Hati Mukmin  



Mengalirlah air mata mukmin
atau mengalirlah air mata hatinya
bila mengingat Tuhannya
Malunya hati mukmin bila mengenang
Rahim dan Rahman Tuhan,
anugerah dan pemberian-Nya
Remuk-redamlah hatinya bila teringat
Qahhar dan Jabbar-Nya
Kecut perutnya bila teringat hukuman dan azab-Nya
Resah gelisah jiwanya bila melakukan dosa
Sedih hatinya bila lalai dengan Tuhannya,
kemudian sedar semula
Tidak tentu arah rasa hatinya
bila terbuat kesalahan dan kesilapan
Hati mukmin tidak pernah tenang dengan Tuhannya,
tapi tenang dengan dunianya
Jiwanya sentiasa sahaja bergelombang
terhadap Tuhannya
Jiwanya bagaikan air lautan tidak pernah tenang
Kalaulah bukan kerana ada kewajipan masyarakat
yang patut dipertanggungjawabkan
Sudah tentu mereka suka bersendirian
Atau membawa diri berkelana bersama Tuhannya
Atau menyisihkan dirinya dari masyarakatnya
Kerana terlalu memikirkan diri terhadap Tuhannya
Begitulah hati seorang mukmin
Sentiasa gundah-gulana
Oleh itu mereka tidak sempat memikirkan hal orang lain
Kerana terlalu memikirkan nasib dirinya

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Sikap Orang Berhati Bersih  



Sikap seorang yang bersih hatinya
Senang sahaja dengan manusia di dalam pergaulannya
Hatinya dengan Tuhan, jasadnya dengan manusia
Boleh bergaul di dalam apa sahaja keadaan,
hatinya terpelihara
Dia tidak dapat dicorak oleh masyarakatnya
Sentiasa berlapang dada,
sering bertolak ansur sesama manusia
Dengan kerenah manusia
dia berlapang dada menerimanya
Kesalahan dan kesilapan manusia
dia mudah memaafkannya
Kalau dia bersalah, mudah pula
meminta maaf kepada mereka
Bertimbang rasa, rasa bersama bekerjasama
sesama manusia selagi tidak ada pantang larang agama
Sanggup bersusah payah kerana orang yang memerlukan
tenaga dan bantuannya
Boleh menanggung penderitaan,
tidak menyusahkan orang


Hatinya susah kerana kesusahan orang
Rasa senang kerana kesenangan orang
Kelebihan orang dia tidak hasad dengki
Kemiskinan orang atau kelemahannya
tidak pula menghinanya
Suka menolong orang,
mudah menerima keuzuran manusia
Suka menunaikan hajat orang,
selagi mampu mengusahakannya
Susah hatinya kalau hajat orang
tidak dapat ditunaikannya
Dia gelisah dengan dunia, berdisiplin orangnya
Hatinya tenang dengan dunia,
rasa bimbang dengan Akhiratnya
Baik sangka dengan orang atau manusia
Kalau dia nampak orang ada cacat celanya,
dia takwil untuk membaiki hatinya
Hatinya berkata, ‘Dia bersalah di dalam kejahilan,
aku bersalah di dalam berpengetahuan’
Mungkin dia tidak sengaja atau dia terlupa
Setiap takdir Tuhan dia redha
Ujian, sabar menerimanya
Mendapat rahmat dan nikmat
dia malu dengan Tuhannya
Syukurnya sangat ketara kerana rahmat
dan nikmat Tuhannya
Tawadhuknya jadi budaya hidupnya,
sangat ketara di dalam pergaulannya

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


JIKA SESEORANG MEMILIKI SIFAT-SIFAT TERPUJI DAN KESANNYA PADA PERIBADI SESEORANG  


Jika seseorang itu dapat menajamkan rasa kehambaan dan rasa bertuhan di dalam hatinya maka kesannya adalah seperti berikut:

Pertama: Jika sifat dan rasa kehambaan itu amat kuat berlaku pada seseorang muslim itu, ia akan menghilangkan atau memusnahkan sifat-sifat mazmumah seperti hilang rasa riyak, ujub, sum’ah, sombong, pemarah, hasad, dendam dan lain-lain lagi.

Sebaliknya apabila rasa kehambaan itu tidak wujud, maka akan lahirlah rasa ketuanan. Rasa ketuanan itulah yang melahirkan rasa sombong, riyak, sum’ah, pemarah, hasad, minta dipuji, meninggi diri, dendam, tamak dan lain-lain lagi. Kemudian jika sifat ketuanan itu dibiarkan subur dan dibaja, maka akan lahirlah pada seseorang itu rasa atau sifat ketuhanan yang mana ia adalah milik Allah SWT. Maka jatuhlah dia kepada syirik. Wal’iya–zubillah. Dan kalau dia orang yang berkuasa, maka dia akan menjadi orang yang sangat zalim dan kejam.


Oleh itu kita sebagai hamba, kenalah mempertajam dan menyuburkan rasa kehambaan itu agar segala sifat-sifat mazmumah hilang. Begitulah yang dituntut oleh Allah Taala kepada hamba-hamba-Nya. Apabila rasa kehambaan itu menghilangkan sifat-sifat mazmumah seperti yang telah disebut tadi maka secara automatiklahirlah pada diri seseorang itu sifat-sifat mahmudah seperti merendah diri, malu, bertolak ansur, berkasih sayang, bertimbang rasa, mengutamakan orang lain, bertawakal, sabar, rasa berdosa, rasa kurang, rasa lemah, rasa mengharap, memberi maaf, meminta maaf, merasa diri bersalah, rasa berdosa dan lain-lain lagi.

Kedua: Apabila rasa bertuhan benar-benar dihayati dan benar-benar mencengkam hati seseorang muslim serta dibawa ke mana-mana, maka apa yang akan berlaku pada seseorang itu ialah dia rasa diawasi dan diperhati oleh Allah Taala. Rasa malu sentiasa wujud. Rasa takut tidak akan lekang lagi dari seseorang itu. Dia akan benar-benar merasa dirinya di dalam kekuasaan Allah. Nasibnya benar-benar ditentukan oleh Allah Taala.

Maka apa yang akan berlaku pada seseorang itu ialah dia takut membuat dosa. Malu dengan Tuhan. Dia akan menjadi orang yang jujur dan ikhlas. Suka membuat baik. Dia akan menjadi orang yang beradab dan bersopan, berdisiplin, menunai janji. Apabila membuat dosa terseksa jiwanya. Sentiasa muraqabah, jiwanya sentiasa hidup dan berhubung dengan Allah Taala.

Maka mereka itu di dalam keadaan macam mana pun, mereka tetap tidak lalai. Apatah lagi mereka tidak akan hanyut di dalam arus kemaksiatan dan kemungkaran masyarakat. Mereka tetap dapat mengawal dan menjaga diri. Dengan kata yang lain, rasa bertuhan itulah menjadi benteng pada seseorang itu daripada melakukan dosa dan derhaka. Sekaligus ia merupakan anak kunci segala kebaikan. Oleh itu hendaklah kita sentiasa tajamkan atau hidupkan rasa bertuhan di dalam hati kerana rasa bertuhan itulah kita akan menjadi orang baik di dunia ini.

PERINGATAN:

Sebagai peringatan, bahawa sembahyang dan ibadah yang banyak dilakukan oleh seseorang itu kalau tidak dapat dihayati maka rasa kehambaan pada seseorang itu tidak akan lahir. Rasa bertuhan tidak akan timbul. Maka ibadah yang semacam ini bukan sahaja tidak dapat melahirkan orang yang merendah diri dan berkasih sayang tetapi akan lahir daripada sembahyang dan ibadahnya yang banyak itu sifat-sifat sombong dan riyak, sum’ah dan ingin dipuji, rasa diri bersih dan tidak takut dengan Tuhan.

Oleh itu sembahyang dan ibadah yang sepatutnya menghubungkan diri seseorang hamba dengan Khaliqnya atau Tuhan, sebaliknya telah menjadi hijab seseorang hamba itu dengan Tuhannya. Dosa seperti inilah biasanya seseorang itu mati tidak berampun kerana dia tidak tahu atau tidak merasa membuat dosa. Akhirnya manusia itu mati di dalam suasana su’ul khatimah kerana dia rasa dia membuat baik bukan membuat dosa dan derhaka. Rupanya dia membuat dosa di atas saluran yang baik. Membuat dosa dan derhaka di dalam berbuat taat. Lahirnya nampak taat tapi batinnya derhaka. Mereka bersembahyang dan beribadah bukan untuk memusnahkan mazmumah tapi dengan ibadah itulah dia menyuburkan mazmumah.

Wahai Tuhan! Berilah kami pimpinan! Engkau perlihatkanlah diri kami lahir dan batin! Engkau perlihatkanlah perkara-perkara yang seni-seni di dalam kebaikan dan kejahatan agar kami selamat daripada dosa-dosa yang susah hendak difahami. Amin, ya Rabbal alamin.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Khutbah Wada  


Bertempat di Padang Arafah, pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir (Khutbah Wida’). Baginda bertolak ke Arafah dari Mina setelah naiknya matahari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda dan baginda masuk serta berada di dalamnya sehingga tergelincir matahari (waktu zohor).
Selepas itu, baginda pun mengarahkan disiapkan untanya al-Qaswah, lalu menaikinya sehingga baginda tiba di Wadi Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah ingin disampaikan baginda. Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat mengatakan jumlahnya mencecah 144,000 orang semuanya.
Baginda pun menyampaikan khutbahnya yang bersejarah:


“Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada siapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberikan hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu supaya mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku ini dengan mukaddimah yang baik.
Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.
1. Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini Makkah dan kawasan sekitarnya.
2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.
3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakimu (iaitu telah dihapuskan).
4. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
5. Riba adalah haram dan aku memulakannya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.
6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan pakai dengan baik.
7. Semua orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.
8. Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.
9. Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuhanmu (kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.
10. Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan taqwa.
11. Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.
12. Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab? Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu.” Baginda lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah.” Baginda Rasulullah mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SWT dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umaiyyah bin Khalaf ra.
Baginda berkhutbah di atas untanya al-Qaswah. Di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempunaan agama Islam.
“Pada hari ini telah disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu. (Al-Maidah ayat 3)
Selepas baginda membacakan wahyu ini, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun sayyidina Abu Bakar perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyaknya. Beliau pun ikut menangis.
Sayyidian Umar bertanya apakah sebabnya lalu sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira sempurnanya agama Islam, wahyu itu juga petanda khabar duka. Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul sudahpun selesai. Mendengar itu sayyidina Umar pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Manusia Kehilangan Kebahagiaan  



Di antara yang sudah hilang di sisi manusia
ialah kebahagiaan
Orang kaya sudah hilang kebahagiaan,
orang miskin pun sudah hilang kebahagiaan
Orang yang berilmu sudah tidak bahagia
orang jahil pun tidak bahagia
Yang ada nama dan glamour pun tidak ada bahagia
yang tidak ada pun tidak ada bahagia
Orang yang berpangkat pun
sudah kehilangan kebahagiaan
Yang tidak ada pangkat pun
sudah kehilangan kebahagiaan
Kerana kebahagiaan itu adalah makanan jiwa
Kalau tidak, ada manusia menderita

Setiap insan berusaha mencari
Orang bandar pergi ke kampung mencari bahagia
Orang kampung pergi ke bandar mencari bahagia
Yang tinggal di tepi laut
pergi ke darat mencari bahagia
Orang yang tinggal di darat
pergi ke tepi laut mencari bahagia
Bahkan berbagai cara manusia mencari bahagia
Ada yang pergi ke hutan
ada yang pergi melihat air terjun
Ada yang pergi ke padang pasir,
ada yang pergi ke tempat banyak bahaya
Bahkan ada orang yang mendaki gunung
menurun lurah hingga terjatuh
Namun kebahagiaan tidak juga diperolehi
Manusia lupa kebahagiaan itu bukan benda luaran
Kebahagiaan itu ada di dalam diri manusia itu sendiri
Hidupkan hati rasa bertuhan,
bangunkan jiwa rasa kehambaan
Cintakan Tuhan setiap ketika dan masa
Sembah, sanjung dan besarkan Dia setiap masa
Jadikan Tuhan kawan setia
Bawa dia ke mana-mana dan meminta
dan bermanja-manjalah dengan-Nya
Itulah dia rahsia kebahagiaan setiap insan.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Manusia Ditimpa Penyakit Jiwa  


Di akhir zaman banyak manusia ditimpa penyakit jiwa
Jiwa tidak tenang sekalipun sudah berkuasa dan kaya
Sudah ternama, sudah glamour, sudah dikenal
Di waktu itu segala yang dimiliki
tiada memberi faedah apa-apa
Duduk di rumah gelisah, duduk di pejabat resah
Salah sedikit orang lain, mudah marah-marah
Segala yang dilihat tiada yang indah
Fikiran berserabut, jiwa parah
Yang tiada beriman bunuh diri
Yang lemah iman terlibat dengan bermacam jenayah
Rasuah, arak, judi, zina, menzalim manusia
Di dalam rumah tiada ukhwah,
tiada harmoni, tiada sekata
Mereka ditimpa neraka dunia
Sebelum Neraka di Akhirat sana
Aduh kalau di dunia tiada bahagia
Apakah di Akhirat nanti dapat bahagia
Pada Tuhan ada kebahagiaan, pada Tuhan ada ketenangan
Serahlah diri kepada-Nya, redhalah dengan ketentuan-Nya
Buanglah mazmumah, hiasilah diri dengan mahmudah
Di sinilah rahsia kebahagiaan,
di sinilah rahsia keindahan.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


JADIKAN JIWA SEBAGAI KHAZANAH SIMPANAN BARANG YANG BERHARGA UNTUK KEHIDUPAN  


Assalam... Jiwa atau hati adalah merupakan wadah atau tempat simpanan, sama ada tempat simpanan intan berlian maknawi dan rohani mahmudah yang amat berharga, atau tempat simpanan najis-najis maknawi dan rohani mazmumah yang jijik lagi kotor. Ia terpulang kepada kita mengisinya. Kita boleh buat pilihan sama ada hendak mengisinya dengan intan berlian mahmudah atau hendak mengisi dengan najis-najis mazmumah yang kotor.

Dari situlah ia akan dikeluarkan atau dialirkan kembali ke dalam kehidupan bermasyarakat melalui saluran tangan, kaki, mata, telinga, mulut dan perilaku kita dengan dibantu oleh kepandaian akal. 

Apa yang disimpan di dalam khazanah hati atau jiwa itu, ia akan keluar setiap waktu sama ada kita sedari atau tidak. Sasarannya adalah di tengah kehidupan bermasyarakat. Ertinya masyarakatlah yang akan menerimanya, berkongsi sama dengan yang empunyanya. Kalau apa yang dikeluarkan dari khazanah hati atau jiwa itu sesuatu yang berharga seperti yang keluar itu ialah intan berlian maknawi dan rohani iaitu sifat-sifat mahmudah yang sangat memberi manfaat kepada empunyanya dan seluruh manusia seperti sifat-sifat ikhlas, pemurah, kasih sayang, lemah lembut, tawadhuk, bertolak ansur, simpati, sabar, redha, bekerjasama, tawakal dan lain-lain lagi sifat mahmudah yang berharga maka alangkah indahnya kehidupan bermasyarakat. Masyarakat mendapat keuntungan yang besar iaitu antaranya:



1. Yang miskin terbela.
2. Yang mendapat bala ditolong.
3. Yang kaya tidak didengki.
4. Orang tua, ibu bapa, guru, pemimpin dihormati.
5. Pemimpin adil.
6. Orang bawahan, kanak-kanak, orang yang lemah disayangi.

Aman, damai, bahagia dan harmoni. Inilah dia faedah yang didapati oleh manusia di dalam kehidupan dari intan berlian maknawi dan rohani iaitu sifat-sifat mahmudah yang mengalir dari simpanan khazanah hati atau jiwa yang murni. Tapi alangkah malangnya kalau yang keluar daripada khazanah simpanan hati atau jiwa itu najis mazmumah yang busuk, yang jijik, yang menjadi racun di dalam kehidupan bermasyarakat.

Sudah tentu punah dan rosak masyarakat. Binasalah masyarakat bilamana yang mengalir ke dalam masyarakat itu najis maknawi dan rohani seperti mengumpat, najis hasad dengki, najis pemarah, najis tamak, najis sombong, najis ego, najis mementingkan diri, najis adu domba, najis tidak bertimbang rasa, najis pembohong, najis memfitnah, najis khianat dan lain-lain lagi. Busuklah masyarakat. Cemarnya masyarakat. Kotorlah masyarakat. Ini adalah bala bencana yang dibuat oleh manusia sendiri. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allahneneruskan azab kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka (kembali ke jalan yang benar).” (Ar Rum: 41)

Dari racun najis mazmumah yang mengalir itu, porak-perandalah masyarakat. Bergaduhlah masyarakat. Bermusuhlah masyarakat. Berkrisislah masyarakat, pecah belahlah masyarakat, ketakutanlah masyarakat, huru-haralah masyarakat, berperanglah masyarakat. Berbagai-bagai gejala maksiat dan kemungkaran akan memenuhi masyarakat. Berbagai-bagai bentuk jenayah mengisi masyarakat.

Justeru itu hendaklah kita berusaha dan berjuang mengumpulkan sedaya upaya dengan bersungguh-sungguh intan berlian maknawi dan rohani di dalam simpanan khazanah hati dan jiwa kita agar ia akan jadi kekayaan dan aset agama kita, negara kita dan Akhirat kita yang sangat menguntungkan. Begitulah juga hendaklah kita bersungguh-sungguh menghalang, membendung, menyekat najis-najis mazmumah yang busuk dan jijik itu daripada masuk ke dalam khazanah hati atau jiwa kita sebagai barang simpanan yang mana ia akan menjadi racun perosak kepada agama kita, diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Orang Mukmin yang Baik itu Unik  



Orang mukmin yang baik itu hidupnya luar biasa
Unik dan berbeza sangat dengan manusia yang lain
Dia berhadapan dengan kehidupan penuh tenang
Kejahatan orang tidak dibalas dengan kejahatan
Bahkan didoakan orang yang membuat jahat dengannya
Berhadapan dengan ujian dia tenang
Berhadapan dengan nikmat dia bersyukur
Jadual waktunya dengan Tuhan tetap dan istiqamah
Walau di dalam keadaan susah dan senang
Bermesra dengan orang


Tetamu yang datang dihormati sesuai dengan kedudukannya
Tidak boleh mendengar orang mendapat kesusahan
Selagi tidak dapat ditolongnya, menderita jiwanya
Merendah diri adalah budaya hidupnya
Setiap orang yang meminta pertolongan
jarang tidak ditunaikannya
Pemurah sangat terserlah di dalam kehidupannya
Tidak pernah mengeluh berhadapan dengan penderitaan
Tapi dia mengeluh dengan dosa-dosanya
Atau mengeluh bila berhadapan dengan kelemahan dan kecuaian
Rasa kehambaan tampak kelihatan pada mukanya
Tuhan selalu sahaja disebut-sebut di dalam perbualannya
Nampak sangat bahawa Tuhan itu adalah sandaran hidupnya
Gembira tidaklah sampai ketawa berdekah-dekah
Kesusahannya tidaklah sampai muram di mukanya
Lebih-lebih lagi tidak rasa kecewa dan putus asa
berhadapan dengan kesusahannya
Tawakal, sabar dan redha
adalah menjadi budaya hidupnya

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Hamba yang Jiwanya Bersih  


Jika seorang hamba itu ilmunya cukup
Jiwanya bersih hingga hatinya terpimpin
Kelihatan orangnya tenang
Ibadahnya terutama sembahyang, sangat berdisiplin
Berhadapan dengan orang, penuh bijaksana
dan lemah lembut
Wibawanya tinggi, akhlaknya mulia
Hingga disenangi oleh orang
Kalau dia pemimpin,
sangat dikasihi dan disayangi
Kerja-kerja tersusun dan teratur
Tenang, tidak gopoh, berdisiplin
Pandai bergaul dengan manusia
Sangat beradab dengan Tuhannya
Redha dengan ketentuan Tuhan,
sabar dengan ujian
Mengutamakan orang lain dari dirinya
Bertimbang rasa dengan manusia
Sangat bersimpati dengan orang yang susah
dan mendapat kemalangan
Ingatannya dengan Tuhan sentiasa hidup
Jiwanya hidup, sangat peka,
suka khidmat dengan manusia

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


PEMBANGUNAN JIWA MEMBUAHKAN AKHLAK YANG MULIA  




Assalam...Membangunkan jiwa (roh) ertinya membersihkannya daripada sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat batin yang terkeji seperti bakhil, sombong, tamak, cinta dunia, hasad dengki, adu domba dan lain-lain), kemudian digantikan dengan sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat batin yang terpuji) seperti pemurah, pemalu, sabar, kasih sayang, cinta Akhirat dan lain-lain.

Siapa yang berjaya membersihkan hatinya (roh) itulah orang yang mendapat kemenangan yang akan memperolehi Syurga di Akhirat kelak. Ini jelas sekali Allah menyebutkan melalui Al Quran, di antara firman Allah itu ialah:

Maksudnya: “Sesungguhnya mendapat kemenanganlah sesiapa yang membersihkan  hati/roh/nafsu) dan kecewalah siapa yang mengotorinya.” (As Syams: 9-10)

Orang yang jiwanya bersih daripada sifat-sifat mazmumah, orang inilah yang akan dapat membangunkan dunia sama ada aspek ekonomi, politik, pembangunan, sains dan teknologi, pentadbiran atau lain-lain aspek dengan bersih daripada kemungkaran dan gejala masyarakat yang negatif serta dapat menggunakan dunia ini sebagai jambatan ke Akhirat sepertimana
Rasulullah SAW pernah bersabda:

Maksudnya: “Dunia itu adalah merupakan tanam-tanaman untuk Akhirat.”


Maksudnya segala usaha, pembangunan, kemajuan dan tamadun yang dibina di dunia ini seolah-olahnya ladang pertanian tetapi mengetamnya atau makan hasilnya di Akhirat. Di sanalah nanti akan dapat pahalanya iaitu Syurga.

Pembangunan dan kemajuan serta tamadun yang dibangunkan oleh orang yang jiwanya bersih ialah pembangunan yang selamat dan menyelamatkan. Ia tidak ada side effect seperti gejala-gejala masyarakat yang tidak sihat, tidak mudarat dan tidak pula memudaratkan.

Membangunkan jiwa manusia agar jiwa bersih daripada sifat-sifat mazmumah, maka daripada kebersihan jiwa itulah membuahkan akhlak yang mulia. Perlu diingat, membangunkan jiwa untuk membuahkan akhlak tidak semudah yang kita sangka. Manusia itu tidak cukup diberi ilmu atau pelajaran semata-mata, tapi keberkesanannya adalah melalui pendidikan dan asuhan. Ini supaya ilmu itu dapat dihayati serta dapat diterapkan di dalam akal, jiwa, sikap dan perbuatan hingga mendarah mendaging, menjadi tabiat, sikap dan watak, akhirnya jadi budaya di dalam  kehidupan.

Setakat mendapatkan ilmu adalah mudah. Kita boleh mendengar guru menyampaikan, kita boleh mendengar dari para mubaligh, kita boleh membaca sendiri, kita boleh mendengar dari radio dan tv, tapi untuk menghayati hingga jadi sikap diri kita seterusnya jadi budaya hidup, ia memerlukan pendidikan, asuhan, bimbingan yang berterusan. Sekadar ilmu sahaja tidak cukup jika tidak disertai didikan, asuhan dan pimpinan. Ia akan jadi ilmu semata-mata. Sekadar boleh diajar dan dikuliahkan, sebagai hobi dan aktiviti, sebagai untuk pemanis mulut, untuk penyedap tulisan, tapi untuk menjadi sikap dan budaya hidup tidak mungkin.

Kalau setakat ilmu, orang bukan Islam pun boleh mempelajari dan memiliki ilmu Islam yang banyak bahkan boleh menyampaikan. Di dunia hari ini di universiti-universiti terutama di Barat dan Amerika, ramai pensyarah ilmu Islam dari kalangan orang yang bukan Islam, bahkan orang Islam pun belajar dari mereka. Mereka memberi ilmu Islam tapi bukan pendidikan dan asuhan Islam.

Hari ini ilmu umat Islam tidak lemah. Masih banyak sekolah Islam di dunia ini hingga ke taraf universiti, bahkan setiap tahun sekolah-sekolah mengajar ilmu Islam bertambah. Apa yang lemah ialah pendidikan Islam bahkan di setengah-setengah sekolah yang mengajar mata pelajaran Islam pun, pendidikan Islam tidak berlaku di sekolah itu. Setakat mengadakan sembahyang berjemaah pun tidak berlaku, betapalah lebih dari itu.

Justeru itulah sekolah Islam dan ilmu Islam bertambah serta bercambah, tapi amalan Islam tidak bertambah. Ilmu Islam tersebar tapi akhlak Islam tidak terserlah. Dakwah dan kuliah-kuliah Islam gelanggangnya bertambah luas tapi amalan dan akhlak Islam bertambah sempit. Hari ini hampir semua golongan memperkatakan Islam terutama bila berlaku gejala masyarakat yang negatif, namun kemungkaran dan gejala masyarakat bukan sahaja tidak tumpas tapi bertambah meningkat setiap hari. Ini kerana kita bercakap di sudut ilmunya tapi pendidikan tidak berjalan. Kalau ada pun dinamakan program-program pendidikan, namun ia masih berbentuk fizikal tapi tidak bersifat kejiwaan. Ia tidak membangunkan rasa tauhid di dalam jiwa seperti rasa bertuhan, rasa takut, rasa cinta, rasa gerun dengan Neraka, rasa hebat terhadap Tuhan, rasa malu, rasa hina diri dengan Tuhan, rasa berdosa, rasa takzim kepada Tuhan.

Sedangkan dengan adanya rasa-rasa bertuhan itulah umat Islam boleh control diri daripada melakukan kemungkaran dan gejala masyarakat yang tidak sihat. Ia lebih berkesan dan menghalang, daripada undang-undang, peraturan dan akta-akta. Ini kerana peranan rasa hati tadi seperti rasa takut kepada Tuhan dan lain-lain lagi, ia merupakan benteng yang paling kebal daripada melakukan kejahatan, lebih-lebih lagi daripada takut polis atau akta-akta yang dibuat. Justeru itulah di dalam Islam ada dikatakan:

Maksudnya: “Hendaklah kamu takut (kepada Allah) di mana sahaja kamu berada dan hendaklah iringi kejahatan itu dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya (kejahatan) dan hendaklah berakhlak dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat Ahmad, Tarmizi dan Baihaqi)

Cuba lihat, setelah ada rasa takut dengan Tuhan baru boleh berakhlak baik. Itulah yang dikatakan akidah atau tauhid penghayatan, tauhid yang bertapak pada hati bukan di kepala, lebih-lebih lagi bukan sekadar bertapak di bibir mulut. Bila dikatakan takutkan Allah benteng yang paling kebal menghalang diri seseorang daripada melakukan kemungkaran dan maksiat lebih daripada undang-undang, peraturan dan akta, bukan pula undang-undang, peraturan dan akta tidak perlu. Ia perlu juga, tapi ia bukan perkara asas untuk menyekat kemungkaran dan gejala masyarakat yang tidak sihat. Ia setakat mengemaskan lagi perjalanan sebuah negara, kementerian, jabatan, institusi dan lain-lain lagi. Kalau ibarat di dalam peperangan, takutkan Allah adalah kubu pertahanan yang pertama yang paling kebal menjaga keselamatan daripada musuh-musuh. Kubu-kubu yang lain adalah pertahanan sementara waktu, untuk melarikan diri dan menyelamatkan diri, tapi untuk bertahan lama tidak mungkin.

Begitulah sifat taqwa benteng yang paling kebal atau kubu yang paling kebal mempertahankan diri daripada serangan hawa nafsu dan syaitan yang mengajak manusia melakukan kejahatan. Tapi kalau di zaman taqwa sudah tidak ada tempat, kerana orang sudah lalai, nafsu pun mengaruk, syaitan pun bermaharajalela mengheret manusia melakukan kejahatan lahir dan batin, maka untuk membendung daripada berlakunya kemungkaran dan gejala-gejala masyarakat yang buruk itu jangan sampai terdedah terus kepada jahanam, maka di waktu itu perlu kepada undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta kerana tidak ada jalan lain dan tidak ada pilihan.

Jadi kalau ada orang menganggap bahawa undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta yang dibuat itu lebih berkesan di dalam membendung kemungkaran dan gejala yang negatif, adalah satu kesilapan besar. Kalau setakat undang-undang, peraturan dan akta, orang tidak melakukan kejahatan bukan ertinya tidak mahu melakukan kesalahan, hatinya tetap mahu, cuma peluang belum ada.

Dia mungkin takut kena tangkap, takut masuk jel, takut dibuang kerja, takut nanti diisytiharkan di dalam media massa dapat malu pula. Namun kalau itu semua dapat dielakkan, lebih-lebih lagi di zaman manusia pintar, alat-alat pengetahuan canggih, alat-alat sains teknologi tinggi, orang boleh buat penipuan secara halus dan payah dikesan, maka di waktu itu dia akan melakukan apa sahaja.

Katakanlah seseorang itu tidak melakukan rasuah kerana terlalu takut kalau dapat dikesan, maka kerja-kerja masyarakat dan umat terselamat daripada dikhianati dan ditipu. Tapi mengikut ajaran Islam, orang itu masih tertipu kerana sikapnya itu tidak jadi ibadah. Dia tidak dapat pahala apa-apa kerana dia meninggalkan kejahatan itu bukan takut kerana Allah, tapi kerana takut dengan manusia. Nampaknya lahirnya baik, tapi sebenarnya dia belum baik bahkan berdosa pula kerana dia telah melakukan syirik. Peluang dia hendak membuat jahat tidak ada kerana tersekat oleh undang-undang, peraturan-peraturan dan akta-akta tadi serta takut dapat dikesan. Namun kerana hatinya tetap tidak takut dengan Allah dan pembalasan di hari Akhirat, kalau ada peluang dapat menyembunyikan kejahatan itu daripada manusia dia akan lakukan juga.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Related Posts with Thumbnails

Bumi Tuhan... Bersaksilah

 

Design by Amanda @ Blogger Buster