BAGAIMANA CARA BETUL UNTUK BERZIARAH KE RUMAH ORANG?

ISLAM sangat menggalakkan para penganutnya agar berkasih sayang dan menjalinkan hubungan yang mesra di antara satu sama lain. Apabila ujudnya kasih sayang dan perhubungan yang erat dan mesra maka akan terlahirlah sebuah kekuatan yang tersembunyi hasil dari jalinan ukhuwah itu. Oleh yang demikian, sempena bulan Syawal yang mulia ini sangatlah sesuai untuk melakukan aktiviti ziarah sesama saudara, sahabat handai dan kaum kerabat serta jiran tetangga.


Untuk menjalinkan sebuah hubungan yang mesra, umat Islam haruslah saling kenal mengenal tanpa mengira kedudukan, pangkat, rupa atau keturunan. Batas kedudukan haruslah diketepikan. Dalam hal ini, ziarah menziarahi itu sangat besar peranannya dalam usaha mencapai objektif tersebut. Bagaimana kemesraan itu akan ujud seandainya kita hidup dalam lingkungan sendiri tanpa bersilaturrahim?

Kemudian apabila kita mempunyai sahabat atau taulan, selalu-selalulah mengunjunginya. Sering-seringlah kita menziarahinya sebagai menandakan kita mengambil berat dan selalu mengingatinya. Apabila sering dilawati, sudah pasti sahabat kita itu merasakan dirinya dihargai.

Namun begitu haruslah kita menjaga adab-adab ziarah itu sendiri agar ianya akan bernatijahkan sesuatu yang baik. Kerana sesuatu yang dilakukan tanpa mengambil kira adab-adabnya sudah pasti akan menghasilkan sesuatu yang kurang sempurna. Perkara pertama ialah memilih waktu dan suasana yang sesuai sebelum mengunjungi sahabat kita. Kita haruslah bijak memilih waktu untuk menziarahi sahabat kita. Jika kita tersilap memilih waktu yang sesuai kemungkinan besar ianya akan mendatangkan masalah kepada semua pihak iaitu pihak kita dan juga pihak sahabat kita itu.

Yang dikatakan sebagai memilih waktu dan suasana yang sesuai untuk berkunjung ialah memilih waktu yang dirasakan sebagai tidak menyusahkan tuan rumah tersebut. Contohnya ialah janganlah kita mengunjungi ketika waktu Maghrib ataupun hampir-hampir waktu Maghrib ataupun beberapa minit selepas waktu Maghrib. Kerana waktu itu ialah waktu yang benar-benar sibuk bagi tuan rumah. Ketika itulah mereka sibuk mengerjakan sembahyang Maghrib, menyediakan makan malam dan sebagainya.

Dengan kedatangan kita itu akan menimbulkan rasa serba salah kepada tuan rumah tersebut. Dalam kesibukan itu dia terpaksa pula untuk melayani kita. Kerana melayani dan memuliakan tetamu itu adalah sangat-sangat dituntut agama Islam. Sebaiknya, beritahulah tentang kedatangan kita itu akan tarikh dan harinya supaya dengan itu tuan rumah tersebut akan lebih bersedia. Itu akan lebih memudahkan kedua-dua pihak. Sudah pasti Allah akan merahmati kunjungan kita itu.

Seterusnya, sebelum kita masuk ke rumah sahabat kita itu, mintalah keizinan darinya. Antara hikmah yang tersembunyi ialah untuk menjaga maruah tuan rumah. Ini adalah kerana sekiranya kita terus masuk tanpa meminta izin atau meminta kebenaran, mungkin di waktu itu tuan rumah tersebut sedang berbaring atau tidur di ruang tamu dengan anak dan isterinya, mungkin isterinya sedang dalam keadaan tidak menutup aurat. Itulah hikmahnya meminta izin sebelum masuk.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya: Dari Sahil bin Saad r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya diadakan peraturan meminta izin, hanya semata-mata untuk menjaga pandangan mata.” Riwayat Imam Bukhari dan Muslim r.a.

Satu cara meminta izin ialah dengan memberi salam, mengetuk pintu atau menekan loceng bagi rumah yang ada loceng. Tetapi cara yang paling afdhal ialah dengan memberi salam. Salam hendaklah diberi sebanyak tiga kali sahaja sekiranya setelah diberi salam sebanyak tiga kali, tidak ada jawapan hendaklah pergi meninggalkan rumah tersebut.

Allah telah berfirman dalam Al Quran yang bermaksud: “Hai sekalian orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah orang lain hingga kamu minta izin dan mengucapkan salam kepada penduduk rumah itu.”

Dalam hal ini, Rasulullah telah bersabda yang maksudnya: “Dari Abu Musa Al As’ari r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Mintalah izin hingga tiga kali, maka kalau diizinkan masuklah dan jika tidak, kembalilah.” Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Mintalah izin hingga tiga kali, maka kalau diizinkan masuklah dan jika tidak, kembalilah." Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Pernah berlaku sebuah peristiwa di mana seorang dari Bani Amir meminta izin untuk menemui Rasulullah s.a.w. Diapun berkata: “Bolehkah saya masuk?” Maka Rasulullah pun berkata kepada pelayannya: “Keluar dan ajarkan orang itu cara minta izin, katakan kepadanya ucapkan “Assalamualaikum”, maka ajaran itu telah didengar olehnya maka dia pun terus mengucapkan salam. Kemudian barulah dia diizinkan masuk oleh Rasulullah s.a.w.

Setelah memberi salam adalah sunat memberitahu nama kepada tuan rumah. Ataupun sekiranya ditanya oleh tuan rumah hendaklah kita memberitahu nama kita. Ini berpandukan kepada maksud hadith Anas r.a ketika menerangkan hadis isra’ berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Kemudian Jibril a.s. membawa saya naik ke langit dunia dan minta dibukakan pintu dan ketika ditanya, siapa itu? Jawabnya: Jibril dan siapa sertamu? Jawabnya: Muhammad dan demikian pada langit kedua, keti- ga dan seterusnya. Pada tiap-tiap ditanya siapa itu dijawab oleh Jibril.” Riwayat Imam Bukhari dan Muslim r.a.

Dalam satu hadis yang lain Rasulullah telah bersabda yang maksudnya: “Jabir r.a berkata: Saya datang ke rumah Nabi s.a.w. maka saya pun mengetuk pintu dan ditanya: Siapa itu? Jawabku: Saya Jabir. Rasulullah s.a.w. dengan tidak suka berkata: Saya, saya…” Riwayat Imam Bukahri dan Muslim r.a.

Apabila telah diizinkan masuk hendaklah menjaga adab-adab di dalam rumah pula. Antaranya ialah berbual tentang perkara-perkara yang baik, menjaga agar tidak ketawa dengan melampaui batas iaitu tidak berdekah-dekah, berbual sesuatu yang lagha dan sia-sia. Kita mesti selaraskan perbuatan kita dengan tujuan ziarah itu sendiri. Kita ingin menjalinkan kemesraan dan merapatkan lagi ukhuwah. Bergurau senda itu sememangnya perlu untuk menimbulkan suasana riang tetapi haruslah kita akur pada batas-batas yang perlu.

Hendaklah kita menjaga mata supaya tidak merenung dengan pandangan yang liar. Elakkan dari memandang-mandang ke arah dapur kerana dibimbangi terpandang aurat anak atau isteri sahabat kita itu. Dengan menundukkan pandangan dan bersikap tawadhuk akan menjaga maruah kita dan tuan rumah itu sendiri. Apabila tuan rumah menjamu juadah, makanlah dengan tertib dan bersopan. Elakkan dari mencela makanan disebabkan rasanya yang tidak menepati selera kita. Tunjukkan betapa sedapnya makanan itu dan kita menyukainya. Ini tentu akan membuatkan tuan rumah itu bergembira.

Apabila hendak ke bilik air, mintalah izin terlebih dahulu. Ini untuk mengelakkan fitnah terserempak dengan anak dan isterinya yang mungkin sedang menggunakan bilik air. Elakkan dari pertengkaran atau membangkitkan sesuatu yang menyinggung perasaan tuan rumah tersebut. Sebaiknya berbicaralah sesuatu yang boleh membangunkan iman dan memantapkan ukhuwah. Demikianlah di antara adab-adab ziarah yang harus dijaga sungguh-sungguh.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah