Kategori umat islam

Al-Quran dan Hadis banyak menyebut tentang orang-orang Islam yang zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Kalau kita teliti betul-betul, kita akan dapati bahawa orang-orang yang dimaksudkan itu boleh dibahagi-bahagikan ke dalam beberapa kategori. Kalau kita kaji orang-orang yang dalam berbagai kategori ini, mungkin kita akan dapat faham kedudukan orang bertaqwa berbanding dengan orang-orang di kategori-kategori yang lain. Kita pun dapat mengukur di tahap mana diri kita, sama ada kita sudah selamat atau belum. Kategori-kategori tersebut ialah:

1. Orang yang abai

2. Orang yang cuai

3. Orang yang lalai

4. Orang yang bertaqwa



ORANG YANG ABAI

Ertinya orang yang mengabaikan Tuhan dan syariat Tuhan. Dia itu Islam mungkin kerana datuk neneknya Islam dan emak ayahnya Islam. Maka secara automatik, dia pun Islam. Namun dia tidak fikir tentang Tuhan dan tidak fikir tentang syariat Tuhan. Dia tidak fikir tentang ibadah dan dia tidak fikir tentang halal dan haram. Tuhan ada atau tidak, tidak penting baginya.

Tuhan ada atau tidak ada, sama sahaja baginya. Begitulah rasa hati orang yang mengabaikan Tuhan. Dia hidup mengikut gaya dan corak yang disukainya. Tidak mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam. Lebih tepat lagi, dia mengikut hawa nafsunya. Kalau kita tanya apa agamanya, dia kata dia Islam. Tetapi Islam itu tidak nampak pada dirinya, peribadi dan tingkah lakunya. Islamnya hanya berdasarkan keturunan dan warisan.


ORANG YANG CUAI

Ini baik sedikit dari orang yang abai. Orang cuai ini, dia rasa bertuhan tetapi di waktu-waktu yang tertentu sahaja terutama di waktu dia susah, di waktu dia sakit dan di waktu dia diuji. Di waktu-waktu itu dia mengeluh, “Wahai Tuhan!!” Waktu senang, dia langsung tidak ingat Tuhan.

Ibadahnya mengikut keadaan. Apabila dia tidak sibuk dia beribadah ala kadar. Apabila dia sibuk atau dia tidak ada mood, dia tidak sembahyang dan tidak puasa. Begitu juga dengan perkara halal haram. Ada masa dan dalam sesetengah hal, dia tidak buat yang haram. Pada masa dan dalam sesetengah hal yang lain pula, dia selamba sahaja buat yang haram. Dengan

kata-kata yang lain, orang yang cuai ini, dia buat sedikit tetapi banyak yang dia tidak buat. Sebahagian kecil dia buat, sebahagian besar dia tinggalkan. Atau dia buat suruhan agama bermusim- musim. Dia tidak rasa menyesal dan tidak rasa bersalah atau berdosa di atas semua itu.

ORANG YANG LALAI

Orang ini, soal lahiriahnya termasuk ibadahnya sangat baik dan tidak boleh dipertikaikan. Semuanya selesai, semuanya beres. Kalau dipandang secara lahir, orang akan kata dia orang agama, orang baik, ahli ibadah. Segala rukun Islam dibuatnya, ditambah pula dengan yang sunat-sunat. Dia buat umrah, baca Quran, wirid dan zikir. Tasbih sentiasa di tangan. Orang ramai sekampung memujinya. Mereka kata, “Baik orang itu.

Amalan agamanya yang lahir beres. Syariat lahirnya selesai. Yang tidak selesai dan yang tidak beres ialah hatinya. Semakin banyak beribadah, dia semakin tamak, semakin bakhil, semakin hilang rasa takut dengan Tuhan, semakin tidak ada rasa hamba dan dia rasa selamat dengan ibadahnya yang banyak itu. Dia tertipu dengan sembahyang dan ibadah-ibadahnya yang lain.

Orang melihat dia seperti beragama tetapi hakikatnya dia adalah orang yang lalai. Manusia kata dia baik tetapi Tuhan kata dia tidak baik sebab hatinya tidak takut dan tidak cinta dengan Tuhan. Dia masih megah, angkuh, cinta dunia dan gila puji walaupun sembahyangnya banyak, puasanya banyak, baca Quran, wirid dan zikirnya banyak. Tuhan kata dia orang yang lalai. Walaupun dia tidak lalai dengan ibadah lahiriah tetapi hatinya lalai dengan Tuhan.

Hakikat ini membuatkan kita cemas. Orang yang dianggap beragama pun tidak selamat kerana faktor lalai. Dan lalai itu bukan perkara lahir tetapi perkara hati. Tidak takut Tuhan, tidak takut dengan dosa, itu termasuk lalai walaupun sembahyang banyak, puasa banyak, wirid, zikir dan baca Quran banyak.


ORANG YANG BERTAQWA

Orang yang bertaqwa pula dia sempat buat ibadah yang wajib sahaja. Ibadah-ibadah sunat kurang. Itupun ibadah sunat yang dibuat hanya yang besar-besar sahaja. Yang kecil-kecil tidak dibuat. Kalau dibandingkan ibadahnya dengan ibadah orang yang lalai atau ahli abid, sangat jauh bezanya. Banyak kurangnya. Tetapi dia takut dan cinta dengan Tuhan. Rasa bertuhannya tebal. Hatinya sentiasa rasa tidak selesai dengan Tuhan. Dia tidak rasa dirinya baik malahan dia rasa dirinya orang yang paling jahat, hina dan tidak berguna. Inilah orang yang bertaqwa. Walaupun dia buat ibadah yang wajib sahaja dan yang sunat kurang, namun dengan Tuhan hatinya sentiasa bergelombang dan bergelora macam air laut yang tidak pernah tenang.

Dia kurang buat ibadah-ibadah sunat yang kecil-kecil sebab terlalu sibuk, terlalu letih dan tidak ada masa kerana terlalu banyak membantu dan menolong manusia serta membuat kerja-kerja masyarakat. Masanya banyak dimanfaatkan untuk orang ramai. Ibadah hablumminallahnya kurang tetapi

yang hablumminannasnya banyak. Ibadah ini lebih besar pahalanya dari ibadah-ibadah sunat. Rasulullah SAW ada bersabda:

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.”

Memberi manfaat kepada manusia lain dengan tenaga, ilmu, minda, kuasa, wang ringgit dan lain-lain itu adalah lebih besar. Buktinya orang yang banyak ibadah pun tidak sanggup hendak berbakti, berkhidmat atau berkorban apa yang ada padanya untuk manfaat orang lain.

Orang bertaqwa tidak membuat dosa. Kalau dia sedar dia terbuat dosa, sehari suntuk jiwanya akan terseksa. Dia rasa menyesal, menderita dan dukacita. Dia akan buat ibadah-ibadah tambahan yang lain untuk menutup dan menebus dosanya itu.

Begitulah kategori orang-orang Islam berdasarkan apa yang disebut dalam Quran dan Hadis sebagai zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Mengikut kategori-kategori ini, barulah kita tahu dan sedar tentang letak duduk orang bertaqwa berbanding orang yang abai, cuai dan lalai. Umat Islam sekarang ini hina-dina di mana-mana, tidak dibantu, tidak dilindung dan tidak dibela oleh Tuhan kerana orang Islam yang bertaqwa terlalu sedikit jumlahnya. Ia masih kumpulan minoriti.

Yang terbanyak ialah orang Islam yang abai, diikuti orang Islam yang cuai dan lalai. Tuhan tidak membantu dan tidak membela orang Islam yang abai, cuai dan lalai ini. Tuhan hanya akan membantu orang Islam yang bertaqwa sahaja. Di Akhirat nanti, hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah