Aduh, Susahnya!!!  



Sungguh susah menjaga perjalanan hati atau roh
Susah dikesan, apatah lagi amat susah dikontrol
atau dikendalikan
Kecuali ashabul qulub atau ulil albab
Adakalanya di waktu dia menceritakan
penyakit hati kepada pendengar
di waktu itulah suburnya penyakit itu
Sebagai contoh,
di ketika dia menceritakan tentang ikhlas
di waktu itulah dia tidak ikhlas
kerana hatinya berkata agar orang anggap
dia pandai menceritakan
Ketika dia menceritakan jangan riyak, jangan ujub
ia adalah dosa batin
di waktu itulah dia riyak dan ujub
Seterusnya selalu dia berkata jangan cintakan dunia
di waktu bercakap itulah dia cinta dunia
kerana dia mengharapkan pujian di waktu itu
Memang ramai orang amat sulit sekali
mengesan penyakit hati
Kadang-kadang para ulama, abid-abid
ramai yang diserang penyakit batin ini
Ulama tertipu oleh kerana dilindungi oleh ilmunya
Ahli-ahli ibadah ditutup oleh banyak ibadah
hingga penyakit batin tidak terasa lagi
Aduh, sungguh susah sekali
hendak mengesan penyakit hati
atau penyakit batin ini
Tidak ada orang yang tidak diserangnya
sekalipun para pejuang
Kecuali siapa yang Tuhan selamatkan,
maka selamatlah dia,
Tuhan,
Kami berlindung dengan Engkau
daripada penyakit-penyakit rohaniah
Fahamkanlah kami perjalanan hati atau roh itu
Lihatkanlah kepada kami baik buruknya
Diajarkan kami bagaimana menyuburkan
yang baiknya
dan ajarkan kami bagaimana membuang
yang buruknya
Tolonglah kami Tuhan
kerana hati itulah yang menjadi
pandangan Engkau
atau penilaian Engkau
Jadikanlah kami ashabul qulub
atau ulil albab
ameen...

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Ilmu Islam secara umum  


Ilmu Islam kena cari. Jika tidak, buta agama nanti..:)
Assalam... mari bersama kita fahami ilmu Islam  yang dah mendarah daging dalam kehidupan kita. Di dalam ajaran Islam, secara umum ilmu-ilmu yang penting itu boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

1. Usuluddin (aqidah)
2. Feqah (syariat)
3. Tasawuf (akhlak)

Dalam pengamalannya, setiap orang Islam mestilah melaksanakan secara serentak ketiga-tiga ilmu tadi. Sama ada dari segi teori mahupun praktikal, atau dari segi ilmiah dan amaliahnya. Tiga ilmu ini merupakan tiga serangkai yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Kalau dipisah-pisahkan salah satu daripada tiga serangkai itu, maka akibatnya rosaklah yang lainnya. Ertinya amalan Islam itu menjadi sah apabila ketiga-tiga ilmu tersebut dilaksanakan sekaligus dan serentak. Ia tidak boleh diamalkan satu-satu sahaja tanpa yang lain. Ber‘feqah’ saja atau ber‘usuluddin’ saja atau berakhlak saja, tentu akan merosakkan ke-Islaman seseorang. Jadi tiga serangkai ilmu ini tidak boleh dipisah-pisahkan dalam seluruh tindakan hidup. Kalau dipisahkan dalam pengamalan seharian, paling tidak seseorang itu akan jadi orang fasiq. Bahkan berkemungkinan ia akan jatuh kepada kafir tanpa ia sedar.

Dari ketiga-tiga ilmu ini, tapak atau asasnya adalah ilmu usuluddin. Di atas tapak ilmu yang menjadi pegangan dan keyakinan setiap orang Islam itu, maka ditegakkan syariat (feqah) dan akhlak (tasawuf). Kalau diibaratkan kepada sebuah bangunan, usuluddin itu adalah foundationnya. Bangunan rumah serta peralatan-peralatannya itulah syariat dan akhlak. Kalau begitu rumah dan peralatan rumah itu tidak dapat ditegakkan sekiranya foundation rumah tersebut tidak ada. Atau ia tidak kukuh dan tidak kuat. Justeru itu, dalam ajaran Islam:

1. Usuluddin itu adalah asas Islam atau tapak Islam.
2. Syariat dan tasawuf ialah furu’ dan cabang cabangnya.

Kalau begitu, ilmu usuluddin dalam ajaran Islam amat penting dan utama. Kerana ia mengesahkan syariat dan akhlak. Syariat dan akhlak tidak ada nilai di sisi ALLAH, kalau aqidah atau usuluddinnya telah rosak.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu usuluddin ialah:

1. Keyakinan kita dengan ALLAH dan sifat-sifat-Nya sama ada sifat-sifat yang wajib, sifat-sifat yang mustahil atau sifat-sifat yang harus.
2. Keyakinan kita dengan para rasul dan sifat-sifatnya.
3. Keyakinan dengan kitab-kitab yang pernah diturunkan oleh ALLAH seperti Al Quran, Zabur, Injil dan Taurat.
4. Keyakinan kepada para malaikat.
5. Keyakinan pada Qadha dan Qadar ALLAH.
6. Yakin kepada Syurga dan Neraka serta perkara-perkara lain yang merangkumi perkara di Alam Ghaib.

Maka ilmu usuluddin yang menjadi asas kepada ajaran Islam merupakan ilmu yang paling penting. Ia menjadi perkara utama dan pertama untuk setiap individu Islam yang mukallaf mempelajarinya. Belajar ilmu usuluddin ini hukumnya fardhu ain yakni wajib bagi setiap individu yang mukallaf. Bahkan jatuh berdosa besar bagi orang yang tidak mempelajarinya. Hatta boleh jatuh kufur secara tidak sedar kalau jahil tentang ilmu ini. Ilmu usuluddin yang berkait dengan ALLAH dan sifat-sifat-Nya, kalau tidak dipelajari, paling mudah untuk menyebabkan terjatuh kepada kufur. Sebab itu dihukumkan wajib bagi setiap mukallaf mempelajarinya terlebih dahulu mendahului ilmu-ilmu yang lain. Dalam Hadis, Rasulullah SAW ada menyebut:

Terjemahannya: Awal-awal agama ialuh mengenal ALLAH.

Oleh itu ilmu usuluddin itu tidak boleh dicuaikan dari mempelajarinya. Supaya ia dapat dijadikan pegangan dan keyakinan yang mantap (teguh) di hati. Tanpa dicelahi dengan unsur-unsur jahil, syak, zan dan waham. Sekiranya dicelahi oleh jahil, syak, zan dan waham, atau salah satu darinya, maka seluruh amal ibadah itu tidak sah atau tertolak. Ertinya tidak dapat apa-apa di sisi ALLAH. Amalan itu hanya sia-sia sahaja. Walau bagaimana baik dan kemas sekalipun ibadah yang dipersembahkan pada ALLAH, sekiranya dicelahi oleh salah satu daripadanya, maka ibadah itu akan dicampak semula ke muka pengamalnya.

Mengikut kebiasaan, walaupun cantik amalan syariat atau akhlak, ia masih tetap bergantung kepada aqidah. Sekiranya aqidahnya baik, maka baiklah syariat dan akhlaknya. Tetapi kalau aqidahnya rosak, maka rosaklah syariat dan akhlaknya. Tamsilannya seperti sebatang pokok. Kalau pokoknya subur, itu adalah kesan daripada akar tunjang yang kuat tadi. Yang menjadikan ianya berdaun, menghijau, menghasilkan bunga cantik dan harum mewangi serta buah yang banyak (lebat) lagi sedap rasanya. Sehingga menjadikan kepingin semua makhluk terutama manusia untuk mendekati dan bernaung di bawahnya serta mengambil manfaat darinya.

Begitulah juga bagi mereka yang aqidahnya baik, tentunya syariatnya jadi sempurna dan akhlaknya cantik. Semua hukum-hakam yang lima yakni yang wajib dan sunat dapat ditegakkan, yang haram dan makruh dapat dijauhi, dan yang harus (mubah) terpulang hingga ia mencorak hidup individu dan masyarakat.

Di sinilah pentingnya pelajaran aqidah atau usuluddin ini kerana ia boleh mencorakkan hati seseorang. Sehingga yang lahir dalam tindakan adalah gambaran hatinya itu. Alhasil, kalau sudah ramai yang aqidahnya tepat dan kuat, maka akan lahirlah negara yang aman makmur yang mendapat keampunan ALLAH. Kerana aqidah yang tepat dan kuat itu mendorong hamba-hamba-Nya bersyariat dan berakhlak atau menjadi orang yang bertaqwa.

Baca Selanjutnya..
AddThis Social Bookmark Button


Related Posts with Thumbnails

Bumi Tuhan... Bersaksilah

 

Design by Amanda @ Blogger Buster