1.Perintah Allah kepada Nabi Ibrahim membina Kaabah.

Ketika Allah memerintahkan Nabi Ibrahim AS membawa isteri dan anak kecil kesayangannya Nabi Ismail AS untuk ditinggalkan di Mekah (بواد غير ذي زرع عند بيتك المحرم ) disatu wadi gersang tampa tumbuhan disisi Rumah Allah di Tanah Haram. Disitulah Kaabah dibina oleh Nabi Ibarahim selepas itu. Mekah ketika itu hanya sebuah wadi yang kosong dan kering kontang. Nabi Ibrahim telah mendatanginya dari Palestin tanah yang diberkati, dengan perintah Allah. Di tempat yang bakal menjadi Baitul Haram baginda meninggalkan isteri dan anaknya Nabi Ismail AS. Ketika ditinggalkan disitu Siti Hajar merasa pelik kerana tidak ada air, tidak ada makanan, tidak ada jiran yang boleh menolong bahkan tiada manusia lain, sedangkan dia ditinggalkan bersama seorang bayi kecil.


Ketika Nabi Ibrahim meninggalkan tempat itu, Siti Hajar mengekori Nabi Ibrahim sambil bertanya namun Nabi Ibrahim tidak mengindahkannya. Sehinggalah akhirnya Siti Hajar bertanya (آلله أمرك بهذا ) Apakah Allah yang perintahkan hal ini. Benar jawab Nabi Ibrahim. Siti Hajar dengan penuh yakin dan hati yang beriman dengan kekuasaan Allah ( إذن لن يضيعنا الله ) berkata, kalau begitu pasti Allah tidak akan mensia-siakan kita. Kalaulah ini perintah Allah pasti ada pembelaan dari Allah Tuhan yang Maha Baik itu. Sianak menangis kehausan sementara susu Siti Hajar sudah mula kering. Berlarilah Siti Hajar mencari air dari Safa ke Marwah dengan penuh cemas dan harap pada Tuhan. Berkat rintihan hati Siti Hajar yang bergantung penuh dengan Tuhan itu Allah menghantar Saidina Jibril, dengan sayapnya dia menyingkap telaga Zamzam yang terpancar dari hentakan kaki bakal seorang Nabi Allah yang mulia Nabi Isamail AS. Inilah sejarah Zam zam yang kekal hingga hari ini.


Menurut Ulamak sejarah, perkara ini berlaku selepas satu empangan besar di Yaman yang namnya Sad Maarib pecah. Emapangan Maarib ketika itu adalah satu empangan yang besar dan menjadi sumber air dan sumber kehidupan kepada rakyat Yaman ketika itu. Empangan ini dibina oleh kerajaan Saba' di Yaman yang terkenal dengan kepakaran seni bina. Mereka membina empangan ini untuk menampung air hujan yang akan dimenafaatkan untuk keperluan harian dan pertanian mereka. Bila mana mereka engkar dengan Tuhan Allah hukum mereka dengan dipecahkan empangan mereka. Bila empangan pecah bangsa Arab yang berasal dari Yaman ini terpaksa berpindah dari Yaman mencari kehidupan ditempat baru. Maka bertebaranlah bangsa Arab ini keseluruh semenanjung Arab, Kabilah Tsaqif berpindah ke Taif, Kabilah Aus dan Khazraj ke Madinah, Arab Ghasasinah berhijrah ke Syam, Arab Manazirah berhijrah sampai kesempadan Irak.


Ketika itu Kabilah Jurhum yang sedang mencari tempat baru lalu dekat dengan Mekah, mereka melihat burung-burung berterbangan menandakan ada air dikawasan itu sedangkan mereka tahu memang tak pernah ada air dikawasan itu. Bila diperiksa, benar ada air disitu. Maha Besar Tuhan yang berkuasa mengadakan yang tiada. Begitulah Allah membela isteri yang solehah ini yang taat setia dengan perintah Allah dan suaminya, Nabi Ibrahim. Mereka mendapati ada seorang perempuan dan anak kecilnya ditempat air. Kabilah Jurhum yang terkenal baik ini tidak terus merampas zamzam dari Siti Hajar. Mereka minta izin untuk berkongsi air dengan Siti Hajar bahkan mereka sanggup membayar sewa telaga air ini kepada Siti Hajar. Allah yang maha Baik tidak mesia-siakan hambanya yang bergantung penuh dengan rahmatnya. Apalagi inilah keberkatan doa dan rintihan hati Nabi Ibrahim dan isterinya yang solehah dan taat setia itu. Nabi Ibrahim kerana perintah Allah dengan hati yang tabah meninggalkan isteri dan anak kesayangannya ditempat yang lojik akal mengatakan tak mungkin boleh hidup disitu. Namun inilah keyakinan seorang Nabi dengan Tuhannya. Mengapa kita belajar dari keyakinan ini. Bantuan dan kuasa Tuhan itu mengatasai lojik akal manusia.

No comments:

Bumi Tuhan... Bersaksilah