agar dapat memimpin manusia ke jalan yang benar.

LUMRAH AHLI-AHLI ILMU

Allah Taala menginginkan kepada ahli ilmu agar menjadi seperti yang telah kita sebut di atas tadi. Tapi lumrah berlaku dalam sepanjang sejarah manusia, ahli-ahli ilmu adalah seperti berikut:

1. Sombong apabila menjadi ahli ilmu. Dengan ilmu bukan hendak merendah diri dengan Tuhan dan dengan manusia.
2. Menggunakan ilmu sebagai mencari kekayaan dunia atau pangkat untuk kepentingan diri sendiri.
3. Tidak pun rasa takut dengan Allah Taala, itulah secara majoritinya kecuali sedikit.
4. Ilmu yang dimiliki tidak pun dijadikan panduan hidup kecuali di aspek-aspek tertentu.
5. Dengan ilmu yang banyak tidak pun menarik orang yang bukan Islam masuk Islam kecuali sedikit sangat. Oleh kerana itulah masyarakat manusia cepat menjadi jahat kerana cendiakawannya jahat.
6. Ahli-ahli ilmu tidak pun menjadikan ilmu obor dalam kehidupan manusia. Sebab itulah masyarakat manusia cepat menjadi jahat.

KAYA DENGAN ANAK-ANAK

Islam menggalakkan penganut-penganutnya berkahwin, bahkan lelaki dibolehkan berkahwin sehingga empat isteri agar mendapat zuriat yang banyak. Rasulullah SAW berbangga dengan umatnya yang ramai. Kaya dengan anak ini dengan tujuan seperti berikut:

1. Untuk menghibur Rasulullah SAW, kerana Rasulullah SAW berbangga dengan umat atau pengikut yang ramai.
2. Agar zuriat yang ramai itu dapat dididik secara Islam, dengan itu wujudlah suatu masyarakat Islam yang kecil yang akan menjadi tapak kepada masyarakat Islam yang lebih besar.
3. Anak-anak yang ramai yang terdidik dengan Islam adalah menjadi aset dan tenaga pelapis menyambung perjuangan ibu dan bapa untuk mengembangkan ajaran Islam.
4. Agar dengan ramainya anak-anak, terdidik pula dengan ajaran Islam, akan memberi pahala yang banyak kepada dua ibu bapanya, bahkan berkekalan selepas wafat ibu bapanya.
5. Agar kita bersyukur kepada Allah Taala kerana anak-anak itu adalah cahaya mata yang merupakan nikmat daripada Allah Taala, dengan itu kita dapat pahala syukur.
6. Agar dengan anak-anak yang banyak terasa kebesaran dan kekuasaan Allah Taala, ia merupakan ayatullah.

Biasanya apa yang terjadi pada orang banyak anak:

1. Secara umum umat Islam sudah tidak mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam. Oleh itu lahirlah anggota masyarakat yang menyusahkan ibu bapa dan menjadi perosak kepada agama, bangsa dan negara.
2. Ibu bapa menjadikan anak-anak aset untuk mendapatkan kekayaan dunia semata-mata.
3. Berbangga dan sombong dengan anak-anak yang banyak dan berjaya mendapat pangkat dan kekayaan dunia.
4. Tidak ada pun menjadi cita-cita ibu bapanya bahawa anak-anak yang ramai hendak dijadikan tenaga penyambung memperjuangkan Islam.
5. Tidak ada cita-cita hendak menjadikan anak-anak atau keluarga sebagai tapak masyarakat Islam.

KAYA DENGAN PENGIKUT

Bagi umat Islam yang ada ilmu, ada karisma memimpin akan terjadi nanti ada pengikut-pengikut atau orang ramai cenderung kepadanya. Maka jadilah ia pemimpin secara fitrah semula jadi dengan tujuan:

1. Boleh mempersatukan umat Islam dengan daya dan karisma pemimpin itu.
2. Agar mereka dapat dididik secara Islam supaya kelak akan menjadi masyarakat contoh untuk memudahkan orang lain mengikut.
3. Supaya mereka dapat dijadikan tenaga untuk memperjuangkan syariat Islam agar Islam bertambah luas dan dapat menegakkan Islam secara global.
4. Agar dengan tenaga pengikut itu dapat diasuh supaya dapat bertolong bantu, dapat menegakkan amal makruf nahi mungkar.

Biasanya terjadi kepada pemimpin terhadap pengikutnya yang ramai:

1. Pemimpin biasanya berbangga-bangga dan sombong dengan banyaknya pengikut.
2. Pengikut tidak diasuh dan dididik secara Islam bahkan dididik secara dunia atau sekular semata-mata.
3. Para pemimpin menggunakan tenaga pengikut yang ramai untuk kepentingan diri.
4. Tidak diajak mereka berjuang untuk mengembangkan ajaran Islam serta menegakkan Islam secara syumul di dalam kehidupan.
5. Bahkan terdapat pemimpin menggunakan tenaga pengikut menentang para pejuang menegakkan Islam di dalam kehidupan.

 KAYA JIWA

Orang yang kaya jiwa ialah orang yang kuat imannya, kental keyakinannya. Akhirat menjadi matlamat bahkan memang sentiasa ditunggu-tunggu. Terhadap dunia - ada dengan tiada, sama sahaja. Ada pun tidak menggugat jiwanya, tiada pun tidak menggugat jiwanya. Berasa puas apa yang ada. Banyak atau sedikit serupa sahaja. Dia rasa kaya dengan Tuhan. Harta kalau tidak ada, tidak menyusahkan jiwanya. Kalau ada pula, terhibur dengan memberi. Tidak memberi lebih susah hatinya, apabila memberi lapang hatinya. Tenang hatinya dengan ujian dan kesusahan, kecuali sedikit mengikut fitrah semula jadi.

Orang yang kaya hati atau jiwa itu orang yang tidak dapat digugat oleh dunianya, sama ada kesusahan yang menimpa mahupun kesenangan yang mendatang, kecuali yang bersifat fitrah semula jadi yang tidak mencacatkan. Dunianya di tangan bukan di hati. Orang yang kaya jiwa ini, dunianya tidak dapat melalaikannya. Bahkan kalau dunia ada di tangan, terhibur hatinya jika memberi, susah hati jika tidak memberi.

Orang yang kaya jiwa ini Allah Taala berfirman:

Maksudnya: “Tidak merasa takut dan tidak berdukacita.” (Yunus: 62)

Maksudnya: “Orang-orang Tuhan, dengan sebab mereka itulah manusia diberi bantuan, diberi rezeki, dijauhi daripada bala bencana.”

Orang yang kaya jiwa tidak rasa inferiority complex dengan orang kaya, raja, cerdik pandai, orang yang berkuasa dan lain-lain lagi. Orang-orang Tuhan ini, awas, jangan susahkan dia, Allah Taala akan turunkan bala. Kalau tidak jangka pendek, akan berlaku jangka panjang. Kalau mereka disusahkan, ya, mereka hamba Allah, mungkin mereka susah, untuk meninggikan darjat mereka di Akhirat. Tapi Allah Taala akan susahkan manusia yang menyusahkannya di dunia lagi. Contohnya para nabi dan rasul, kalau mereka disusahkan, memang mereka pun mendapat kesusahan seperti dibunuh, dipenjara, disingkir daripada negaranya, difitnah, diberi malu. Tetapi apa yang Allah telah lakukan kepada manusia yang menyusahkannya? Tidak perlu saya sebutkan di sini, bacalah sejarah mereka.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Ulama itu racun, sesiapa yang memakannya, dia binasa.”

Orang yang kaya jiwa ini dengan dunia mudah sahaja. Kalau ada, mereka rasa tanggungjawab mereka kepada agama dan masyarakat amat berat kerana itulah mereka susah hati kalau mendapat kekayaan dunia. Ditakuti tidak boleh bertanggungjawab kepada masyarakat. Kalau dunia tiada di tangan, senang hati mereka kerana ringan tanggungjawab mereka di dunia ini. Orang yang kaya jiwa ini, kalau mereka kaya harta, ramai boleh menumpang sama kerana dia tidak terpengaruh dengan harta kekayaan yang dimilikinya. Fakir miskin terbela, orang susah dibantu, yang memerlukan diberi, yang meminta dikasihi, orang yang berhutang diselesaikan hutangnya.

Orang yang kaya jiwa kalau dia kaya, dia menjadi bank kepada masyarakatnya. Kalau ada orang lain yang mendapat kesenangan, dia dapat bersekutu bersama rasa senang itu. Kalau dia mendapat kesusahan, hatinya tidak pula susah kecuali sekadar fitrah semula jadi.

KAYA DENGAN BUDI BAHASA

Orang ini adalah kerana didorong oleh iman, maka akhlaknya mulia, lapang dada dengan kerenah manusia, mesra dengan orang, tetamu dimuliakan, kawan dijaga, pemurah dengan tenaga, harta, ilmu dan dengan senyuman, lemah lembut, pemaaf, mudah minta maaf, pemalu, bahasanya dijaga, sekali keluar bak mutiara penuh dengan ilmu dan penuh dengan hikmah. Dia senang dengan orang, orang senang dengan dia.

Jika ada orang yang hasad dengki atau menyusahkannya, dia mendoakannya dengan kebaikan. Dia tidak pernah gelisah dengan kejahatan orang. Orang yang menyusahkannya pula yang susah dan gelisah. Orang yang berbuat jahat dengannya pula yang tidak tenang. Orang yang menyusahkannya rasa gelisah di hadapannya, orang yang disusahkan tenang sahaja. Sebab itulah orang yang kaya dengan budi bahasa, ini kalau ada orang membuat salah kepadanya, orang itulah yang sangat terseksa kalau orang itu bertemu dengannya. Kalau boleh hendak dielak-elakkan daripada bertemu.

Orang yang kaya dengan budi bahasa itu tidak suka menyusahkan orang bahkan suka menghiburkan dengan bantuan dan pertolongan, suka menziarahi orang khususnya kawan-kawannya. Orang terhibur dengan keberadaannya walaupun orang malu dengannya. Suka memberi hadiah kepada orang terutama kawan-kawannya, sangat mengenang jasa orang, budi orang dibalas. Orang datang berziarah, dia senang menerimanya.

Orang yang kaya dengan budi bahasa ini senang berbincang dengannya, mudah berkira, boleh berlebih kurang, mudah berkawan, tidak pernah tidak menunaikan hajat orang. Kalau hajat orang tidak boleh ditunaikan, susah hatinya, mudah menolong orang, hutang orang kepadanya tidak pernah dimintanya.

KAYA DENGAN KAWAN DAN KENALAN

Biasanya orang ini suka bergaul dengan orang, jauh perjalanannya dan suka merantau. Maka terjadilah banyak kawan dan kenalan dan banyak juga pengalaman. Tujuan banyak kawan dan kenalan itu agar dapat belajar dengan pengalaman, yang baik diambil, yang buruk ditinggalkan. Yang baik dijadikan pengajaran, yang jahat dijadikan sempadan. Allah Taala ada berfirman:

Maksudnya: “Berjalanlah di atas muka bumi ini maka lihatlah bagaimana kesudahan orang yang berdusta.” (Ali Imran: 137)

Orang yang banyak kawan dan kenalan kenalah tunaikan hak-haknya. Apabila bertemu beri salam. Apabila diberi salam jawablah salamnya. Apabila dia susah, kenalah tolong. Apabila dijemput ke rumahnya kenalah pergi tunaikan jemputannya, kecuali kalau jemputan itu ada maksiat dan kemungkaran. Di waktu-waktu tertentu kenalah memberi hadiah. Di waktu kawan mendapat kesenangan, lahirkanlah sama rasa kegembiraan dan kesenangan itu.

Di waktu kawan mendapat kemalangan dan kesusahan, lahirkanlah rasa kesusahannya. Ertinya rasa kesusahan dan kesenangan bagi orang mukmin hendaklah dikongsi bersama. Berkirim-kirim salamlah dengan kawan-kawan. Di waktu agak sudah lama tidak bertemu, ziarahilah ke rumahnya dan bawalah buah tangan. Tujuannya ialah untuk mengekalkan kasih sayang. Di waktu kematiannya atau keluarganya, ziarahilah sebagai mengucapkan takziah.

Tapi apa yang biasanya berlaku, orang yang kaya kawan dan kenalan itu tidak mengikut syariat Islam. Dengan ramainya kawan dan kenalan, dia mengambil peluang meminta tolong selalu suka berhutang dengan kawan, ziarah kawan dengan tujuan menyusahkan kawan, tidak ada pun hendak bawa buah tangan, ziarah-menziarahi sudah tidak berlaku. Kebaikan kawan tidak ditiru dan kejahatannya dijaja merata-rata. Berkirim-kirim salam sudah tidak berlaku. Kesusahan kawan tidak pun ingin membantu.

Dia berfikiran biarlah kawan memikirkan kesusahannya. Bukannya dia hendak memikirkan kesusahan kawannya. Begitulah di akhir zaman ini berkawan tidak setia, berkenalan tidak jujur bahkan berkawan itu hanya sementara waktu, di waktu susah, di waktu berdagang, kerana berkawan di waktu itu amat perlukan bantuan. Selepas itu berkawan sudah tidak berlaku lagi.

Sebagai penutupnya, jarang umat Islam itu yang mendapat kekayaan di semua perkara, iaitu kaya harta, kaya ilmu, kaya anak, kaya pengikut, kaya jiwa, kaya budi bahasa, kaya kawan dan kenalan. Kalau ada orang yang mendapat semua kekayaan ini, dia adalah manusia luar biasa. Setengah orang itu kaya satu-satu perkara atau dua perkara atau tiga perkara, tidak lebih daripada itu. Kalau kita tidak boleh kaya di dalam semua perkara, carilah kekayaan ilmu dan pengalaman, kekayaan jiwa dan kekayaan budi bahasa. Ini sudah cukup untuk menjadi manusia yang berguna di dunia dan Akhirat.

MENCARI KEKAYAAN DUNIA BOLEH TIMBUL PERMUSUHAN

Perlu diingat bahawa mencari kekayaan harta dan wang ringgit selalunya terpaksa melalui pertarungan yang sengit. Selalu sahaja ada saingan, musuhnya banyak, selalu sahaja iri hati, hasad dengki, akhirnya membawa kepada permusuhan dan perkelahian. Bahkan bangsa-bangsa di dunia ingin menguasai politik dan ingin menguasai sesebuah negara dan sesuatu bangsa itu.

Dengan kata-kata yang lain, lahirnya penjajahan di antara satu bangsa ke atas bangsa yang lain atau penjajahan negara ke atas sesebuah negara yang lain, tujuannya tidak lain, melainkan kerana hendak merebut harta dan kekayaan atau menguasai ekonomi. Timbullah peperangan, penzaliman, diskriminasi, kelas-kelas masyarakat di kalangan manusia. Berlaku peperangan dunia yang pertama dan peperangan dunia kedua, hakikatnya kerana hendak berebut atau memonopoli kekayaan dunia.

Lalu lahirlah mala petaka besar kepada bangsa-bangsa di dunia, berlakulah kerosakan di atas muka bumi, terjadilah yang menjajah menjadi kaya, bangsa yang kena jajah, jatuh miskin. Kemudian akhirnya bangsa yang kena jajah bangun berjuang membebaskan tanahair masing-masing, pun secara umum ingin menguasai kekayaan negaranya supaya jangan selama-lamanya dikaut oleh penjajah.

Selama bangsa-bangsa di dunia berebut-rebut kekayaan harta dan wang ringgit menjadi matlamat, maka selama itulah dunia tidak akan aman. Bangsa-bangsa di dunia akan sentiasa bermusuhan di antara satu sama lain. Peperangan tidak akan habis-habis dan berkesudahan.

PERJUANGAN YANG PALING SELAMAT

Perjuangan yang paling selamat ialah memperjuangkan kekayaan ilmu, kekayaan budi bahasa dan kekayaan jiwa. Memperjuangkan kekayaan-kekayaan yang kita sebut itu membawa kepada keamanan, kasih sayang dan keharmonian. Memperjuangkan kekayaan ilmu, kekayaan budi bahasa dan kekayaan jiwa, semua manusia selamat. Berebutkan kekayaan ini tidak ada pertarungan, tidak ada jatuh-menjatuhkan, tidak ada peperangan. Ia berjalan dengan aman, kasih sayang, banyak kawan, bertolong bantu dan keharmonian.

Kalau bangsa-bangsa di dunia ini, kekayaan yang tiga itulah menjadi matlamat hidup dan lantas memperjuangkannya, alangkah indahnya dunia ini dan alangkah bahagianya manusia dan akan jadilah manusia laksana satu keluarga. Tidak ada agama di dunia ini dan juga tidak ada sebarang ideologi di dunia ini yang mengambil serta memperjuangkan kekayaan tiga perkara ini melainkan agama Islam sahaja. Tapi oleh kerana umat Islam jiwanya telah rosak, mereka mendapat didikan dari orang kafir khususnya bangsa-bangsa Barat, maka di waktu itu umat Islam tidak lagi menjadi matlamat memperjuangkan tiga kekayaan itu. Bahkan apa yang diperjuangkan oleh umat Islam hari ini ialah kekayaan harta dan wang ringgit. Maka sudah tidak ada lagi bezanya orang yang bukan Islam dengan orang Islam kecuali golongan yang sedikit.

Oleh itu tidak hairanlah masyarakat umat Islam tidak jauh beza dengan masyarakat orang bukan Islam. Apa sahaja gejala masyarakat atau penyakit masyarakat wujud di dalam masyarakat orang yang bukan Islam, itulah juga yang wujud di dalam masyarakat umat Islam. Kita hendak betulkan semula amat susah dan payah sekali kerana rintangan dan halangan itu datang daripada umat Islam sendiri. Wallahua'lam.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Bagaimana Manfaatkan Dunia?  


Hakikatnya dunia ini adalah kotor
Ia adalah ibarat najis dan bangkai
Najis dan bangkai benda yang busuk dan menjijikkan
Kalau orang fahamlah bahawa najis itu adalah najis
Bahawa bangkai itu adalah bangkai, siapa hendak?
Tapi Tuhan telah takdirkan manusia hidup di dunia
Hidup di dunia sementara waktu
Akhirnya ke Akhirat semuanya
Tuhan menyuruh hamba-hamba-Nya
Pandai-pandailah menggunakan najis dan bangkai
Bagaimana menggunakan najis dan bangkai itu?
Kita gunakan najis dan bangkai itu
untuk membaja pokok Akhirat
Ertinya kita jadikan dunia itu Akhirat
Maka dia telah bernilai Akhirat, bukan nilai dunia lagi
Kerana itu Rasulullah SAW bersabda:
“Dunia itu adalah tanam-tanaman ke Akhirat.”
Maksudnya dunia yang asalnya bangkai dan najis
Kita jadikan baja untuk tanaman Akhirat
Ertinya bangkai dan najis telah dimanfaatkan
Kalau ia tidak dijadikan baja untuk tanaman Akhirat
Ia tidak jadi Akhirat
Ia tetap jadi dunia semata-mata yang tidak ada harga
Alangkah jeliknya dunia yang tidak jadi Akhirat
Adalah najis dan bangkai
Manusia berebut-rebut hingga bergaduh
Merebut najis dan bangkai
Kerana itulah kitab ada menyatakan:
“Dunia yang tidak jadi Akhirat, ia adalah bangkai,
Yang menuntut bangkai itu adalah anjing.”
Ertinya, manusia yang memburu dunia
yang tidak jadi Akhirat
Seperti anjing memburu bangkai

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Jadikan Dunia Bernilai Akhirat  


Dunia yang nampaknya hebat
Cantik dan indah mempesona setiap manusia
Kita manusia sahaja yang merasa cantik dan indah
Pada Tuhan tidak ada nilainya
sekalipun senilai habuk
Atau senilai sebelah sayap nyamuk
Kalau dunia ini ada nilai pada Tuhan
walaupun seberat habuk
Nescaya Tuhan tidak akan memberinya
kepada orang kafir
Begitu juga kalau orang Islam
Di waktu taat Tuhan beri,
di waktu derhaka Tuhan tarik
Adakalanya Tuhan beri,
adakalanya Tuhan tahan
Nescaya parahlah manusia ini
Tapi pada Tuhan, dunia sedikit pun
tidak ada nilai di sisi-Nya
Orang kafir pun Allah Taala beri makan
dan berbagai-bagai nikmat lagi
Bahkan adakalanya orang kafir
lebih banyak diberi daripada orang beriman
Begitulah nilai Tuhan terhadap dunia
Oleh kerana dunia ini tidak ada nilainya
di sisi Allah
Tuhan menyuruh kita berilah dunia ini
nilai Akhirat
Jadikan dunia ini jambatan ke Akhirat
Jual dunia ini untuk beli Syurga
Kalau tidak begitu, dunia ini tidak ada harga
Dunia ini kalau tidak dijadikan Akhirat
Kita hidup sia-sia, dunia akan binasa
Kalau kita gunakan dunia untuk Akhirat
Dunia sudah ada nilai Akhirat,
ia kekal abadi di sana

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


BAGAIMANA MENGIMBANGI ANTARA DUNIA DENGAN AKHIRAT  


Assalam wrt. Dalam kitab ada menyebut bahawa Hadis Rasulullah SAW ada memberitahu:

Maksudnya: “Bukanlah kebaikan itu orang yang meninggalkan dunianya kerana Akhiratnya dan tidak juga orang yang meninggalkan Akhiratnya kerana dunianya sehinggalah memperoleh kedua-duanya sekali.” (Riwayat Ibnu Asakir)

Oleh kerana ada Hadis menyebut seperti di atas, maka lumrahlah orang bercakap termasuk orang yang cinta dunia dan bergelumang dengan dunia. Bahkan semua golongan bercakap tentang ini. Maklumlah dunia itu mudah manusia cenderung kepadanya apatah lagi apabila ada hujah dan dalilnya pula, lagilah ada alasan mereka memburunya tanpa memikirkan panduan dan guidelinenya. Mereka buru dunia semahu-mahunya, tidak kira cara mana dan bagaimana.

Di antara cakap-cakap yang selalu kita dengar dan baca sama ada di pentas-pentas dakwah, di majlis-majlis ceramah, di pentas-pentas politik, di dalam majlis-majlis pengajian, di dalam bualan harian, melalui TV, surat khabar, majalah dan lain-lain lagi seperti berikut:

“Dunia pun kita hendak, Akhirat pun kita hendak.”

“Janganlah tinggalkan dunia kerana Akhirat. Begitulah juga jangan tinggalkan Akhirat kerana dunia. Tuhan suruh kita mengambil kedua-duanya sekali iaitu dunia dan Akhirat.”

“Akhirat memanglah kita tidak boleh nafikan tapi kita kan tinggal di dunia sekarang, hendak fikir juga tentang dunia.”


“Akhirat, Akhirat juga. Dunia, dunia juga. Jangan lupa kedua-duanya.”

“Kalau kita tidak ada harta dunia, Akhirat kita pun tidak sempurna. Habis bagaimana hendak berzakat, kalau kita tidak ada harta?”

“Kalau kita tidak ada harta, bagaimana hendak naik haji.”

“Bagaimana hendak membuat kebaikan kalau tidak ada duit.”

“Ambillah dunia, tapi jangan sampai lupa Akhirat.”

“Dia itu asyik ibadah sahaja, apa anak isteri hendak makan?”

“Ibadah, ibadahlah. Bekerja kena juga untuk mencari rezeki.”

“Siapa hendak memberi makan anak isteri?”

“Dia itu sama naik. Dunia pun dia buru, Akhirat juga dia buru.”

Ada yang bercakap lebih hebat lagi dan memeranjatkan kita, “Dia itu walaupun penari atau pelacur tapi dia sembahyang.”

Inilah di antara kata-kata yang kita dengar daripada yang diucapkan oleh orang kampung hinggalah orang bandar, pendakwah, tok-tok guru, alim ulama, penceramah, ahli-ahli politik, ahli-ahli ekonomi, pembesar-pembesar dan lain-lain lagi. Apabila kita mengambil kedua-duanya sekali barulah seimbang kata mereka. Bagi orang yang gila dunia, cakap-cakap macam tadi sudah cukup memberangsangkan dan sudah memadailah untuk dijadikan hujah dan dalil untuk memburu dunia tanpa lagi memikirkan bagaimana caranya, bagaimana syarat-syaratnya, cara mengambil kedua-duanya sekali itu bagaimana. Pada mereka cakap-cakap itu sudah memuaskan hati. Tidak ada yang mengelirukan lagi. Maka mereka burulah dunia dengan tidak fikir halal dan haram. Tidak memikirkan cara mana dan bagaimana yang dibenarkan. Yang penting buatlah apa cara asalkan mendapat keuntungan.

“Tuhan kan menyuruh kita mencari kekayaan? Asalkan jangan tinggalkan sembahyang! Bulan puasa, kita puasalah. Sampai masa nanti kita naik haji sudahlah.”

Bagi orang yang hendak mencari kebenaran yang mahukan kedua-duanya, juga masih terkeliru. Ucapan-ucapan itu masih bersifat umum. Mereka masih bingung kerana huraiannya tidak ada. Takkan begitu sahaja. Mesti ada cara-caranya. Mesti ada syarat-syaratnya. Mesti ada panduannya. Akhirat itu Akhirat yang macam mana? Dunia pun dunia yang macam mana.

Itulah pendirian orang yang ikhlas dan ingin cari kebenaran. Mereka tidak menolak pandangan yang berpendapat bahawa dunia Akhirat itu kenalah diambil kedua-dua sekali. Tapi cakap macam itu pada mereka masih belum boleh lagi untuk dijadikan tindakan. Takut nanti terjatuh ke dalam kesalahan. Mereka mahu penjelasan. Mereka mahukan panduan. Mereka memerlukan huraian. Mengambil keduanya secara melulu, itu bukan ajaran Islam.

Islam mesti ada peraturan mengenai kedua-duanya. Islam adalah ajaran yang indah, selamat menyelamatkan. Mengambil kedua-duanya mesti ada caranya. Bila melaksanakannya, menyenangkan. Tidak ada was-was lagi. Kalau kita ingin menganalisa dan membaca kehendak-kehendak mereka yang tersirat daripada cakap-cakap mereka, seolah-olah pada mereka mengambil dunia atau Akhirat itu, iaitu mengambil kedua-duanya sekali ialah:

“Kita carilah dunia sebanyak mana pun, tak usah fikir halal dan haram. Tak usah fikir bagaimana caranya. Buatlah apa sahaja dan buatlah cara mana pun asalkan mendapat keuntungan. Tapi jangan tinggal sembahyang, puasa, zakat, naik haji bila mampu. Itulah yang dimaksudkan dengan kehendak Hadis itu. Iaitu dunia kena buat, Akhirat pun kena buat. Kita carilah dunia tapi agama jangan ditinggalkan. Carilah kekayaan, buatlah kemajuan. Buatlah pembangunan tapi jangan tinggal sembahyang dan lain-lain seperti yang telah disebutkan tadi.”

Kalau kita terima begitu saja pandangan mereka itu, ia adalah amat merbahaya. Ia keliru dan mengelirukan. Kita akan terjatuh nanti ke lembah kesesatan. Kita memang disuruh mengimbangkan di antara dunia dan Akhirat. Bahkan kita wajib menerima bahawa dunia dan Akhirat itu mesti seimbang. Kalau tidak seimbang di antara dunia dan Akhirat atau agama dan dunia, kita akan terjebak kepada kesalahan dan kesilapan yang besar. Di waktu itu agama akan rosak, dunia juga akan rosak. Oleh itu keseimbangan di antara kedua-duanya amat perlu sekali.

Badan manusia contohnya, kalau makan minum tidak seimbang, iaitu jenis-jenis apa yang dimakan untuk keperluan dan kesihatan tubuh, nescaya badan tidak akan sihat. Ia akan menimbulkan masalah kepada badan. Badan akan berpenyakit. Mungkin macam-macam penyakit yang akan menyerangnya. Begitulah juga mesti ada keseimbangan di antara dunia dengan Akhirat atau di antara agama dengan dunia. Kalau tidak, pasti akan berlaku kerosakan.

Oleh itu keseimbangan di antara dunia dan Akhirat perlu diperjuangkan agar dunia selamat, Akhirat pun selamat. Memang agama Islam itu kalau dapat difaham dan mampu mengamalkannya, ia akan membawa keselamatan dunia dan Akhirat. Di sinilah keistimewaan ajaran Islam yang tiada pada agama lain.

Apabila kita telah boleh menerima bahawa dunia Akhirat mesti seimbang atau agama dan dunia itu mesti seimbang, bagaimana hendak mengimbangkannya? Apa maksud seimbang di antara dunia dan Akhirat? Apakah maksud seimbang di sini?

Kalau menurut ukuran benda, kalau satu sama-sama satu. Kalau dua, sama-sama dua. Atau kalau ia jenis yang hendak diukur untuk dibagi seimbang, kalau satu kaki hendaklah kita bahagi sama-sama enam inci. Atau kalau dua orang yang berkongsi berniaga mengeluarkan modal yang sama banyaknya, kemudian apabila mendapat untung dua ratus ringgit maka kenalah setiap orang mendapat seratus ringgit. Atau kalau barang yang hendak ditimbang yang berat satu kati maka batu mengimbangnya mesti satu kati juga beratnya. Barulah ia seimbang.

Ya! Kalau berlaku kepada alam benda sama alam benda, yang sama jenis seperti yang disebutkan di atas maka kita boleh terima dan mesti terima. Ukuran panjang kalau hendak dibahagi, mestilah sama-sama panjang. Jangan ada yang lebih, ada yang kurang. Ia jadi tidak seimbang. Kalau jenis timbang mestilah sama beratnya, begitulah seterusnya.

Tapi, apakah seimbang di antara dunia dengan Akhirat itu sama seperti ukuran benda-benda tadi? Kalau kita kata ‘ya’, tanggapan itu adalah salah kerana dua perkara yang hendak diseimbangkan ini tidak sama sifatnya. Dunia adalah alam syahadah atau alam benda atau alam fizik. Sedangkan Akhirat pula adalah alam ghaib yang masanya tidak berkesudahan atau tidak terbatas.

Alam syahadah iaitu dunia ini masanya terhad atau terbatas atau ada kesudahan. Agama bersifat maknawiah dan rohaniah sedangkan dunia bersifat maddiah iaitu fizikal dan material. Maknawiah dan rohaniah dapat ditangkap dan dirasa oleh akal dan jiwa atau roh, sedangkan dunia yang bersifat maddiah itu dirasa oleh mata dan sentuhan lahir. Ia bersifat hissiah.

Kalau begitu kedudukannya, kedua-duanya tidak sama. Dua perkara yang tidak sama ini hendak diseimbangkan, mana boleh diukur mengikut hukum logik atau mengikut teori ilmu akal atau ilmu mantik. Kalau kita lakukan juga, ia adalah sangat tidak tepat. Ia satu kesalahan besar. Satu kesilapan yang akan membawa kerosakan yang besar sekali. Ia akan merosakkan peranan agama itu sendiri.

Oleh itu hendak mengimbangkan di antara dunia dengan Akhirat atau di antara agama dengan dunia, kenalah berhati-hati. Dunia ada campur tangan manusia, tapi agama, manusia tidak boleh campur tangan langsung. Ia adalah hak mutlak Allah Taala. Oleh itu sekali lagi saya katakan berhati-hatilah.

Jadi, apa maksud seimbang di sini? Dan bagaimana hendak mengimbangkan di antara dua perkara yang berlainan sifatnya itu? Adakah ia terasing di antara satu sama lain? Atau satu sama lain itu terserap? Kalau kedua-duanya bersifat material atau fizikal tentu boleh nampak. Tapi satu bersifat material, nampak dan boleh dirasa dan satu lagi bersifat maknawiah dan rohaniah, tidak nampak oleh mata dan tidak dapat dirasa oleh sentuhan kerana ia bukan bersifat hissiah. Kalau nampak atau dapat dilihat adalah mudah dan senang untuk menyukat setakat mana yang dikatakan seimbang itu.

Pada pandangan dan pendapat guru saya, erti seimbang di antara dunia dan Akhirat atau di antara agama dengan dunia itu ialah:

Setiap usaha atau perjuangan yang hendak dibangunkan yang bersifat material atau fizikal seperti aspek pembangunan, ekonomi, kebudayaan, ketenteraan, pertanian, perhubungan dan lain-lain lagi, hendaklah Islam sebagai pendisiplinnya atau ia tidak boleh lari daripada diikat dengan tauhid dan syariat Islam atau Islam menjadi penyelarasnya.

Sebagai contoh, kita membangunkan projek mestilah mengikut syarat-syarat di bawah iaitu:

1. Niat membangunkannya atau tujuan projek itu dibuat hendaklah kerana Allah Taala, yang mana Allah Taala menyuruh membuat untuk kepentingan manusia.

2. Perkara yang hendak dibuat itu memang dibenarkan atau diharuskan oleh Islam seperti membuat jalan raya atau bangunan pejabat. Bukan membuat bangunan tempat judi atau tempat arak atau untuk tari-menari di antara lelaki dan perempuan.

3. Perlaksanaannya mesti betul. Contohnya, duit untuk membangunkan projek daripada hasil yang halal, jangan berlaku rasuah di situ atau bahan-bahannya mesti halal.

4. Membangunkan projek itu jangan sampai tertinggal ibadah yang asas iaitu jangan sampai tertinggal atau terabai Rukun Islam yang lima, terutamanya sembahyang lima waktu. Ertinya jangan pula kerana pembangunan, tertinggal sembahyang.

5. Digunakan secara betul seperti kegunaan untuk pejabat, tempat sembahyang, tempat pendidikan, tempat mesyuarat, benteng pertahanan, untuk tetamu, tempat perniagaan dan lain-lain lagi yang jelas tidak bercanggah dengan Islam.

Lima syarat tadi itulah agamanya atau Islamnya atau Akhiratnya. Ia telah menjadi pendisiplin di dalam membangunkan dunia tadi, iaitu projek tersebut. Jadi pada dunia tadi ada Akhiratnya, yakni lima syarat itu. Dunia tadi telah ‘beragama’ atau  dengan kata-kata lain projek-projek dunia tadi telah jadi Islam atau telah diislamkan kerana projek yang bersifat dunia itu telah menerima syarat-syarat yang Islam kehendaki.

Kalau begitulah kedudukannya, projek-projek tadi telah menjadi dunia dan Akhirat. Itulah juga agama, dan itu juga dunia. Maka orang yang berusaha membangunkan projek itu dapat dua keuntungan, iaitu keuntungan dunia dan keuntungan Akhirat. Dunia maju kerana projek tadi dapat dimanfaatkan di dunia lagi. Manakala di Akhirat diberi pahala dengan Syurga kerana mengikut lima syarat itu. Ini lebih-lebih lagi untung iaitu keuntungan yang maha besar lagi kekal abadi.

Jadi kalaulah kita faham ajaran Islam, tidak prejudis dengannya, mahu bersungguh-sungguh mengamalkannya dan kita jadikan Islam sebagai pengawal, maka apalah yang hendak ditakutkan dengan Islam. “Nanti kalau ikut Islam, mundur. Kita akan ketinggalan, kita tidak maju.” Fikiran begitu sepatutnya tidak timbul kerana mengikut ajaran Islam, dunia yang kita bangunkan itu, benda yang satu juga. Itulah juga yang hendak jadi dunia sahajakah, atau itu jugalah yang hendak jadi kedua-duanya sekali iaitu dunia dan Akhirat.

Apabila lima syarat tadi jadi pendisiplin, jadilah usaha kita itu tidak kira di aspek mana, ia menjadi dunia Akhirat. Bukan terpisah. Bukan terasing seperti yang difahami oleh ramai umat Islam. Maka seimbanglah sudah di antara dunia dan Akhirat atau agama dengan dunia. Jika sekiranya lima syarat tadi tidak diambil kira, usaha kita itu jadi dunialah semata-mata. Kalaupun tidak ada unsur-unsur yang membawa dosa tapi sayanglah dan rugilah usaha kita itu kerana tidak mendapat pahala apa-apa. Hanya mendapat untung di dunia sahaja. Tidak sampai mendapat keuntungan di Akhirat. Maka tidak seimbanglah usaha kita itu. Hanya jadi dunia semata, tidak jadi Akhirat sama. Oleh yang demikian maka timbul, ambil dunia tinggal Akhirat, ambil Akhirat tinggal dunia. Sedangkan perkaranya satu, kecuali ibadah asas. Apa yang saya perkatakan itu cukuplah saya datangkan satu contoh. Kalau kita faham, kiaskanlah sahaja usaha-usaha dan perjuangan kita itu di aspek-aspek yang lain. Wallahua'lam.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Related Posts with Thumbnails

Bumi Tuhan... Bersaksilah

 

Design by Amanda @ Blogger Buster